saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 23/04/2013

Perangkap pluralisme agama

SAMBUNGAN wawancara wartawan Utusan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dengan Presiden Pertubuhan Muafakat Malaysia (Muafakat), ISMAIL MINA yang menjelaskan lebih lanjut tentang agenda Ketua Pembangkang dan pakatan rakyat dan masa depan Islam dan Melayu jika mereka tersilap memilih calon pada pilihan raya kali ini.

UTUSAN: Sebagai Presiden Pertubuhan Muafakat Malaysia, apa pandangan saudara mengenai senario umat Melayu dan politik? Dan apakah maslahah dan kebijaksanaan dari sudut Fikah dan Maqasid Syariah, pendirian yang patut diambil supaya umat Melayu tidak terpinggir?

ISMAIL: Keadaan umat Melayu sekarang ini, bahkan dari dulu lagi memang ada perbezaan dari segi pendekatan politik oleh dua parti besar orang Melayu. Mereka berbeza hanya dari segi pendekatan tetapi tidak berbeza dari segi inti dan matlamat politik.

Tetapi sekarang ini, terdapat parti-parti politik orang Melayu yang telah menghancurkan inti dan matlamat perjuangan politik bermaruah mereka.

Dan ada pula parti politik Melayu yang baru wujud yang tidak mempunyai cita-cita untuk memartabatkan Islam dan Melayu kerana terperangkap dalam gelung Zionis dan agenda memurtadkan orang Islam dengan fahaman liberalisme-pluralisme agama.

Atas nama reformasi dan perubahan, mereka sebenarnya mahu merubah agama Islam menjadi seperti Reformed Jews.

Hakikatnya mereka menjadi ejen pemusnah agama dan bangsa sebab itu ada kalangan golongan ini membenarkan orang Melayu Islam boleh murtad. Dalam kes Lina Joy, mereka berkata itu adalah hak dia.

Ada parti politik yang berjenama Islam pula, sanggup bersekongkol dengan parti politik yang terang-terang menentang Islam, menentang kedudukan istimewa Islam dalam Perlembagaan Malaysia sebagai agama negara. Tidakkah ia pelik?

Parti politik Melayu-Islam wajar kembali segera kepada Maqasid Syara iaitu memelihara negara dan Dinul Islam. Dalam teori dan doktrin politik Islam Sunni, kuasa politik digunakan untuk memelihara agama, perpaduan ummah dan negara. Maka untuk mencapai maksud dan cita-cita ini, pendirian yang patut diambil oleh parti politik orang Melayu ialah menghayati doktrin politik Islam Sunni.

Ahli teori politik Islam menerangkan, adalah menjadi tanggungjawab pemimpin, melalui kuasa politik, memelihara ajaran Islam itu, melalui pengurusan yang baik dan berkesan, supaya ajaran Islam tidak rosak dan ummah selamat daripada berpecah.

Sebab itu Khalifah pertama Abu Bakar RA, menggempur golongan anarkis yang mahu merosakkan kestabilan negara. Baginda Abu Bakar RA menggunakan kuasa politik mempertahankan kesatuan dan keutuhan negara. Perpecahan kalangan ummah Islam dan dalam konteks kita di Malaysia ini, berpunca daripada pelbagai faktor.

Seperti saya katakan, dahulu orang Melayu ada berpecah dalam politik tetapi bukan perpecahan dari segi inti tetapi sekarang perpecahan ini berpunca daripada fahaman yang kontra Sunah seperti dalam tubuh Pas, ada akidah Syiah, liberalisme agama, tajsim dan sebagainya. Ini yang membuat masyarakat berpecah. Maka apa yang wajib dibuat sekarang ialah kembali kepada wacana Sunni dalam semua perkara: akidah, syariat, akhlak, ilmu, epistemologi termasuklah dalam politik.

Mengapa saudara agak kritikal dengan kepimpinan Pas terutama dalam soal perpaduan ummah? Apakah secara ideologi gagasan negara Islam, faham sosialis, sekular dan faham liberalisme dan pluralisme agama boleh menjadi gandingan untuk membina negara Malaysia?

ISMAIL: Ya, beberapa rakan karib saya dan saya, memang rapat dengan pimpinan Pas terutama dengan Allahyarham Ustaz Fadhil Noor. Ramai yang tidak tahu, Ustaz Fadhil mempunyai pandangan politik yang tajam dan berpandangan jauh. Ia amat prihatin mengenai perpaduan ummah, sebab itu beliau sudi hadir dalam majlis di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang juga turut hadir Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir.

Beberapa hari sebelum program tersebut dibuat, beliau bertanya pendapat kami dan kami menyatakan persetujuan. Demikian juga dalam isu kerajaan perpaduan. Semasa hayat beliau, kami sering bertukar pandangan dan kami bersetuju dengan gagasan tersebut dan menariknya beliau turut bersetuju.

Gagasan ini, saya difahamkan turut dipersetujui oleh Majlis Syura Ulama Pas sekarang ini. Tetapi ia tidak menjadi kenyataan kerana dikatakan kena ‘veto’ oleh seseorang daripada majlis tersebut. Ini yang saya tidak faham kerana kalaulah ini syura Islam, maka wajar dipegang dan dipatuhi dan dari perspektif demokrasi pun, satu tidak boleh membatalkan majoriti.

