saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 25/09/2013

Olimpik ibadah umat Islam bermula: Kesepakatan ummah sedunia...

OLIMPIAD umat Islam 1434 Hijrah sudah bermula. Lautan manusia, pelbagai wajah dari seputih-putih kulit kepada sawo matang dan sehitam-hitamnya dari pelosok alam membanjiri dua kota besar Tanah Haram iaitu Mekah dan Madinah.

Ia adalah pesta agama yang meriah. Pelbagai karekter manusia digambarkan di situ. Walaupun kouta haji tahun ini dipotong 20 peratus seluruh dunia, namun kemeriahannya cukup tergambar.

Saya kini bersama-sama umat Islam lain berada di kota Madinah al-Munawarrah - kota yang dibangunkan oleh Nabi Muhammad SAW kira-kira 1,400 tahun lalu. Di sinilah baginda berhijrah dari kota kelahirannya di Mekah, lari daripada kaumnya sendiri yang tidak dapat menerima seruan Islamnya. Berhijrah ke Madinah dan di sini juga baginda wafat. Sekarang lebih 1.4 bilion manusia memeluk ajarannya yang diwahyukan oleh Allah SWT.

Terlalu banyak sejarahnya di kota raya ini. Madinah bererti bandar raya. Ia juga dikenali sebagai Madinah al-Nabi atau Bandar Nabi Muhammad. Sebelum kemunculan Islam bandar ini dikenali sebagai Yathrib, tetapi namanya ditukar sendiri oleh Rasulullah.

Mengikut sejarah penting, Madinah adalah pusat penyebaran Islam selepas Hijrah. Baginda Rasulullah wafat pada 632 Masihi bersamaan tahun ke-11 Hijrah.

Selepas kewafatan baginda, kota Madinah terus dipimpin oleh Khalifah Saidina Abu Bakar, Omar, Othman dan Ali.

Kalendar Islam bermula apabila penghijrahan oleh Baginda bersama-sama pengikutnya, para Muhajirin dari Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi bersamaan 1 Hijrah.

Madinah juga menempatkan tiga masjid tertua iaitu al-Masjid an-Nabawi (Masjid Nabi), Masjid Quba’ (masjid pertama dalam sejarah Islam) dan Masjid al-Qiblatain (Masjid dua kiblat - masjid yang Nabi diperintah bertukar kiblat dari Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis ke Masjidil Haram, Mekah).

Cuaca di sini sekarang tidaklah terlalu panas, sekitar 40 darjah selsius. Beberapa minggu lalu cuacanya mencecah sehingga ke 50 darjah selsius. Itu amat panas bagi kita. Tapi kini cuacanya sudah turun sealiran kedatangan musim luruh di Asia Tengah dan dan hemisfera utara.

Setiap masuk waktu solat, saya anggarkan ratusan ribu manusia - tua muda, miskin kaya memenuhi Masjid Nabawi, di setiap puluhan penjuru pintu masjid itu.

Mengikut hadis Sahih bersolat satu waktu di Masjid Nabawi bersamaan 1,000 waktu di masjid-masjid lain kecuali Masjidil Haram di Mekah. Setiap waktu saf adalah terlalu padat dengan jemaah, tiada ruang langsung untuk menyelit.

Semasa bersolat masing-masing khusyuk, berdoa, bersolat sunat, membaca al-Quran, berzikir serta mendengar tazkirah daripada guru-guru yang disediakan dalam berbagai bahasa termasuk bahasa Melayu dan Indonesia, di pelbagai sudut masjid itu.

Di dataran masjid (di luar), pelbagai bangsa bermesra dengan rakan taulan, saudara mara dan rakyat senegara.

Pada sebelah pagi, kumpulan-kumpulan jemaah dibawa ziarah ke perkuburan Baqi bersebelahan masjid itu. Sepanjang berada di Masjid Nabawi, setiap masa selepas solat waktu ialah solat jenazah. Semua jemaah bersolat kerana pahala bersolat jenazah adalah seluas banjaran Uhud.

Yang baru tiba dibawa oleh pihak berkuasa haji negara masing-masing melawat ke masjid itu serta diceritakan sejarahnya. Mereka dibawa ke satu kawasan yang paling mahu dikunjungi oleh mana-mana umat Islam iaitu makam Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar al-Sidik dan Saidina Umar ibni Khattab serta satu kawasan dikenali sebagai Raudhah.

Raudhah bererti taman-taman syurga. Di situ doa-doa amat mustajab. Dalam Hadis Nabi menyebut “di antara rumahku dan mimbarku adalah taman, dari taman syurga". Di situlah jemaah berebut untuk bersolat sunat. Kawasan itu dibezakan dengan karpet berwarna kehijauan.

