saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 04/03/2013

Berkongsi kebimbangan Cucu-Cicit UMNO Kota Bharu

MINGGU lalu sekembali dari Kuala Terengganu, saya menerima sepucuk surat daripada seseorang yang menamakan dirinya Cucu-Cicit UMNO, Kota Bharu, Kelantan. Katanya, surat itu ditujukan khas kepada penulis Selak untuk diulas. Surat dua muka itu berkisar mengenai Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Ringkas tetapi padat. Beliau memperkenalkan dirinya sebagai bumiputera Malaysia berusia 58 tahun, penyokong kuat Barisan Nasional (BN) dan sudah enam kali mengundi. Setiap kali PRU beliau ‘memangkah’ BN sama ada bagi kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa mengira bangsa yang dicalonkan. Kini untuk kali ketujuh, beliau menyatakan rasa bimbang dengan perkembangan politik semasa. Katanya, senario politik hari ini agak bercelaru dan membimbangkan setelah kebangkitan pakatan DAP, PKR, Pas.

Beliau turut melontarkan pertanyaan sama ada teori RAHMAN ALHAJ akan menjadi kenyataan. Setakat ini RAHMAN sudah pun menjadi kenyataan. Adakah pemerintahan BN akan berakhir? Beliau bertanya adakah Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng dan Abdul Hadi Awang bakal menjadi Perdana Menteri? Doanya agar teori ini (melibatkan tiga nama itu) tidak menjadi kenyataan. Eloklah teori seperti ini dibincangkan oleh orang politik atau nujum politik. Dulu semasa Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri, ramai yang mengaitkan beliau sebagai bakal Perdana Menteri tetapi akhirnya jawatan itu menjadi milik Abdullah Ahmad Badawi.

Selak tidak berhasrat mengulas panjang teori ini tetapi apa yang perlu diberi perhatian ialah ingatannya dalam surat itu yang Selak rasa sudah ramai pemimpin bercakap mengenainya iaitu ‘‘Membina negara dan bangsa mengambil masa, meruntuhnya hanya dalam sekelip mata’’.

Melihat kecelaruan politik hari ini, tidak dinafikan Cucu-Cicit UMNO ini bimbang. Agaknya beliau lebih bimbangkan masa depan cucu cicitnya kerana masanya mungkin sudah berlalu. Memang benar, untuk membina sebuah bangunan misalnya mengambil masa yang lama tetapi untuk memusnahkannya mungkin mengambil masa beberapa minit sahaja. Sebutir bom mampu meruntuhkan segala-galanya dalam sekelip mata.

Sebagai penyokong BN, Cucu-Cicit UMNO itu tetap memilih BN pada setiap kali PRU tanpa mengira bangsa. Adakah semangat ini ada pada setiap anggota atau penyokong BN yang lain? Adakah sokongan mereka luntur apabila tidak dipilih sebagai calon atau orang pilihan mereka tidak disenaraikan?

Hari ini, apabila detik PRU semakin hampir, pelbagai spekulasi mengenai calon ditimbulkan. Spekulasi mengenai tarikh PRU-13 pula semakin kendur kerana PRU pasti datang dalam tempoh sebulan dua ini atau paling lewat sehingga Mei ini. Minggu ini, 8 Mac genaplah lima tahun rakyat Malaysia yang layak keluar mengundi pada PRU-12 (2008) yang menyaksikan tsunami politik. Tahun ini mereka dan ramai lagi berpeluang mengundi lagi. Walaupun genap lima tahun mengundi, pembubaran DUN dan Parlimen pula berdasarkan tarikh persidangan diadakan yang melibatkan pelbagai tarikh di DUN. Bagi Parlimen, tarikh akhir pembubaran ialah pada 24 April ini.

Ketika ini, terdapat pelbagai ramalan berkaitan tarikh pembubaran dan pengundian termasuk 16 Mac dan 30 Mac serta 14 dan 21 April. Hakikatnya, PRU-13 boleh diadakan selewat-lewatnya pada bulan Mei ini. Walaupun tarikh itu masih menjadi teka-teki, kebanyakan parti sudah bersedia dengan senarai calon. Di sesetengah kawasan, sudah muncul nama-nama tertentu walaupun sekadar spekulasi. Sesetengah parti politik sudah menamakan calon untuk bertanding di kerusi Parlimen atau DUN. Ada juga yang menyatakan mahu berundur seperti dilakukan oleh Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air, Peter Chin Fah Kui yang juga anggota Parlimen Miri.

