saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 01/08/2013

Meniti jalan damai di selatan Thai

MINGGU lepas saya menulis mengenai suasana di Turki yang cuba digolakkan oleh campur tangan asing. Reaksi yang diterima cukup positif. Tulisan Cuit itu telah diterjemahkan ke dalam bahasa Turki oleh laman sesawang kerajaan negara itu.

Minggu ini saya menerima sepucuk surat daripada sebuah pertubuhan perjuang pembebasan di selatan Thailand, jiran kita, yang mahu menyuarakan pendapat mereka. Saya menghubungi mereka. Kebetulan saya mengenali mereka semasa menjadi pemberita sekitar 1990-an. Walaupun sudah lama terputus hubungan, namun saya tetap mengikuti perkembangan mereka.

Mereka mahu membangkitkan mengenai proses damai Pattani yang bermula pada 28 Februari lalu, kira-kira lima bulan lalu, yang masih tidak menampakkan sebarang hasil yang diharapkan ramai pihak.

Bom-bom masih meletup. Ramai yang terkorban. Dalam bulan Ramadan ini, masih kedengaran kematian akibat serangan-serangan hendap.

Perjanjian itu dimeterai antara kerajaan Thailand dengan pejuang Pattani di bawah pimpinan Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan Malaysia selaku fasilitator.

Proses damai yang sepatutnya memberi beberapa jawapan untuk merungkai persoalan konflik di Pattani sebaliknya menimbulkan lebih banyak persoalan dan tanda tanya.

Banyak pihak di Thailand mengeluarkan pendapat dan cadangan juga kritikan. Senarainya amat panjang; bermula dari pejabat para menteri dan birokrat, markas politik, menara gading seterusnya kepada kumpulan aktivis sosial, para pelajar dan tidak ketinggalan rakyat umum di kafe hawa dingin mahupun di warung-warung kopi di negara itu. Media Thailand juga mensensasikan keadaan.

Pendek kata, proses damai itu kini adalah satu fenomena di Pattani.

Konflik politik berusia lebih 200 tahun berlatarbelakangkan sejarah, berkembang menjadi pertembungan senjata yang membawa kepada kemusnahan harta dan jiwa yang bukan sedikit.

Ikuti seterusnya surat yang saya terima daripada Setiausaha Dewan Pimpinan Tertinggi Barisan Islam Pembebasan Pattani, Hafizul Hakim Fatoni untuk analisis kita semua, terutamanya di pihak kerajaan Malaysia yang juga terbabit dalam perjanjian damai itu.

* * *

KEMAJUAN teknologi terkini telah membawa konflik ini ke satu tahap lagi iaitu ke alam teknologi maklumat. Ia berlaku bukan sahaja antara kerajaan Thailand dan BRN tapi juga termasuk penyokong daripada kedua-dua belah pihak, lalu tercetus pula apa yang dinamakan perang siber.

Ruang untuk menyatakan pendapat dan pendirian dahulunya amat terbatas. Kalau 10 hingga 20 tahun yang dahulu, untuk menyebut perkataan PAT-TA-NI itu sudah dikira terlarang, apatah lagi jika disebut perkataan MER-DE-KA.

Silap haribulan boleh membawa kepada penjara tanpa bicara. Maka kita dapati ungkapan PATANI MERDEKA itu hanya layak disemburkan pada papan tanda jalan, di atas jalan raya, di dinding atau tembok jambatan atau pada kain rentang.

Itulah satu-satunya saluran di mana rakyat yang tertindas mampu memanifestasikan hasrat dan suara mereka. Kini ia tidak lagi terbatas dan tersekat malah sukar pula dibendung. Di mana-mana rakyat mula bercakap tentang hak dan kebebasan, penindasan dan kezaliman, hatta penentuan nasib sendiri malahan juga mengenai MERDEKA.

Manusia melihat suatu perkara dengan pandangan dan tanggapan yang berbeza. Begitulah juga apa yang dilihat dan difahami tentang konflik ini dan proses damai yang sedang berjalan. Pihak kerajaan punya tanggapannya, rakyat juga ada pandangannya, manakala pada pihak pejuang juga ada pendiriannya. Ramai sudah bersuara, kerajaannya, rakyatnya juga.

Apa pula yang bermain di kepala seorang pejuang, apa pandangannya, harapannya dan hasratnya?

Lalu lahirlah coretan ini sebagai satu luahan isi hati apa yang dilihat dari kaca mata seorang pejuang berhubung dengan konflik ini dan proses damai.

