saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 15/07/2013

Penghinaan pada Ramadan, berulang, berterusan

APAKAH juadah berbuka anda hari ini? Bubur lambuk, ayam golek, nasi Arab, ikan patin atau sekadar kuih muih. Di mana anda berbuka? Di rumah, di pejabat, di restoran atau di hotel? Biar apa pun menu berbuka anda pada petang ini dan di mana sahaja lokasi berbuka, sudah tentu perkara utama yang diberikan perhatian ialah soal makanan yang halal, selamat dimakan serta tidak memudaratkan kesihatan. Perkara ini sememangnya dalam pengetahuan umat Islam.

‘‘Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas. Namun di antara keduanya ada perkara-perkara yang syubhah (yakni samar-samar antara halal dan haram), yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia (sama ada halal atau haram)"- Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Makanan dan minuman yang haram tentulah seperti babi dan minuman keras.

Orang Islam malahan bukan Islam terutama di negara seperti Malaysia tentu faham perkara ini. Dalam soal makan dan minum, umat Islam amat menjaga halal haram ini. Walaupun ada ‘seorang dua’ yang tergelincir minum minuman keras, tetapi bab makan, mereka cukup berhati-hati supaya tidak termakan babi. Sikap berhati-hati ini akan lebih diberi perhatian ketika berada di luar negara. Bagi mereka yang menjalankan perniagaan makanan juga perlu menitik beratkan soal halal haram ini.

Malangnya masih ada segelintir manusia yang sama ada sengaja atau buat-buat tidak tahu mengenai perkara ini. Mereka tidak sensitif dengan halal haram dalam Islam. Mereka yang tidak bersekolah atau tidak belajar pun tahu membezakan halal haram. Tidak mungkin orang bukan Islam di negara ini tidak mengetahui orang Islam tidak boleh memakan daging babi. Malangnya, kadangkala ada yang belajar tinggi-tinggi tetapi fikiran mereka sempit. Maka tercetuslah idea pasangan bukan Islam Alvin Tan Jye Yee dan Vivian Lee yang mempersendakan bulan Ramadan ini melalui akaun Facebook. Mesej dalam Facebook itu berbunyi Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh...wangi, enak dan menyelerakan.

Ucapan selamat berbuka puasa itu memang baik tetapi bukannya dengan makanan haram - bak kut teh atau sup tulang babi. Lebih parah lagi dengan menyertakan logo halal. Babi memang haram tetapi dilabelkan halal pula. Apakah perkataan yang sesuai dilabelkan terhadap perbuatan ini? Kurang ajar atau biadab? Perbuatan ini jelas mempersendakan Islam. Mereka secara jelas tidak menghormati kaum dan agama lain sehingga jika tidak dibendung boleh menjejaskan hubungan antara kaum di negara ini.

Mereka juga mempermainkan logo halal yang menjadi panduan umat Islam untuk menentukan penyediaan makanan di sesebuah premis atau keluaran pihak pengeluar benar-benar halal. Adakah selepas ini, akan ada pihak yang sengaja menggunakan logo halal terhadap barangan keluaran mereka yang sebenarnya tidak halal?

Kenapa persendaan seperti ini masih berlaku dalam sebuah negara yang majoritinya penganut Islam? Adakah undang-undang kita terlalu longgar atau hukuman yang dikenakan terlalu ringan iaitu sekadar ‘memberi amaran keras’? Mungkin undang-undang yang ada sekarang tidak mampu mengajar anggota masyarakat kita untuk menghormati agama Islam. Mungkin juga pendidikan kita gagal menjelaskan isu-isu berkaitan menghormati Islam kepada bukan Islam sejak di bangku sekolah.

Umat Islam pada setiap masa diperintah supaya memakan hanya yang halal. Pentingnya pemakanan halal ditekankan melalui firman Allah SWT dalam al-Quran.

Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu - Surah al-Baqarah ayat 168

Begitu juga dengan firman Allah yang bermaksud:

Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepada mu, dan bertawaklah kepada Allah yang kamu beriman kepadaNya. - Surah al-Maidah, ayat 88

Selak ingin menyelak kembali peristiwa yang hampir sama berlaku pada bulan Ramadan sebelum ini. Bukanlah bertujuan untuk mengungkit perkara lama tetapi sekadar berkongsi rasa tidak senang dengan apa yang sedang berlaku dan akan terus berlaku. Mungkin ia akan berulang lagi dua tahun dari sekarang. Maka ketika itu seperti biasa, muncul pihak-pihak yang membuat kecaman dan laporan polis. Sampai ke mana kecaman dan laporan polis itu?

Mungkin ramai yang masih ingat bagaimana iklan Ramadan yang ditarik balik penyiarannya di televisyen berikutan kononnya pengumuman khidmat masyarakat (PSA) itu berbaur hasutan. Dalam tiga klip iklan yang disiarkan, iklan tersebut memaparkan seorang perempuan Cina yang tidak menghormati bulan puasa dan dia digambarkan memakai pakaian seksi, tamak serta tidak beradab ketika mengunjungi bazar Ramadan. Iklan tersebut turut menyiarkan adab yang sepatutnya dilakukan oleh penganut agama lain bagi menghormati Ramadan. Begitu juga dengan sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris yang menerbitkan satu sisipan khas bertajuk Ramadan Delights pada bulan Ramadan pada tahun 2011. Sisipan itu kononnya mahu menyediakan panduan untuk umat Islam berbuka puasa terutama di hotel dan restoran. Malangnya sama ada ia terlepas pandang atau sebaliknya, turut disiarkan gambar-gambar masakan daging babi panggang sebagai promosi berbuka puasa. Jika tidak silap ada juga iklan yang memaparkan satu jenama minuman keras pada sisipan itu.

Apakah maknanya siaran pada sisipan seumpama itu yang mungkin melibatkan sama restoran yang tidak halal?

Jelaslah, masih ada rakyat Malaysia yang tidak tahu menjaga sensitiviti kaum dan agama. Iklan seumpama itu tidak akan menimbulkan kontroversi sekiranya ia berada di luar sisipan Ramadan. Malangnya iklan itu berkait rapat dengan promosi berbuka puasa termasuk di hotel bertaraf lima bintang. Di manakah silapnya? Adakah sekali lagi, mereka yang sudah lama tinggal di Malaysia ini tidak faham mengenai mana satu makanan/minuman haram atau halal?

Mustahil, mereka tidak memahami isu halal haram dalam kalangan masyarakat Islam.

Persoalannya apakah tindakan yang boleh dikenakan terhadap mereka yang mempersendakan Islam seumpama ini? Sukar untuk menjawabnya. Apa yang pasti, melalui Facebook atau Twitter, agama Islam semakin dipersenda. Satu persatu perkara berkaitan dengan Islam dipersendakan termasuk penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW, isu azan subuh, bacaan al-Quran, kalimah Allah dan sebagainya.

Dalam menghadapi isu-isu ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memanggil mereka yang terlibat. Mereka mungkin diberi amaran atau teguran. Mereka yang melakukan ketelanjuran itu sama ada sengaja atau tidak sengaja akan memohon maaf. Tidak lebih daripada itu. Selepas itu apa pula yang akan berlaku? Adakah episod seperti ini akan berulang pada Ramadan akan datang? Jika berulang, sekali lagi, mereka akan dikecam, kemudian dipanggil pihak berkuasa dan akhirnya muncul ‘kami memohon maaf’.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:23
Maghrib 6:59
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.