saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 10/03/2014

Merakyatkan perkhidmatan SPA

MAHMOOD ADAM

DALAM tempoh dua bulan pertama tahun ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) telah menerima lebih sete­ngah juta permohonan untuk berkhidmat sebagai kakita­ngan kerajaan.

Jumlah itu adalah satu peningkatan mendadak jika diban­dingkan dengan 2.1 juta permohonan sepanjang 2013.

Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, ­NIZAM YATIM dan jurugambar, QAMARUL RIZAL di Putrajaya baru-­baru ini, Pengerusi SPA, TAN SRI MAHMOOD ADAM menjelaskan peningkatan itu adalah hasil program transformasi yang bertujuan merakyatkan perkhidmatan awam dan meningkatkan kecekapan suruhanjaya itu.

Boleh ceritakan latar belakang SPA?

MAHMOOD: Ia ditubuhkan pada 31 Ogos 1957 iaitu sama umur dengan kemerdekaan negara yang sudah nak masuk 57 tahun.

Terdapat enam tugas SPA yang termaktub dalam Perkara 144(1) Perlembagaan Persekutuan termasuk urusan melantik lebih kurang 70 peratus daripada keseluruhan 1.4 juta penjawat awam di seluruh negara.

Urusan pelantikan lain dilakukan oleh pihak berkuasa lain iaitu seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Suruhanjaya Pasukan Polis, Majlis Angkatan Tentera dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

SPA juga tidak terlibat dalam pelantikan kakitangan badan berkanun seperti universiti, Felcra, Felda dan juga pihak berkuasa tempatan.

Pelantikan di peringkat negeri juga tidak dilakukan oleh SPA kecuali di Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka.

Di sembilan negeri lain, ia dilakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) masing-masing iaitu Johor, Selangor, Perak, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Tugas lain adalah pengesahan dalam perkhidmatan, pemberian taraf berpencen, kenaikan pangkat, pertukaran perkhidmatan dan kawalan tatatertib.

Difahamkan banyak transformasi dilaksanakan SPA?

Setakat ini kita sudah ada 75 transformasi. Ia selaras dengan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Maknanya apa sahaja dasar atau peraturan baharu yang kita nak buat hendaklah bagi memenuhi kehendak rakyat.

Ia juga selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang menekankan supaya penjawat awam mempunyai sikap, cara bekerja dan cara berfikir yang sesuai dengan kehendak rakyat sekarang.

Inisiatif ini juga dibentuk dengan tujuan merakyatkan perkhidmatan dan meningkatkan kecekapan SPA.

Transformasi ini berasaskan tujuh prinsip iaitu tidak melibatkan pertambahan peruntukan kewangan, tidak memerlukan pertambahan jawatan dan tidak perlu kepada pindaan undang-undang.

Prinsip lain adalah berasaskan pendekatan yang popular dan sangat dikehendaki oleh orang ramai terutama pemohon pekerjaan, pelaksanaan yang menghasilkan impak menang-menang, bersifat besar dan mempunyai titik sentuhan.

Apakah contoh transformasi yang dibuat?

Kita telah panjangkan tempoh sah laku permohonan pekerjaan secara dalam talian (online) daripada setahun kepada lima tahun.

Kalau pemohon terlupa untuk membuat permohonan baharu selepas setahun, mereka masih berpeluang untuk dipanggil menghadiri temu duga.

SPA juga mengadakan sesi temuduga pada waktu malam, hujung minggu dan secara panggilan telefon untuk kemudahan pemohon yang tidak dapat hadir pada waktu siang atau ketika hari bekerja.

Transformasi ini bersifat menang-menang kerana menggalakkan lebih ramai orang memohon pekerjaan sebagai penjawat awam dan pada masa sama memberi lebih banyak pilihan kepada SPA untuk memilih calon terbaik.

Kita juga membenarkan pemohon mendaftar sebanyak mana jawatan kerajaan yang dikehendaki dan bukannya maksimum 15 jawatan sahaja seperti sebelum ini.

Kita turut menghapuskan dasar ‘One Step Lower’ bagi membolehkan calon berkela­yakan lebih tinggi memohon jawatan gred rendah yang memerlukan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja.

Mereka yang ditawar jawatan oleh SPA tetapi telah menolaknya sebelum ini juga tidak akan disenarai hitam.

Apa lagi transformasi yang akan dilaksanakan?

Kita sedang mengkaji semula 1,113 peraturan SPA bagi memastikan ia tidak bertindih dan masih relevan pada masa sekarang. Kita akan permudahkan peraturan terbabit supaya berpihak kepada penjawat awam dan mereka yang memohon pekerjaan.

Sejak Januari tahun ini, SPA turut mengadakan kursus percuma setiap Sabtu di seluruh negara bagi menerangkan kepada mereka yang berminat mengenai ciri-ciri pegawai kerajaan yang dikehendaki. Sepanjang dua bulan pertama tahun ini, jumlah kehadiran melebihi 7,000 orang di seluruh negara.

Antara ciri yang disenaraikan adalah cepat, tepat dan berintegriti (CTI); produktif, kreatif dan inovatif (PCI) serta bersifat setia, berfikiran terbuka dan memudahkan rakyat (LOF).

Mereka juga diajar cara-cara menghadapi sesi temu duga SPA yang berdasarkan kepada kaedah Temuduga Berasaskan Kompetensi (CBI) dan psikometrik, cara-cara menjawab soalan peperiksaan dengan betul dan sukatan pelajaran yang kita gunakan.

