saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 24/02/2014

Fikiran tidak aman apabila penyangak berani beroperasi 24 jam

ADAT berjiran atau bersabahat, kenalan yang bertandang tentunya akan dijemput masuk ke dalam rumah walaupun hari sudah lewat malam. Tanpa perasaan syak wasangka, tetamu dilayan seperti biasa. Malangnya siapa tahu niat sebenar orang yang bertandang itu? Niat baik akhirnya dibalas dengan kejahatan. Itulah kisah yang berlaku di Besut pada Jumaat lalu. Seorang wanita warga emas, 54 dan cucu lelakinya berusia 10 tahun cedera dipukul dengan kayu oleh kenalan lamanya yang menyamun mereka di rumah. Kejadian berlaku ketika mangsa hendak masuk tidur pada pukul 11.45 malam. Akibatnya, gelang bernilai RM1,000 lesap dan mangsa juga cedera. Ini adalah contoh kejadian samun melibatkan orang yang dikenali oleh mangsa.

Bagaimana pula dengan samun oleh tetamu yang tidak diundang? Maksudnya orang luar yang tidak dikenali tetapi kerjayanya sebagai penyamun.

Semalam, dalam satu kejadian awal pagi, suami isteri warga emas menjadi mangsa samun tiga lelaki warga asing di rumah mereka di Kampung Serapuh, Parit, Perak. Seutas rantai emas dilarikan. Suami cedera dipukul, isteri pula diancam dengan pisau di leher. Akhirnya atas kepantasan maklumat, polis berjaya menembak mati perompak-perompak berkenaan. Hasil siasatan menunjukkan, tiga penjenayah ini terlibat dalam 15 kes samun. Penjenayah sudah mati tetapi mangsa akan menanggung trauma akibat kejadian itu.

Begitulah dua insiden melibatkan warga emas yang menjadi mangsa samun. Dua kes ini berlaku pada waktu malam atau awal pagi ketika kebanyakan orang sedang nyenyak tidur. Berikutan kejadian seumpama ini, ramai yang tidak aman ketika tidur. Ada yang terpaksa ‘tidur-tidur ayam’ atau ‘berjaga’ sendirian di rumah ketika anggota keluarga lain ‘berehat’ di tempat tidur masing-masing. Jika ada perlawanan bola sepak, bolehlah dijadikan teman.

Penjenayah tidak kira rumah siapa yang akan diceroboh sama ada banglo, rumah teres setingkat atau dua tingkat. Matlamat mereka untuk mendapatkan habuan. Tidak kira walaupun jumlahnya tidak seberapa. Penjenayah tahu, setiap rumah di bandar, sekurang-kurangnya akan ada sebuah kereta yang tersadai di luar rumah. Di dalam rumah pula akan ada dua tiga telefon bimbit berjenama, komputer riba, iPad atau barang-barang kemas serta sedikit wang tunai. Habuan hasil merompak kediaman di bandar ini tetap ada sekiranya tuan rumah tidak menyedari mereka sedang menyelongkar seluruh rumah berkenaan.

Setiap orang akan mengambil pelbagai langkah untuk mengelak daripada menjadi mangsa rompakan pada waktu malam. Selain jeriji besi, pintu yang ‘kebal’, ada juga yang terpaksa memasang kamera litar tertutup (CCTV), lampu automatik, alat penggera dan pelbagai lagi untuk ‘mengunci’ rumah mereka. Sekurang-kurangnya sebiji lampu akan terbiar dipasang sepanjang malam. Semuanya ini melibatkan kos. Begitu juga ada yang mengadakan kawalan keselamatan sama ada secara berbayar atau sukarela. Sejauh mana semua persediaan itu mampu mencegah jenayah samun?

Sejak kebelakangan ini, terdapat laporan mengenai kejadian samun pada waktu siang. Pelbagai kaedah digunakan oleh penyamun-penyamun ini untuk menceroboh rumah mangsa di kawasan taman perumahan. Selak pernah menyelak isu ini pada tahun 2010 di bawah tajuk Apabila pencuri ‘bekerja di rumah’ orang pada waktu pejabat. Ketika itu, Selak menulis bagaimanakah rakyat boleh hidup aman tanpa ancaman perompak atau panggilan yang sama maksud dengannya iaitu penyamun, perampok, pencuri, penipu, pemeras, pengugut, lanun, penjahat, penyangak atau pencopet.

