saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 26/05/2013

BISIK - BISIK AWANG SELAMAT

BN menanglah...

TAJUK tersebut sudah membawa mesej jelas bahawa BN telah pun diberi mandat oleh rakyat pada PRU-13.

Menang tetap menang. Apatah lagi kemenangan itu diiktiraf dan diperakukan oleh para pemerhati antarabangsa.

Awang ulangi BN menang. Maka usahlah segan-segan dan menyorokkan kepala apabila terus diserang oleh pakatan pembangkang yang gagal membentuk kerajaan pusat.

Bangkitlah melawan segala tohmahan. Jangan biarkan kelompok yang kalah kelihatan menang.

Awang harap semua pemimpin BN termasuk menteri dan menteri besar serta ketua menteri lebih agresif mempertahankan kemenangan.

Lebih-lebih lagi sayap parti, janganlah pasif.

Tampillah dengan lebih menyakinkan untuk menjawab gelombang penipuan dan manipulasi pembangkang terutama DAP dan PKR, yang sudah melampau.

Sampai bila mahu mengharapkan pemimpin-pemimpin badan bukan kerajaan (NGO), ahli-ahli akademik dan pihak-pihak yang pro BN untuk menjadi perisai?

Awang harap sangat para pemimpin pelapis dan muda BN memperbaharui iltizam melawan pembangkang apatah lagi ketika parti dan kerajaannya diasak habis-habisan.

Mahu jawatan dan kedudukan tetapi mengambil jalan selamat dalam karier politik. Dalam perjuangan, belajarlah mengambil risiko dan bersedialah untuk bermandi lumpur.

Sejak keputusan PRU-13 pada 5 Mei lepas, Awang naik bosan melihat sindrom senyap dan malu.

Hanya segelintir pemimpin BN ke hadapan sementara yang lain menyerahkan kepada Perdana Menteri, Najib Tun Razak dan timbalannya, Muhyiddin Yassin memikul beban.

Sikap sedemikian hanya memberi isyarat yang salah dan mengelirukan kepada majoriti rakyat yang telah memberi mandat kepada BN.

Selain inilah masa untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat semua kaum dan menunaikan segala janji, inilah juga masa untuk tampil lebih lantang, yakin dan sistematik dalam menyanggah pembangkang.

Lebih-lebih lagi kepada UMNO. Inilah masa untuk bersama-sama Najib membawa kebangkitan baharu. Hargailah sokongan orang Melayu dengan menggilap perjuangan UMNO dan memperkukuhkan lagi perpaduan dalam parti. Tetapi sebelum itu tolong bangkit pertahankan kemenangan ini. Inilah masanya. Tolonglah...

Harapan baharu

PERUBAHAN teraju kepimpinan negeri Kelantan daripada Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Ahmad Yaakob telah menampakkan bibit-bibit positif kepada rakyat negeri itu.

Ahmad mengamalkan politik yang rasional. Pendekatannya terbuka dan beliau nampaknya ada keyakinan untuk membawa perubahan kepada negeri tersebut. Harapan baharu buat rakyat Kelantan.

Awang yakin Ahmad akan memberi lebih tumpuan kepada isu kemunduran, masalah air dan banyak lagi yang gagal diselesaikan oleh Nik Aziz.

Rakyat Kelantan sudah lama dibelenggu dengan pelbagai masalah dan kepincangan kerajaan negeri, yang antara faktor utamanya adalah kelemahan kepimpinan.

Dalam pada itu, Awang harap semua pihak dalam Pas terutama Husam Musa dapat menerima dengan baik pelantikan Ahmad sebagai Menteri Besar. Berilah sokongan kepada beliau dan peluang untuk membuktikan kebolehannya.

Jika BN boleh mengiktiraf kemenangan Pas di Kelantan disamping pelantikan Ahmad, sepatutnya Husam sebagai orang Pas, perlu lebih menyokong.

Kepada kerajaan Pusat, biarpun telah banyak sumbangan termasuk peruntukkan kewangan yang diberikan kepada negeri itu selama ini, perhebatkan lagi.

Rakyat negeri itu perlukan lebih pembelaan tidak kira apa sekalipun ideologi politik. Keputusan PRU-13 bukan kekangan untuk kerajaan BN meneruskan komitmen lebih kental membantu kerajaan Pas apatah lagi dengan semangat muafakat yang diperlihatkan oleh Ahmad.

Awang sangat teruja untuk melihat limpahan pembangunan di negeri itu demi rakyat Kelantan. Semoga ia akan membawa titik tolak baharu.

Pertahan Pas

KETUA Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar, entah atas arahan siapa agaknya, menyelar Presiden Pas, Hadi Awang.

Pada Kongres PKR kelmarin, beliau mempersoalkan pemimpin Pas itu mencerca calon PKR dan meletakkan calon di kawasan PKR.

Rumah siap, pahat berbunyi. Sepatutnya PKR tidak melakukan serangan terbuka ke atas Hadi jika menghormati parti sekutu itu.

