saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 04/08/2013

Kenapa perlu bela komunis?

KEMELUT beberapa pihak yang masih berdegil mahu mengangkat pengganas komunis sebagai hero yang berjuang untuk kemerdekaan nampaknya masih berterusan.

Terbaru sebuah filem yang mengaitkan komunis The New Village cuba ditayangkan di negara ini walaupun polemik mengenai filem Tanda Putera sudah hampir sampai ke penghujung.

Untuk mendapatkan penjelasan lanjut Wartawan Mingguan Malaysia, Hafizahril Hamid telah mewawancara bekas Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd Said.

Kelihatan seolah-olah ada pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan melakukan sesuatu yang jelas ditolak oleh majoriti rakyat Malaysia bahawa komunis sebenarnya musuh negara.

“Mereka ini memperjuangkan ideologi komunis serta mengolah dan menanam ideologi tersebut seterusnya membawanya ke negara lain atas alasan untuk ‘dibebaskan’ tetapi akhirnya negara itu hanyalah berada di bawah takluk komunisme," kata Zaini.

MINGGUAN: Kebelakangan ini ada pihak yang cuba mengaitkan komunis sebagai hero melalui sebuah filem seolah-olah mencabar kerajaan. Walhal hakikatnya askar kita yang banyak berkorban. Bagaimana Datuk Seri melihat perkara ini?

ZAINI: Pertamanya, saya tidak bersetuju pihak komunis ini boleh digambarkan sebagai hero. Hero yang saya maksudkan adalah dalam konteks memperjuangkan kemerdekaan. Saya tidak bersetuju kerana semasa mereka ditubuhkan dahulu tujuan utama adalah untuk menghalau penjajah dan dalam manifesto mereka juga ada permintaan untuk memerintah dan menubuh kerajaan. Tetapi malangnya permintaan itu sebenarnya untuk menguasai negara dan menjadikan negara sebuah republik komunis. Itu salahnya. Perkara ini bertentangan dengan apa yang lazim kita lakukan serta bercanggah dengan struktur budaya, sosial dan politik kita pada ketika itu. Pada mulanya mereka mengakui sifat kebangsaan untuk membentuk negara dan nasionalisme tapi sebenarnya tidak. Mereka sebenarnya hanyalah terdiri daripada satu kaum sahaja dan kemudian baru menyedari sebenarnya mereka tidak cukup korum. Kemudian barulah mereka membuka keahlian untuk orang Melayu dan India. Maka terbentuklah rejimen berlainan dan pada masa sama orang tertentu boleh menjadi pemerintah dan berkuasa bagi menunjukkan kononnya sifat kebangsaan. Tetapi pada hakikatnya komunis tidak ada beza dengan sebuah parti politik Cina pembangkang yang mengakui pelbagai kaum tetapi hakikatnya majoriti ahlinya semua kaum Cina.

Yang kedua, semasa penubuhannya mereka adalah tertakluk kepada arahan apa yang dipanggil Kuomintang Communist International yang telah mengarahkan untuk melakukan revolusi menghalau penjajah dan pembebasan. Ini bukan bersifat memerdekakan, tapi mereka bercakap dan berhujah dengan orang ramai sebagai memerdekakan. Liberation ini adalah bermaksud menguasai daripada memerdekakan semua. Macam angkatan tentera Jerman liberate countries bukannya hendak memberikan kemerdekaan. Sebenarnya mereka meletakkan negara yang ditakluk di bawah kuasa atau pengaruh Kuomintang. Maksud saya mereka mengambil kuasa atau sesebuah negara untuk diletakkan di bawah takluk atau kuasa yang lain dan bukan memperjuangkan kemerdekaan negara berkenaan. Kalau bukan memperjuangkan kemerdekaan jadi kenapa pihak ini mengaku dia pejuang kemerdekaan. Mereka ini sengaja bercakap salah dan menipu dan malangnya ramai orang yang tertipu dengan perkara itu.

