saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 07/04/2014

Letakkan kepentingan negara mengatasi politik

MINGGU pertama bulan Mac pada tahun 2013 dan 2014 sememangnya amat mencabar bagi negara kita. Dalam dua tempoh ini, Malaysia menjadi tumpuan dan perhatian dunia. Pertama pada Mac 2013 apabila pihak keselamatan melancarkan Ops Daulat di Sabah pada 5 Mac bagi memerangi pengganas Kiram yang menceroboh Kampung Tanduo, 130 kilometer dari bandar Lahad Datu sejak 12 Februari. Operasi itu terpaksa dilakukan selepas rundingan selama sebulan gagal mencapai penyelesaian. Ketika itu, ada pihak yang menyifatkan pencerobohan itu sebagai sandiwara kerajaan Barisan Nasional (BN) walaupun yang turut menjadi korban adalah anggota pasukan keselamatan kita. Tanpa memikirkan penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh keluarga mangsa, pihak berkenaan sanggup memutar belitkan peristiwa itu demi kelangsungan politik mereka.

Kini tragedi pada bulan Mac berulang.Walaupun ia bukan dalam bentuk serangan atau pencerobohan tetapi apa yang berlaku mencetuskan perhatian besar dunia. Sebulan sudah berlalu. Misteri kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac belum terjawab walaupun penerbangan pesawat itu `berakhir’ di Lautan Hindi. Masyarakat dunia masih menanti jawapan di manakah pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu. Masih ada yang mengharapkan anak-anak kapal dan penumpang selamat. Sudah banyak teori dibincangkan termasuk melalui laman sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Twitter.

Lebih malang lagi apabila ada pihak yang menyatakan kerajaan menyembunyikan maklumat atau tidak telus berhubung misteri ini. Kenapa kerajaan perlu menyembunyikan maklumat? Jika benar, tergamakkah Malaysia menyusahkan dunia? Adakah mereka (pihak yang menuduh) sedar bahawa sudah banyak tenaga kerja, wang ringgit yang dihabiskan untuk mencari MH370?

Pencarian yang dianggap termahal dalam sejarah itu bukan sahaja melibatkan Malaysia tetapi banyak negara yang turut menyumbangkan peralatan tercanggih. Bayangkan jika Malaysia sebagai ‘pihak tuan rumah’ diwajibkan membayar kos berkenaan. Apa akan terjadi kepada negara ini? Ada juga yang secara sinis memperlekehkan tahap keupayaan negara sehingga ke tahap ‘mendabik dada’ bahawa jika mereka berada di jawatan berkenaan, masalah boleh selesai. Ada juga yang menjadikan tragedi ini sebagai usaha menarik perhatian orang ramai menghadiri ceramah mereka kerana sedar bahawa isu lain tidak mampu menarik kehadiran pengunjung. Dengar tajuk ceramah teruja orang mahu mendengarnya. Contohnya Ceramah Perdana Timbalan Presiden Pas, Mat Sabu di Muar, Johor baru-baru ini bertajuk Penjelasan Misteri MH370. Siapakah Mat Sabu yang mahu menjelaskan misteri berkenaan? Maka diselitkan ‘sepatah dua’ perkara berkaitan misteri itu tetapi tidak ada ‘penjelasan yang jelas’. Dalam erti kata lain mereka ini seolah-olah lebih bijak daripada Perdana Menteri, Najib Tun Razak, lebih hebat daripada Perdana Menteri Australia, Tony Abbott atau Menteri Pengangkutan Hishammuddin Tun Hussein. Ada juga yang bercakap dan ‘memberi kenyataan' seolah-olah merekalah yang lebih tahu berbanding pengetahuan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya atau Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Azharuddin Abdul Rahman.