Namun bukan mudah untuk memasuki ke ruang kecil itu. Ribuan orang berebut-rebut mahu memasukinya, namun hanya yang sabar dan diiringi doa ikhlas yang membolehkan mereka dapat memasukinya. Ada dengan laluan mudah, ada dengan cara paling sukar.

Dalam suasana olimpiad ini, yang menarik sekali ialah kumpulan jemaah dari Indonesia. Mereka cukup warna-warni. Dianggarkan kira-kira 130,000 jemaahnya sudah berada dan sedang dalam perjalanan ke sini, untuk ke Mekah.

Mereka dicam berdasarkan baju batik yang dipakai, serta tanda-tanda pada diri mereka. Ia menggambarkan provinsi atau daerah masing-masing. Ada yang pakai skaf ala pengakap yang diikat di leher dengan pelbagai warna, ada yang menyelitkan bunga ros plastik di atas kepala dan sebagainya.

Begitu juga dengan jemaah dari Filipina, Thailand, Turki, negara-negara Afrika yang mengenakan pakaian yang mewakili negara masing-masing. Bagi kita jemaah Malaysia, tahun ini kita boleh dicam dengan beg sandang berwarna kuning tajaan Bank Simpanan Nasional (BSN) dan uncang kasut warna merah hati, tajaan Bank Islam.

Benar, suasananya adalah ala-Olimpik - pesta sukan terbesar dunia. Cuma di sini ia merupakan pesta berlumba solat, membuat amal, ikhlas dan berniat baik. Di Madinah, amat digalakkan beribadat dan bersalawat.

Pengadilnya ialah Pencipta-Nya yang akan menentukan hadiah syurga mana yang akan mereka menangi atau sama ada doa-doa mereka atas hajat yang dipinta dimakbulkan di muka bumi ini.

Di luar kawasan masjid pula, pelbagai jualan berlangsung. Ia bermula selepas solat Subuh sehingga malam. Semuanya meriah. Dan yang paling menarik, peniaga-peniaga menjerit-jerit dalam bahasa Melayu! “Sepuluh riyal, lima riyal, murah-murah." Kedai-kedai emas tiada pengawal senapang patah.

Di Tanah Haram Madinah, sama seperti di Mekah, ada pantang larangnya, antaranya pokok-pokok tidak boleh dicabut, barang berharga yang tercicir tidak boleh diambil dan tiada siapa yang mencuri, kata ustaz Asri pemandu pelancong ketika kami dibawa ziarah ke beberapa tempat menarik susur-galur kisah Rasulullah SAW di sekitar bandar ini. Antara masjid yang dilawati ialah Masjid Quba’ yang menurut hadis bersolat di dalamnya sama seperti melakukan satu umrah.

Beliau yang berasal dari Banting, telah berada selama 10 tahun di Madinah dan kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dalam bidang Dakwah. Pengkisahan yang diceritakan cukup berkesan.

Malah rata-rata peniaga boleh bercakap bahasa Melayu dengan cukup baik. Kita tidak janggal di sini. Yang menariknya, pembeli rata-rata adalah muka-muka Melayu atau Indonesia. Kebanyakan kedai kain baju di sini dimiliki oleh warga Bangladesh dan Yaman.

Berbanding dengan umat Islam lain yang datang dari negara mundur, jamaah Malaysia sepatutnya wajib bersyukur.

Di bawah hotel muasasah Malaysia, perkhidmatan Pos Laju Malaysia membuka perkhidmatan. Kakitangan tidak menang tangan menyediakan kotak-kotak pelbagai saiz. Kotak dijual asing dan sekilo hantaran dicaj RM14. Sesiapa yang sudah cukup belian, kotakkan dan pos balik ke Malaysia. Begitu mudah.

Di kaunter Tabung Haji yang disediakan di hotel itu, ramai jemaah yang menunggu nombor giliran untuk mengeluarkan wang bagi berbelanja. Perkhidmatannya cukup efisien.

Sebelum berangkat ke Tanah Suci ini, ramai yang bertanya, saya pergi haji pertama kali ini dengan pakej apa? Pakej bermakna ialah bayaran untuk keselesaan yang berharga antara berbelas ribu hingga setinggi RM130,000!

Apabila saya berkata pergi dengan muasasah, ada yang tidak percaya. Ada yang terkelu dan ada yang terpacul tawa kecil. Mereka terkejut saya naik haji dengan muasasah yang mereka gelar “mau susah".