Tidakkah melalui penerbitan filem mengenai komunis ini boleh menimbulkan perasaan tidak senang?

ZAINI: Mengenai filem yang dimaksudkan iaitu The New Village, ia menampakkan bahawa pasukan keselamatan seolah-olah begitu kejam dan zalim tetapi itu adalah arahan pihak penjajah Britain untuk mengasingkan orang Cina dan Melayu. Orang Cina ketika itu terpaksa keluar dari bandar dan menjadi squatters semasa zaman Jepun. Tetapi bila komunis mula menjalankan pemberontakan mereka mula menjadi sumber dan pemberi maklumat selain memberi sokongan kepada pasukan komunis. Jadi strategi ketika itu betul untuk kita asingkan kemudian kumpulkan supaya nyawa mereka boleh dipertahankan dan pada masa sama melindungi mereka di sebuah perkampungan baru. Strategi ini dilihat berjaya menghalang pihak komunis daripada menggunakan mereka untuk menjadi sumber risikan selain direkrut sebagai anggota komunis serta menjadi sumber kewangan mereka. Saya sangat tidak bersetuju dengan tindakan pihak ini menerbit sebuah filem dan tujuan serta faedah mereka perlu diperjelaskan kerana ia mampu menimbulkan perasaan tidak senang terutama dalam kalangan anggota tentera yang telah banyak berkorban.

Maka adalah jelas mereka ini tidak ada hak untuk mengaku pejuang kemerdekaan dan hanya memperjuangkan ideologi komunis?

ZAINI: Mereka memperjuangkan ideologi komunis dan mengolah serta menanam ideologi tersebut seterusnya membawanya ke negara lain atas alasan untuk ‘dibebaskan’ tetapi akhirnya negara itu hanyalah berada di bawah takluk komunisme. Maknanya mereka ini kekal dijajah tetapi melalui ideologi komunis dari satu tempat ke satu tempat dan bukannya untuk dimerdekakan. Ini yang bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman kata kita merdeka dengan cara baik dan diplomatik, kita halau British dan kita mengambil kuasa. Selepas itu kita tidak tertakluk kepada mana-mana kuasa lain dan kita benar-benar merdeka. Kalau komunis mereka mahu halau British dan kemudian minta itu dan ini. Jika dimerdekakan memang kita bebas dibebaskan tetapi hakikatnya negara ini masih berada di bawah takluk orang lain maksudnya China atau Rusia sebagai kuasa komunis. Jadi dimana kemerdekaannya kerana hakikatnya tidak ada erti kemerdekaan jika masih bernaung dengan negara lain. Itulah sebabnya pihak komunis tidak boleh mengaku sebagai wira kemerdekaan.

Perjuangan komunis di negara ini oleh sekelompok orang Cina mungkin melibatkan sejarah, mungkin budaya serta penentangan mereka terhadap Jepun dan bukanlah sangat hendak membantu rakyat atau memerdekakan negara ini. Penentangan terhadap Jepun melalui peperangan dan perjuangan MPAJA (Malayan People Anti Japanese Army) hanyalah lanjutan daripada negara China berperang dengan Jepun sebelum Perang Dunia Kedua. Jepun pula memandang orang Cina di Malaya ketika itu sebagai limpahan daripada orang-orang China yang diperangi di Tanah Besar China. Jadi mereka mengangkat senjata sebenarnya hanya untuk meneruskan perjuangan China menentang Jepun dan bukan untuk Malaya. Adalah salah untuk menganggap perjuangan mereka ketika itu sebagai sebahagian daripada keperwiraan pihak komunis untuk membebaskan Malaya. Itu hakikatnya lebih kepada peperangan mereka melawan Jepun.

Pihak komunis ini juga terkenal dengan kekejaman dan bertindak tanpa sebarang belas ehsan terutama kepada anggota keselamatan kita. Apakah kekejaman ini tidak perlu lagi diungkit atau bagaimana?

