saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 11/12/2013

Baca kisah 'Khianat' oleh Anak Si Hamid!

SAYA memang terfikir untuk menulis mengenai erti perjuangan Mendiang Nelson Mandela, yang meninggal dunia hujung minggu lalu.

Semasa membelek-belek laman blog, saya terbaca posting terbaru anaksihamid.blogspot.com yang ditulis seorang kenalan yang saya panggil sebagai kakak Maz. Dia berasal dari Singapura, tetapi telah menghuni dengan suaminya berbangsa Scot di Kuala Lumpur.

Dalam usianya sekitar 70-an, tulisannya cukup tajam. Darah Melayu Singapura pra-Republiknya cukup utuh. Saya, secara peribadi pernah duduk bersembang dengan beliau dan suaminya.

Mereka cukup peramah dan mempunyai pandangan yang cukup kritis mengenai pelbagai perkara. Kak Maz bercakap dengan tegas mengenai soal bangsa manakala suaminya, Ian bercakap mengenai Islam yang progresif.

Saya ada menghadiahkan buku Cuit: Dilema Melayu Moden. Kata Kak Maz: ‘‘Saya baca Melayu merangkak-rangkak sedikit tapi saya akan baca." Seminggu kemudian beliau menulis dalam blognya itu bertajuk: Baja Akal (21 Jun 2013).

Kak Maz, bekas guru di Singapura, dalam posting terbaharunya menulis mengenai Mandela. Namun katanya, semasa membelek artikel di laman sesawang akhbar UK, Daily Mail, beliau terjumpa satu komen yang berunsur memburukkan Malaysia.

Komen itu dihantar oleh seorang bernama davidlee52.

Komen itu ditulis begini: Satu-satunya negara yang masih tinggal di dunia dengan versinya yang tersendiri mengenai aparteid ialah Malaysia dan negara itu memerlukan sebuah kerajaan yang sangat adil yang boleh menyamai perjuangan Encik Nelson Mandela. (The only country left in the world with its own version of apartheid is Malaysia and the country needs a great fair government and a leader that could walk in the shoes of Mr Nelson Mandela.)

Kak Maz ternyata marah dengan komen itu. Baca petikan bidasan anaksihamid ini bertajuk Perfidy atau Khianat.

Ya, benar. Malaysia memerlukan ‘sebuah kerajaan yang sangat adil’. Tetapi ‘sangat adil’ untuk mengimbangi ketidaksamaan kekayaan antara kaum Cina dan pribumi Melayu serta bumiputera.

Jurang besar kekayaan ini - yang dibentuk oleh kuasa sejarah, politik dan budaya - ada persamaan antara kaum pendatang kulit putih di Afrika Selatan dan kaum asli kulit hitam semasa dan selepas apa yang dipanggil sebagai aparteid di Afrika Selatan.

Sudah tentu realiti politiknya berbeza, tetapi penguasaan pengagihan kekayaannya adalah sama. Namun, memang ada pribumi yang kaya dan pendatang yang miskin, tetapi di antara kedua-dua kes itu ia cukup sedikit.

Yang pasti, ia memerlukan lebih daripada kebijaksanaan dan kekuatan Mandela untuk menghapuskan ketidakadilan jurang ekonomi itu di Malaysia - seperti mana ia masih lagi berlaku di Afrika Selatan!

Dalam banyak hal, dakwaan davidlee52 ini boleh diketepikan melalui perangkaan dan statistik ini.

Menurut Malaysia Today, yang memetik Nanyang Siang Pau; 10 orang terkaya di Malaysia adalah (ikutan menurun) T. Ananda Krishnan, Robert Kuok, Teh Hong Piow, Lee Shin Cheng, Lim Kok Thay, Quek Leng Chan, Yeoh Tiong Lay, Mokhtar al-Bukhary, Azman Hashim and Lee Oi Hian.

Jadi kedudukannya ialah: 1 India, 1 Arab, 1 Melayu, 7 Cina. Tidakkah ia kelihatan seperti senarai 10 orang terkaya di Afrika Selatan, yang memperlihatkan kaum kulit putih menguasai kekayaan?

Jika davidlee52 menganggap Malaysia sebagai negara aparteid, iaitu seseorang menguasai kumpulan pribumi yang lain, dan kaum Cina menguasai keseluruhan kekayaan itu - jadi benarlah ia adalah aparteid di Malaysia!

Kamu tidak boleh mengumpulkan sebanyak itu kekayaan jika anda menderita ditindas dan dipisahkan seperti kaum kulit hitam di Amerika Syarikat dan di Afrika Selatan.

Tetapi penguasaan dan pengawalan yang serupa juga berlaku di Indonesia dan Filipina. Jadi sudah ada dua lagi rejim aparteid di Asia Tenggara!

Mari kita lihat carta 10 teratas di Indonesia itu. Mereka adalah Budi Hartono (Oei Hwi Tjong), Eka Tjipta Widjaj (Oie Ek Thong), Anthony Salim dan keluarga (tidak jumpa nama Cina), Susilo Wonowidjojo dan keluarga (Cai Doping) dan dua lagi Cina ialah Mochtar Riady dan Sukanto Toto.

