saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 07/02/2014

Perlunya tindakan lebih berkesan

Pelarian etnik rohingya dari myanmar diselamatkan oleh pihak berkuasa thailand di phuket, thailAnd, baru-baru ini. - AGENSI

MESYUARAT Peringkat Tertinggi Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) ke-21 yang diadakan di Phnom Penh pada 18 dan 19 November 2012 telah menzahirkan keazaman politik baru rantau ini dengan termeterainya Perisytiharan Hak Asasi Manusia (HAM) ASEAN atau ASEAN Human Rights Declaration (AHRD) yang melakar sejarah kewujudan rantau yang strategik ini.

Pada 18 November 2012, AHRD telah secara rasmi disepakati dan ditandatangani sebagai susulan perkembangan menarik pada 2009 apabila negara anggota ASEAN berjaya membentuk Badan HAM ASEAN yang tersendiri.

AHRD menyatakan bahawa HAM akan dipertimbangkan mengikut `konteks serantau dan nasional’. Hal ini bererti sikap menghormati, mempromosi dan melindungi HAM tertakluk pada pembatasan-pembatasan yang dilakukan negara anggota ASEAN secara kolektif dan individu.

Hakikatnya, pencapaian HAM di ASEAN tidak mengikut telunjuk dan acuan faham HAM barat semata-mata, tetapi mengambil kira realiti dan pendekatan mengehadkan prinsip-prinsip HAM secara bersama dengan menurut realiti budaya, agama dan sejarah negara-negara anggota.

Penulis berhujah bahawa pendekatan yang telah disepakati tersebut merupakan acuan yang lebih berkesan pada tahap ini di dalam melaksanakan prinsip-prinsip HAM yang juga menjamin HAM dengan baik bagi keseluruhan masyarakat ASEAN.

Apabila proses pembentukan AHRD pada 2012 ini dicermati, kita mendapati bahawa ASEAN yang ditubuhkan pada 1967 sebagai sebuah permuafakatan serantau masih baru di dalam arena dan prakarsa memajukan pencapaian HAM.

Rantau ini jauh berbeza dengan blok Kesatuan Eropah (EU) yang lebih rencam dan telah melahirkan pelbagai institusi HAM seperti Mahkamah HAM Eropah di sepanjang sejarah pembentukannya. Bagaimanapun, pada hakikatnya rantau Eropah berkembang menjadi terlampau liberal di dalam mentafsir hak-hak yang layak dituntut manusia sehinggakan hak-hak kontroversi seperti hak untuk murtad, kebebasan berekspresi yang kontroversi dan hak perkahwinan sesama jenis juga disebarluaskan.

Begitu juga kebebasan yang dicanang bangsa Eropah ini tidak lain telah didasarkan pada fahaman sekular yang memisahkan agama dari ruang awam serta bertitik tolak daripada trauma mereka mengalami kesan perang dunia kedua serta pengalaman perit peristiwa holocaust.

Melihat realiti dan fakta tersebut, sudah tentu acuan dan kerangka HAM rantau Eropah sebagai manifestasi kefahaman dan pengamalan HAM Barat tidak bersesuaian dengan rantau ASEAN. Justeru, AHRD sebagai keazaman baru di dalam medan HAM ASEAN seharusnya membentuk jati diri tersendiri apabila perbahasan tentang prinsip-prinsip HAM yang absah diadakan untuk mencapai kesepakatan.

Bagaimanapun pendekatan yang diambil ASEAN di dalam melaksanakan dan memenuhi pencapaian HAM di rantau ini mempunyai banyak ruang pemerkasaan. Salah satu prinsip yang dipersetujui dalam konteks ini adalah non-interference (tidak mencampuri hal ehwal dalaman dalam kalangan negara ASEAN).

Bertitik-tolak dari prinsip ini dan dengan semangat kesepakatan untuk menerima HAM mengikut acuan tersendiri, ASEAN seharusnya belajar daripada pengalaman kegagalan perlindungan HAM di beberapa negara anggota ASEAN akibat penerimaan dan pelaksanaan prinsip non-interference.

Myanmar adalah contoh negara anggota yang paling sering mengalami krisis politik dan sektarian dalam kalangan anggota ASEAN. Namun atas nama prinsip non-interference, campur tangan bersifat kemanusiaan sekalipun sukar, dilakukan rakan-rakan ASEAN.

Setelah hampir dua tahun AHRD dimaktubkan, ujian sebenar keberkesanannya mula menjelma saat kita berhadapan dengan peristiwa kekejaman rejim Myanmar terhadap etnik minoriti Rohingya yang beragama Islam serta beberapa etnik minoriti lain.

Pembunuhan beramai-ramai penduduk di daerah-daerah tertentu, pengusiran serta pencabulan HAM ke atas etnik yang diperakui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai etnik minoriti paling dizalimi kesemuanya menjurus ke arah tragedi pembunuhan besar-besaran ataupun genocide di rantau ini.

