saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 26/01/2014

Anak peneroka terajui ITBM

MOHD. Khair menerima Anugerah Tokoh Alumni UIAM 2012 daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

PELBAGAI pengalaman pahit manis dalam kehidupan diharungi anak peneroka Felda Air Tawar 3, Kota Tinggi, Johor, Mohd. Khair Ngadiron.

Beliau yang kini merupakan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) bangga menjadi anak Felda dan menyifatkan pengalaman ditimba di tanah rancangan sebagai begitu berharga.

Bermula dengan kehidupan di luar bandar, Mohd. Khair diberi peluang memasuki rancangan khas anak peneroka yang berpotensi ke sekolah bandar.

"Ketika Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), saya cuma mendapat 4A selain 1D bagi Bahasa Inggeris. Apabila saya berpeluang bersekolah di bandar, kelengkapan dan kemudahan lebih baik membolehkan saya memperoleh keputusan peperiksaan lebih baik," katanya.

Walaupun beliau sering mendapat keputusan cemerlang, mata pelajaran bahasa Inggeris masih lemah. Pada awalnya, beliau sendiri tidak menitik beratkan penguasaan bahasa tersebut.

"Ketika bersekolah, saya sedikit rendah diri maklumlah anak orang kampung dan tidak pandai berbahasa Inggeris.

"Ketika membuka akaun di bank, kerani bertanya sama ada saya mahu masukkan 'scholarship'. Saya menjawab tidak, saya nak masukkan biasiswa," katanya.

Itu antara pengalaman yang tidak dapat dilupakannya. Kecemerlangan pelajaran di peringkat sekolah menengah memberi peluang kepada Mohd. Khair meneruskan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang undang-undang.

Pada awalnya, beliau sendiri gusar kerana tidak yakin dengan penguasaan bahasa Inggeris. Kebetulan ketika itu UIAM mengguna khidmat pensyarah luar negara yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama.

"Saya sendiri seperti mengalami kejutan budaya. Pertama kali masuk kuliah, saya kurang faham apa yang pensyarah ajar. Pun begitu, saya tidak mahu mengalah kerana saya perlu mengharunginya.

"Apa yang saya lakukan ialah memperbanyakkan bacaan buku bahasa Inggeris. Malah saya memilih untuk membaca surat khabar Inggeris. Lama-kelamaan bahasa Inggeris bukan lagi sesuatu yang sukar untuk saya. Saya berjaya menguasainya termasuk memahami apa yang pensyarah saya ajar," katanya yang aktif dengan pementasan drama semasa belajar di universiti.

Mohd. Khair memang meminati bidang sastera sejak sekolah menengah lagi. Di universiti, beliau aktif mendeklamasi sajak dan menjadi pelajar pertama mementaskan drama kisah pengharaman UMNO pada tahun 1988.

Selepas menamatkan pengajian, Mohd. Khair memulakan karier dalam bidang pendidikan sebagai pensyarah bidang undang-undang di UIAM.

Ketika menjadi kakitangan UIAM, Mohd. Khairi turut dilantik menjadi jurulatih debat dan berjaya melahirkan pendebat-pendebat muda termasuk wakil Pemuda UMNO, Armizan Mohd. Ali dan Norjuma Habib Mohamed. Selang beberapa tahun, beliau dilantik Timbalan Dekan, Jabatan Kemasukan & Rekod, Pusat Matrikulasi UIAM selama 12 tahun.

Karier baharu

Pada tahun 2007, Mohd. Khair dilantik menjadi Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif di ITBM dan bermulalah perjalanan karier baharu beliau dalam bidang yang berbeza.

"Dua bidang ini sangat berbeza. Sebelum ini saya dalam dunia pentadbiran pendidikan. Sekarang dalam dunia penterjemahan yang akan dinilai dengan keuntungan. Dulu saya hanya berinteraksi dengan pelajar-pelajar saya tetapi kini saya lebih banyak berkomunikasi dengan penulis buku dan masyarakat," jelasnya yang melihat ITBM mempunyai masa depan yang sangat cerah.

Sebelum ini, ITBM dikenali sebagai Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan dijenamakan semula namanya dengan pertambahan mandat untuk menerbitkan karya asli penulis tempatan pada Disember 2011.

