saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 21/03/2014

UPM Bintulu nadi pembangunan SCORE

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah merangkap Canselor UPM diberi penerangan mengenai kampus baharu UPMKB selepas merasmikan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Sarawak, baru-baru ini. - UTUSAN

TIDAK ramai yang mengetahui bahawa Universiti Putra Malaysia (UPM) yang ditubuhkan di Serdang, Selangor pada 1971 mempunyai sebuah kampus cawangan di Bintulu, Sarawak.

Kampus berkenaan sebenarnya sudah lama wujud dan bermula sebagai cawangan sementara di Semenggok, Kuching, Sarawak pada Jun 1974. Kampus ini asalnya sebuah Pusat Latihan Sumber Semulajadi yang dipinjamkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak sementara menunggu kampus tetap di Bintulu siap.

Mulai Julai 1987, kampus ini berpindah ke lokasi tetap seluas 715 hektar di Bintulu, namun ditutup pada 1992 apabila UPM memberi laluan kepada penubuhan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di tapak tersebut.

Bagaimanapun, Unimas dibina di Kota Samarahan, Kuching dan lokasi tersebut digunakan oleh Maktab Perguruan Sains Bintulu pada 1994. Namun, UPM Kampus Bintulu dibuka semula di tapak itu pada 2001 apabila Kementerian Pendidikan bersetuju menggerakkan semula cawangan UPM itu dengan memberikan tumpuan khusus kepada bidang pertanian dan perhutanan.

Langkah tersebut dibuat supaya UPM dapat memainkan peranan penting dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memanfaatkan kawasan mega-biodiversiti yang terdapat di Sarawak yang mana 50 peratus kawasan muka buminya masih diliputi hutan dan ladang hutan.

Selepas pelancaran Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui (SCORE) pada 2008, kedudukan UPM Kampus Bintulu di tengah-tengah wilayah ekonomi itu diyakini dapat menyokong pembangunan SCORE secara berkesan agar menjadi lebih berdaya maju melalui aktiviti R&D dan membekalkan modal insan dalam bidang berkaitan.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Canselor UPM semasa merasmikan kampus Bintulu baru-baru ini, menzahirkan rasa bangga baginda kerana UPM dapat bersama-sama memberikan manfaat dan sumbangan kepada pembangunan SCORE yang diperlukan bagi kemajuan Sarawak dan rakyatnya.

Titah baginda, UPM boleh menjadi peneraju dalam bidang pertanian yang mencakupi pertanian tradisional dan moden termasuk bidang agribio seperti bioteknologi, teknologi pertanian dan teknologi makanan bagi SCORE.

"Antara bidang-bidang penting yang diberi fokus oleh UPM ialah perhutanan, ekopelancongan, pertanian, bioteknologi dan perubatan. Misalnya, aktiviti ekopelancongan berdasarkan sumber alam semulajadi (flora dan fauna) yang merupakan program utama sektor kerajaan dan swasta dalam penjanaan pendapatan negara ini boleh diterajui oleh UPM sebagai pembekal utama modal insan," titah baginda.

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Fauzi Ramlan berkata, daripada daripada 10 industri utama SCORE, UPM Bintulu boleh memainkan peranan dalam lima bidang industri sebagai antara tulang belakang pencapaian matlamat wilayah pembangunan ekonomi itu.

Lima industri berkenaan adalah perladangan kelapa sawit, akuakultur dan perikanan, penternakan, pembalakan dan pelancongan.

Di samping itu, bagi membolehkan UPM Bintulu menyumbang secara berkesan dalam pembangunan SCORE, maka universiti tersebut telah mengambil langkah memperkasakan aktiviti R&D dalam enam bidang tujahan iaitu tanaman perladangan, tanaman makanan, ternakan, perikanan, perladangan, biodiversiti dan perhutanan.

"Fokus UPM Kampus Bintulu kini mengutamakan impak kepada tiga perkara iaitu sebagai penjana utama modal insan separa mahir dalam bidang pertanian, menyokong Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dan Dasar Agro Makanan Negara 2011-2020 serta melestarikan pembangunan pertanian di Borneo," katanya.

Menurut beliau, UPM turut menubuhkan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Ekosistem Sains Borneo (Borneo Ekosains) di kampus Bintulu bagi meningkatkan sumbangan universiti tersebut dalam pembangunan penyelidikan dan memanfaatkan kekayaan sumber biodiversiti negeri Sarawak.

"Selain itu, usaha akan dilakukan untuk menjadikan Borneo Ekosains mempunyai pengumpulan data besar yang menghimpunkan koleksi-koleksi data serta penerbitan jurnal dan buku mengenai flora serta fauna di kepulauan Borneo," katanya.

Dengan pelbagai kejayaan dicapai UPM Kampus Bintulu dalam bidang R&D sejak 2007 hingga 2013, kampus tersebut tidak diragui lagi mampu menjadi antara nadi dalam pembangunan SCORE, apatah lagi daripada 146 geran penyelidikan yang diperolehi kampus itu, sebanyak 23 geran pendidikan adalah berkaitan biodiversiti di Sarawak.

Untuk rekod, UPM Kampus Bintulu memenangi sebanyak 13 anugerah penyelidikan peringkat antarabangsa dan sebanyak 32 anugerah peringkat kebangsaan dalam tempoh tersebut, di samping menerbitkan jurnal berwasit sebanyak 231 naskah dan buku sebanyak 15 naskah.

Antara produk terkini yang berjaya dikomersialkan adalah ‘Orygene of Bario Rice Sample ID Kit’ di bawah tajuk paten ‘Multiplex Assay for Detection of Bario Rice Sample’. Selain itu, terdapat hasil penyelidikan yang mampu menghasilkan butiran padi 90 peratus lebih banyak.

Kawasan UPM Kampus Bintulu juga dikelilingi hutan dara dan ladang-ladang pertanian yang begitu luas bagi menggalakkan pembangunan aktiviti R&D. Daripada 715 hektar kawasan kampus, hanya 258.46 hektar digunakan untuk bangunan dan infrastruktur.

Selebihnya adalah hutan dara (311.3 hektar), ladang kelapa sawit (51 hektar), getah (25 hektar), pastura (10 hektar), buah nadir (lapan hektar), sawah padi (0.2 hektar), tanaman minuman (satu hektar), sayur-sayuran (2.2 hektar), ladang pisang (0.1 hektar), lada hitam (0.4 hektar) dan projek UPM-Mitsubishi (47.5 hektar).

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.