saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 16/09/2013

Elak 'ketirisan poket' menjelang pemilihan dalam parti

SEMALAM, Ahad berakhirlah mesyuarat agung tahunan UMNO peringkat cawangan di seluruh negara. Setakat ini, khabarnya perjalanan mesyuarat adalah lancar walaupun ada beberapa cawangan mengalami sedikit kekecohan. Diharapkan 'kekecohan' seperti dakwaan tidak cukup kuorum, tidak mengikut jadual, mesyuarat bertukar menjadi jamuan hari raya, cawangan bunian dan sebagainya tidak akan mengganggu perjalanan mesyuarat atau persidangan di peringkat bahagian. UMNO tidak boleh ambil mudah 'kekecohan' yang berlaku ini. Jangan kerana 'nila setitik rosak susu sebelanga'. Lebih-lebih lagi kaedah baharu pemilihan yang diperkenalkan kali ini sudah tentu mendapat perhatian parti-parti politik lain terutama yang berada di luar Barisan Nasional (BN). Jangan ketika kita asyik menghentam pihak lain kerana proses pemilihan mereka dikatakan tidak telus, tiba-tiba diri sendiri pula yang bermasalah.

Pada hari Sabtu kelmarin, bermulalah pengedaran borang pendaftaran calon bagi yang berminat menawarkan diri bertanding jawatan anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO serta jawatan bagi sayap Wanita, Pemuda dan Puteri. Begitu juga borang untuk jawatan di peringkat bahagian. Sambutan pada hari pertama boleh dianggap menggalakkan kerana ramai calon mengambil borang di ibu pejabat UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Bernama melaporkan, antara yang paling awal tiba untuk mendapatkan borang pencalonan ialah Exco Pergerakan Wanita UMNO, Hasnah Salam, mantan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Dr. Aziz Jamaludin Mhd. Tahir yang juga dari Biro Penerangan UMNO Malaysia dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Johor Bahru, Azura Mohd Afandy. Lebih 4,000 borang pencalonan peringkat pusat dan 100,000 borang pencalonan untuk 191 bahagian UMNO disediakan. Borang pencalonan adalah percuma dan boleh didapati sehingga 20 September ini, sebelum tarikh menyerahkan borang pendaftaran calon pada 21 September. Seperti diketahui umum, pemilihan kali ini membuka peluang lebih luas kepada mana-mana anggota untuk bertanding asalkan mempunyai kelayakan minimum. Di peringkat bahagian, calon mestilah sekurang-kurangnya menjadi anggota parti selama sepenggal atau tiga tahun.

Bagi MT pula, calon sekurang-kurangnya pernah menjadi ahli jawatankuasa bahagian selama sepenggal. Tidak ada lagi sistem kuota yang memerlukan sokongan dalam jumlah tertentu daripada mana-mana 191 bahagian UMNO seperti diamalkan sebelum ini.

Diharapkan pertandingan kali ini dapat memberi peluang kepada lebih ramai calon untuk menawarkan diri sementara anggota parti pula mempunyai pilihan yang lebih baik berbanding sebelum ini. Bertandinglah secara adil tanpa adanya elemen politik wang, sogok menyogok atau mengggunakan kedudukan untuk meraih undi. UMNO memerlukan pemimpin yang naik disebabkan kecerdikan dan kebolehan mereka bukannya disebabkan 'ketirisan' poketnya. Diharapkan tidak ada lagi istilah salam isi (SI) atau salam kosong (SK) seperti yang pernah berlaku dalam pemilihan terdahulu.

Menawarkan diri untuk bertanding pada pemilihan kali ini bukanlah untuk berseronok atau sengaja mengambil kesempatan peluang terbuka yang diberi oleh parti. Pemilihan kali ini amat penting dalam usaha parti mengukuhkan pengaruh dalam kalangan orang Melayu bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14. Inilah tanggungjawab besar kepada parti jika mereka terpilih menduduki sebarang jawatan sama ada di peringkat bahagian atau pusat. Pada masa yang sama, pemilihan ini adalah satu proses demokrasi yang perlu dilakukan dalam semangat kekeluargaan. Menang atau kalah perkara kedua. Apa yang penting niat untuk berkhidmat kepada parti diteruskan atas apa jawatan, sekali pun hanya sebagai anggota biasa.

Apa yang penting, kekalkan semangat kekeluargaan seperti pesanan Presiden UMNO, Najib Tun Razak baru-baru ini.

''Kita harus bersatu padu sebagai satu keluarga, jangan ketepikan prinsip kekeluargaan...inilah asas kita, banyak lagi cabaran yang akan kita hadapi pada masa depan,''.

Walaupun tarikh menyerah borang 21 September ini, kempen tidak rasmi sebenarnya sudah bermula. Pada peringkat awal ini, ada yang sudah mencetak kad nama sebagai calon, biografi ringkas dan promosi diri untuk memperkenalkan diri kepada anggota UMNO di seluruh negara. Biarlah mereka berkempen dengan apa cara sekalipun termasuk di laman sosial asalkan tidak melanggar peraturan parti atau memburukkan orang lain yang turut menawarkan diri untuk bertanding.

Pemilihan kali ini juga diharap dapat menampilkan bakal pemimpin pelbagai latar belakang, profesional yang mampu memantapkan parti. Sudah tentulah pemimpin yang bakal bertanding nanti bukan sekadar berlatar belakang 'politik' semata-mata sebaliknya yang mempunyai pengalaman serta hubungan dengan pelbagai peringkat masyarakat melalui penglibatan mereka dalam pelbagai pertubuhan. Golongan seperti ini sudah lama 'terpendam' kerana mereka sebelum ini dibayangi pemimpin-pemimpin 'ternama' yang dikenali kerana kedudukan dan jawatan. Dulu pergerakan mereka terbatas disebabkan beberapa sekatan dan halangan terutama di peringkat bahagian. Kini keadaan sudah berubah. Peluang bertanding tidak terbatas kepada golongan tradisi seperti menteri, timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri atau Exco kerajaan negeri. Lebih menarik kali ini, tidak kurang juga yang berjawatan dan berkedudukan tidak mahu bertanding sama ada menawarkan diri atau mempertahankan jawatan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:20
Asar 4:34
Maghrib 7:25
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.