saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 20/01/2014

Awasi 'formula kemusnahan' adab sopan orang kita

DULU, media cetak dan elektronik terutama media arus perdana sering dipersalahkan kerana berita yang kurang enak serta menampilkan gambar yang dianggap menjolok mata. Media dipersalahkan kerana laporan sedemikian kononnya akan menimbulkan masalah sosial. Teguran ini juga pernah dimasukkan dalam khutbah Jumaat. Itu cerita dulu. Kini keadaan sudah berubah. Dalam era ‘langit terbuka’, media cetak dan elektronik arus perdana tidak mampu lagi menyekat dan menapis maklumat. Di luar media arus perdana, sudah ada kebebasan penyebaran maklumat. Baik atau buruk, maklumat sudah ada di hujung jari, 24 jam, berlegar tanpa henti-henti. Anak-anak kita yang celik IT lebih mudah mendapat maklumat. Terserah kepada ibu bapa untuk ‘memandu’ mereka. Penggunaan media baharu seperti internet, e-mel, facebook, twitter, whatsapp dan sebagainya mendedahkan mereka kepada pelbagai maklumat. Bukan sahaja maklumat dalam bentuk teks tetapi juga lakaran, kartun, grafik, serta video.

Memang elok jika semua kemudahan media baharu itu digunakan untuk kebaikan. Malangnya, kemudahan itu sudah menjadi medan memfitnah, mencemuh, mengejek, menyindir, mengaib dan menghina sesama manusia. Media baharu hari ini umpama kilang fitnah yang sentiasa mencari jalan untuk merosakkan pemikiran masyarakat, menanam persepsi buruk terhadap seseorang terutama pemimpin. Menyelak kembali pada era masa lalu, fitnah seumpama ini bergerak melalui surat layang yang mengambil masa untuk sampai ke tangan pembaca. Kadang-kadang surat layang dibakul sampah sebelum dibaca atau diedarkan. Sekarang, fitnah bergerak pantas melalui pelbagai medium. Begitu juga dengan surat berantai. Dulu, terpaksa ditulis dengan tangan atau ditaip tetapi sekarang lebih mudah melalui telefon bimbit. Teknologi ini boleh menukar wajah baik seseorang dengan wajah yang ‘hodoh’ beserta dialog yang tidak manis, berbentuk sindiran atau pembohongan. Teknologi boleh mengubah ucapan sebenar kepada lagu berbentuk sindiran. Dialog palsu boleh diletak pada gambar seseorang yang bertujuan menyindir. Lihat sahaja isu skandal seks yang melibatkan seseorang yang mirip pemimpin parti pembangkang, kes pencerobohan Lahad Datu dan terkini isu kangkung. Begitulah teknologi yang memudahkan kerja manusia menyebarkan pelbagai pandangan bukan sahaja yang baik-baik tetapi juga perkara tidak baik yang berunsur fitnah, sindiran, cercaan dan kritikan tidak sihat.

Teknologi itu tidak boleh dipersalahkan kerana kemudahan itu juga boleh digunakan ke arah kebaikan. Dalam jangka masa panjang, apakah kesannya situasi penyalahgunaan teknologi ini kepada generasi muda sebagai pelapis untuk memimpin negara? Apakah jenis generasi yang mahu kita lahirkan? Cabaran pemimpin masa depan nampaknya lebih mencabar dengan adanya tekonologi seperti hari ini. Jika dulu, ayat-ayat atau kata-kata sindiran, cercaan atau perbuatan biadab sukar dipertontonkan tetapi hari ini, semuanya dapat dilihat dan dibaca dengan mudah serta pantas. Tidak ada tapisan atau istilah ‘tidak sayang mulut’. Sudah tentu setiap penghinaan akan menyentuh perasaan atau mengguris hati orang berkenaan. Begitu juga keluarga yang akan terasa tempias cercaan itu lebih-lebih lagi melibatkan seorang pemimpin.

Contohnya dalam isu kangkung. Riuh rendah ruang media baharu. Sudah hilang perasaan adab sopan. Apa yang penting, pihak ini mahu mencapai matlamat untuk menyemai dan menanam kebencian terhadap pemimpin. Adakah pengikut pemimpin yang dicemuh akan berdiam diri? Walaupun tidak dibalas dengan kaedah yang sama melalui media baharu tetapi setiap orang ada tahap kesabaran. Jangan kerana kangkung, manusia sanggup ‘berperang’ untuk mempertahankan ideologi masing-masing.