Awang kasihan nasib Pas yang selalu dibuli oleh DAP dan PKR. Nilai Pas tidak ubah sekadar memenuhi ceramah DAP dan PKR selain memanjat pokok memasang bendera kesemua parti pakatan.

Sudahlah Pas tidak diberi peluang menjadi exco di Pulau Pinang dan dinafikan hak mengisi jawatan Menteri Besar di Selangor oleh sekutu-sekutunya, ada pula suara sumbang mengungkit cerita lama.

Biarpun tidak diminta oleh Hadi, Awang ingin mempertahankan Pas dalam isu tersebut. Selaku pemimpin Pas, Hadi ada hak untuk menyuarakan kepentingan partinya.

Janganlah mengambil kesempatan dengan ada puak dalam Pas yang menyokong kuat Anwar Ibrahim maka PKR boleh besar kepala.

Awang tahu suara Shamsul daripada mana kerana beliau bukan jenis yang berani jika tidak disuruh oleh tuannya.

Tsunami Cina

SALAH satu daripada banyak faktor yang membuktikan berlaku tsunami Cina pada PRU-13 adalah jumlah majoriti undi lebih tinggi yang diperolehi ramai pemimpin DAP.

Walaupun sebahagian pemimpin DAP diketahui tidak memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk di kawasan mereka, itu bukan masalah untuk menang besar.

Dua puluh majoriti tertinggi bagi kerusi Parlimen dikuasai oleh DAP kecuali satu kerusi BN iaitu Pekan (kedudukan ke-9).

Antara tertinggi Teresa Kok (Seputeh 51, 552 undi), Sim Chee Keong (Bukit Mertajam 43, 063), Ong Kian Ming (Serdang 42,206), Tony Pua (Petaling Jaya Utara 41, 672) dan Dr. Tan Seng Giaw (Kepong 40, 307).

Dengan kata lain, DAP bukan sahaja menang lebih banyak kerusi Parlimen (38) malah majoriti undi lebih tinggi. Kejayaan DAP membakar sentimen Cina ke tahap luar biasa terutama melalui penipuan dan fitnah pasukan sibernya, Red Bean Army, turut menyaksikan jumlah keluar mengundi kaum itu begitu melonjak berbanding kaum lain.

Awang bangkitkan hal ini kerana para pemimpin DAP sampai hari ini sibuk berkungfu menafikan berlaku tsunami Cina, sebaliknya mendakwa ia kononnya tsunami semua kaum.

Sebenarnya DAP takut dilihat sangat rasis walaupun itu hakikatnya, umpama runcing tanduk berbelang kuning.

Parti tersebut juga, meskipun menang banyak kerusi masih gagal menumbangkan kuasa politik Melayu seperti dijanjikan kepada masyarakat Cina.

Sebab itu, DAP terus menghasut orang Cina membantah keputusan PRU-13 bagi mengalihkan isu kegagalannya. Menyedihkan, masih ramai orang Cina terus dibuai dengan hasutan parti berkenaan biarpun rakyat telah membuat keputusan dalam PRU-13. Ini termasuk majoriti kaum itu yang menguasai siri perhimpunan pakatan pembangkang kebelakangan ini. Apakah itu bukan kesan tsunami Cina?

Guan Eng popular?

PRU-13 menyaksikan Setiausaha Agung, Lim Guan Eng bukanlah calon paling popular dalam kalangan penyokong parti itu.

Ini berdasarkan majoriti undi yang beliau peroleh berbanding beberapa tokoh DAP yang lain.

Bagi kerusi Parlimen, beliau mencatat 34,159 majoriti undi iaitu ke-9 tertinggi.

Pencapaian itu di bawah paras Teresa Kok, Sim Chee Keong, Ong Kian Ming, Karpal Singh, Tony Pua, Dr. Tan Seng Giaw, V. Sivakumar dan Tan Kok Wai.

Bagi kerusi DUN, Guan Eng yang bertanding di kerusi Air Putih Pulau Pinang memperoleh 7,744 majoriti undi. Lihat pula beberapa pemimpin DAP seperti Hannah Yeoh, Ean Yong Hian Wah, Teng Chan Kim, Ng Sze Han, Tiew Way Keng yang mencecah puluhan ribu dan belasan ribu.

Di Pulau Pinang sendiri, tak silap Awang, tujuh calon DUN DAP mengatasi Guan Eng.

Paling tinggi Phee Boon Poh (Sungai Puyu 1,207), Law Heng Kian (Batu Lancang 15, 364) dan Chong Eng (Padang Lalang 14, 930).

Walaupun bersandarkan jawatan Ketua Menteri selain Setiausaha Agung parti, prestasi peribadi beliau tidaklah sehebat mana.

Jika itu dijadikan ukuran, beliau bukanlah umpama tokong sebagaimana tanggapan banyak pihak. Dengan kata lain, Dinasti Lim juga bukan jaminan Guan Eng kebal di persada kuasa parti.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:20
Asar 4:35
Maghrib 7:26
Isyak 8:37



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.