saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 28/04/2013

Saya kaji bukan fitnah

MINGGUAN: Bagaimana analisis Dr. terhadap aliran fahaman yang terdapat dalam Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat dalam hari-hari terakhir sebelum mengundi?

SIDEK: Aliran fahaman atau ideologi sesuatu parti amat penting dianalisis dalam memilih kerajaan masa depan. Barisan Nasional (BN) telah sekian lama memerintah dalam realiti masyarakat majmuk yang rumit. UMNO sebagai teras BN telah berjaya membawa negara ini bergerak maju dengan pertumbuhan ekonomi yang baik, pembangunan sistem pendidikan yang peka terhadap perubahan, kemudahan prasarana yang moden, menyantuni golongan miskin dan menjadikan Islam berkembang dalam institusi dan organisasi. Aku janji yang dibentangkan membayangkan kesinambungan rekod yang lalu. Kelemahan tetap ada tetapi proses pembaikan dan pengukuhan tetap terjadi. Aliran fahaman yang terdapat dalam Pakatan Rakyat pelbagai. DAP dengan aliran sosialis demokratnya ditunjangi faham sekular "sama rata sama rasa" ingin menghasilkan negara berorientasikan Konsep Malaysian Malaysia. Pas ingin membentuk sebuah negara Islam berasaskan hukum Islamiah. PKR melalui perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ingin membangunkan sebuah negara liberal yang berasaskan pluralisme agama. Ketiga-tiga orientasi ini sifatnya saling bercanggah. Kepintaran Anwar, Pas berjaya dipengaruhi menerima konsep negara berkebajikan dan sering dikritik oleh akar umbi. Sekali-sekala terdengar Haji Hadi, Nik Aziz, Dr. Haron Din muncul dengan kenyataan Pas tetap perjuangkan hudud dan negara Islam. Ia segera disanggah oleh Karpal Singh. Karpal Singh pernah berkata "langkah mayat saya dulu" kalau ingin laksanakan hudud dan negara Islam.

Anwar dengan faham pluralisme agamanya memperjuangkan kalimah Allah boleh digunakan dalam versi Bahasa Melayu Bible sementara Majlis Syura Pas berpendirian sebaliknya. Antara faktor syarak dan politik, faktor politik diletakkan paling atas oleh Anwar. Ia adalah sesuatu yang amat mendukacitakan kerana persoalan kalimah Allah berkait dengan persoalan akidah. Dr. Haron Din menyatakan ia akan tetap mempertahankan kalimah Allah sehingga ke akhir hayat. Isu kalimah Allah pada hemat saya bukannya isu biasa dan terpencil. Kalimah Allah memiliki makna dan hakikat yang amat tersendiri dalam Islam. Lebih-lebih lagi senario gerakan evangelis amat aktif di rantau alam Melayu maka implikasi jangka panjang boleh terjadi terhadap generasi muda Islam. Membentuk sebuah kerajaan paling tidak memerlukan asas-asas fundamental yang sama terutama dalam konteks Malaysia berasaskan perlembagaan yang ada seperti isu hak istimewa orang Melayu, Bahasa Melayu dan Islam. Faktor merit dan kaitannya dengan faktor sosio-ekonomi dalam memahami dan menterjemahkan maksud keadilan dan hak asasi manusia, isu raja dan kesultanan, isu-isu lain yang penting untuk memperkasa umat Melayu di samping ruang yang seimbang untuk masyarakat bukan Melayu berperanan untuk memajukan dirinya sekali gus membangun Malaysia. Dalam manifesto Pakatan Rakyat perkara di atas tidak jelas tetapi dalam aku janji BN ia jelas. Kejelasan aku janji ini boleh menjadi asas kesinambungan yang baik untuk Malaysia terus maju dan berubah dalam acuannya sendiri.

Mengapa soal integriti atau kewibawaan menjadi faktor penting dalam pilihan raya? Apakah faktor kesinambungan penting dalam membangun sebuah kerajaan?

SIDEK: Memang faktor integriti dan kewibawaan penting dalam kepimpinan sesebuah parti politik. Kepimpinan harus bersifat amanah dan telus. Terdapat sesetengah tokoh politik yang dipalitkan dengan masalah kredibiliti yang serius. Selalunya bila ini terjadi dalih dan helah serta alasan yang diberi tidak meyakinkan. Pemimpin harus telus membersihkan diri kerana ia pemimpin. Kalau pemimpin dilingkari isu moral yang tidak selesai sukar dirinya untuk melakukan kepimpinan dalam negara kerana masalah yang ada padanya menyebabkan masalah besar kepada kepimpinan negara nanti.

