saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 03/02/2014

Berapa banyak lagi siri episod 'drama' Kajang?

DAP akan patuh, Pas akur sahaja. Itu kesimpulan yang sudah pasti diambil apabila Anwar Ibrahim dicalonkan pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang tidak lama lagi. Pada peringkat awal ini, DAP dan Pas masih boleh bersandiwara dengan memberi pelbagai alasan - tidak tahu-menahu atau tidak dibincangkan bersama rakan-rakan pakatan. Hakikatnya jawapan akhir dalam isu Kajang ini, DAP tetap DAP dan Pas tetap Pas. Apabila Anwar ‘turun’ ke gelanggang, mana ada pihak yang berani menghalangnya. Suara-suara ‘nakal’ seperti terkejut, tidak puas hati seperti yang dinyatakan oleh pemimpin pembangkang lain termasuk Setiausaha Agung, Lim Guan Eng (tidak pasti sudah disahkan jawatan atau bekas Setiausaha Agung) akan lenyap begitu sahaja. Mana logiknya Guan Eng berkata, beliau tidak dibawa berbincang atau tidak tahu-menahu hal berkaitan Anwar sebagai calon PRK Kajang. Hakikatnya, ayahandanya, Lim Kit Siang ada bersama Khalid Ibrahim dan Anwar semasa sidang akhbar mengumumkan calon PKR itu. Kalau Kit Siang sebagai ‘tuan penasihat’ sudah ada, apa lagi yang dapat dilakukan oleh ‘tuan setiausaha’?

Begitu juga dengan kenyataan pemimpin muda Pas yang mulanya seolah-olah menentang tetapi kini semakin kendur dan akhirnya menyebabkan Pas angguk sahaja semua keputusan yang dibuat. Anwar akan terus memberi alasan yang meyakinkan sekutunya sehinggalah kepada hari pengundian. Inilah antara siri episod yang sedang dipentaskan dalam ‘drama’ sandiwara Kajang ini. Malangnya tidak ada pula suara rakan-rakan pembangkang yang menyatakan inilah sandiwara sedangkan apabila berlaku pencerobohan di Lahad Datu, ada yang berkata, semuanya sandiwara walaupun hakikatnya, ada nyawa manusia yang melayang. Begitulah sikap pembangkang yang menganggap diri mereka sahaja benar dan betul dalam segala perkara. Percayalah, dalam episod seterusnya, DAP dan Pas tidak ada masalah untuk bekerja dan bersatu bagi memastikan kemenangan Anwar pada PRK ini.

Ketika itu, ramai ‘pelakon’ sampingan pada episod awal akan menjadi ‘hero’ atau ‘pelakon’ yang memegang watak-watak utama. Ketika itu, tidak ada lagi kata-kata boikot, pengkhianat atau dosa. Semuanya akan bertukar menjadi perjuangan dan mungkin mendapat label ‘jihad’. Isu protes ini juga berlaku di Kajang pada PRU lalu tetapi akhirnya semua bersatu untuk memastikan kemenangan calon berkenaan. Apa yang perlu dilakukan oleh pakatan sekarang hanyalah untuk merasionalkan keputusan Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi Kajang. Mereka harus memadamkan persepsi pengundi Kajang bakal dijadikan bahan eksperimen politik semata-mata untuk memberi laluan kepada Anwar.

Bagi Chin Cheh, dia memang tidak ada alasan kukuh untuk mewajarkan keputusannya. Andainya seorang wanita yang sedang mengandung, usia sembilan bulan selepas pilihan raya umum (PRU), wanita itu sudah pasti melahirkan zuriat. Dalam isu Kajang, adakah Chin Cheh tidak mampu bekerja? Jika benar, apakah jaminan wakil rakyat PKR di seluruh negara yang ada sekarang benar-benar boleh bekerja? Adakah PKR sudah tersilap memilih calon di Kajang? Jika benar adakah kesilapan itu juga berlaku di tempat lain? Jika diselak kembali, episod wakil rakyat PKR letak jawatan untuk membuka laluan PRK ini bukan kali pertama. Tanpa alasan kukuh, sudah ada beberapa wakil rakyat PKR meletak jawatan. Lihat sahaja apa yang berlaku di Permatang Pauh dan Penanti (Pulau Pinang), dua kawasan yang menjadi kubu Anwar. Adakah trend Permatang Pauh sudah berjangkit ke kawasan lain dan sebagai permulaan di Selangor?

