saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 28/06/2013

14 cabaran BN menjelang PRU-14

PILIHAN Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang berlangsung pada 5 Mei lalu merupakan ujian yang amat getir untuk Barisan Nasional (BN). Walaupun BN sekali lagi menerima mandat daripada rakyat dan berjaya membentuk kerajaan, suara-suara sumbang masih lagi kedengaran dari kem pakatan pembangkang yang enggan mengiktiraf pilihan rakyat.

Serangan demi serangan dilancarkan pakatan pembangkang terhadap BN menerusi penganjuran siri perhimpunan haram di seluruh negara yang diterajui oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kebiadapan pemimpin dan penyokong pakatan pembangkang mencabar kesabaran kerajaan yang memerintah bukan fenomena baharu.

Mereka semakin berani mempertikaikan perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan terutamanya kedudukan agama Islam, institusi diraja dan hak istimewa orang Melayu. Malah, segelintir orang Melayu yang lupa daratan turut bersekongkol menjayakan agenda menghapuskan ketuanan Melayu di tanah air sendiri. Sesiapa sahaja yang bersuara lantang mempertahankan hak orang Melayu termasuk Utusan Malaysia pasti menjadi sasaran serangan mereka.

Kelmarin, Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) dengan kerjasama Utusan Malaysia telah menganjurkan sesi perbincangan meja bulat yang bertemakan 'Cabaran Dalam Menghadapi PRU-14... Kelangsungan Politik Bangsa' di Ibu Pejabat Mubarak di Bangunan UMNO Lama, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Perbincangan yang julung-julung kali diadakan itu dipengerusikan oleh Presiden Mubarak, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.

Mubarak turut diwakili oleh Datuk Abdul Rahman Ibrahim (Setiausaha Agung); Datuk Abdul Rahman Sulaiman (Ketua Penerangan); Tan Sri Abdul Aziz Samsudin (Ahli Majlis Tertinggi). Peserta-peserta lain dalam perbincangan yang berlangsung selama hampir tiga jam itu ialah bekas Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd. Said; Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Shamsul Adabi Mamat.

Yang lain pula ialah pensyarah Pusat Pengajian Umum dan Bahasa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Madya Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah; Perunding, Pusat Kajian Dasar Malaysia, Datuk Mohamed Dahan Abdul Latiff dan pemimpin-pemimpin pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Utara Malaysia (UUM) serta Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Antara rumusan menarik untuk diketengahkan hasil perbincangan tersebut ialah 14 cabaran yang perlu ditangani BN dan UMNO bagi menghadapi PRU-14. Kesemua cabaran terbabit tidak boleh diambil mudah kerana kegagalan BN menanganinya seolah-olah memberi laluan mudah kepada pakatan pembangkang untuk mendominasi persiapan dan kempen menjelang PRU-14.

Cabaran pertama: Menarik sokongan pengundi di kawasan bandar.

Usaha mengembalikan keyakinan pengundi bandar yang majoritinya kaum Cina mesti dipergiatkan. Gejala perpecahan pengundi Melayu di beberapa kawasan Parlimen seperti Shah Alam dan Pandan juga hendaklah diatasi. Gerakan pemindahan pengundi antara kawasan Parlimen dikesan berlaku di bandar menjelang PRU-13. Persoalannya, adakah pengundi yang membuat permohonan tukar alamat pada daftar pemilih SPR benar-benar berpindah ke alamat baharu? Bagi mengelakkan keraguan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) diminta memperketatkan prosedur pertukaran alamat pada MyKad seperti mewajibkan pemohon mengemukakan dokumen sokongan seperti bil air dan elektrik.

Cabaran kedua: Melawan fitnah yang ditaburkan pakatan pembangkang menerusi media sosial.

Rata-rata peserta perbincangan meja bulat mengakui tentera siber pakatan pembangkang berteraskan kekuatan 'Red Bean Army' yang didalangi DAP sangat komited menyebarkan fitnah terhadap kerajaan dan BN. Ada yang berpandangan, BN tewas dalam medan peperangan media sosial. Dari sudut positif, faktor itu disebabkan budaya fitnah tidak wujud dalam BN.

Namun, tentera siber BN tidak boleh sekadar mengambil pendekatan bertahan dan hanya memberi penjelasan terhadap fitnah yang disebarkan pembangkang di media sosial. Serangan balas hendaklah dilancarkan dan BN seharusnya mewujudkan unit media baharu di setiap negeri malah sekiranya boleh, di setiap bahagian. Jentera yang terlibat dalam peperangan siber hendaklah tersusun, terlatih, komited dan berpengetahuan.

Cabaran ketiga: Kegiatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) propembangkang yang aktif dan teratur.

BN tidak boleh memandang sebelah mata terhadap peranan yang dimainkan oleh NGO propembangkang termasuk Suaram dan Bersih. Dakyah-dakyah yang disebarkan NGO-NGO terbabit bertujuan mengikis keyakinan rakyat terhadap BN dan SPR. Lebih membimbangkan, ada di antara NGO propembangkang menerima dana asing untuk membiayai kegiatan mereka. Malangnya, tiada peruntukan undang-undang yang boleh digunakan bagi mengawal penyaluran dana asing kepada NGO di negara ini.

Cabaran keempat: Penyaluran dana asing kepada parti politik pembangkang.

Banyak negara di dunia mewajibkan parti-parti politik mengisytiharkan jumlah dana asing yang diterima namun tidak pasti sama ada peraturan serupa diamalkan di Malaysia. Parti politik mesti telus dalam perkara ini agar pengundi boleh membuat pertimbangan sewajarnya. Mungkin pihak asing yang memberi dana itu ada kepentingan tersembunyi. Sekiranya parti politik yang menerima dana asing diberi mandat untuk memerintah, kerajaan yang dibentuk pasti terpaksa tunduk kepada telunjuk pihak luar.