Mereka yang di luar operasi mencari dan menyelamat (SAR) ini seolah-olah lebih arif. Begitulah jadinya apabila setiap isu mahu dipolitikkan oleh sesetengah pihak demi kelangsungan hayat politik mereka. Sepatutnya dalam situasi seperti ini, rakyat tanpa mengira fahaman politik perlu bersama - satu hati - menyokong kerajaan dalam melakukan sebarang tindakan untuk menyelesaikan kemelut ini. Janganlah bertindak ‘menikam dari belakang’. Adalah kurang bijak kita ‘meludah ke langit’ kerana akhirnya terpalit di batang hidung sendiri. Tindakan golongan seperti ini boleh menggugat kestabilan negara. Cukuplah serangan siber yang tidak henti-henti menyalakan api kebencian terhadap kerajaan. Begitu juga media asing yang cuba mencari silap.

Ada juga orang politik yang menggunakan media asing untuk menuding jari terhadap kerajaan. Mereka tidak peduli apa yang akan berlaku kepada negara. Ingatlah situasi yang dihadapi hari ini bukan kerana politik. Maka tidak wajar mana-mana pihak mempolitikkan isu ini. Alangkah baik jika mereka tidak bercakap sesuatu yang hanya memburukkan nama negara. Lebih baik mereka sama-sama mendoakan agar usaha pencarian ini berjaya dan diselesaikan dengan segera. Kenapa ketika kebanyakan negara di dunia menghargai usaha yang dilakukan Malaysia, masih ada pihak mempersendakan ‘keluarga’ sendiri? Agak membimbangkan jika dalam suasana hari ini, akan ada pihak yang mengambil kesempatan untuk menjejaskan imej negara. Sememangnya musuh akan sentiasa mencari ruang untuk memusnahkan kita. Kita tidak tahu agenda yang ada.

Jerat tidak pernah melupakan pelanduk tetapi pelanduk selalu melupakan jerat. Kelemahan dan perpecahan sesuatu kaum atau bangsa itu akan memudahkan usaha meruntuhkan kekuatan yang ada. Tidak dinafikan orang kita memang gemar mendengar cerita-cerita karut yang menarik perhatian mereka untuk menganalisis sesuatu peristiwa lebih-lebih lagi melalui laman media sosial.

Ada juga pihak yang hanya pandai mengkritik tetapi tidak tahu apa penyelesaiannya. Umpama saudagar air liur. Teori mereka, dan siasatan mereka berdasarkan pelbagai sumber media sosial, lebih hebat daripada agensi perisikan FBI atau CIA.

BACAAN AL- QURAN SERTA DOA

LEGA apabila mendengar kekerapan bacaan ayat-ayat suci al-Quran walaupun sekadar surah al-Fatihah di media elektronik. Mungkin langkah ini boleh dikekalkan selepas ini. Jangan menanti musibah baru kita mengingati ayat-ayat al-Quran yang siap dengan terjemahannya. Tanpa perlu mencari penaja untuk menaja bacaan ayat-ayat al-Quran ini, media elektronik boleh meneruskan apa yang dilakukan sekarang. Siarkan surah-surah pendek yang dapat memberi peringatan kepada masyarakat. Bagi orang Islam, sekurang-kurangnya dapat mengingatkan kita tentang kekuasaan Allah SWT.

Begitu juga dengan doa yang berkaitan dengan misteri kehilangan MH370. Terasa tenang mendengar doa-doa ini dibaca atau dihuraikan. Seperkara lagi, banyak juga pihak yang menyarankan supaya doa perjalanan dibaca sebelum pesawat berlepas.

Beberapa syarikat penerbangan melakukannya termasuk Saudi Airlines, Royal Brunei, Qatar Airways dan Emirates. Doa perjalanan walaupun hanya melalui tayangan video tetapi sekurang-kurangnya ia memberi peringatan kepada kita. Jika tidak dibaca oleh pihak syarikat penerbangan, berapa ramai yang membaca doa perjalanan sebelum pesawat berlepas. Berapa ramai pula yang menunaikan solat musafir sebelum melakukan perjalanan jauh. Adakah kita hanya sedar apabila musibah sudah berlaku dan kemudian mencari silap orang lain. Lumrahnya, silap sendiri dilupakan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:40
Zohor 1:13
Asar 4:37
Maghrib 7:21
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.