Kita akui pelbagai usaha dilakukan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya pasukan polis bagi membanteras jenayah. Begitu juga inisiatif penduduk untuk mengawal keselamatan harta benda dan nyawa mereka. Penduduk tidak ada pilihan kerana penyangak semakin bijak dan berani. Mereka bukan lagi ‘bertugas’ pada waktu malam hingga awal pagi tetapi 24 jam, tanpa mengira hari.

Waktu suami isteri sibuk di pejabat, anak- anak ke sekolah, penyamun pula sibuk ‘bekerja’ di kawasan perumahan yang lengang. Biar pintu diselak rapi, rumah dipasang CCTV, atau ada anjing peliharaan, penyangak tidak peduli. Apakah kesudahan episod penyangak pada waktu siang ini? Mungkin ramai yang sedang bekerja di pejabat resah gelisah memikirkan keselamatan rumah mereka. Fikiran mereka tidak aman, berkecamuk memikirkan ‘keselamatan’ kediaman yang ditinggalkan. Lebih resah apabila rumah itu kosong disebabkan suami isteri bekerja, anak-anak ke sekolah. Begitu juga dengan jiran-jiran lain yang menghadapi masalah yang sama.

Penjenayah hari ini bijak mengambil kesempatan dan menyusun strategi ketika kawasan perumahan ‘ditinggalkan’ tanpa penghuni. Akhir-akhir ini terdapat laporan bahawa penjenayah menyamar dengan pelbagai rupa dan cara. Mereka berlagak seperti pegawai kerajaan atau kontraktor pihak berkuasa tertentu. Ada yang datang kononnya untuk mendaftar nama penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Ada yang menyamar sebagai pegawai TNB, Telekom, pihak berkuasa tempatan (PBT), kakitangan syarikat bekalan air, pegawai kesihatan dan macam-macam lagi. Mereka mungkin hadir dengan berpakaian seragam lengkap sehingga berjaya mempengaruhi penghuni rumah yang tidak banyak usul periksa.

Penyangak boleh menggunakan apa sahaja kaedah untuk menipu. Bukan setakat melibatkan pegawai, kakitangan kerajaan atau agensi berkaitan malahan mereka juga mungkin datang sebagai pembeli surat khabar lama, pemotong rumput, penghantar tong gas, mengutip derma, penghantar makanan dan sebagainya. Terdapat segelintir penyangak yang membawa kereta mewah berlegar-legar di kawasan perumahan sebelum merompak. Mereka berkunjung ke rumah tertentu yang tidak ada penghuni, berlagak sebagai saudara mara tuan rumah berkenaan. Sasaran mereka kawasan rumah yang ‘kosong’ sama ada disebabkan penghuninya ke tempat kerja atau balik kampung tanpa pengetahuan jiran. Bagi menutup kecurigaan, mereka berpakaian sopan. Bagi perempuan pula ada yang bertudung.

Keadaan ini menyebabkan masyarakat terkeliru apabila berdepan dengan kehadiran pihak berkuasa yang benar-benar mahu melakukan sesuatu pemeriksaan di rumah mereka misalnya berkaitan nyamuk aedes bagi mencegah denggi. Memang sukar untuk mengenali penjenayah seperti itu.

Sesuatu perlu dilakukan supaya masyarakat tidak terlalu takut dengan kehadiran ‘tetamu yang tidak diundang’ pada waktu siang. Setiap orang perlu mempunyai rasa bimbang terhadap kehadiran ‘pegawai atau kakitangan’ ini kerana kes menyamar bukan perkara baru. Sebelum ini pun, ada laporan berkaitan penyangak mengangkut habis barang-barang dalam rumah kononnya tuan punya rumah mahu berpindah. Ada juga kes syarikat tertentu yang kononnya mahu menghantar peralatan elektrik seperti televisyen atau peti sejuk tetapi peralatan dalam rumah yang diangkut keluar. Begitulah beraninya penyangak pada hari ini lebih-lebih lagi penagih dadah, yang akan ‘menyapu’ apa sahaja untuk mendapatkan wang.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:43
Zohor 1:19
Asar 4:45
Maghrib 7:28
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.