Biar dimulakan dengan tujuan. Matlamat perjuangan kami adalah untuk MEMBEBASKAN rakyat Pattani dari belenggu penjajahan, supaya tidak ada lagi penindasan dan kezaliman, dan KESEMUA hak-hak yang dirampas dan dinafikan daripada rakyat dikembalikan.

Hampir kesemua hak-hak ini dijamin di bawah perlembagaan Thai sendiri. Apabila rakyat Pattani dibebaskan, mereka boleh menentukan corak pentadbiran yang sesuai yang boleh diterima oleh semua pihak. Perkara ini (corak pentadbiran) akan dibincang dan dikemukakan di peringkat rundingan dalam proses damai seterusnya nanti.

Ramai mungkin mempersoalkan kenapa sebelum ini memilih jalan kekerasan?

Soalan ini sepatutnya dilontar kembali kepada pihak kerajaan Thailand, mengapa apabila rakyat Pattani cuba bersuara menuntut hak mereka pada masa lalu, ia sentiasa dibalas dengan tangkapan, pemenjaraan atau pun pembunuhan?

Tidak ada cara lain pada pandangan rakyat kerdil yang tertindas pada masa itu melainkan bertindak balas dengan penentangan bersenjata. Kerajaan tidak hiraukan suara dan keluhan rakyat dan pemimpinnya, lalu tertubuhlah beberapa kumpulan perjuangan bertindak bagi pihak rakyat yang suaranya tidak diendahkan.

Akhirnya dengan peluru berterbangan dan ledakan bom bertalu-talu, kerajaan Thai terpaksa juga datang menghadapi kami di meja rundingan.

Matlamat kami apabila datang ke meja rundingan adalah untuk mencapai PENYELESAIAN POLITIK yang ADIL, MENYELURUH dan BERKEKALAN untuk rakyat Patani.

Kita sangat optimistik bahawa proses damai ini boleh berjaya, dan berharap KEIKHLASAN DARI KEDUA-DUA BELAH PIHAK (Pejuang dan Thai) dengan dokongan masyarakat serantau dan antarabangsa, akan membuahkan hasil yang baik yang boleh memberi manfaat kepada rakyat Patani secara keseluruhan, iaitu, PERDAMAIAN, KEAMANAN dan KESTABILAN. Pihak Thai harus dengan jujur mengakui bahawa Rakyat Patani perlu diberikan ruang untuk bersuara secara BEBAS menyatakan hasrat mereka.

Persetujuan untuk berdialog adalah langkah pertama kami secara terbuka dan non-violence ke arah perundingan sebenar. Status masa hadapan Pattani seharusnya menjadi agenda utama dalam perundingan, bukanlah semata-mata mengurangkan keganasan seperti yang selalu dibangkitkan oleh wakil Thai. Pihak pejuang komited dan tidak akan sekali-kali menggagalkan proses damai yang dipersetujui dan bermula pada pada 28 Februari 2013.

Satu daripada tuntutan awal (5 perkara) adalah meminta mengantarabangsakan isu ini dengan penglibatan pemerhati asing. Ini adalah supaya apa-apa yang dibincangkan dan dipersetujui nanti menjadi telus, boleh diyakini, diterima dan turut didokongi oleh badan bebas, dunia serantau dan antarabangsa.

Pengalaman lepas kami dalam beberapa rundingan secara sulit tanpa mediator, tanpa pemerhati luar, semuanya menghadapi jalan buntu dan sering dinafikan oleh pihak Thailand apabila ia terdedah kepada umum (MOU Bogor atas initiatif Yusuf Kalla, MOU Cairo, Damascus, Langkawi, sebagai beberapa contoh).

Terdapat banyak pihak mempersoalkan adakah semua serangan daripada pihak pejuang, atau adakah lagi kumpulan lain yang terlibat? Bolehkah mereka dikawal? Begitu juga dengan kesahihan dan kredibiliti delegasi pejuang, adakah mereka wakil yang sah daripada kumpulan yang benar menguasai pasukan bersenjata di lapangan?

Perlu ditegaskan bahawa apa-apa kejadian serangan yang berlaku di Selatan bukan semuanya angkara pejuang, tetapi kita sentiasa dimangsakan.

Perkara ini sudah dijelaskan dalam beberapa video clip melalui YouTube yang kemudian telah diperluaskan sebaran dan terjemahannya ke seluruh dunia.

Sebenarnya beban siasatan untuk mencari pelaku sebenar terletak pada bahu kerajaan Thai yang punyai keupayaan dan kepakaran. Tetapi adakah siasatan telus dan seimbang (unbiased) dan objektif telah dilakukan?

