saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 22/12/2013

Chong Chor komunis tegar

DUA pengganas komunis wanita dikenali sebagai Ah Heng dan Wai Chan beraksi mengacu senjata semasa dirakam gambar di markas Regimen Ke-12 PKM di Sungai Piah, Ipoh, Perak pada 1952.

CHONG Chor, komander Unit Penggempur Keenam Parti Komunis Malaya (PKM) telah terbabit dalam aktiviti komunis lebih hampir 50 tahun. Dia yang dilahirkan di Canton (kini Guangzhou) China, dibawa ibunya berhijrah ke Tanah Melayu pada 1929 dan mula aktif dalam komunisme seawal usia 13 tahun.

Chong Chor ditangkap polis Cawangan Khas (SB) di hadapan kedai tekstil terkenal di Jalan Tunku Abdul Rahman bersama pengawal peribadinya, Yeong Nam pada 2 Mac 1988. Ketika itu dia berusia 66 tahun.

Chong Chor hidup selama 11 tahun lagi sebelum mati kerana sakit jantung di Kuala Lumpur pada 9 Mei 1997. Kematiannya itu begitu ironi dengan hakikat dia memimpin pasukan pengganas yang membunuh sesama sendiri yang dianggap pengkhianat dan rakyat yang tidak berdosa, semata-mata mahu menegakkan fahaman komunisme di Tanah Melayu.

Bermula 1 Disember lalu, akhbar ini menyiarkan sebanyak 14 bahagian petikan daripada fail sulit pengakuan Chong Chor yang tidak pernah didedahkan kepada umum selama ini.

Fail sulit ini adalah siri kedua selepas pendedahan fail sulit Pengerusi PKM, Musa Ahmad pada Oktober lalu. Sebagaimana yang pertama, siri laporan itu telah mendedahkan pelbagai agenda pengganas komunis, bagaimana ia menyusup masuk ke dalam masyarakat dan institusi Melayu.

Menggunakan bahasa Chong Chor sendiri, dia mendedahkan kekejaman parti terhadap pengganas komunis menerusi program 'Kempen Penghapusan' iaitu mengesan dan menghapuskan anggota yang disyaki ejen kerajaan atau pengkhianat.

Kempen itu mendedahkan tebalnya sikap curiga-mencurigai, syak wasangka dan paranoid sesama sendiri yang menghantui kepimpinan PKM sepanjang gerakan bersenjata dalam hutan belantara, khususnya di selatan Thailand yang menjadi markas mereka.

Sama ada direka-reka atau benar-benar datang dari hati, Chong Chor memberitahu polis Cawangan Khas (SB) bahawa dia tidak bersetuju dengan pelaksanaan kempen tersebut. Tetapi pada masa yang sama, dia juga mengaku telah menjatuhkan hukuman mati terhadap tujuh anggota atas tuduhan menjadi ejen kerajaan.

Dalam pendedahan yang disiarkan Utusan Malaysia pada 17 Disember lalu, barulah diketahui pergolakan dalaman PKM itu telah menyebabkan perpecahan serius di mana parti itu berpecah kepada tiga iaitu satu sebagai pusat pemerintah, yang kedua Rejimen kelapan dan ketiga, Rejimen ke-12. Maklumat ini tidak diketahui ramai.

Laporan pengakuan Chong Chor ini juga memaparkan kemusnahan harta benda akibat perbuatan khianat pengganas komunis.

Ada yang bertanya, kenapa Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia menyiarkan laporan komunisme sekarang, yang sudah dianggap tidak relevan. Jawapannya mudah. Fakta sejarah ini adalah penting bagi menyedarkan semula pemahaman orang ramai terhadap kejahatan pengganas komunis dan bagaimana taktik-taktik subversif sama ada berbentuk propaganda dan bersenjata, diguna semula hari ini untuk menjatuhkan kerajaan secara kekerasan.

