saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 02/03/2014

Langkah checkmate Khalid Ibrahim

IBARAT sebuah drama, sedikit demi sedikit gambaran cerita sebenar semakin terkuak seiring dengan perjalanan waktu. Misteri terjawab dengan sendirinya walaupun berhempas pulas kebenaran cuba ditutupi dan dibayangi pula dengan cerita yang muluk-muluk.

Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebuah parti yang bersungguh-sungguh berjanji untuk menampilkan politik baharu yang sihat, semakin ketara belang sebenarnya. Parti ini malah menampilkan politik buruk yang secara suka-suka menjadikan rakyat dan negara sebagai korban.

Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) menjadi saksi bagaimana kepentingan rakyat dan negara dikorbankan. Kerajaan Persekutuan atas nasihat pakar termasuk dari Jepun meramalkan Lembah Klang akan berhadapan dengan krisis air seawal tahun 2014, malah telah pun mula menunjukkan kesannya pada tahun 2012.

Kerajaan Pusat telah membuat perancangan rapi untuk menambah kapasiti bekalan air bagi memastikan krisis air 2014 dielakkan. Beberapa cadangan dikemukakan dan akhirnya dipersetujui loji tambahan dibina di Hulu Langat iaitu kawasan yang selalu terjejas dengan bekalan air.

Loji Langat 2 dirancang untuk dibina selewat-lewatnya pada 2008 dan sepatutnya siap pada 2014. Walau bagaimanapun PKR yang mengambil alih pentadbiran Selangor menghalang projek ini diteruskan. Kelulusan Arahan Pembangunan tidak dikeluarkan.

Jadilah Projek Langat 2 isu kontroversi. Asyik-asyik Syabas yang diberi tanggungjawab untuk hanya mengagihkan air kepada pengguna dijadikan kambing hitam.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, para Exco dan angkatan pemutar belit pakatan pembangkang bertali arus mencanangkan Projek Langat 2 satu pembaziran. Mereka gembar-gemburkan cerita rakyat akan terbeban dengan caj tinggi hasil daripada kos pembinaan Langat 2 yang mencecah RM3 bilion semasa itu.

Mereka menganjurkan seminar dan membuat tinjauan ke empangan untuk menggambarkan Lembah Klang tidak akan berhadapan dengan masalah air. Krisis tidak akan berlaku kerana air di negeri ini melimpah ruah. Kata mereka, isu krisis air sengaja ditimbulkan oleh Kerajaan Pusat untuk menakut-nakutkan rakyat supaya menyokong pembinaan loji Langat 2.

Helah dan hujah berbau politik digunakan untuk menutup fakta masalah air ini. Bayangkan realitinya peningkatan permintaan setiap tahun untuk air di Lembah Klang ialah sebanyak 3 peratus tetapi tiada tambahan sumber air terawat.

Loji loji yang ada pula beroperasi pada kadar paling maksimum dan hanya mampu menyediakan keperluan semasa mengikut permintaan harian. Hanya ada lebihan kira-kira satu peratus dan ke bawah.

Dan, apabila berlaku gangguan bekalan air akibat kerosakan paip atau injap di mana-mana kawasan atau penutupan loji akibat kerosakan atau pencemaran air mentah, rezab yang ada tidak mampu menampung permintaan bagi kawasan yang terjejas.

Tetapi kepada mereka, ada pihak yang boleh dipersalahkan iaitu Syabas. Alasan popular yang digunakan ialah Syabas gagal mengurangkan kadar kehilangan air tanpa hasil (NRW). Tetapi mereka sembunyikan fakta yang program itu memang dilakukan secara berterusan dan memakan masa lama antara sepuluh hingga 15 tahun untuk mencapai paras 15 peratus NRW.

Dan, dalam langkah yang mengejutkan semua fakta yang selama ini cuba ditutupi, diterima dengan hati terbuka. Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Kerajaan Persekutuan pada Rabu lalu membuktikan apa yang dilakukan oleh Kerajaan PKR Selangor dan pakatan pembangkang sebelum ini hanya satu tipu helah.

Abdul Khalid bahkan sengaja menyembunyikan persetujuan kerajaan negeri itu termasuk kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas alasan tidak mahu ‘diganggu’. Kata beliau, ada pihak-pihak dalam parti suka mencampuri urusan kerajaan negeri.

Bekas pemimpin kanan PKR, Datuk Zaid Ibrahim yang turut berminat mencalonkan diri dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kajang menyifatkan MoU itu sebagai checkmate kepada Anwar. Langkah berani Abdul Khalid itu dianggap telah membantutkan hasrat Anwar untuk menjadi Menteri Besar. Maksud sebenar kenyataan Zaid itu tentu sekali mudah untuk dibaca.

Kemudian dalam satu gerakan yang senyap pada malam Jumaat lalu, Abdul Khalid mengumumkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR. Beliau akhirnya menjawab spekulasi tentang keinginannya untuk mencabar Azmin Ali yang diketahui umum sentiasa berseteru dengan Abdul Khalid.

Walaupun tidak banyak pimpinan kanan PKR hadir pada majlis pengumuman mengejutkan itu tetapi Abdul Khalid seperti sudah mempersiapkan jenteranya untuk menggempur Azmin. Jangan disangka dalam gaya naif beliau boleh menggigit Pengerusi PKR Selangor itu.

Abdul Khalid juga telah menyediakan pasukannya. Disebut-sebut beliau akan berpasangan dengan ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail yang juga Anggota Exco untuk merebut jawatan Ketua Wanita dan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nazree Yunus untuk Ketua AMK.

Sebenarnya beliau telah bersiap awal untuk merebut jawatan Timbalan Presiden apabila menyediakan dirinya sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya DUN Kajang. Pada awalnya agak pelik, mengapa bukan Azmin yang juga Pengerusi PKR Negeri memikul tanggungjawab itu. Kini kita sudah ada jawapannya.

Mungkin ada benarnya analisis Zaid. Dengan MoU Langat 2, Abdul Khalid telah checkmate Anwar. Dengan jawatan Pengarah Pilihan Raya, Abdul Khalid telah checkmate Azmin. Maka, PRK DUN Kajang pada 23 Mac ini bakal menjadi pentas kempen pemilihan kepemimpinan PKR yang akan bermula pada 4 April ini.

Jadi jelaslah semuanya berkaitan politik dan kekuasaan. Harapan kita untuk melihat sebuah kerajaan yang baik, yang memahami keperluan rakyat daripada sebuah parti yang kononnya mahu memisahkan antara urusan kerajaan dan parti hanya kata-kata kosong semata-mata.

Banyak fakta telah terbentang di depan mata. Kebenaran akhirnya terkuak jua. Apa yang terus-terusan kita saksikan ialah kerajaan yang banyak kontroversi ini lebih suka memerintah dengan gaya sendiri yang bertentangan pula dengan keinginan dan kepentingan rakyat.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.