saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 25/03/2013

Kit Siang...kerana namanya, jawatan atau roket

LIM Kit Siang, 72 berhijrah lagi. Kali ini ke Gelang Patah, Johor. Sekali lagi beliau yang berasal dari Batu Pahat ‘merendah diri’ dengan menyifatkan keputusan itu sebagai satu ujian paling besar dalam hidupnya. Kenyataan itu lebih kurang sama ketika beliau melakukan penghijrahan dari Kota Melaka ke Tanjong. Pertarungan di Pulau Pinang ketika itu ibarat ‘hidup atau mati’ politik. Akhirnya, politik Kit Siang dan DAP hidup sehingga ke hari ini walaupun dalam siri pilihan raya umum (PRU), beliau ‘direhatkan’ sepenggal sebagai wakil rakyat selepas kalah bagi kerusi Parlimen Bukit Bendera dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kebun Bunga pada PRU 1999.

Bagi Kit Siang, PRU akan datang adalah yang ke-11 bagi dirinya selepas sembilan penggal sebagai ahli Parlimen iaitu di Bandar Melaka, Melaka (1969, 1974); Petaling, Selangor (1978); Kota Melaka, Melaka (1982); Tanjong, Pulau Pinang (1986, 1990, 1995) dan Ipoh Timur, Perak (2004, 2008).

Menyelak kembali penghijrahannya ke Tanjong, beliau yang memegang jawatan Setiausaha Agung DAP selama 30 tahun berkata, perpindahannya adalah satu strategi parti kerana DAP mahu mengadakan gerakan berbentuk politik di seluruh negara bagi membangkitkan kesedaran rakyat.

Katanya: " Kami memilih Pulau Pinang sebagai benteng hadapan yang penting, jadi saya terpaksa ikut berpindah sebagai political catalyst,’’

DAP juga melancarkan projek Tanjong I yang bertujuan menawan Pulau Pinang. Ramai tokohnya turun sebagai calon di negeri itu. Kit Siang berjaya mengalahkan Dr. Koh Tsu Koon di Tanjong dan calon BN, Tham Soon Seong di DUN Kampung Kolam. Pada PRU 1990, beliau mengalahkan Ketua Menteri, Dr. Lim Chong Eu di DUN Padang Kota, yang membuka laluan kepada Tsu Koon menjadi Ketua Menteri selepas memenangi kerusi DUN Tanjong Bungah. Bagaimanapun cubaan Kit Siang untuk menewaskan seorang lagi Ketua Menteri iaitu Tsu Koon pada 1995 gagal setelah kalah kepada Ketua Menteri ketiga itu di DUN Tanjong Bungah walaupun menang di Parlimen Tanjong.

Tahun 1999, beliau berpindah ke kawasan lain. Perpindahan itu membawa padah apabila beliau kecundang kepada Setiausaha Agung Gerakan, Chia Kwang Chye di Parlimen Bukit Bendera dan di DUN Kebun Bunga kepada Dr. Teng Hock Nan. Berikutan kekalahan pada November 1999 itu, beliau meletak jawatan sebagai Setiausaha Agung tetapi dilantik sebagai pengerusi. Selepas kecewa di Pulau Pinang, Kit Siang ‘membawa diri’ ke Perak pada 2004 dan memilih Ipoh Timur sebagai pangkalan baharu sehinggalah pada PRU 2008.

Adakah seperti Pulau Pinang yang menjadi denyut nadi Gerakan sebelum ini, Kit Siang mahu menggugat kedudukan Johor sebagai tiang seri UMNO atau jantung hati BN? Adakah kehadirannya nanti mampu memenuhi impian pakatan pembangkang untuk memenangi 15 kerusi di negeri jiran Singapura itu?

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim ketika mengumumkan keputusan Kit Siang bertanding di Gelang Patah berkata: ‘‘Jika Lim Kit Siang mahu menjadikan Gelang Patah sebagai base untuk kita memenangi pilihan raya dan menawan Putrajaya, saya bagi sokongan,’’.