Kepada Cucu-Cicit UMNO, sebagai panduan terdapat 222 kerusi Parlimen di negara ini dan daripada jumlah itu, kira-kira 150 adalah kerusi Melayu/Bumiputera, 30 kerusi campuran dan 42 kerusi majoriti Cina. Daripada jumlah ini, UMNO perlu berusaha untuk mempertahankan 79 kerusi yang dimenangi pada PRU 2008 dan menambah lagi jumlah sehingga menjadi 85 atau 90 kerusi. Komponen BN pula perlu membantu untuk mempertahankan 140 kerusi yang dimenangi sebelum ini atau menambah sehingga mencecah 150 kerusi.

Jika semua parti komponen dapat mengekalkan momentum yang ada, BN mampu memperbaiki kedudukan yang ada. Pemerhati politik juga menjangkakan peluang BN untuk kembali berkuasa tetap ada cuma majoritinya yang menimbulkan persoalan.

BN perlu memperkukuhkan semua jentera dalam parti ketika parti pakatan pembangkang bercelaru dengan beberapa isu seperti kalimah Allah, pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, manifesto yang umpama ‘gula-gula’ serta kenyataan manifesto bukan satu janji. Begitu juga ‘penghinaan’ terhadap penerima bantuan kerajaan dan kematian anggota polis ketika berhadapan dengan kumpulan bersenjata Kesultanan Sulu di Sabah. Rakyat boleh menilai segala kecelaruan yang berlaku dalam parti itu.

Harus diingat, ketika ini, parti-parti politik berada dalam fasa terakhir untuk menghadapi PRU. Dalam situasi sebegini, setiap tindak tanduk parti akan menjadi perhatian. Jika tersilap langkah boleh menjejaskan peluang untuk menang.

Baru-baru ini, Selak juga menerima rungutan daripada beberapa pemimpin peringkat bahagian mengenai spekulasi calon yang boleh menjejaskan gerak kerja yang dilakukan selama ini. Bagi mereka ada nama yang baru muncul itu tidak pernah tunjuk muka walaupun ada kedudukan dalam bahagian. Spekulasi ini meresahkan mereka yang selama ini bekerja keras untuk menawan semula hati para pengundi di kawasan masing-masing terutama yang jatuh ke tangan pembangkang.

Saya cuma memberitahu mereka, mungkin spekulasi ini ada hikmahnya supaya pihak atasan dapat memberi perhatian terhadap isu ini. Memanglah hakikatnya, mereka di bahagian lebih tahu kedudukan sebenar berbanding mereka yang berada di Kuala Lumpur untuk mengatur strategi. Spekulasi sebegini kata mereka bukannya mengukuhkan kedudukan sebaliknya menjejaskan peluang dan harapan.

Eloklah, dalam keadaan sekarang semua pihak menghentikan spekulasi mengenai nama-nama calon ini. Biarlah pucuk pimpinan menentukannya. Mungkin pemimpin perlu bersedia memaklumkan siapa calon pilihan yang bakal diturunkan supaya tidak ada lagi lobi melobi pada saat-saat akhir ini.

Pada masa yang sama kepada penyelaras bagi setiap DUN atau Parlimen, teruskan kerja walaupun ada spekulasi bahawa mereka bukanlah pilihan untuk menjadi calon. Mereka harus bersedia untuk menerima sebarang keputusan pucuk pimpinan. Bersedia juga menerima calon ‘payung terjun’, mungkin juga akan ada calon yang bukannya mewakili UMNO tetapi calon luar parti komponen BN. Segala kemungkinan boleh berlaku. Bersedia menerima keputusan supaya mereka tidak kecewa dan menutup bilik gerakan PRU.

Akhirnya, Selak ingin berkongsi doa Cucu-Cicit UMNO seperti terkandung dalam suratnya: ‘‘Ya Allah ya Tuhanku, aku bermohon kepada Mu ya Allah, demi kebaikan, kesejahteraan dan keharmonian hidup rakyat Malaysia selama lebih kurang 52 tahun di bawah pemerintahan kerajaan BN, kekalkan pemerintahan ini buat selama-lamanya demi menjaga keutuhan agama, bangsa dan negara Malaysia yang ku cintai ini dari kehancuran sekiranya jatuh ke tangan PR (pakatan pembangkang),’’.

Semoga doa itu dimakbulkan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:58
Zohor 1:21
Asar 4:20
Maghrib 7:24
Isyak 8:33



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.