Pendedahan ini juga diharap boleh memberikan generasi muda bangsa Malaysia pemahaman yang cukup jelas tentang pengganas komunis dan perjuangannya serta tindakannya untuk menjahanamkan negara kita. Betapa sengsara hidup penduduk Tanah Melayu dibuatnya. Kekejaman komunis melangkaui isu kaum. PKM membunuh bukan sahaja kaum Melayu tetapi juga kaum Cina yang tidak menyokong mereka.

Cubaan pihak tertentu yang mahu mendesak kerajaan membenarkan abu Chin Peng dibawa balik adalah penderhakaan kepada nyawa rakyat negara ini yang dibunuh secara kejam oleh pengganas-pengganas komunis,

Cubaan itu juga satu penghinaan kepada pengorbanan perajurit negara ini menentang musuh. Dalam laporan ini juga, dipaparkan secara teliti bagaimana anggota SB bertungkus-lumus di belakang tabir bagi membongkar kegiatan komunis di dalam dan luar bandar. Mereka turut jadi sasaran pembunuhan dan diburu oleh skuad pembunuh komunis.

Chong Chor, sebagai pemimpin veteran PKM dengan pangkat anggota rizab Jawatankuasa Pusat, pengetahuannya mengenai komunisme dianggap sangat teguh.

Atas kegigihan, keyakinan dan dedikasinya memperjuangkan komunisme, dia dihormati kesemua anggota Unit Penggempur Keenam dan juga anggota-anggota komunis lain dalam parti.

Sebagai pemimpin komunis tegar dan telah mempamerkan kesetiaan mutlak kepada parti, jika tidak ditahan, tidak mungkin mudah baginya untuk mendedahkan butir-butir terperinci aktiviti komunisme kepada Polis Diraja Malaysia.

Kedegilannya jelas semasa peringkat awal soal siasat ke atasnya apabila dia sangat keberatan untuk menceritakan kesemuanya atau mendedahkan saki-baki anggotanya dalam Unit Penggempur Keenam yang masih beroperasi di Pahang dan Selangor ketika itu.

Sebaliknya, Chong Chor lebih cenderung untuk membawa orang-orangnya keluar dari hutan menerusi formula rundingan damai, dan sekiranya boleh turut dimasukkan ke dalam intipati perundingan damai yang berlangsung antara PKM dengan kerajaan Malaysia dan Thailand ketika itu.

Namun sebagaimana satu demi satu kejadian berlaku seperti yang dirancang oleh SB, Chong Chor mendapati dia tidak berada dalam kedudukan untuk meletakkan syarat kerana saki-baki anggotanya sama ada ditangkap atau menyerah diri, dengan bantuan tiga lagi orang kanannya.

Pada akhir Julai 1989, kesemua saki-baki anggota Unit Penggempur Keenam diisytiharkan tumpas keseluruhannya.

Di sebalik berdepan dengan kemungkinan buruk dilabel sebagai pengkhianat oleh PKM kerana membuat pendedahan sehingga Unit Penggempur Keenam terhapus sama sekali, Chong Chor mengekalkan pendirian dan fahaman ideologinya, serta enggan mengaku kesilapan.

Sehingga ke akhir hayatnya, Chong Chor enggan mengaku secara terbuka bahawa kegiatan subversifnya untuk menumbangkan kerajaan secara keganasan adalah salah.

Pegawai yang menyoal siasat Chong Chor merumuskan bahawa apa sahaja kerjasama yang diberikannya dalam soal siasat adalah dibuat berdasarkan kesesuaian dan lebih sebagai 'bayaran tebusan' untuk memastikan dia menerima hukuman ringan daripada pihak berkuasa.

Menurut fail sulit pengakuan Chong Chor, Unit Penggempur Keenam PKM telah kehilangan seramai 168 anggota sejak penubuhannya pada 1 Oktober 1973 iaitu 83 orang ditembak mati pihak keselamatan, 27 lagi mati atas sebab-sebab lain, 38 ditangkap dan 20 lari meninggalkan unit itu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:46
Zuhur 1:07
Asar 4:15
Maghrib 7:09
Isyak 8:18



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.