Pemimpin utama pembangkang lain yang turut berminat bertanding di Johor ialah Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang berasal dari Pontian. Salahuddin mahu kembali ke negeri asalnya selepas dua penggal menjadi anggota Parlimen di Kubang Kerian, Kelantan. Tindakan itu juga berikutan Pas mahu mengurangkan calon luar bertanding di Kelantan. Ke mana arah Salahuddin? Pulai, Pengerang, Pontian atau Tanjong Piai? Mungkin juga, beliau boleh mencuba nasib di Johor Bahru.

Kembali kepada Kit Siang, kenapa penasihat DAP itu ‘melompat’ ke Gelang Patah dan bukannya Batu Pahat? Adakah BN Gelang Patah melakukan kesilapan atau wakil rakyatnya gagal memberi perkhidmatan terbaik? Pengundi-pengundi Gelang Patah boleh menjawab persoalan ini. Timbul juga persoalan adakah Kit Siang tidak selamat di- Ipoh Timur? Mungkin juga Kit Siang mempertaruhkan Ipoh Timur sebagai kerusi selamat dalam genggaman DAP dan pada masa yang sama beliau mahu menyumbang satu kerusi baru kepada pembangkang.

Adakah penyertaan Kit Siang di Johor akan mengubah landskap politik di Johor seperti apa yang berlaku di Pulau Pinang dan Perak? Tidak mustahil juga, jika pengundi-pengundi Gelang Patah menamatkan `riwayat politik’ di negeri asalnya.

Setakat ini, rekod Kit Siang tidak pernah kalah apabila kali pertama bertanding di satu-satu negeri seperti di Pulau Pinang dan Perak. Ini bermakna, di mana sahaja Kit Siang bertanding, potensi untuk menang tetap ada walaupun dilabel sebagai calon payung terjun. Adakah Kit Siang menang kerana kedudukannya (termasuk sebagai setiausaha agung, pengerusi dan kini penasihat), atau kerana namanya atau lambang roket yang dibawa oleh DAP?

Begitu juga dengan anaknya, Lim Guan Eng, dari Melaka yang bertanding di Pulau Pinang. Cubaan kali pertama membawa kemenangan penuh bergaya di Bagan.

Beberapa pemimpin pembangkang lain juga mempunyai ‘keberanian’ yang serupa untuk bertanding di luar ‘kampung’ mereka. Contohnya, Mohamad Sabu @ Mat Sabu dari Pulau Pinang yang pernah bertanding dan menang di Kelantan. Khabarnya kali ini, beliau akan ke Kedah walaupun di Pulau Pinang ada kerusi yang boleh ditawarkan termasuk di Permatang Pauh dan Tasek Gelugor yang lebih dekat dengan orang kampungnya.

Situasi dalam pakatan pembangkang ini seolah-olah menunjukkan siapa juga calon di pihak sebelah sana sama ada DAP, Pas atau PKR, peluang mereka untuk menang ada walaupun berasal dari negeri lain. Keadaan seperti ini jarang berlaku dalam parti komponen BN. Kenapa jika di pihak BN, apabila ‘orang luar’ atau calon ‘payung terjun’ diturunkan, macam-macam reaksi diberi, lebih-lebih lagi mereka yang ada di dalam parti. Begitu cepat, mereka terasa dipinggirkan apabila pucuk pimpinan tidak menamakan pemimpin utama dalam bahagian. Apabila mereka sendiri menolak calon yang dinamakan pemimpin, maka apa lagi pengundi-pengundi yang berada di atas pagar dan penyokong-penyokong tegar.

Eloklah, dalam suasana nama calon semakin hangat diperkatakan, anggota parti komponen Barisan Nasional harus bersedia menerima siapa sahaja yang bakal diturunkan pada PRU nanti. Jika nama mereka ada dalam senarai calon yang dihantar oleh bahagian tetapi tidak terpilih, terimalah calon ‘payung terjun’ ini sebagai calon parti.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:40
Zohor 1:13
Asar 4:37
Maghrib 7:21
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.