Kalau didapati orang kerajaan sendiri yang terlibat (seperti di Kerisek, Takbai, Air Tempayan, Teluk Puyo dan terakhir di Rhu Sembilan) adakah ada yang dihadapkan ke mahkamah? Di sinilah perlunya nanti pemantau asing sebagai pemerhati dan penentu, siapa sebenarnya yang bertanggung jawab atas kejadian-kejadian sedemikian.

Sudah tentu pihak pimpinan perjuangan dapat mengawal para pejuangnya di medan. Kemungkinan bahawa ada mereka yang cuba sabotaj proses ini tidak dapat dinafikan, tetapi bagi pihak pejuang akan sentiasa berhubung supaya ada persefahaman dan kesatuan dalam kalangan kami.

Secara keseluruhannya kesemua pertubuhan perjuangan menyambut baik proses damai, mungkin ada perselisihan dari segi pelaksanaannya sahaja. Besar kemungkinan akan ada lagi lain kumpulan menyertai proses ini pada masa akan datang.

Ada pun ada lagi pihak lain selain pejuang yang juga melakukan beberapa tindakan, terutama sasaran lemah, itu di luar kawalan kami. Pihak kerajaanlah yang mesti menyiasat dan mencari pesalah sebenar.

Kami tegaskan di sini bahawa perwakilan kami adalah wakil sah dari semua tiga kumpulan utama perjuangan (BRN, PULO dan BIPP) dengan BRN sebagai dominan. Penglibatan Malaysia secara aktif sebagai fasilitator mengesahkan status kami.

Kami juga dikritik, termasuk oleh Human Rights Watch, kerana membuat serangan ke atas orang awam dan sasaran lemah. Sebenarnya pejuang tidak jadikan orang awam sebagai sasaran sebab kami berjuang untuk kebaikan dan membela mereka.

Sasaran utama pejuang adalah pasukan bersenjata dan kakitangan kerajaan yang bermusuhan dengan rakyat dan menindas mereka secara langsung atau tidak langsung. Pejuang dilatih supaya amat berhati-hati dan berdisiplin dalam memilih sasaran secara objektif, jika tersilap mereka akan dihukum.

Jika dilihat pada statistik kejadian serangan selepas 28 Februari 2013, walaupun serangan meningkat, tetapi terhadap sasaran utama sahaja, tidak lagi kepada sasaran lemah. Adapun terkadang jika terlibat orang awam juga adalah secara tidak disengajakan dan ini amat kita kesali. Namun kami tidak bertanggungjawab terhadap serangan yang dibuat oleh pihak oportunis lain atau serangan peribadi atau kumpulan tertentu yang ingin memburukkan nama kami.

Ada pula tuduhan bahawa kami sentiasa berhubung dengan bekas PM Thaksin Shinawatra dan mendapat tawaran tertentu daripadanya.

Peranan Thaksin hanya pencetus proses damai dengan persetujuan kami dan Malaysia, tidak lebih dari itu. Tidak ada perhubungan terus kami dengan beliau melainkan melalui pihak Malaysia. Juga tidak ada tawaran dalam bentuk apa pun melainkan harapan beliau supaya proses ini dapat diteruskan sehingga membuahkan kejayaan.

Sekali lagi kami tegaskan bahawa proses ini perlu dijadikan agenda nasional Thailand, bukan agenda kerajaan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra atau agenda Parti Pheua Thai atau agenda Thaksin. Dengan ini proses damai dapat diteruskan walaupun akan berlaku pertukaran kerajaan pada masa akan datang.

Kami menyedari beberapa pihak di Thailand masih ragu-ragu atau memandang serong akan proses damai ini. Itu adalah tanggungjawab pihak kerajaan Thailand meyakinkan kalangan mereka sendiri (sama ada pihak tentera, istana mahupun pembangkang dan juga rakyat umumnya) bahawa proses damai ini bukan sahaja baik bagi kawasan Selatan tetapi juga bagi orang Thai keseluruhannya dan rantau ASEAN. Ini sekali gus dapat menghindari pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan atau punyai kepentingan tersembunyi dalam konflik ini, terutama pihak tentera.