Apakah transformasi paling besar?

Ia adalah transformasi ke-75 yang dijangka mula dilaksanakan pada Jun ini melibatkan peperiksaan penjawat awam secara dalam talian.

Langkah-langkah keselamatan akan diperkenalkan bagi membolehkan peperiksaan melalui kaedah ini dijalankan dan ti­dak berlaku sebarang penipuan.

Kalau berlaku penipuan pun, kita masih mempunyai mekanisme untuk mengesannya iaitu ketika temu duga dan sesi peni­laian lain.

Sebagai permulaan, peperiksaan dalam talian ini akan diadakan secara kecil-kecilan tanpa membabitkan penjawat awam yang ramai sebelum diperluas melibatkan peperiksaan paling besar iaitu Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang boleh mencecah 70,000 orang.

Peperiksaan dalam talian ini akan menjimatkan duit kerajaan sekurang-kurangnya RM1.5 juta setahun. Kita juga dapat menjimatkan masa, tenaga kerja dan kertas. Pegawai kita juga tidak perlu lagi pergi ke universiti luar negara bagi menguruskan peperiksaan untuk rakyat Malaysia yang merupakan pelajar tahun akhir di sana.

Bagaimana cara untuk memastikan individu mempunyai rekod jenayah tidak diambil bekerja?

Kalau dahulu, kakitangan awam akan menjalani tapisan keselamatan semasa mereka dalam tempoh percubaan iaitu antara satu hingga tiga tahun, sebelum disahkan jawatan. Ini bermakna tapisan dibuat semasa mereka sudahpun masuk ke dalam perkhidmatan awam.

Tetapi dengan transformasi yang dibuat, kita melaksanakan tapisan keselamatan sebelum calon menerima surat lantikan. Ini melibatkan tapisan taraf kewarganegaraan, status kebankrapan dan rekod jenayah.

Untuk tujuan itu, kita sudah wujudkan Sistem Semakan Maklumat Individu (SSMI) dengan kerjasama polis, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Insolvensi, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta agensi kerajaan lain.

Sejak dilancarkan pada tahun lepas, kita telah tapis kira-kira 37,000 pemohon dan terdapat 27 kes yang tersangkut kerana mempunyai rekod tidak memuaskan.

Berapakah jumlah permohonan pekerjaan yang diterima?

Untuk Januari dan Februari tahun ini, kita telah menerima 553,365 permohonan. Sepanjang tahun lepas pula, jumlah permohonan ialah 2.1 juta.

Ini adalah satu peningkatan besar dan puncanya besar kemungkinan pertama, mereka tertarik dengan gaji tinggi yang ditawarkan kerajaan. Keduanya, kerana tertarik dengan kemudahan-kemudahan yang diterima pegawai kerajaan dan ketiga, saya percaya mereka tertarik dengan ketelusan sistem pengambilan kakitangan kerajaan oleh SPA.

Pada 2013, kita sudah melantik 60,059 orang sebagai kakitangan kerajaan. Proses pengambilan ini dibuat secara berterusan apabila terdapat kekosongan jawatan.

Apakah langkah untuk menarik lebih ramai bukan Melayu?

Kita telah menyiarkan iklan kekosongan jawatan di akhbar-akhbar Cina dan Tamil serta mengadakan pertemuan dengan wa­kil media terbabit.

SPA juga telah mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji penyertaan kaum Cina dan India dan berjumpa dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kaum itu secara berkala bagi mendapat pandangan mereka mengenai cara-cara menarik bukan Melayu serta mengubah persepsi negatif kaum berkenaan terhadap perkhidmatan awam.

Pegawai SPA juga pergi memberi pene­rangan di institusi pendidikan yang mempunyai ramai kaum Cina dan India seperti Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Kolej Tafe. Kita juga telah mengadakan taklimat kerjaya di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dengan kerjasama Gabungan Persatuan Cina Malaysia.

Berapakah pecahan angka pengambilan mengikut kaum?

Pada tahun lepas, kita menerima 1.7 juta permohonan daripada orang Melayu; 44,633 Cina; 75,361 India dan 295,461 kaum lain.

Pemohon Melayu yang dipanggil temu duga seramai 212,913 orang; daripada jumlah itu hanya 149,906 orang hadir manakala 45,392 orang berjaya mendapat pekerjaan.

Peratus kejayaan pemohon Melayu berdasarkan bilangan yang hadir temu duga dengan yang dilantik adalah 30.28 peratus.

Seramai 7,262 pemohon Cina dipanggil temuduga; namun hanya 4,694 orang hadir dan daripada jumlah itu, 2,901 orang berjaya. Peratus kejayaan adalah 61.80 iaitu yang tertinggi.

Daripada 7,373 orang pemohon India yang dipanggil temu duga pula, sejumlah 4,960 orang hadir dengan 2,018 orang berjaya memperoleh pekerjaan iaitu kejayaan 40.69 peratus.

Untuk dua bulan pertama tahun ini pula, kita menerima 440,019 permohonan daripada Melayu; 7,763 Cina; 14,622 India dan 90,961 kaum lain.

Yang kita telah lantik secara tetap, Melayu sebanyak 3,863 orang; Cina 223 orang; India 324 orang dan kaum lain 848 orang.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.