Oleh itu isu integriti mempunyai kaitan rapat dengan asas kesinambungan yang perlu ada dalam proses bina negara. Aku janji BN mempunyai asas bahawa kesinambungan adalah sesuatu yang penting dalam membangun kekuatan ekonomi, kecemerlangan pendidikan, kepekaan terhadap pembangunan sosial, pemodenan infrastruktur, menjadikan patuh-syariah terus berkembang dalam tijarah, muamalah, industri halal, sukuk dan waqaf supaya Malaysia mampu dijadikan rujukan dan model kepada pihak-pihak lain. Tidak timbul masalah regime change atau pertukaran kerajaan mengambil semangat Arab Spring. Situasi dan keadaan di Malaysia jauh lebih berkembang ekonominya, aman dan stabil negaranya, pendidikannya yang maju, peluang pekerjaan yang banyak akibat pengurusan yang berintegriti dan prorakyat.

Baru-baru ini Dr. mengeluarkan kenyataan yang mengejutkan banyak pihak terhadap Anwar. Tentu banyak kerenah dan fitnah mengenainya yang terpaksa dihadapi. Apa sikap Dr. terhadap perkara ini?

SIDEK: Dalam kes pertama Anwar serta pengalaman saya dalam ISA, pendirian saya terhadap Anwar tidak berubah. Kes kedua yang melibatkan Saiful Azlan Bukhari saya mula bertanya selepas menerima maklumat asas. Saya lakukan pertemuan, kajian dan penelitian kepada bekas pegawai khas, penasihat agama, setiausaha sulit dan peribadi, setiausaha politik dan orang politik, Ketua Pemuda Keadilan dan para peguam, rakan-rakan rapat yang pernah bersama dengannya dan ramai lagi. Hasil kajian itu menyebabkan saya mengambil kesimpulan bahawa Anwar mempunyai masalah kredibiliti atau kewibawaan terutama atas isu pluralisme agama, hubungan dengan pihak luar dan kredibiliti diri. Walaupun isu zina dan liwat tidak saya sebut ia adalah urusan Anwar dengan Allah kerana saya yakin Allah Maha Mengetahui apa yang terjadi.

Seperti biasa pendirian yang saya ambil mendapat dukungan yang baik dan fitnah serta mehnah yang serius dalam kalangan sesetengah pihak tanpa usaha bertanya saya mengenai kajian yang saya lakukan. Saya dilatih dalam tradisi ilmu dan dakwah. Dakwah memberi pedoman kepada saya supaya mempunyai maklumat yang cukup sebelum mengambil pendirian. Ramai dalam kalangan kawan-kawan khususnya dalam ABIM mengkritik pendirian yang saya ambil. Prinsip yang saya pegang ialah ambil tahu mengenai sesuatu yang kita patut tahu, Apabila kita tahu harus beritahu kepada yang tidak tahu dalam kadar yang munsabah. Terdapat di kalangan kawan-kawan bersifat "mati-rasa" walaupun latar akademik dan prosfesionalnya tinggi membina sifat taksub dan tidak terbuka untuk bertanya. Seolah-olah tokoh yang mereka puja adalah "maksum" dan tidak ada cacat-celanya.

Mereka tuduh saya melacur diri, digunakan oleh pihak lain, menerima imbuhan bulanan RM15,000 setiap bulan, menerima tanah dan jualkan kepada tauke Cina, melobi untuk mendapatkan jawatan rektor universiti , melakukan konspirasi yang tidak pernah wujud dan banyak lagi. Malah isteri saya bersilih hari menerima kecaman yang tidak sepatutnya malah ada yang mendoakan saya jatuh terbujur kerana sikap yang saya ambil. Alhamdulillah semangat saya masih kuat untuk menyatakan kebenaran kerana apa yang dituduh itu semuanya fitnah belaka. Saya seorang pendakwah, seluruh fitnah yang dilontarkan kepada saya, saya maafkan mereka kerana sesungguhnya mereka tidak tahu. Saya tidak mahu fitnah ini bakal membawa kita ke kubur dan terus berdoa supaya kebenaran akhirnya akan tegak.

Ada orang yang mempertikaikan perjuangan untuk memperkasa umat Melayu sebagai asabiah, rasis atau perkauman. Ada juga pihak melontarkan fitnah kerajaan tidak berbuat sesuatu untuk Islam. Bagaimana Dr. melihat hal ini?