Secara ideologi, memang tidak ada keserasian bahkan ada pertembungan antara Islam dengan ideologi sosialis, sekular dan liberalisme dan ‘pluralisme agama’ yang ada dalam pakatan pembangkang.

Dalam PKR misalnya, semua unsur tersebut ada. Ada penganut pluralisme agama, ada sosialisme dan ada sekular totok. Malah dalam Pas sendiri ada ideologi dan akidah pluralisme agama. Ada fahaman syiah, liberal dan sunah.

Jika pakatan pembangkang dapat kuasa membentuk negara, saya pasti mereka tidak akan dapat bertahan lama kerana masing-masing fahaman akan berkeras mahu melaksanakan fahaman masing-masing.

Dan dengan mengenali PKR dan DAP yang cukup licik dan dominan pada masa ini, suara Pas akan tenggelam. Jika Pas masih mahu bersama pakatan rakyat, mereka perlu menyesuaikan diri dengan ideologi PKR dan DAP.

Ini tidak mustahil, kerana sekarang pun mereka sanggup bekerjasama dalam konsep tahaluf sekular dan suara ulama sunni sudah tenggelam pun dalam Pas. Dan suara liberal dan kontra sunni semakin lantang.

Apakah saudara melihat masyarakat harus membuat pilihan yang bijak supaya Malaysia terus membangun dan Islam menjadi faktor penting dalam pembangunan Malaysia?

ISMAIL: Demi kelangsungan umat dan untuk menjayakan agenda Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, seperti yang terdapat dalam teori politik Islam Sunni - bukan Khawarij atau Syiah atau lainnya - Imam al-Ghazzali pernah berkata, kuasa politik itu amat penting.

Kuasa politik bertujuan memelihara agama yakni Islam, tanpa menganiaya dan berlaku zalim kepada penganut agama bukan Islam. Ini dilarang. Perlembagaan pun menjamin perkara itu.

Masyarakat Islam tidak boleh memilih pemimpin yang berfahaman songsang agama seperti fahaman liberalisme dan pluralisme agama dan syiah. Ini akan merosakkan ajaran Islam kerana mereka mengubah ajaran akidah dan syariat serta akhlak Islam.

Betapa tidak, mereka mewajarkan orang Islam boleh murtad dan membenarkan orang Islam berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa orang bukan Islam itu menukarkan agama mereka kepada Islam seperti kata Khalid Jaafar, tokoh penting PKR.

Syiah pula menolak hadis yang diriwayat oleh ahli sunah dan menolak segala fatwa ahli sunah. Jika parti politik yang berfahaman liberalisme-pluralisme agama dan syiah ini berkuasa, maka akan terhapuslah ajaran Islam yang sebenar.

Oleh yang demikian, adalah wajib syarie bagi masyarakat Islam, tidak memilih orang yang berfahaman liberalisme dan pluralisme agama serta berfahaman syiah menjadi pemimpin mereka atas maslahah agama.

Jika golongan liberalis-pluralis agama berkuasa, maka agenda Islam akan terbantut, malah akan terhapus, kerana fahaman agama mereka ialah semua agama sama sahaja dan Islam tidak boleh diberi keistimewaan.

Jika masih mahu memakai jenama Islam mereka akan pakai nama Islam liberal-plural seperti di Indonesia. Buku-buku Islam liberal Indonesia dah banyak diulang cetak oleh IKD sebuah organisasi yang memberi promosi kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama di Malaysia dan ada kaitan dengan tokoh politik pakatan pembangkang.

Mereka menerbitkan buku-buku seperti pluralisme agama, kahwin campur antara Muslim dan bukan Muslim yang isinya menyatakan, orang Islam boleh berkahwin dengan orang bukan Islam dan banyak lagi ajaran yang bercanggah dengan Islam Sunni. Maka pilihan yang ada pada masyarakat Islam ialah memilih pemimpin dan kumpulan politik yang membela Sunnah Waljamaah dan menolak golongan liberalis-pluralisme agama.

Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai contoh, pernah buat kenyataan terbuka, menolak fahaman pluralisme agama tapi saya tak dengar ada kenyataan macam itu oleh Anwar dan kawan-kawannya. Jakim pula buat banyak aktiviti yang bertujuan untuk memperkukuhkan kefahaman masyarakat kepada Islam Sunni dan tidak dihalang oleh kerajaan bahkan menjadi agenda kerajaan.

Contoh paling klasik ialah polisi kerajaan sekarang, membantu pusat pendidikan Islam pondok yang selama ini terpinggir bahkan akan diwujudkan Universiti al-Quran.

Polisi kerajaan yang seperti inilah yang diharapkan oleh masyarakat Islam, bukan polisi yang mahu memesong dan merosakkan ajaran Islam seperti fahaman liberalisme dan pluralisme agama dan syiah itu. Maka pilihan masyarakat Islam ialah menyokong kepimpinan yang membela Sunah Waljamaah. Tidak selainnya. Ini menepati Maqasid Syara iaitu hifzuddin atau memelihara agama Islam.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:23
Maghrib 6:59
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.