Namun mereka silap. Mengikuti rombongan haji dengan Muasasah Tabung Haji cukup menarik sekali. Ia adalah pengalaman yang tidak boleh dibeli dengan wang. Semua kita adalah sama. Apabila dalam ihram, kita hanya berpakaian tidak berjahit berwarna putih. Pangkat diletak ke tepi. Ego dinyahkan jauh-jauh.

Jika terasa riak mula menguasai diri, cepat-cepat solat sunat taubat. Bersihkan diri, bersihkan hati. Jadilah hamba-Mu ini seputih-putih manusia yang tiada jurang pemisah dengan manusia lain, apatah lagi dengan Kau Ya Allah.

Saya cukup teruja dapat makan bersama-sama jemaah lain pelbagai latar belakang dan umur. Kami bukan makan bufet, tapi set makanan kotak. Nasi dengan lauk ikan atau ayam atau daging, sayur dan buah-buahan sama ada epal, pear atau oren - yang saya rasa menunya ialah menu sihat.

“Makcik berasal dari kampung, dengan kerja keras berkebun kelapa sawitlah makcik dapat ke sini. Cukup RM10,000 makcik dapat panggilan dari Tabung Haji," kata seorang makcik semasa kami makan di dewan makan.

Saya cukup insaf. Saya cukup berterima kasih dengan Tabung Haji, pengasasnya Profesor Diraja Ungku Aziz dengan ilhamnya menubuhkan institusi paling hebat dan dicontohi dunia itu.

Bukan RM10,000 sebenarnya, jemaah haji kita hanya membayar sekitar RM9,900 dengan subsidi oleh Tabung Haji kira-kira RM5,000. Kos sebenar kerja haji bagi setiap jemaah ialah sekitar RM15,000.

Saya berkongsi dengan lima jemaah lain dalam satu bilik saiz standard hotel. Ada lima katil memenuhi ruang. Rakan-rakan jemaah saya, yang kini sudah terlalu mesra ialah abang-abang dari Kelantan dua orang, seorang dari Perak. Seorang lagi ialah rakan lama saya, bekas akauntan firma asing berasal dari Sepang yang memang kami rancang datang bersama.

Kami semua bekerjasama. Sesiapa yang perutnya memulas, dialah didahulukan menggunakan tandas. Itulah suasananya setiap pagi. Terasa seperti berada dalam kem BTN! Tiada jurang pangkat, semua cuci pinggan sendiri, kain baju sendiri.

Baru seminggu, bilik kami semakin lama semakin tidak terurus. Namun, alhamdulillah kami tahu mengurus ruang sempit masing-masing. Semua petugas hotel cukup bersabar dan menjalankan tugas dengan baik.

Saya masih terbayang apakah suasananya di Mekah kelak, mungkin juga jumlah jemaah dalam satu bilik bukan lima lagi, mungkin juga enam atau tujuh?

Tetapi itulah haji. Ia bukan satu acara untuk bermewah. Ia adalah satu perlumbaan ibadah. Itu semua diambil kira. Saya dan rakan-rakan redha. Kami menerimanya dengan hati terbuka. Terkenang itulah juga yang pernah dialami oleh ibu bapa kita dulu, atau datuk nenek dan moyang kita yang berlayar sebulan dalam perut kapal.

Saya difahamkan ramai juga ahli politik, ahli-ahli Parlimen dan ADUN yang mengikuti muasasah ini. Betul ke? Jika benar memang patutlah.

Suasana muasasah wajib diikuti oleh mereka dari semasa ke semasa. Nama pun wakil rakyat, maka mereka juga harus bersama-sama rakyat. Maaf jika tersinggung.

Kumpulan kami akan tertolak ke Mekah Jumaat ini melalui miqat Bir Ali dengan niat ihram. Di situ bermulalah Olimpik sebenar untuk mendapat haji.

Namun yang penting, saya dapat melihat orang Afrika menyapa jemaah lain, orang Cina menyapu wangian ke tangan saya, saya menyapu attar bau-bauan Raudah ke tangan warga Indonesia. Itulah kuatnya ukhwah Islamiah sejagat. Di luar kota masing-masing boleh pula kita lari daripada kejumudan pemikiran kita.

Selain persiapan spiritual, urusan haji memerlukan pergerakan fizikal serta kesihatan yang baik.

Doakan kami, doa kalian semua biarlah haji yang kami laksana ini ialah haji mabrur - yang diterima-Nya!

Sekian untuk minggu ini Cuit dari Tanah Suci Madinah. Minggu depan ikuti kisah saya di Mekah pula, sehinggalah tamatnya musim haji yang sedang saya dan isteri tempuhi selama 47 hari.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:19
Asar 4:31
Maghrib 7:24
Isyak 8:34



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.