"Secara jujurnya, tidak banyak tentang ITBM sebelum ini yang saya tahu. Terlalu menoleh ke belakang pun akan merencatkan perjalanan kita ke hadapan. Sekarang saya melihat ITBM sedang bergerak laju untuk mencapai matlamatnya. Banyak kerja yang perlu direncana dan terus diperjuangkan," katanya.

Bagi Mohd. Khair, karya-karya bahasa Melayu yang diterjemah ke bahasa-bahasa lain merupakan salah satu jambatan dalam memperkenalkan negara ke serata dunia.

Pendekatan mempromosi negara secara intelektual itu katanya, bukan sahaja murah dan mudah, malah memberi kesan yang mendalam serta berpanjangan kepada khalayak pembaca di seluruh dunia.

Ia juga secara tidak langsung membuka mata masyarakat antarabangsa, betapa negara juga tidak kurang hebatnya dengan penulis-penulis berbakat yang setanding dengan tokoh berjiwa seni dunia yang lainnya.

Meskipun tidak mempunyai rekod yang tepat, namun Mohd. Khair beranggapan budaya membaca dalam kalangan masyarakat sebenarnya sangat subur. Malah tidak keterlaluan katanya, untuk menyimpulkan bahawa kita sebenarnya mempunyai kelompok 'ulat buku' yang ramai.

Berkongsi tentang rancangan ITBM pada masa akan datang, Mohd. Khair memberitahu, ITBM bukan setakat menterjemah malah akan lebih aktif menerbitkan buku dalam bahasa Melayu.

Sebagai permulaan, usaha meningkatkan terjemahan dan penerbitan buku menunjukkan hasil positif iaitu untuk tempoh dari 2008 hingga 2012, ITBM berhasil menterjemah dan menerbit lebih 500 judul buku. Dalam pada itu, ITBM berjaya mencapai sasaran menerbitkan 240 judul buku karya asli dalam tempoh dua tahun iaitu dari 2012 hingga 2013.

Dalam usaha penterjemahan, ITBM turut berdepan dengan kekangan mencari penterjemah yang baik terutama dalam bidang sains dan teknologi. Menurut Mohd. Khair, penterjemah yang baik ialah mereka yang bukan sahaja menguasai bahasa malah bidang yang berkaitan.

"Kadang-kadang, ini menimbulkan masalah dengan pelanggan. Bagaimanapun, perkara sebegini jarang berlaku, dan jika berlaku sekalipun, ia adalah untuk bidang-bidang tertentu.

"Ada kalanya dokumen atau karya asal itu sendiri tidak bagus dan penulisnya mengharapkan terjemahan terbaik, sedangkan dalam bidang penterjemahan, kita tidak boleh betulkan berdasarkan pengetahuan kita.

"Kadang-kadang jangkaan pelanggan itu juga berlebihan. Bagaimanapun, kita akan cuba memberi hasil yang terbaik sehingga pelanggan berpuas hati," kata Mohd. Khair.

ITBM juga aktif menterjemah buku-buku karya tempatan berbahasa Melayu ke dalam bahasa asing seperti Perancis, Sepanyol, Jerman dan sebagainya.

Menurut Mohd. Khair, bagi menggalakkan minat masyarakat untuk membaca, mereka perlu mempunyai lebih banyak pilihan bahan bacaan.

Dalam masa sama katanya, untuk melahirkan masyarakat yang kreatif dan berinovasi, penulis memerlukan galakan untuk terus menulis.

"Kalau mereka menulis tetapi tiada orang yang menerbitkan hasil tulisan mereka, ini akan memberi kekangan kepada mereka. Jadi, kita memberi ruang kepada mereka menerbitkan hasil karya mereka," katanya.

Dalam bidang penerbitan buku, ITBM juga akan memberi ruang kepada penulis muda tanpa meminggirkan penulis veteran. Setelah bertungkus lumus, ternyata Mohd. Khair berjaya menggerakkan ITBM sekali gus mendapat pulangan yang menguntungkan walaupun berdepan dengan pelbagai kekangan.

"Kejayaan tidak datang bergolek, banyak dugaan saya tempuhi. Untuk berjaya, kita perlu lakukan pengorbanan besar. Falsafah saya mudah, belajar menyukai apa yang ada di hadapan kita" katanya yang lebih gemar menghabiskan masa hujung minggu dan cuti bersama keluarga.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.