Kelmarin di Permatang Pauh, lebih 3,000 orang menyertai perhimpunan bagi mengecam tindakan biadab ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon dan sekumpulan penyokong DAP menyumbat kangkung ke dalam mulut patung menyerupai perdana menteri minggu lalu. Adakah wajar tindakan wakil rakyat itu? Apa perasaan dia jika mulut Lim Guan Eng disumbat dengan Mercedes-Benz S300L? Mungkin DAP akan menganggapnya tidak apa. Cuma yang membezakan dua situasi ini ialah nilai kangkung berbanding Mercedes-Benz S300L. Berapa sangat harga kangkung? Kadang-kadang sayur itu boleh didapati secara percuma di parit, paya atau tanam sendiri di belakang rumah (bagi yang rajin) berbanding Mercedes-Benz S300L. Berapa ramai orang Pulau Pinang yang mampu memiliki kereta jenis itu?

Kembali ke Permatang Pauh. Memang benar kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Reezal Merican Naina Merican semasa menghadiri perhimpunan itu. Katanya: “Kita boleh berbeza pendapat tetapi jangan sampai menghina. Tindakan yang dilakukan oleh ADUN Machang Bubuk itu bukan sahaja biadab tetapi kurang ajar.’’

Dalam politik, kita boleh ‘berbaju’ biru, hijau, merah dan sebagainya tetapi ketika mahu menunaikan solat di surau atau masjid, kita berada di saf atau barisan yang sama dan lurus tanpa mengira fahaman politik. Itu yang diajar kepada kita tetapi dengan kehadiran tekonologi baharu hari ini, adakah semuanya sudah berubah? Apakah sudah tidak ada lagi rasa hormat terhadap orang yang sedikit sebanyak sudah berjasa atau lebih tua daripada kita? Sebagai orang Islam atau Melayu yang dididik dengan pelbagai adat resam bersandarkan ajaran agama dan budaya, adakah kita dibenarkan untuk mencerca, menghina dan mengaibkan seseorang yang melakukan sesuatu dengan niat baik?

Malang bagi generasi hari ini, mereka didedahkan dengan pelbagai bentuk media yang boleh menghakis rasa hormat terhadap orang lain yang sebangsa dan seagama dengan mereka. Lebih malang jika ‘permainan’ ini dilakukan oleh musuh yang bertujuan memecahbelahkan perpaduan sesuatu kaum dan agama.

Kita bimbang kemungkinan ada pihak yang sengaja mencipta ‘formula kemusnahan’ ini untuk kepentingan politik. Dalam politik, pihak berkenaan akan menggunakan pelbagai kaedah untuk menarik perhatian rakyat. Walaupun tindakan itu melampaui batasan tatasusila agama dan budaya, tetapi ada sesetengah pihak tidak peduli itu semua. Bagi yang beragama Islam, soal dosa, pahala ditolak ketepi lebih-lebih lagi yang pegangan agamanya goyang tetapi merasakan diri lebih berilmu. Maka mereka ini akan menjadi penyumbang kepada penyebaran bahan-bahan yang dianggap menghina, mencerca dan mengaibkan seseorang dengan niat untuk memalu atau memperlekeh individu berkenaan. Akibatnya mesej yang memualkan ini menjadi seperti ‘surat berantai’ yang jika tidak dipanjangkan kepada orang lain akan menjadi satu dosa atau bakal ditimpa bala. Memang ada juga mesej melalui media baharu yang mengajak manusia ke arah kebaikan seperti penyebaran maklumat mengenai ceramah atau video agama, bacaan al-Quran dan sebagainya. Tetapi, lumrah manusia, kebanyakannya lebih gemar dengan mesej berunsur penghinaan atau sindiran.

Kita harus berhati-hati supaya formula kemusnahan ini tidak merosakkan umat Islam. Perlu ada kebimbangan dalam kalangan kita bahawa media baharu ini akan memandu ke jalan yang tidak diredai. Ketika kita berusaha mencari jalan ke syurga jangan pula kita terarah ke neraka disebabkan tindak-tanduk yang sama ada kita sedar atau pura-pura tidak sedar disebabkan kepentingan tertentu. Jangan ketika kita bercakap mengenai kangkung, diri kita begitu mudah ‘dicelur’ musuh untuk dijadikan pecal atau yong tau fu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:19
Asar 4:31
Maghrib 7:24
Isyak 8:34



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.