ZAINI: Dalam falsafah komunisme, Mao Tze Tung telah menekankan bahawa political power comes out of the barrel of the gun. Ini bermakna mereka rela dan sanggup untuk mendapat kuasa politik dengan menggunakan kekerasan persenjataan dan kezaliman. Bermakna pihak komunis sanggup membunuh dan menggunakan strategi pemberontakan bersenjata kerana itu sebahagian daripada falsafahnya. Ini adalah sesuatu yang membahayakan. Mengapa kita perlu menggunakan kekerasan sekiranya itu adalah tidak wajar lebih-lebih lagi bila mereka secara mudah menghukum rakyat yang kononnya dikatakan mengikut telunjuk penjajah. Mereka ini menzalimi rakyat dengan menggunakan kekerasan. Itulah yang berlaku selepas mereka berkuasa untuk tempoh singkat iaitu selama dua minggu sebelum British datang semula ke negara ini selepas tamat Perang Dunia Kedua. Sebelum darurat diisytiharkan mereka sanggup merosakkan ekonomi, membunuh orang awam, menyerang polis dan sebagainya. Bermakna kesanggupan mereka melakukan tindakan bersenjata dan keganasan demi untuk mendapatkan kuasa politik adalah sebahagian daripada naluri mereka. Ini membuatkan mereka (komunis) satu pergerakan merbahaya. Mereka sanggup memberontak dan melakukan tindakan di luar bidang yang dibenarkan oleh Perlembagaan dan undang-undang.

Maka kita boleh nampak melalui falsafah itu, dengan apa yang berlaku sekarang mereka masih lagi menjalankan taktik propaganda ideologi walaupun sekarang ini komunis secara nyata sudah tidak ada lagi. Dengan menyebarkan secara tidak langsung ada di antara kita yang mungkin terpengaruh dengan cara-cara dan taktik falsafah, demonstrasi dan sebagainya kerana mereka sangat cekap dalam bidang aktivisme. Komunisme memang sebahagian daripada strategi untuk menaikkan semangat menentang kerajaan dan sebagainya walhal perkara itu tidak perlu. Kita boleh lihat pengaruh ini dalam kesatuan sekerja dan sebagainya satu ketika dahulu.

Secara ideologinya mereka jelas terpesong tetapi mungkin ia sebagai sesuatu yang baharu ketika itu menyebabkan ramai yang terpengaruh. Pada pandangan Datuk Seri apakah ideologi tersebut masih boleh diterima sekarang?

ZAINI: Ideologi komunis adalah sangat terpesong dan mereka cenderung menentang arus dan melakukan tindakan bawah tanah. Tindakan yang rahsia ini banyak bahayanya kerana jika tidak dikawal ia boleh memudaratkan negara, kerajaan, masyarakat dan rakyat. Antara ideologi penting mereka adalah falsafah sosialis kesamarataan, tidak ada kelas, tidak mengaku adanya Tuhan, sesuatu yang tidak sesuai dan bertentangan dengan sistem demokrasi yang diamalkan di negara kita. Mungkin ada pihak yang merasakan perkara ini menarik dan ia digunakan oleh pihak-pihak dan orang tertentu yang merasakan diri mereka dizalimi dan tertindas. Ini yang kita lihat berlaku di mana-mana termasuk di negara ini seperti menggalakkan tentangan terhadap kerajaan dengan cara berdemonstrasi dan menaikkan imej dan kedudukan komunis sebagai orang yang luar biasa dan hero. Ini adalah satu gerakan yang sebenarnya memudaratkan dan merugikan negara dan rakyat serta secara tidak langsung boleh menjejaskan ekonomi kita walhal kita telah maju dengan sistem ekonomi yang kita ada sekarang ini. Dikhuatiri negara ini tidak akan menjadi tempat yang menarik untuk menarik pelaburan dan kemudian menjadikan kita tidak produktif. China juga mempunyai dual system iaitu komunisme selain kapitalis dan demokrasi. Cara demokrasi sosialis adalah berlainan dan tidak sesuai dengan kita kerana kedudukan raja kita serta bahasa dan agama. Sudah tentu ideologi sebegini tidak boleh diterima dan kita lihat terdapat juga pihak yang sengaja mempersoalkan kedudukan orang Melayu dan Islam di negara ini. Adalah jelas perkara yang cuba dilakukan sekarang ada kaitan dengan usaha memprovokasi yang dilihat mempunyai kaitan dengan kepentingan komunis kerana cuba mengangkat pihak tertentu sebagai hero. Sepatutnya ideologi komunis ini tidak perlu lagi diterima kerana sudah jelas ia tidak membawa apa-apa keuntungan.

