saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 04/03/2013

Kebiadaban, keceluparan Tian Chua tidak boleh dimaafkan

BIADAB, keji dan hina, mungkin itulah istilah paling sesuai digunakan oleh sesiapa juga yang mahu mengecam Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Tian Chang atau Tian Chua yang menyifatkan kejadian pencerobohan di Lahad Datu sebagai sandiwara UMNO.

Tian Chua tidak harus berdolak-dalik lagi dalam soal ini kerana kenyataan beliau bukan disiarkan oleh media arus perdana yang dianggap musuh pakatan pembangkang tetapi disiarkan oleh keadilandaily.com pada hari negara berkabung akibat gugurnya dua perwira dari pasukan komando VAT69.

Apa yang dilakukan oleh Tian Chua adalah perbuatan biadab dan sudah melampaui batas dalam politik, namun kita tidak perlu hairan dengan sikap seorang pemimpin yang pernah berbaring di tengah jalan tetapi akhirnya diangkat sebagai calon dalam pilihan raya oleh PKR sehingga bergelar Yang Berhormat.

Tidak kira apa pun hujahnya, tindakan Tian Chua tidak harus diselesaikan hanya melalui permintaan maaf sahaja sebaliknya pihak berkuasa perlu mengambil tindakan sewajarnya kerana kita sudah bosan dengan senario politik celupar yang kemudiannya dilupakan hanya disebabkan pemimpin biadab seumpama itu memohon maaf.

Kebiadaban Tian Chua tidak boleh dimaafkan begitu sahaja tetapi beliau perlu bersedia diseret ke muka pengadilan kerana melakukan perbuatan yang dianggap boleh dikategorikan menghasut dan mencetuskan kebencian.

Tian Chua perlu bertanggungjawab sepenuhnya kerana beliau telah membuat satu kenyataan yang mengguris perasaan seluruh rakyat Malaysia yang menyanjungi keperwiraan perajurit-perajurit negara dan bersimpati dengan keluarga perajurit yang terkorban.

Justeru kita bersetuju dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa perbuatan Naib Presiden PKR itu adalah mainan politik cukup hina dan menggambarkan sikap mereka yang tidak berhati perut dan tidak berperikemanusiaan sekali gus tidak layak dipilih sebagai pemimpin.

Sebenarnya kalau begitulah bentuk kenyataan yang dibuat oleh Tian Chua memang benar beliau tidak layak menjadi pemimpin kerana dalam kepala beliau semuanya mahu dipolitikkan hatta melibatkan keselamatan negara sekali pun.

Bagi pemimpin-pemimpin pembangkang yang jumud dan taksub dengan politik kemaruk kuasa seperti Tian Chua ini, mereka bersedia melakukan apa sahaja bagi memburuk-burukkan Barisan Nasional (BN). Sebab itulah dia tergamak menganggap peristiwa pencerobohan di Lahad Datu itu sebagai sandiwara.

Tian Chua perlu faham yang paling banyak bersandiwara bukannya kerajaan BN atau pemimpin UMNO tetapi pemimpin-pemimpin pembangkang. Tidak perlu kita imbas apa sandiwara mereka kerana rakyat pasti mengetahuinya.

Kalau pun Tian Chua mahu bersandiwara dengan tujuan meraih sokongan untuk pakatan pembangkang yang kini semakin terumbang-ambing ternyata beliau telah memilih isu yang salah. Sebaliknya ia memaparkan kebodohan dan kejahilan sesetengah pemimpin pembangkang berpolitik.

Sepatutnya, dalam situasi kritikal melibatkan isu pencerobohan di Lahad Datu, Tian Chua memberi sokongan padu kepada kerajaan untuk menanganinya bersandarkan kepada keupayaan anggota keselamatan kita dan bukannya membuat kenyataan yang menimbulkan kemarahan semua pihak.

Dalam soal ini, kita juga ingin mengetahui apakah pendirian PKR, apakah mereka menyebelahi Tian Chua atau bersedia memecat beliau?

Ini memandangkan Tian Chua bukannya ahli biasa tetapi berjawatan Naib Presiden PKR, oleh itu jika parti tersebut memandang serius isu ini sesuatu perlu dilakukan.

Langkah itu penting bagi mengelakkan PKR akan dituduh merestui ‘kenyataan jahil’ Tian Chua. Apatah lagi PKR melalui pakatan pembangkang dalam manifesto mereka cuba memaparkan mereka wira memperjuangkan nasib anggota keselamatan apabila menyatakan akan menaikkan gaji anggota polis sebanyak 15 peratus jika mereka memerintah.

Kalau benarlah PKR ikhlas mahu membela nasib anggota polis, maka Tian Chua perlu diambil tindakan. Kita juga ingin mengetahui apa komen sekutu PKR iaitu Pas dan DAP.

Jika mereka tidak bersetuju dengan kenyataan Tian Chua buat pendirian rasmi supaya rakyat tidak membuat tafsiran yang bukan-bukan terhadap mereka.

Namun begitu apa yang lebih penting sekarang ialah memastikan sikap mulut celupar Tian Chua diajar dan tidak dibiarkan begitu sahaja.

Sekali lagi, perhatian akan diberikan kepada pihak polis yang akan menyiasat laporan yang dibuat oleh pelbagai pihak ke atas Naib Presiden PKR itu. Kita tidak mahu kes Tian Chua ini didiamkan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan.

Apa yang dilakukan oleh Tian Chua sudah jelas satu perbuatan politik keji dan ia tidak sewajarnya dibiarkan terlepas begitu sahaja.

Rakyat yang sentiasa mendoakan keselamatan anggota polis dan tentera dalam operasi menentang pencerobohan di Sabah sudah pasti mahu melihat apa yang akan diterima oleh Tian Chua akibat keceluparannya.

Perhitungan politik tidak boleh diambil kira lagi termasuklah kononnya tindakan Tian Chua ini bertujuan mengalih isu kerana beliau sudah pasti sedar apa yang beliau katakan.

Justeru tindakan tegas daripada pihak berkuasa amat penting bagi menunjukkan bahawa tiada kompromi dengan mana-mana ahli politik yang mahu mempolitikkan segala-galanya hatta kematian perwira negara sekali pun.

Tambahan pula, ini bukanlah kali pertama pemimpin-pemimpin pembangkang mempolitikkan isu melibatkan keselamatan negara.

Kita masih ingat satu ketika dahulu apabila tercetus peristiwa Sauk di Perak, pembangkang menuduh ia lakonan dengan mempertikaikan bagaimana sebuah kenderaan MPV boleh mengisi beratus-ratus senjata.

Tetapi apabila Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat demonstrasi bagi menunjukkan bagaimana ia dilakukan, pembangkang hanya mendiamkan diri dan tidak pula meminta maaf.

Sebab itulah, kita berpendapat, Tian Chua tidak boleh dilepaskan begitu sahaja, beliau perlu bertanggungjawab terhadap kejahilannya berpolitik.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.