saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 14/02/2014

Siapa peduli nasib penduduk Kampung Pokok Asam?

ESOK, penduduk di Kampung Pokok Asam, Jelutong, Pulau Pinang akan diuji sekali lagi.

Di tangan mereka ketika ini adalah surat pengusiran dari rumah dan kampung halaman mereka oleh kerajaan negeri.

Jika mengikut surat arahan itu, mereka perlu mengosongkan kediaman masing-masing berkuat kuasa esok.

Surat itu adalah arahan terbaharu selepas arahan serupa bertarikh 15 Januari lalu tidak berhasil.

Mendekati kehidupan penduduk kampung itu beberapa hari lalu, langsung tidak kelihatan tanda-tanda mereka sedang bersiap-siap untuk meninggalkan kampung halaman yang diwarisi sejak lebih 200 tahun itu.

Kehidupan penduduknya berlalu seperti biasa. Anak-anak kecil masih galak bermain di ruang-ruang tanah lapang yang masih bersisa.

Yang tua pula masih mampu tersenyum sambil duduk bersantai di anjung rumah kayu lama yang masih kukuh meskipun sudah berusia berabad lamanya.

Jika dilihat dari luarannya, penduduk Kampung Pokok Asam itu seolah-olah tidak terkesan langsung dengan arahan pengosongan rumah mereka.

Namun, jauh di sudut hati mereka, wujud perasaan bimbang dan gusar yang cukup tebal mengenai nasib serta masa depan masing-masing.

Perjuangan mempertahan secebis perkampungan yang majoritinya didiami oleh orang Melayu di pusat bandar, Georgetown itu sudah berlanjutan cukup lama.

Sebahagian daripada mereka sudah pun diusir keluar sebelum ini dan tapak perkampungan mereka ketika ini rancak dibangunkan dengan projek komersial.

Tidak banyak keluarga lagi yang masih tinggal termasuklah kira-kira 50 buah keluarga di Kampung Pokok Asam yang diarahkan mengosongkan rumah mereka esok.

Jika ‘usaha’ kerajaan negeri itu berjaya, maka semakin mengecillah komuniti Melayu di pusat bandar Georgetown dan semakin terhapuslah warisan Kampung Pokok Asam dalam peta negeri Pulau Pinang.

Namun, ada yang lebih menyakitkan daripada realiti yang sedang dihadapi penduduk Kampung Pokok Asam itu.

Ketika mereka ditekan pelbagai pihak supaya segera meninggalkan rumah masing-masing, tiada siapa yang dilihat berminat mahu membantu.

Penduduk Kampung Pokok Asam ketika ini seolah-olah berjuang bersendirian.

Mereka hanya mampu bertindak atas nama persatuan penduduk yang langsung tidak bertaring, jauh sekali mempunyai kuasa.

Timbul persoalan ke mana menghilangnya pemimpin-pemimpin parti politik di negeri ini ketika penduduk terbabit begitu mengharapkan pertolongan mereka?

Apa yang terjadi kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sebelum ini lantang bersuara dalam mempertahan hak asasi manusia, hak Melayu dan hak agama Islam?

Apakah perjuangan penduduk Kampung Pokok Asam dalam mempertahankan tanah warisan mereka itu tidak selari dengan perjuangan pemimpin-pemimpin parti politik serta NGO-NGO terbabit?

Bagi penduduk, mereka sudah kering air mata dalam mengadu nasib terhadap pemimpin setempat, negeri dan NGO.

Sehingga kini, tiada tindakan drastik diambil mana-mana pihak untuk sekurang-kurangnya membantu mereka dari sudut psikologi dan semangat.

Jika tidak benar-benar prihatin terhadap nasib penduduk kampung itu sekali pun, usaha mereka sekurang-kurangnya memberi kelebihan dari sudut sokongan politik.

Ketika ini, usaha mereka langsung tidak memberi apa-apa kesan terhadap kerajaan negeri. Segala rayuan dan rintihan mereka ibarat mencurah air ke daun keladi dan hanya dipandang sebelah mata.

Usaha mereka untuk bertemu dengan wakil kerajaan negeri juga sehingga kini sia-sia meskipun permintaan itu sudah dibuat berulang-ulang kali.

Kerajaan negeri sebenarnya berhutang terlalu banyak penjelasan dengan penduduk Kampung Pokok Asam kerana mereka kini berasa ditipu dan teraniaya.

Isu utama sudah pasti persoalan mengenai tujuan asal pengambilan tanah penduduk itu yang kononnya bagi pembesaran kawasan perkuburan orang Islam.

Bagi penduduk Islam di kampung itu, mereka boleh memberi laluan kepada tujuan tersebut kerana menyedari mereka juga mungkin mendapat manfaat daripadanya suatu hari nanti.

Tetapi apa yang sampai ke pendengaran mereka adalah perkara sebaliknya. Tujuan pembesaran kawasan perkuburan orang Islam itu seolah-olah helah untuk memberi laluan kepada projek pembangunan komersial lain.

Sementelah, difahamkan, Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) sendiri tidak pernah mengeluarkan permintaan supaya kawasan perkuburan Islam di kampung itu diperbesarkan dan melibatkan pengambilan tanah mereka.

Isu ini sangat kritikal dan perlu dijawab kerajaan negeri selain isu membabitkan tawaran pengosongan yang disifatkan penduduk tidak munasabah.

Namun, sehingga kini, kerajaan negeri seperti kebanyakan isu lain, memilih berdiam diri dan membiarkan penduduk mengambil jalan sendiri.

Disebabkan itu, kerajaan negeri tidak boleh mengharapkan kehadiran mereka esok bersama gerombolan penguat kuasa dan jentolak akan disambut dengan mesra oleh penduduk kampung.

Atas sebarang alasan sekali pun, penduduk Kampung Pokok Asam sudah bertekad tidak akan melepaskan tanah mereka dengan mudah.

Mereka mempunyai alasan yang kukuh untuk bertahan di atas tanah yang diwarisi sejak berpuluh-puluh generasi apatah lagi kerajaan negeri sendiri tidak memberi penjelasan dan justifikasi munasabah dalam menghalau mereka.

Sehubungan itu, kerajaan negeri perlu bersedia dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang kemungkinan yang akan berlaku dalam usaha mengusir penduduk kampung berkenaan esok.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zuhur 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.