saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 03/03/2014

Memenuhi keperluan rakyat bukan satu pembaziran

HUJAN sekejap petang semalam tetapi cukup untuk melegakan seketika cuaca panas yang sudah lama melanda khususnya di ibu negara atau Lembah Klang. Syukurlah. Jika tidak membantu menambah jumlah takungan air di empangan, sekurang-kurangnya mengurangkan bahang panas yang melanda serta keadaan yang agak berjerebu. Apa pun keadaannya, janganlah apabila mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan. Esok, lusa atau masa depan masih belum pasti. Perjalanan masih jauh. Ikhtiar perlu diteruskan sama ada berdoa, solat sunat istisqa dan pembenihan awan. Kita diminta berusaha sebelum berserah kepada Allah. Begitu jugalah dalam usaha untuk membina loji rawatan air bagi menampung keperluan bekalan. Sama ada ia mampu memenuhi keperluan penduduk pada masa hadapan, itu belum pasti. Sekurang-kurangnya kita berikhtiar dan tidak angkuh atau ‘bercakap besar’ dengan keupayaan yang ada pada hari ini. Apa yang penting usaha untuk menyediakan prasarana yang cukup.

Kemudahan prasarana untuk keperluan rakyat tidak harus dipandang sepi. Begitu juga dengan infrastruktur seperti Jambatan Pulau Pinang. Menyelak kembali sejarah jambatan itu, saya masih ingat, pada peringkat awal cadangan pembinaan, ada yang membantah. Ada yang berkata, cukuplah dengan feri. Kononnya pembinaan jambatan itu satu pembaziran dan menjejaskan alam sekitar. Sekarang jambatan pertama yang dibina pada tahun 1985 tidak cukup menampung keperluan rakyat termasuk industri. Maka tercetuslah ilham mengadakan jambatan kedua. Kali ini tidak ada bantahan. Jambatan itu dikenali sebagai Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, mengambil sempena nama Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Kedah. Eloklah nama itu diabadikan sebagai mengulangi nama yang diabadikan untuk sistem pengangkutan feri yang menghubungkan Butterworth dengan Georgetown. Terminal feri di Butterworth yang dibina pada tahun 1956 dan dirasmikan pada 1959 dinamakan Pangkalan Sultan Abdul Halim, sempena nama Sultan Kedah. Sekurang-kurangnya anak-anak Pulau Pinang khususnya di Seberang Perai sedar bahawa mereka asalnya sebahagian dalam negeri Kedah.

Di sebelah pulau, terminal feri dinamakan dengan Pangkalan Raja Tun Uda mengambil sempena nama Gabenor pertama Pulau Pinang iaitu Raja Tun Uda Al-Haj Raja Muhammad (31 Ogos 1957 hingga 30 Ogos 1967). Begitulah sedikit sebanyak sejarah berkaitan feri dan Jambatan Pulau Pinang. Menyelak semula sejarah, peredaran masa memerlukan perubahan. Jika dulu feri yang menjadi penghubung, kini wujud ‘jalan darat’ yang lebih selesa. Feri tidak mampu menampung keperluan pengguna yang semakin meningkat. Tragedi hitam platform runtuh di terminal feri Pangkalan Sultan Abdul Halim pada 31 Julai 1988 yang mengorbankan 32 jiwa menunjukkan petanda bahawa dalam keadaan tertentu (dua pesta berlangsung), feri tidak mampu menampung jumlah pengguna yang terlalu ramai. Begitu juga dengan jambatan sesak. Itu keperluan pada 1988. Dalam tempoh 1988 sehingga sekarang, keperluan pengguna akan terus meningkat. Maka kehadiran jambatan kedua yang menghubungkan Batu Kawan - Batu Maung diharap dapat mengurangkan kesesakan. Rakyat kini mempunyai tiga pilihan untuk perjalanan dari tanah besar ke Pulau Pinang dan sebaliknya. Jika sesuatu berlaku terhadap salah satu sistem perhubungan ini, maka rakyat ada pilihan. Syukurlah ketika pemimpin kita terus memandang ke hadapan, mereka menoleh ke belakang untuk melihat sejauh mana keperluan pada masa hadapan. Begitu juga dalam isu-isu lain berkaitan infrastruktur seperti jalan raya, lebuh raya, bekalan air dan elektrik. Pandanglah ke hadapan untuk menyediakan kemudahan bagi memenuhi keperluan rakyat.

Air misalnya. Contoh terdekat ialah Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) yang sudah lama tertangguh akibat ‘masalah politik’. Ketika kerja-kerja penggalian terowong bagi penyaluran air mentah dari Sungai Semantan, Pahang ke Sungai Langat Selangor siap 90 peratus, loji belum dibina. Akibatnya titisan air pertama daripada loji ini akan dirasai dalam tempoh tiga tahun lagi. Diharapkan dalam tempoh itu, bekalan air mencukupi dan rakyat tidak kelam-kabut seperti yang dialami sekarang.

Begitu juga dengan pengangkutan seperti MRT, LRT, komuter dan monorel. Apakah sudah ada kajian mengenai keperluan di kawasan yang tidak diliputi oleh laluan sekarang? Adakah kita hanya merancang apabila melihat keperluan amat mendesak? Sistem pengangkutan bersepadu yang menggabungkan contohnya perkhidmatan komuter dan LRT perlu diperluaskan demi kemudahan penduduk yang akan terus meningkat. Jalan raya dan lebuh raya juga memerlukan kajian yang serupa. Begitu juga perumahan. Toleh ke belakang, lihat keupayaan hari ini dan rancanglah untuk masa depan. Jika dulu hanya ada satu jalan raya, kini di kawasan tertentu sudah bertingkat-tingkat. Inilah keperluan masa depan yang bagi sesetengah orang melihatnya sebagai pembaziran tetapi hakikatnya ia satu keperluan. Memenuhi keperluan rakyat pada masa hadapan bukannya satu pembaziran.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:58
Zohor 1:21
Asar 4:20
Maghrib 7:24
Isyak 8:33



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.