saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 15/04/2014

Turki rakan strategik Kuala Lumpur

(di Ankara, Turki sempena lawatan PM bermula esok)

BULAN lalu, Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan menghubungi rakan sejawatnya, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan menawarkan bantuan negaranya untuk membantu usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac.

Turki berkongsi perasaan simpati yang sama dengan masyarakat antarabangsa atas insiden yang mengejutkan dunia itu.

Esok, Rabu 16 April apabila Perdana Menteri dan isteri tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboga, Angkara kira-kira pukul 10.15 malam waktu tempatan (Khamis 4.15 pagi waktu Malaysia), Najib dan Erdogan sekali lagi akan bertemu dalam atur cara rasmi - yang kali pertama dalam kunjungan ke Ankara, 2011 dan kedua apabila Erdogan ke Kuala Lumpur, Januari tahun ini.

Lawatan kerja Perdana Menteri selama dua hari ke Turki mempunyai makna yang signifikan dalam mengukuhkan hubungan dua hala. Selain lawatan yang menandakan keyakinan tinggi dalam menghargai ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-Turki yang terjalin sejak 1964, Najib dan Erdogan dijadualkan memeterai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-Turki atau dikenali MTFTA.

Dari segi titik persamaan, Kuala Lumpur-Ankara telah menyatakan komitmen untuk bekerjasama mencapai wawasan negara maju, masing-masing pada 2020 dan 2023. Malah, Turki sentiasa bersedia berganding bahu dengan Malaysia dalam usaha membersihkan tanggapan salah masyarakat dunia yang mengaitkan Islam dengan keganasan.

Bagi kedua-dua negara, Khamis ini atau lebih tepat lagi kira-kira 6 petang waktu tempatan (12 tengah malam waktu Malaysia) menjadi detik penting kerana pemeteraian FTA akan memberi manfaat kepada Malaysia untuk memperoleh akses kepada pasaran lebih besar. Sebagai contoh, FTA dengan Jepun pada 2005 merangsang negara Matahari Terbit itu mengimport sejumlah besar keperluan minyak sawitnya dari Malaysia, berikutan tarif import yang lebih baik.

Pemeteraian MTFTA ini tidak menghairankan kerana Malaysia merupakan negara kelima menandatangani rangka kerja kerjasama strategik dengan Turki selepas China, Afrika Selatan, Jepun dan Indonesia. Dari segi hubungan perdagangan pula, Erdogan tempoh hari telah menyatakan komitmen untuk kedua-dua negara meningkatkan nilai dagang dua hala daripada AS$1.5 bilion (RM4.9 bilion) setahun kepada AS$5 bilion (RM16.34 bilion) dalam tempoh lima tahun.

Jika menepati yang dijadualkan, Turki bakal menjadi negara ke-13 memeterai FTA dengan Malaysia. Setakat ini Malaysia menandatangani dan melaksanakan enam FTA dua hala dan enam FTA serantau. Yang terakhir dengan Australia pada 22 Mei 2012.

Bagi MTFTA, mesyuarat pertama mengenainya diadakan di Ankara dari 31 Mei hingga 1 Jun 2010.

“Dalam perjumpaan tersebut, kedua-dua pihak bersetuju tentang terma dan syarat yang akan melambangkan kesefahaman bersama kedua-dua pihak. Kedua-duanya juga akan menumpu perhatian kepada rundingan mengenai perdagangan barangan terlebih dahulu selain bersetuju secara prinsip bahawa rundingan tentang perdagangan perkhidmatan akan diadakan setahun selepas pelaksanaan MTFTA," kata sumber Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kepada penulis kelmarin.

Kuala Lumpur-Ankara turut bersetuju bahawa bab pelaburan akan diliputi di bawah ‘evolutionary provision’ tanpa prejudis kepada hak untuk mencadangkan topik lain semasa rundingan FTA dijalankan. Keadaan itu mengambil kira bahawa Malaysia dan Turki telah mempunyai tujuh perjanjian termasuk Perjanjian Jaminan Pelaburan (IGA), Perjanjian Kerjasama Ekonomi dan Teknikal serta Perjanjian Mengenai Pengelakan Cukai Berganda.

Dalam sesi rundingan MTFTA pertama yang dijalankan pada 23 hingga 25 Ogos 2010 di Kuala Lumpur, sejumlah lapan sesi rundingan MTFTA dilakukan di mana sesi terakhir diadakan di Ankara, Turki dari 13 hingga 15 Januari tahun ini.

Perjanjian yang dirundingkan meliputi bahagian akses pasaran termasuk kerjasama ekonomi dan teknikal serta institusi perundangan.

Daripada hasil rundingan, kesepakatan yang dicapai:

n Eksport Malaysia akan menikmati manfaat melalui penghapusan duti untuk barang elektronik dan kejuruteraan (E&E), kimia, tekstil, minyak sawit, jentera, plastik, dan produk getah secara serta-merta. Secara keseluruhannya, duti untuk semua produk tekstil akan dihapuskan sepenuhnya dalam tempoh lapan tahun untuk penghapusan di bawah MTFTA (2023).

n Untuk minyak sawit, Turki pada masa ini mengenakan duti pada kadar 31.2 peratus hingga 46.8 peratus. Dengan pelaksanaan FTA, Turki akan mengurangkan kadar duti pada kadar 30 peratus. Untuk produk hiliran seperti majerin cair dan lemak sayuran, Turki menawarkan untuk mengekalkan duti import sedia ada.

Dalam pada itu, tawaran Malaysia kepada Ankara pula antaranya:

n Penghapusan duti untuk 70 peratus produk selepas FTA dikuatkuasakan. Apabila ia direalisasikan, Malaysia akan menghapuskan duti untuk hampir 97 peratus dalam senarai produk.

Produk yang mana duti akan dihapuskan selepas FTA dilaksanakan ialah barang E&E, kimia, tekstil, minyak sawit, jentera, plastik dan produk getah.

n Untuk automatif, Malaysia tidak menyatakan komitmen untuk menghapuskan tarif. Malaysia turut menolak minuman beralkohol dan tembakau daripada komitmen tarif.

“Mengenai bayaran balik duti, Malaysia bersetuju untuk menilai klausa yang mengkehendaki kedua-dua pihak untuk melihat semula usul bagi melarang bayaran balik duti dua tahun selepas FTA dilaksanakan.

“Bagi cukai eksport pula, Malaysia bersetuju dengan komitmen sedia ada seperti tidak memperkenalkan cukai eksport baharu. Sekiranya Malaysia menghapuskan cukai eksport untuk mana-mana FTA, Malaysia juga memberi layanan serupa kepada Turki," kata sumber itu lagi.

Selain rundingan pemeteraian FTA, ia turut disusuli pemeteraian memorandum persefahaman antara universiti kedua-dua negara melibatkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)-Hacettepe University dan UKM-Ankara University.

Dalam kalangan 56 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Turki merupakan rakan dagang ke-10 terbesar Malaysia, pasaran eksport kelapan paling utama dan sumber import ke-13 terbesar. Dan dalam kalangan negara ASEAN pula, Malaysia adalah rakan dagang ketiga terbesar Turki. Kuala Lumpur juga merupakan pasaran eksport keempat terbesar Ankara dan sumber import ketiga terbesar anggota Pakatan Atlantik Utara (NATO) itu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.