saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 11/09/2013

Semangat Istanbul II: Guna pendidikan ‘tawan’ dunia

MINGGU lepas saya sekali lagi berada di kota raya Istanbul - sebuah kota raya “pemberian" Allah SWT kepada umat-Nya.

Tanpa ihsan-Nya, mustahil si penakluk, Sultan Mehmed (1432-1481) berjaya menakluki kota indah itu daripada tangan kuasa Rom Constantinople. Sekali gus menjatuhkan empayar Rom Timur Byzantine serta menukarkannya menjadi empayar Uthmaniah (Ottoman). Mehmed terus menakluki Asia, dengan menyatukan Anatolia (Turki sekarang), serta ke Eropah sejauh Bosnia dan Croatia.

Pemergian saya bukan atas niat memakan angin Selat Bosphorus yang membelah benua Eropah dan Asia, tetapi untuk menjejaki sekali lagi semangat tamadun Uthmaniah.

Tahun lalu saya bersama-sama rombongan Yayasan Iqra’ penggerak kepada wakaf korporat ke sana, namun kali ini mengiringi rombongan Kerajaan Negeri Perak mempelajari sektor pendidikan wakaf Turki.

Menjejaki dan mendalami erti Hizmet atau Khidmat, yang bergerak secara sukarela untuk menabur bakti kepada agama dan umat di muka bumi ini.

Perlu diingat tiga daripada lima warga Istanbul adalah penderma yang memberi sumbangan kepada pembinaan sekolah, madrasah, hospital di seluruh dunia.

Itulah semangat yang perlu juga ada di dalam diri kita semua umat Islam di tanah air Malaysia ini.

Dengan pendidikan, umat Islam tidak akan terjebak dalam kekufuran. Dengan pendidikan yang terbaik, umat Islam tidak akan jatuh miskin. Dengan pendidikan juga, kita boleh menakluki bangsa-bangsa lain.

Itu fasallah kaum Cina di Malaysia, begitu kental dengan pendidikan mereka. Bagi mereka pendidikan adalah senjata terpenting dan benteng terakhir keturunan mereka. Malangnya, hanya bangsa Melayu yang belum sedar mengenainya.

Itulah matlamat utama pergerakan Hizmet di Turki. Secara kebetulan atau tidak, semangat ini telah berjaya membawa Turki menjadi antara ekonomi terhebat di Eropah hari ini.

Dalam kegawatan ekonomi negara-negara lain di rantau itu, Turki kini adalah negara yang dicemburui oleh jiran-jirannya. Mungkin juga kerana sifat itu, Istanbul kalah menjadi hos Sukan Olimpik 2020!

Semangat rakyat Turki hebat. Darah penakluk yang mengalir di dalam diri mereka sejak ribuan tahun lalu kini semakin membara. Mereka kini mahu ‘menakluk dunia’ melalui pendidikan dan pelajaran.

Kini sudah ada sekitar 3,000 sekolah didirikan di seluruh dunia yang diasaskan oleh pergerakan Hizmet melalui wakaf, yang dikutip daripada rakyat Turki kaya dan miskin.

Hizmet yang bergerak atas platform Pertubuhan Pergerakan Sosial (SMO), bererti Khidmat atau Pergerakan Sukarela. Ia juga dikenali sebagai Pergerakan Gulen, mengambil nama seorang ulama terkenal Turki yang mengasaskannya iaitu Imam Fethullah Gulen.

Hizmet memberi fokus kepada pendidikan, kesihatan, media, penerbitan, kewangan beretika dan bantuan kemanusiaan. Dalam bidang media, pergerakan Hizmet memiliki akhbar terbesar di Turki, Zaman edisi Turki dan Inggeris. Ia juga memiliki stesen televisyen dan agensi berita.

Pergerakan ini sama seperti pertubuhan wakaf di negara kita, Malaysia. Tetapi dalam konteks Turki yang selama ini ditekan oleh pihak tentera, pergerakan ini tidak berjalan secara berstruktur.

Ia bermula dengan pengajian Islam oleh Fethullah, yang kemudian berkembang menjadi sebuah pergerakan yang disertai oleh jutaan rakyat Turki. Satu daripada tiga penduduk Turki terbabit dalam pergerakan sukarela ini menerusi semangat sukarela atau melalui yayasan.

Mengapa pendidikan? Pendidikan sebenarnya senjata yang paling berkesan untuk menguasai sesuatu bangsa dan tamadun.

Tamadun Uthmaniah jatuh juga disebabkan oleh pendidikan musuh yang menyelinap secara sistematik ke dalam hati nurani anak-anak era kesultanan Ottoman terakhir, sehinggalah hancur-lebur.

Dalam kunjungan itu kami bertemu dengan Ali Redza, seorang usahawan ulung Turki dan dermawan yang bergerak aktif mengasaskan Kolej Fatih dalam pergerakan Hizmet.

Ali pernah bertanya dengan Fetullah mengapa empayar agung Uthmaniah hilang kekuasaannya?

Begini kisahnya yang diceritakan oleh Fetullah kepada Ali sekitar 70-an dahulu:

Orang Eropah dan Amerika Syarikat mencuba berkali-kali mahu menyerang kita (Uthmaniah) tetapi semuanya gagal.

Dalam peperangan akan berlaku kematian, sebagai orang Islam kita akan syahid, tetapi adakah itu penyelesaiannya?

Akhirnya Fetullah menemui jawapannya iaitu pendidikan, pertukaran budaya menerusi landasan al-Quran.

