saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 07/08/2013

Mengapa begitu mudah melafazkan maaf, memberi maaf?

PENGALAMAN menjadi seorang peguam, penulis biasa mendengar pesalah di mahkamah meminta maaf kepada tuan hakim setelah hukuman dijatuhkan. Biasanya tuan pengadil yang bijaksana akan berkata, minta maaflah kepada Allah SWT atau kepada mangsa dan keluarga mangsa. Jika kes tersebut menyebabkan kematian, wajarkah hanya mengucapkan maaf sedangkan kerosakan yang dibuat berkekalan.

Jika isu yang sama ditimbulkan dalam kes penghinaan terhadap orang Islam di negara ini, sudah sering kali hati kita dilukai oleh individu-individu yang mudah meminta maaf selepas bermulut celupar menyentuh sensitiviti ajaran agama dan budaya kita melalui media sosial. Pujangga ada berkata, senjata tidak membunuh manusia tetapi manusia yang membunuh manusia yang lain.

Media sosial yang dipancarkan oleh medium internet adalah wadah yang paling baik untuk kita mengeratkan silaturahim dan bukan memutuskannya. Adakah tindakan satu pasangan kekasih mengajak umat Islam memakan benda yang haram sesuatu yang patut, sedangkan orang yang lembap sekalipun dapat membezakan ajakan tersebut bersifat ikhlas atau mencari nahas.

Apa yang lebih menyakitkan hati apabila media sosial yang sepatutnya digunakan untuk kebaikan dijadikan media mengguris hati umat Islam yang penuh tawaduk menjalani ibadah puasa. Ibarat teori relativiti Albert Einstein, setiap aksi akan menyebabkan reaksi (tindak balas).

Apabila pihak berkuasa mengambil tindakan kepada pasangan yang memaparkan imej yang tidak menyenangkan orang Islam tersebut, maka jelaslah kepada kita bahawa sikap memberi kebebasan melalui media sosial di internet perlu ada had dan sempadan.

Namun, apa yang lebih memilukan hati umat Islam apabila sekali lagi hati mereka dirobek dengan episod penayangan gambar beberapa ekor anjing dan tuannya melakukan pelakuan yang tidak sepatutnya dilakukan seorang yang beragama Islam. Mana-mana manusia yang rasional akan tersentak dengan tindak-tanduk yang amat mengejutkan itu. Diharap episod yang sama tidak berulang dalam negara kita.

Di sebalik kejadian melibatkan penghinaan terhadap ajaran Islam ada juga pihak yang tidak peka dengan sensitiviti masyarakat negara ini sama ada disebabkan sejarah dan budaya sesuatu masyarakat itu sendiri.

Apabila ada pihak yang mempertikai penayangan filem The New Village, tidak perlulah menggunakan bahasa yang amat kesat. Maka sudah tiba masanya undang-undang sedia ada perlu dikuatkuasakan. Ia perlu bagi menjamin keharmonian masyarakat negara ini terus berkekalan. Bukan sekali individu tersebut melukakan hati orang Melayu malah sebuah syarikat utiliti turut menjadi bahan kritikan beliau.

Namun di sebalik penghinaan dan kata-kata kesat yang mengguris hati dan sanubari umat Islam dan orang Melayu khususnya, kita sebenarnya masih mampu memberi maaf. Itulah hebatnya orang Melayu di Malaysia berbanding negara-negara luar.

Kalau penghinaan tersebut berlaku kepada umat Islam di negara Timur Tengah maka sudah pasti nasib mereka menjadi seperti penulis antarabangsa, Salman Rushdie yang menulis buku Satanic Verses. Ada negara yang menfatwa beliau halal dibunuh kerana menghina Nabi Muhammad SAW dan kitab suci al-Quran. Bukan setakat halal dibunuh malah diberi ganjaran wang berjuta dolar.

Namun di sebalik kemurahan kita memberi maaf kepada orang yang meminta kemaafan, badan perundangan perlu juga mengambil tindakan sewajarnya bagi menjamin kedaulatan undang-undang dapat ditegakkan.

Sesungguhnya, sempena bulan Syawal, Aidilfitri tahun 1434 hijrah ini, kita dianjurkan untuk meminta dan memberi maaf, namun dalam kes menghina melibatkan agama dan budaya sesuatu bangsa berpada-padalah meminta dan memberi maaf.

Bak kata pujangga, terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya. Kalau zaman Hang Tuah dahulu manusia yang bermulut cabul ini akan ditonyoh mulut mereka dengan bontot tempurung kelapa hingga berdarah agar tidak mengulangi percakapan sedemikian.

Sebaiknya sebelum mengeluarkan bahasa dan menonjolkan perlakuan. Biarlah elok di mata dan senang di hati orang yang melihatnya. Kalau hendak juga berbuat demikian tidak perlulah disiarkan di media sosial. Simpanlah untuk tatapan anak cucu sahaja.

Sempena Aidilfitri, jika ada silap dan salah pintalah ampun walaupun pihak yang satu lagi enggan memberi kemaafan. Namun bulan baik hari baik ini pohonlah keampunan dengan hati yang ikhlas daripada ibu bapa, sahabat, saudara, mertua, ipar dan majikan kita. Kadang kala ada juga terlepas kata kesat di depan dan belakang. Kita manusia biasa serba kekurangan. Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:59
Zohor 1:21
Asar 4:23
Maghrib 7:24
Isyak 8:33



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.