saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 21/10/2013

Giliran Gerakan memilih barisan pemimpin hadapi cabaran PRU-14

SELEPAS pemilihan UMNO berakhir kelmarin, tumpuan kini terarah kepada dua parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan Gerakan. Bagi MCA yang akan melangsungkan pemilihan akhir tahun ini, sudah nampak tanda-tanda akan berlaku perebutan hebat antara penyandang jawatan itu Chua Soi Lek dan timbalannya, Liow Tiong Lai. Perkembangan yang berlaku semalam apabila resolusi mencela Tiong Lai ditolak menunjukkan tanda-tanda akan berlaku perebutan dalam parti berkenaan. Namun masih terlalu awal untuk melihat sejauh mana ‘pergolakan’ dalam MCA ini. Mungkinkah selain Tiong Lai, bekas Presiden, Ong Tee Keat akan turut serta mencabar kedudukan Soi Lek?

Untuk tempoh terdekat ini, eloklah fokus diberi kepada satu lagi komponen BN iaitu Gerakan. Walaupun saingan dijangka tidak sehebat pemilihan UMNO yang melibatkan pertandingan di semua peringkat jawatan kecuali Presiden dan Timbalan Presiden, pertandingan yang berlaku kali ini amat penting bagi membentuk satu barisan yang lebih mantap dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Lebih menarik, apabila pemangku Presiden Gerakan, Chang Ko Youn enggan bertanding jawatan tersebut. Beliau mahu memberi laluan kepada ‘orang muda’ untuk memimpin parti itu. Ko Youn memangku jawatan itu sejak 16 Mei lalu berikutan peletakan jawatan Dr. Koh Tsu Koon yang berbuat demikian kerana mahu bertanggungjawab terhadap kekalahan teruk Gerakan pada PRU lalu. Gerakan hanya menang satu daripada 11 kerusi Parlimen dan tiga daripada 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Dalam senario politik hari ini, Ko Youn, 56, amat mengharapkan tidak berlaku sebarang pertandingan bagi jawatan No. 1 dan No. 2. Sambil mengakui kepentingan demokrasi dalam pemilihan tetapi bagi sebuah parti yang memerlukan pemulihan, beliau bimbang kesan negatif yang akan berlaku selepas pertandingan merebut jawatan-jawatan utama dalam parti. Kebimbangannya ada asas kerana Gerakan ketika ini memerlukan kesepaduan yang jitu bagi menebus kekecewaan pada PRU lalu. Adakah Gerakan mampu menguruskan kesan negatif yang dialami selepas pemilihan ini?

Sama ada mampu atau tidak menguruskan kesan negatif ini terletak kepada barisan kepemimpinan yang bakal dipilih. Pertandingan dalam Gerakan pada pemilihan minggu depan tidak dapat dielakkan. Hanya sayap Wanita Gerakan tidak berlaku pertandingan bagi jawatan ketua selepas Tan Lian Hoe menang tanpa bertanding bersama timbalannya Ng Siew Lai serta tiga naib ketua. Perebutan dalam Pemuda juga menarik perhatian apabila Timbalan Ketua Pemuda Kebangsaan, Oh Tong Keong akan berhadapan dengan Ketua Pemuda Kedah, Tan Keng Liang.

Bagi jawatan Presiden, ia melibatkan perebutan antara Naib Presiden yang juga Pemangku Setiausaha Agung, Mah Siew Keong, 52 dan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang yang juga bekas Setiausaha Agung, Teng Chang Yeow, 50. Dilihat pada usia, Ko Youn, Siew Keong dan Chang Yeow tergolong dalam golongan orang muda. Cuma umur mereka sahaja yang memisahkan siapa paling muda. Ko Youn bagaimanapun melihat dirinya termasuk dalam golongan orang lama kerana telah berkhidmat pada era Presiden, Dr. Lim Keng Yaik.

Siew Keong dan Chang Yeow masing-masing mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan dan parti.

Bagaimanapun dalam PRU lalu, kedua-duanya tewas. Siew Keong kalah kepada calon DAP di kawasan Parlimen Telok Intan. Siew Keong menjadi anggota Parlimen Teluk Intan (1999-2008) dan pernah menjadi Timbalan Menteri dan Ketua Pemuda Gerakan (2002-2008).

Chang Yeow, bekas Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang pula gagal di kawasan DUN Bukit Tengah selepas dikalahkan oleh calon PKR. Sebelum ini Chang Yeow dilihat sebagai pemimpin yang mampu memimpin Gerakan pada masa depan. Pelantikannya sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang menjelang PRU lalu menggambarkan kepercayaan parti dan BN terhadap kepemimpinannya.

Bagaimanapun akibat ‘kejutan’ yang dialami pada PRU lalu, beliau melepaskan semua jawatan dalam parti sama ada di peringkat negeri dan pusat. Dalam usia yang muda, beliau yang dilihat berpotensi untuk memimpin Gerakan seolah-olah merajuk dan berputus asa untuk meneruskan perjuangan. Tindakannya menyebabkan Gerakan ‘kehilangan’ dua pemimpin utama iaitu presiden dan setiausaha agung. Ko Youn memangku jawatan presiden manakala Siew Keong, naib presiden yang mendapat undi tertinggi dalam pemilihan 2008 memangku jawatan Setiausaha Agung mulai 11 Mei lalu.

Akhirnya pertembungan kali ini melibatkan pemimpin Gerakan yang memangku jawatan setiausaha agung selepas PRU dan bekas setiausaha agung yang meletak jawatan sesudah PRU. Adakah Chang Yeow sudah pulih daripada kejutan dan bersedia melakukan perubahan dalam Gerakan? Kesediaannya untuk kembali ke gelanggang politik Gerakan terserlah pada pemilihan Pengerusi Gerakan Negeri Pulau Pinang yang dikosongkan oleh Dr. Teng Hock Nan. Dalam pemilihan yang diadakan, beliau menewaskan Baljit Singh. Sudah tentulah kemenangan itu mendorong beliau untuk kembali ke gelanggang di peringkat pusat dengan jawatan yang lebih mencabar.

Siapa pun yang terpilih - Chang Yeow atau Siew Keong, tanggungjawab mereka untuk memulihkan kepercayaan pengundi terutama dalam kalangan masyarakat Cina khususnya di Pulau Pinang untuk kembali menyokong BN. Gerakan yang sebelum ini popular dengan slogan Satu Hati, Satu Negara, Satu Wawasan kini mengorak langkah dengan tema Cara Baharu, Harapan Baharu dan Gerakan Baharu pada Persidangan Perwakilan Kebangsaan parti itu tahun ini. Langkah ini bagi memastikan Gerakan terus relevan dalam politik negara ini. Cukuplah, selama dua PRU, Gerakan ‘dilanyak’ oleh DAP khususnya di Pulau Pinang yang selama ini menjadi kubu kuat parti itu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:19
Asar 4:32
Maghrib 7:24
Isyak 8:35



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.