Barat menggunakan strategi itu 300 tahun lalu di zaman Uthmaniah dengan membuka sekolah mereka.

Kira-kira 300 ke 400 tahun lalu empayar Uthmanian sangat kaya. Orang-orang kaya Uthmaniah membawa masuk wanita-wanita Eropah sebagai pengasuh anak-anak mereka untuk bercakap bahasa Inggeris, Perancis, Jerman.

Guru-guru dan pengasuh ini mengajar dan kemudian membuka ilham kepada para pegawai sultan supaya membawa anak-anak mereka mendapatkan pendidikan di negara-negara Barat. Pada masa yang sama, pengasuh-pengasuh ini menyelitkan dakyah-dakyah agama mereka ke atas anak-anak para pegawai Uthmaniah ini.

Apabila anak-anak ini kembali daripada mendapatkan pendidikan di luar negara kelak, mereka akan mengambil alih tampuk pemerintahan Uthmaniah.

Semua rekod arkib kurun ke-14 masih tersimpan dan menceritakan mengenai perkembangan itu.

Selepas kurun ke-18 jeneral-jeneral muda dalam tentera Uthmaniah mula menjalin kerjasama dengan pihak asing di atas tanah Uthmaniah.

Sekolah berasrama Kolej Robert (yang masih wujud sehingga kini di Istanbul) didirikan oleh pendakwah dari Amerika pada 1863.

Menurut kisah itu, setelah dikesan tiga pelajar perempuan menjadi Kristian, kerajaan Uthmaniah bertindak menutup sekolah terbabit, namun kemudian dibuka semula.

Pihak Vatican turut menghantar wang dan kelengkapan bagi membantu sekolah mereka.

Di Eropah pada masa itu, pihak gereja dengan megah dan bersemangat menguar- uarkan risalah kepada umat mereka “kami membuka sekolah-sekolah di tanah Uthmaniah, oleh itu berilah bantuan kewangan".

Orang Eropah merasakan itulah strategi yang paling berkesan untuk menawan Istanbul dan menjatuhkan empayar Uthmaniah.

Mereka telah gagal melalui senjata dan ketenteraan, mereka gunakan senjata pendidikan. Guru-guru yang dihantar adalah terdiri daripada mubaligh-mubaligh Kristian.

Mereka mula menyelinap masuk ke dalam urat saraf Uthmaniah melalui pendidikan sejak 300 tahun lalu. Sehinggalah pada 1914 kerajaan Uthmaniah hancur. “Barat telah mencapai misi mereka," kata Ali.

Setelah runtuhan sistem kalifah ini maka muncullah republik baru yang diambil alih oleh kumpulan-kumpulan yang dibentuk pemikiran dan budaya mereka oleh Barat.

Para alim ulama dihukum. Alim ulama yang mahu bersolat, dilarang. Alim ulama yang mahu melaungkan azan dalam bahasa Arab, dipaksa menukar laungannya ke dalam bahasa Turki.

“Mereka telah mengambil hati-hati kami," kata Fetullah, dipetik oleh Ali.

Hizmet bermula dengan hanya 15 orang ahli perniagaan, sekitar tahun 1970-an untuk membina sekolah-sekolah. “Di situlah kita selitkan sifat-sifat mulia sebagaimana yang diterapkan oleh Rasulullah SAW," kata Ali.

Fetullah berkata kepadanya: “Kita buat strategi yang sama seperti mana yang dilakukan ke atas kita. Kita kembangkan syiar Islam melalui pendidikan."

“Kita kembalikan hati-hati kita dengan membina sekolah."

Kini usahawan dan rakyat Turki berlumba-lumba menderma ke arah itu. “Ada yang memberi 100 juta Euro, ada 1 juta atau 500,000..."

Kita lakukan secara ikhlas dan komited. Kita tunjukkan contoh supaya mereka faham.

Kini Hizmet, sebuah pergerakan yang longgar dari segi struktur organisasinya telah matang. Mereka bergerak melalui yayasan-yayasan yang ditubuhkan.

Mereka sudah mempunyai universiti terhebat di Turki. Sistem pendidikan Fatih, dalam bahasa Turki bererti penakluk, bermula dari peringkat tadika, sekolah rendah, menengah, kolej universiti sehingga ke universiti adalah institusi pendidikan swasta terbaik di Turki dan dicontohi oleh dunia.

Mereka mempunyai rangkaian hospital swasta yang terbaik.

Semasa bulan Ramadan jutaan ringgit dikumpul untuk tujuan itu.

Rakyat Turki amat menghormati Hizmet. Dengan bangga mereka turut menaburkan derma dan berwakaf.

Kita, di Malaysia juga patut mencontohi semangat itu yang mengalir sejak zaman empayar hebat Uthmaniah.

Walaupun empayar itu jatuh akibat kealpaan, namun semangatnya kini mengalir semula di muka bumi ini. Mereka belajar daipada kesilapan. Belajar daripada musuh untuk kebaikan ummah.

Pendidikan jika digunakan dengan bijak akan menjadi senjata paling berkesan untuk membentuk satu generasi yang mantap dan kuat. Kita kena gunanya sebaik mungkin.

Namun, apakah kita di Malaysia ini sudah sedar?

(Ikuti juga menerusi utusan.com lawatan pertama saya ke Istanbul 11 Julai 2012 bertajuk: ‘Seminggu di Istanbul: Semangat Uthmaniah, Hizmet dan Iqra’).

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:59
Zohor 1:21
Asar 4:23
Maghrib 7:24
Isyak 8:33



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.