Cabaran kelima: Persepsi negatif terhadap media arus perdana.

Dalam hal ini, Utusan Malaysia yang lantang mempertahankan Perlembagaan Persekutuan sejak 2008 dijadikan sasaran utama oleh pakatan pembangkang. Mereka cuba menjatuhkan kredibiliti Utusan Malaysia dengan melabelkannya sebagai akhbar penyebar fitnah dan pembohongan serta bersifat perkauman. Kempen memburukkan nama Utusan Malaysia turut melibatkan media propembangkang.

Utusan Malaysia tidak gentar meneruskan perjuangan walaupun diancam dengan tindakan saman oleh pembangkang. Salah seorang peserta perbincangan turut menyarankan agar media arus perdana mengelakkan laporan berunsur spekulatif bagi mengembalikan keyakinan pembaca terutamanya golongan muda.

Cabaran keenam: Pakatan pembangkang lebih agresif dalam usaha menambah pengundi baharu.

Sepanjang Mei 2013, pendaftaran pengundi baharu oleh parti-parti komponen BN adalah sebanyak 516 orang (UMNO-449, MCA-43 dan MIC-24). Bilangan 524 pengundi baharu yang didaftarkan oleh DAP sahaja sudah mengatasi prestasi BN. Itu belum dicampur dengan pencapaian Pas dan PKR yang masing-masing mendaftarkan sebanyak 110 dan 65 pengundi baharu. Kesimpulannya, BN mesti mempergiatkan gerak kerja mendaftar pengundi baharu kerana kumpulan ini diunjurkan mempunyai peratusan yang tinggi dalam demografik pengundi PRU-14.

Cabaran ketujuh: Menarik pengundi atas pagar.

Antara 20 hingga 30 peratus pengundi di setiap kawasan Parlimen mengambil sikap berkecuali dengan tidak cenderung memihak kepada mana-mana parti. Bilangan pengundi atas pagar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih rendah, dianggarkan sekitar 10 hingga 15 peratus. Di kawasan bandar, pengundi atas pagar lazimnya membuat keputusan berdasarkan isu nasional manakala di kawasan luar bandar, keputusan mereka lebih dipengaruhi oleh isu peribadi.

Cabaran kelapan: Komitmen tinggi ejen tempat mengundi, ejen mengira undi dan ejen barong (PACABA) pakatan pembangkang.

PACABA pakatan pembangkang memainkan peranan yang agresif pada hari mengundi PRU-13. Mereka didakwa terlibat dalam menjayakan tohmahan warga Bangladesh keluar mengundi. Komitmen wakil-wakil BN dalam perkara ini dikatakan masih jauh ketinggalan berbanding pesaing mereka daripada pakatan pembangkang.

Cabaran kesembilan: Mendekati generasi Y yang berumur 21 tahun ke atas di kampus.

Pakatan pembangkang lebih hampir dengan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan mereka menganjurkan banyak program tidak formal bagi mencapai matlamat itu. Pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang dilihat lebih mesra mahasiswa dan tidak terlalu terikat dengan protokol. Mereka sanggup bersembang dengan pelajar-pelajar IPT tempatan di warung-warung tepi jalan secara terbuka. Pemimpin-pemimpin BN pun menggunakan pendekatan serupa tetapi bilangan mereka boleh dibilang dengan jari. Turut dibangkitkan ialah kecenderungan BN menggunakan khidmat pelajar-pelajar universiti luar negara untuk berkempen sedangkan peranan pelajar-pelajar IPT tempatan dipinggirkan.

Cabaran ke-10: Mendekati jemaah masjid dan surau.

Sekali lagi, Pas mengatasi UMNO dalam cabaran ini. Kesannya, orang Melayu dan umat Islam yang sering mengimarahkan masjid dan surau lebih cenderung menyokong pakatan pembangkang.

Cabaran ke-11: Pengedaran akhbar-akhbar parti pembangkang iaitu Harakah, Suara Keadilan dan Roket tanpa sekatan.

Orang ramai bebas membeli ketiga-tiga akhbar terbabit di pasaran walaupun permit pengedaran dihadkan dalam kalangan ahli parti sahaja. Selain itu, pakatan pembangkang giat mengedarkan risalah-risalah politik kepada orang ramai secara berterusan.

Cabaran ke-12: Portal media 'online' oleh pakatan pembangkang dan NGO propembangkang.

Lambakan portal media 'online' propembangkang turut meningkatkan kegiatan menghentam kerajaan dan BN. Pengundi muda lebih gemar mendapatkan maklumat daripada media baharu ini walaupun laporannya tidak dapat ditentukan kesahihannya.

Cabaran ke-13: Pertambahan kawasan baharu.

Pakatan pembangkang tidak mahu kaedah persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dilaksanakan SPR sejak merdeka dikekalkan. Mereka tetap membantah walaupun persempadanan semula mesti dilakukan seperti yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan. Usaha ini dijangka menghadapi kesukaran memandangkan BN tidak menguasai majoriti dua pertiga di Parlimen.

Cabaran ke-14: Usaha menjatuhkan kredibiliti institusi awam.

Tiga institusi yang sering dijadikan sasaran serangan pakatan pembangkang ialah SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Apabila rakyat khususnya bukan Melayu hilang keyakinan terhadap institusi berkenaan, mereka tidak lagi mempercayai kerajaan. Serangan dijangka lebih hebat menjelang PRU-14.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:18
Maghrib 7:00
Isyak 8:10



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.