SIDEK: Isu Melayu atau umat Melayu ini tidak ditangani secara adil. Ia menjadi slogan politik yang menyebabkan pemikiran orang Melayu berpecah dan bercelaru. Politik sindrom malu menyebut Melayu ini bercanggah sama sekali dengan proses budaya dan tradisi sejarah perubahan Melayu. Proses perubahan orang Melayu dengan asas akidah, ibadah, syariah dan akhlaknya berlaku dalam tempoh yang lama. Akibat dakwah dan tarbiah berlaku pencerahan dalam tasawur dan cara hidup. Tingkat penghayatan umat Melayu tentunya berbeza-beza. Oleh itu amat tidak adil memberi sempadan yang tajam antara Melayu dan Islam sehingga menjadikan orang Melayu rendah diri dan serba salah menyebut diri sebagai Melayu dan apa perkara yang berkaitan dengan Melayu. Perjuangan Pas di peringkat awal juga memperjuangkan bangsa, agama dan negara. Abu Bakar Bakir, Burhanuddin al Helmi dan Zulkifli Muhammad pemikiran politik mereka terbina atas asas Melayu dan Islam. Hal yang sama juga berlaku kepada UMNO memperjuangkan hal-hal bangsa, agama dan negara. Cuma selepas revolusi Iran (1979) dan kemasukan Anwar (1982) Pas mengambil sikap yang lebih radikal menuduh kemasukan Anwar dalam UMNO tidak syarie dan terdapat ahlinya menuduh Anwar kafir.

Melayu sebagai suatu bangsa adalah ciptaan Allah adalah suatu fitrah (Al Hujurat:13). Rasulullah SAW amat suka kepada Kaum Quraish dan ia suatu fitrah. Ibnu Khaldun dalam kitabnya al Muqaddimah memberi kupasan bahawa asabiah atau nasionalisme yang tidak menzalimi orang lain adalah dibenarkan. Contoh konkrit yang ada pada orang Melayu ialah perjuangan memartabat bahasa Melayu dalam sistem ilmu dan pendidikan adalah tidak bercanggah dengan Islam kerana terdapat ribuan istilah al-Quran seperti amanah, rahmah, nimah, adil, solat, doa, ikhlas, dakwah, masyarakah terdapat di dalam bahasa Melayu. Melayu yang sudah ditindikkan dengan akidah tauhid, ibadah yang luas skopnya, syariah yang menjadi panduan urusan perbankan, taqaful, sukuk, waqaf, usaha halalan tayyiba dan banyak lagi adalah testimoni kerajaan memberi ruang yang sangat luas untuk Islam berkembang. Hakikatnya yang benar katakan benar. Yang salah disantuni dengan dakwah dan nasihat. Jangan jadi manusia yang terikut-ikut bertugas diinstitusi dan organisasi Islam tetapi masih tidak menerima hakikat bahawa kerajaan melakukan sesuatu untuk Islam. Ia adalah tidak adil.

Dalam membuat pemilihan bijak dalam PRU-13 apa pertimbangan Dr. supaya pilihan terhadap kerajaan adalah sesuatu yang wajar dan tepat?

SIDEK: Pertama, rekod pencapaian yang ada pada kerajaan terdahulu dari sudut perancangan dasar dalam aplikasi pembangunan dan perubahan. Kedua, memiliki dasar yang jelas membantu kelompok umat Melayu supaya ditingkatkan pegangan (ekuiti) dan penguasaannya supaya terus maju dalam ekonomi, pendidikan dan sosial di samping memberi ruang yang memadai untuk orang bukan Melayu berpartisipasi.

Ketiga, ada ruang untuk Islam berperanan dalam erti kata yang luas. Islam bukan sekadar agama yang menampilkan syiar dan ritual semata. Islam harus diterjemahkan sebagai sumber dalam sistem dan tamadun. Ia berlaku pada masa yang lalu dan menuntut pengukuhan pada masa depan. Keempat kita memerlukan sebuah kerajaan yang bersedia melakukan tajdid atau transformasi supaya kita mengambil kira faktor setempat, negara dan dunia dan mengambil manfaat berbanding dari Barat dan Timur untuk diolah ke dalam acuan kita sendiri iaitu acuan Malaysia yang berasaskan etika dan nilai.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:19
Asar 4:34
Maghrib 7:25
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.