Chairul Tanjung dan Sri Prakash Lohia sudah tentu bukan dalam golongan orang Tionghua ini. Dan bagi Boenjamin Setiawan dan Peter Sondakh - saya tidak menjumpai maklumat mengenai mereka.

Dan bagi Filipina pula, senarai 10 teratas antaranya adalah, Henru Sy dan keluarga (No. 1 - harta bernilai $12,000 juta), Lucio Tan dan keluarga, Andrew Tan, George Ty dan keluarga.

Apa lagi alasan davidlee52 itu yang cuba bermain dengan sentimen perkauman berhubung ketidakadilan dan ketidaksamaan dan demokrasi? Lihat lagi fakta ini.

Di luar negara Tanah Besar China, Malaysia ialah satu-satunya negara yang menyediakan pendidikan vernacular Cina. Singapura, dengan penduduknya lebih 75 peratus orang Cina, hanya menyediakan tempat untuk pelajar terbaiknya sahaja bagi mendapatkan pendidikan Cina - di sekolah SAP, di mana murid-muridnya ditatang bagai anak emas.

Tambahan fakta lagi mengenai “Aparteid Malaysia". Dari segi kemasukan ke institusi pengajian lepasan-menengah, kadar kaum Cina telah meningkat daripada 65 peratus (1990) kepada 96 peratus 2005. Lebih menarik ialah peningkatan kaum Cina dalam institusi pengajian tinggi awam daripada 13 peratus (1980) kepada 69 peratus (2005).

Saya dapat mengagak davidlee52 akan berkata ‘‘itu adalah kerana budak-budak Melayu (dan India) ketinggalan dan pemalas." Jika itu alasannya, ia adalah taktik lama di zaman kolonial.

Pengalaman saya sebagai guru di Singapura mengajar saya bahawa kepandaian seseorang murid lebih daripada faktor warna (kulit) dan budaya.

Mereka daripada latar belakang kelas menengah yang senang-lenang, terutamanya yang tinggal di kawasan bandar mempunyai keistimewaan yang cukup untuk berjaya dalam pelajaran, bukan sahaja daripada segi motivasi tetapi juga kesihatan dan kemudahan.

Kaum Cina selalunya, sering tergolong dalam golongan (denizens) berada dalam kawasan bandar yang disediakan kemudahan terbaik oleh British, perkhidmatan dan infrastruktur pendidikan, pekerjaan dan kesihatan - satu peninggalan yang memberi kelebihan kepada masa depan mereka.

Rakyat Malaysia daripada semua warna kulit harus berasa bangga untuk mengetahui bahawa senarai billionaire dunia, Robert Kuok berada di nombor ke-33 (walaupun Ananda Krishnan telah melepasinya pada tahun 2013), Lee Shin Cheng (189), Quek Leng Chan (277), Teh Hong Piow (277) dan Teoh Tiong Lay (421).

Jadi apa yang soldadu siber Sino ini tidak puas hati sangat?

Amat memalukan davidlee52 memilih tidak mengulas dalam The Daily Mail mengenai kematian Mandela, tetapi sebaliknya menggunakan platform itu untuk meniupkan sikap cauvinis dan anti-Malaysia.

Pada tahun 2000, saya dan pasangan saya melawat ke Afrika Selatan. Di Port Elizabert, kami dinasihatkan oleh rakan kulit putih supaya jangan mengambil Pawancha atau Teksi Sapu ke ibu kota kerana ia dikendalikan oleh orang kulit hitam. Kami tidak mengendahkan nasihat itu dan kami dilayan baik seperti penumpang yang lain.

Kemudian kami mengambil bas dari Port Elizabert ke Cape Town. Kami tidak akan melupakan peristiwa itu. Di atas bas itu, kami saksikan seorang wanita kulit putih memberi setin air minuman kepada seorang kulit hitam Afrika Selatan - yang kelihatan cukup-cukup miskin - di sebelah tempat duduknya.

Kita mungkin menyangka, dia adalah seorang wanita yang budiman - yang menyisihkan sifat ketuanan dan rantai aparteid. Namun, yang sebenarnya, dia mendermakan minuman yang tidak boleh dihabiskannya - sisanya.

Mendiang Nelson Mandela telah membuka pintu untuk sedikit keadilan kepada rakyatnya, namun para pengikutnya dan generasi muda selepasnya perlu bekerja lebih keras. ‘Kebebasan’ bukan mudah untuk diserahkan oleh mereka yang berkuasa dan kaya-raya.

Tetapi untuk memberi Keadilan dan Kesaksamaan - peluang bagi membolehkan rakyat ‘duduk sama rendah dan berdiri sama tegak’ untuk mengagihkan semula bahagian masing-masing, adalah sesuatu mimpi ngeri (anathema) kepada mereka yang berada di atas mahligai kekayaan itu.

Itulah kisah Kak Maz yang kita semua rakyat Malaysia harus renungkan. Jadi, apa lagi yang anda tak puas hati? Cukup-cukuplah...

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:40
Zohor 1:13
Asar 4:37
Maghrib 7:21
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.