Pada pandangan Datuk Seri, tindakan pihak tertentu cuba mengagung-agungkan perjuangan komunis ini, apakah agenda mereka sebenarnya?

ZAINI: Saya melihat mereka ini hanya cuba menimbulkan kekeruhan kerana ramai anggota tentera dan keluarga mereka yang terkorban yang tidak boleh memaafkan kekejaman yang telah dilakukan pihak komunis. Mengenai sebuah filem yang dikatakan cuba mengaitkan perjuangan komunis, saya masih belum tengok filem itu. Saya juga tidak pasti sama ada filem ini adalah suatu provokasi, namun melalui preview yang ditayangkan, saya boleh percaya bahawa filem itu menggambarkan bahawa squatters yang kebanyakannya kaum cina menggambarkan mereka kebanyakannya ditindas, dipaksa dizalimi dan subjek kepada kekerasan oleh anggota keselamatan. Pada pandangan saya mungkin, ketidakadilannya ialah mereka tidak memberikan gambaran sebenar tentang kenapa mereka ‘dipaksa’. Mengikut sejarah, mereka pada masa itu terpaksa lari dari bandar ke tepi hutan atas sebab keselamatan dan menjadi squatters di hutan-hutan. Apabila Jepun kalah dan komunis cuba merekrut mereka sebagai sumber kepentingan diri, maknanya mereka dalam bahaya dan pada masa sama mereka terdedah tentang pengaruh komunis. Pada masa itulah pengasingan terpaksa dilakukan untuk mengasingkan mereka daripada gerila. Pengasingan yang dilakukan memaksa pihak berkuasa untuk bertindak tegas. Perkara ini yang dieksploitasi dan disalahguna dan penyampaian ini adalah gambaran yang tidak tepat dan salah. Walau apa pun agenda pihak-pihak ini perkara yang benar harus diperjelaskan dan diberi gambaran sebenar bukannya membuat sesuatu untuk memutar beli sejarah.

Seharusnya mereka patut mempertimbangkan seandainya kita berada di bawah penguasaan komunis satu ketika dahulu sudah tentu keadaan ekonomi kita tidak akan seperti sekarang. Sistem ekonomi kita lebih terbuka dan maju. Kestabilan negara juga tidak akan dicapai seperti sekarang. Saya berpandangan mereka patut rasa terhutang budi kerana kesenangan hidup yang mereka kecapi sekarang. Mereka ini sepatutnya bersyukur dan berterima kasih kepada pihak keselamatan yang telah berjaya mengekang komunis dan sumber-sumber mereka. Jika kita lihat di China satu ketika dahulu dan Korea Utara, mereka ditindas walaupun diperintah oleh komunis. Rakyatnya hidup dalam kemiskinan dan melarat dan andai kata kita diperintah oleh komunis dahulu keadaan yang sama mungkin akan berlaku di Malaysia. Memandangkan kita berjaya mengekang komunis kita patut bersyukur dengan kejayaan dan pen capaian yang diperoleh. Alhamdulillah apa yang wujud di Malaysia ini adalah hasil pengorbanan pihak tentera yang selama ini berjuang dan sanggup berkorban demi kesejahteraan negara dan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:18
Asar 4:31
Maghrib 7:24
Isyak 8:34



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.