Kami berharap proses damai ini tidak akan gagal. Namun, sekiranya ia berlaku juga (yakni gagal) sudah tentu bukan daripada pihak kami. Pada ketika itu kami perlu membuat penilaian semula peranan dan penglibatan kami dalam proses ini. Perjuangan kami untuk membebaskan Pattani akan tetap diteruskan sehingga cita-cita dan harapan rakyat tercapai. Walaupun begitu kami tidak akan menolak mana-mana inisiatif untuk menyelesaikan konflik secara damai.

Sekali lagi ditegaskan bahawa pihak pejuang komited dan tidak akan sekali-kali menggagalkan proses damai yang dipersetujui dan bermula pada pada 28 Februari 2013.

Pada pandangan kami proses ini tetap signifikan atas beberapa sebab. Pertama, perjalanan masih panjang. Kami baru di peringkat membina keyakinan (confidence building) dan menentukan halatuju proses ini.

Kedua, walau apa pun digembar-gemburkan oleh pihak di luar proses ini, kami dapat merasai hasrat kedua-dua belah pihak untuk terus berusaha mencari penyelesaian politik melalui meja rundingan, dan ketiga, komitmen yang ditunjukkan oleh pihak Malaysia untuk memastikan proses ini terus berjalan lebih meyakinkan kedua-dua pihak.

Setakat ini belum ada apa-apa persetujuan daripada kedua-dua belah pihak mengenai konflik ini melainkan perbincangan mengenai perkara-perkara asas dan terma perjalanan rundingan.

Tuntutan awal 5 perkara itu tidak satu pun yang bertentangan dengan perlembagaan Thai. Sekiranya dipenuhi, ia akan menjadi isyarat yang jelas kepada pihak pejuang, terutama di lapangan, bahawa pihak Thai komited dan jujur, maka pihak pejuang sudah pasti akan menyambut baik dengan respon yang positif, yakni mengurangkan operasi dan akan banyak membantu meredakan ketegangan.

Kami lihat komitmen daripada pihak Thailand itu tetap ada, memandangkan mereka akhirnya sanggup berdepan dengan kami di meja rundingan secara terbuka dengan perwakilan peringkat tinggi. Tinggal lagi mereka perlu mengukuhkan keyakinan kami dan juga pejuang di lapangan terhadap mereka dengan memenuhi 5 tuntutan awal itu. Begitu juga komitmen daripada tuan rumah. Malaysia memberikan komitmen yang tinggi bagi menjayakan proses yang bersejarah ini dan kami amat menghargainya.

Yang menjadi topik hangat terkini ialah pada perjumpaan terakhir 13 Jun 2013 pihak Thai telah membawa usul supaya pihak pejuang mengurangkan serangan sempena bulan Ramadan dengan alasan bahawa ia adalah kehendak rakyat tempatan.

Pihak BRN pula menyambut baik secara prinsipnya atas usul itu dengan beberapa syarat yang telah dikemukakan kemudian. Setelah dibahaskan di kalangan pimpinan, BRN telah memaklumkan syarat-syarat tersebut bersama komitmennya, bukan sahaja mengurangkan operasi ketenteraan, malah menggantung terus (berhenti) selama sebulan Ramadan ditambah pula 10 hari bulan Syawal menjadikan semuanya 40 hari.

Kesemua tujuh syarat bersama peringatan empat perkara, yang kini sudah diketahui umum, apabila diumumkan, merupakan ‘ledakan bom terbesar’ dan terasa gegarannya sampai ke Bangkok hingga menggoncang kerusi Timbalan Perdana Menteri (Chalerm Youbamrung) dan Menteri Pertahanan (Sukampol Suwannathat) sampai terlucut jawatan dalam rombakan Kabinet Thai terbaru.

Pihak pejuang tiba-tiba dituduh cuba menggagalkan proses damai dengan syarat-syarat (7+4) yang dianggap pihak Thai sebagai “keterlaluan".

Jika diteliti secara jujur sebahagian besar syarat-syarat itu telah menjadi tuntutan rakyat sejak sekian lama. Umumnya berkait dengan pengunduran tentera dari kawasan konflik. Secara logiknya jika sasaran utama pejuang adalah tentera musuh, dan mereka telah pun diundurkan, maka tidak akan ada lagi sasaran yang hendak diserang. Tidak mungkin pihak pejuang, dalam ketiadaan tentera kerajaan, akan mengalih sasaran bermaharajalela terhadap rakyat pula, sebab mereka pembela rakyat.

Tawar-menawar perkara biasa dalam rundingan. Dalam tahap dialog seperti sekarang pihak Thai boleh sahaja menerima, menawar atau menolak beberapa perkara. Pihak pejuang juga akan bertolak ansur sekiranya alasannya munasabah.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.