Pendek kata, AHRD masih kurang berkesan bagi tuntutan-tuntutan absah HAM kerana dihalang prinsip non-interference tersebut. Sesetengah pemerhati politik berpandangan bahawa model AHRD seumpama ini sekadar mengizinkan badan HAM ASEAN untuk menjadi ruang mengukuh persaudaraan antara negara anggota ASEAN dan sekadar tempat saling mengadu tentang situasi HAM di negara masing-masing.

Bagi rejim seperti Myanmar pula, realiti ini hanya menzahirkan sikap hipokrit mereka mencanangkan kepada dunia untuk meratifikasi lebih banyak konvensyen HAM sejagat, tetapi pada masa sama meneruskan pembersihan etnik Rohingya beragama Islam.

Sebagai pernyataan dan peneguhan iltizam yang mengikat secara moral, AHRD ini semestinya mengandungi prinsip-prinsip dasar HAM dengan piawaian sejagat tetapi memenuhi realiti budaya, agama dan sejarah tempatan. Selain atas prinsip non-interference, kandungan AHRD yang demikian merupakan identiti badan HAM ASEAN di dalam menyusun perisytiharan ini dengan dukungan masyarakat sivil.

Dalam konteks menyelamatkan etnik Rohingya daripada kekejaman berterusan, tindakan rejim Myanmar menghalalkan pembunuhan dan pengusiran sesebuah etnik adalah pelanggaran yang tidak dapat diterima sama ada di peringkat AHRD ataupun di dalam mana-mana konvensyen HAM sejagat. Demi kemanusiaan, mungkin tahap perlaksanaan prinsip non-interference ini perlu dinilai semula dan dilaksanakan secara bijaksana sebagai langkah pemerkasaan HAM di ASEAN.

Adakah AHRD gagal secara menyeluruh di dalam menghentikan pencabulan HAM etnik Rohingya? Pada hakikatnya, landasan yang sedia wujud semenjak AHRD dimaktubkan sudah pun betul. Negara anggota ASEAN perlu meneliti pada semangat dan prinsip-prinsip yang terkandung di dalam AHRD dan bertindak segera dengan menggunakan prinsip-prinsip di dalam AHRD demi menyelamatkan etnik minoriti Rohingya daripada kekejaman, pembunuhan dan pencabulan HAM berterusan.

Perhatian perlu diberi khususnya pada Fasal 3 yang menegaskan... “Tiap-tiap orang mempunyai hak pengiktirafan di mana jua sebagai seorang insan di sisi undang-undang. Tiap-tiap orang sama rata di sisi undang-undang. Tiap-tiap orang berhak tanpa perbezaan kepada perlindungan yang sama undang-undang, manakala Fasal 4 berhubung “Hak-hak wanita, kanak-kanak, warga tua, orang kurang upaya, pekerja asing dan kumpulan yang lemah dan terpinggir..." Kedua-dua fasal tersebut adalah bersifat sejagat.

Sesiapapun dalam kalangan negara ASEAN, hatta yang mengkritik AHRD sebagai tidak menepati Perisytiharan HAM Sejagat (UDHR) perlu akur bahawa AHRD menjamin hak-hak yang disebutkan di dalam kedua-dua fasal tersebut. Justeru tidak adil sekiranya penganiayaan dan pencabulan berterusan HAM etnik Rohingya dibiarkan berterusan.

Fasal 14 AHRD pula jelas melindungi warga ASEAN seperti etnik Rohingya ini. Fasal tersebut menyebut bahawa “.... Tiada seorang pun boleh dikenakan seksaan atau kejam, layanan yang tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah atau hukuman." Dengan berlandaskan fasal ini secara khusus, negara anggota ASEAN perlu segera bersepakat bertindak menyelesaikan isu etnik Rohingya secara serius.

Dalam hal ini, Malaysia sebagai sebuah negara yang menjunjung prinsip kesederhanaan sejagat perlu memainkan peranan proaktif menggerakkan inisiatif permuafakatan bagi menyelesaikan masalah ini secara bersama. Hatta jika Malaysia terpaksa mencadangkan agar prinsip non-interference ini dipertimbangkan semula sekalipun, tindakan ini perlu dilakukan demi menyelamatkan lebih banyak nyawa manusia daripada terus terkorban dan dizalimi di Myanmar.

Pada saat ini, harapan yang tersisa daripada badan HAM ASEAN adalah mengoptimumkan prinsip-prinsip HAM yang wujud menerusi AHRD demi menyelamatkan etnik Rohingya daripada pembersihan etnik. Tanpa tindakan susulan untuk merealisasikan prinsip-prinsip di dalam AHRD demi menyelamatkan kemanusiaan, AHRD akan sekadar menjadi sebuah aspirasi penzahiran politik sebuah rantau yang pada hakikatnya berpotensi untuk menjadi contoh pada peradaban manusia sejagat.

Tetapi dengan penderitaan etnik Rohingya yang berterusan, ASEAN perlu memikirkan kembali potensi itu secara serius dan bertindak segera sebelum kehilangan potensi tersebut selama-lamanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.