Ini satu trend yang berbahaya dan merugikan. Adakah demokrasi melalui PRU boleh ‘diliwat, dilacur dan dirogol’ sesuka hati? Ramai yang masih tertanya-tanya sebab sebenar Chin Cheh meletak jawatan. Pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan kerana timbul pelbagai persoalan dalam isu ini. Hari ini umum letak jawatan, esoknya sudah ada calon gantian. Begitu juga dengan kain rentang ucapan Tahun Baharu Cina yang memaparkan wajah Chin Cheh, seolah-olah wakil rakyat itu belum terlintas mahu meletak jawatan.

Mungkin pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh membuat peraturan baharu iaitu sesiapa yang meletak jawatan tanpa sebab kukuh perlu dikenakan denda. Contohnya, jika pada PRU, SPR telah membelanjakan RM2 juta di kawasan berkenaan, maka wakil rakyat yang meletak jawatan itu perlu ‘membayar balik’ RM2 juta untuk membiayai PRK itu. Langkah ini perlu bagi mengelakkan parti politik menjadikan seseorang wakil rakyat dan pengundi sebagai bahan eksperimen politik.

Bagi mewajarkan peletakan jawatan Chin Cheh, pihak pembangkang mengalihkan isu ini daripada peringkat tempatan ke peringkat nasional. Isu DUN Kajang bukan bersifat tempatan tetapi nasional. Cuma tujuannya masih sama iaitu menjadikan Anwar pemimpin bersifat negara. Kajang menjadi loncatan ke Putrajaya. Tetapi kenapa sekarang? Kenapa tidak meninggalkan Permatang Pauh pada PRU lalu dan berhijrah ke Hulu Langat atau Serdang? Apa pula nasib pengundi-pengundi di Permatang Pauh? Adakah selepas ini, sekali lagi kerusi Permatang Pauh akan dikosongkan?

Banyak lagi persoalan yang perlu dijawab. Adakah kerana Kajang sudah hampir dengan Putrajaya maka kawasan itu menjadi pilihan? Sebenarnya, paling hampir tentulah di kawasan Serdang, misalnya DUN Bangi yang kini diwakili Pas. Tentunya Anwar tidak berani mengganggu Pas. Kajang pula, pada PRU 1999 pernah diwakili ADUN Pas, Shafie Abu Bakar. Maknanya, sokongan Pas di Kajang masih kuat untuk membantu PKR mengekalkan kerusi itu pada PRK ini. Ada juga yang menjangkakan Anwar sebagai calon Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Khalid Ibrahim. Walaupun berbuih mulut pihak sebelah sana menafikan tetapi semuanya itu adalah episod drama bersiri Kajang ini. PKR dan Anwar mungkin ada strategi lain lagi.

Seorang pemimpin muda Pas apabila bercakap mengenai perkara ini sedikit-sebanyak sudah menolak Khalid secara terhormat. Jika dulu Khalid sesuai tetapi sekarang dengan tuntutan semasa, Khalid tidak berupaya lagi.

Maka mulalah pemimpin berkenaan merapu tidak tentu pasal dengan mengaitkan pula UMNO pernah melakukan episod peletakan jawatan ini bagi membolehkan Abu Hassan Omar menggantikan Muhammad Muhd. Taib sebagai Menteri Besar. Tahukah kenapa berlaku peletakan jawatan itu? Muhammad yang kini dalam Pas mungkin boleh menjelaskannya. Apakah pandangan Pas ketika itu jika Muhammad masih kekal sebagai MB? Tetapi apa yang berlaku dalam PKR bukan kerana Menteri Besar sekarang menghadapi masalah sama yang dihadapi Muhammad. Maka apa kaitan kerusi Kajang untuk PKR memperbaiki masalah dalaman jika ada? Sejauh mana kerusi Menteri Besar tergugat tanpa mengganggu kerusi Kajang? Apakah implikasinya jika Menteri Besar dikekalkan dan kerusi Kajang tidak diganggu? Sejauh mana pula kerusi Kajang relevan dengan Putrajaya? Masih banyak persoalan yang perlu diselesaikan dalam episod drama Kajang ini. Pengundi-pengundi Kajang dan rakyat seluruhnya masih menanti dengan minat apakah kesudahan drama ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:40
Zohor 1:13
Asar 4:37
Maghrib 7:21
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.