saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 21/04/2014

Bahasa Turki, 'stylo' dan FTA

SUSAH nak hidup di Turki kalau anda tidak boleh berkomunikasi dalam bahasanya. Hendak beli kad sim atau alat sekecil adaptor antarabangsa di gedung beli-belahnya akan berpeluhlah dibuatnya.

Kalau nak cepat, bawa sahaja sampel barang yang nak dibeli. Jika tidak, menjawablah sehingga memakan masa dua hingga tiga jam berurusan.

Perdana Menterinya, Erdogan (Recep Tayyip Erdogan) tidal disebut Erdogan. Sebaliknya ‘g’ yang ada dua titik di atasnya adalah sebutan ‘g’ perlahan yang tidak ada bunyi. Abaikan sahaja dan bunyi sebutan Erdogan sekadar hanya ‘Erdoan’.

Namun, kata Nor Suhana Suliman, 23, dari Pasir Gudang, Johor, iaitu seorang daripada 70 pelajar Malaysia di seluruh Turki, belajar bahasa republik yang mewarisi kerajaan Abbasiah dan Uthmaniah itu tidak sukar. Dalam tempoh enam bulan sahaja, ujar pelajar perubatan Kirikkale University itu, anda boleh fasih. Hanya selepas mampu bertutur, kita akan ‘diterima’ masuk dalam masyarakatnya.

Di Ankara empat lima hari lalu yang suhunya mencecah sehingga 9 dan 10 darjah celsius, kehidupan harian berjalan seperti biasa. Kaum lelaki dan wanitanya bersesak-sesak dalam bas macam ‘tin sardin’ selepas waktu pejabat 4 petang. Dengan gaya ‘stylo’ berjaket kulit dan berkot ‘terletak’ di badan, mereka maklum kunjungan singkat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke negara itu.

Turki, yang separuh badannya dalam Asia, setengah lagi di Eropah agak tidak tercakup sebenarnya dalam keakraban hubungan luar Malaysia sejak sekian lama.

Dalam tempoh tiga dekad ini, tidak ada kelibat Perdana Menteri Malaysia ke sana atas platform rasmi. Cuma Najib ‘memecahkannya’ pada 2011 dan disusuli kunjungan terbaharu beliau 17 April lepas. Dengan hubungan Turki-Malaysia yang memasuki usia 50 tahun sejak pertalian diplomatik dijalin 1964, Najib sendiri akur Ankara-Kuala Lumpur harus mengembangkan pelaburan dua hala yang ketika ini agak ‘berat sebelah’.

Sehingga hari ini, pelaburan republik itu di Malaysia adalah AS$126.1 juta yang tertumpu dalam industri pertahanan dan pembekalan peralatan untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Sedangkan, pelaburan Malaysia di Turki sudah mencecah AS$1 bilion.

Hubungan dua hala Malaysia-Turki memerlukan anjakan baharu. Perlukan transformasi kata Perdana Menteri.

Apabila Najib ke pejabat Erdogan tempoh hari untuk memeterai satu dokumen perjanjian perdagangan bebas, ia turut menarik puluhan wartawan Turki. Karavan media kira-kira tujuh dan lapan kenderaan diletak di sisi jalan membuat lintas langsung.

"Malaysia begitu dekat dengan Turki. Apabila kami mendengar anda kehilangan pesawat MH370, kami sungguh sedih," kata Erdogan. Nada sama turut dikongsi Timbalannya, Ali Babacan dalam ucapan di satu majlis makan tengahari dihadiri komuniti perniagaan Turki dan Malaysia.

Dari segi kemakmuran ekonomi, Turki agak jauh ke depan dari Malaysia. Ekonominya merupakan ke-16 terbesar di dunia. Ketika ini pun kian hampir memasuki kumpulan 10 negara utama dunia.

Najib gembira kepentingan Turki di Malaysia semakin meningkat. Selepas deklarasi FTA ditandatangani Khamis lepas, Kuala Lumpur bakal menjadi tuan rumah kepada syarikat pembuatan Turki terutama Eyvap Sabun. Pelaburan awal Eyvap di Malaysia sebanyak AS$85 juta telah membantu mewujudkan 190 pekerjaan baru.

Eyvap juga bekerjasama dengan Felda Global Ventures untuk mewujudkan salah satu tumbuhan oleo-kimia di Malaysia. Kuala Lumpur turut menggalakkan lebih banyak syarikat Turki mencari peluang di Malaysia dalam mengembangkan perniagaan mereka di Asia Pasifik.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia bekerja keras untuk meningkatkan pelaburan antara kedua-dua negara .

Nilai pasaran cabang pelaburan Khazanah di republik itu pun mencapai lebih AS$2 bilion. Ini termasuk AS$1.1 bilion dalam bidang penjagaan kesihatan yang mengukuhkan hubungan dua hala Kuala Lumpur-Ankara. Khazanah melalui Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) pula melabur AS$300 juta bagi meningkatkan pegangan saham dalam projek lapangan terbang antarabangsa kedua di Istanbul iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISGIA) dari 20 peratus kepada 60 peratus. Kehadiran Khazanah di Turki melalui Pejabat Serantau Khazanah di sana juga meningkat serta mengukuhkan pelaburan serantau dan rangkaian perniagaannya termasuk di rantau Asia Barat dan Afrika Utara ("MENA"), Asia Tengah dan Eropah.

Khazanah adalah pelabur terbesar dengan pelaburan bersama bernilai AS$1 bilion menerusi Integrated Healthcare Holdings (IHH), bagi 75 peratus kepentingan dalam Acibadem Saglik Yatirimlari Holding AS, penyedia perkhidmatan penjaga kesihatan terbesar di Turki. ISGIA juga adalah salah sebuah lapangan terbang yang pantas berkembang. Jumlah penumpangnya juga meningkat dari 18.8 juta pada 2013 berbanding 4.3 juta penumpang pada 2008, dengan kadar pertumbuhan tahunan 34 peratus.

Dan apabila FTA dimeterai, Malaysia-Turki dijangka meningkatkan lagi nilai dagangan dua hala sehingga mencapai AS$5 bilion (RM16.34 bilion) dalam tempoh lima tahun. FTA akan mengukuhkan kerjasama ekonomi dan teknikal dalam bidang-bidang seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS), perkhidmatan, pertanian dan makanan, penjagaan kesihatan , tenaga , e-dagang , penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan sektor automotif.

Melalui kesepakatan yang dicapai Najib-Erdogan, FTA berkenaan turut merangkumi pelupusan duti bagi produk jentera, plastik dan getah. Turki turut bersetuju mengurangkan kadar duti minyak sawit pada kadar 30 peratus berbanding 31.2 peratus hingga 46.8 peratus sebelum ini. Ini meliputi produk minyak sawit seperti minyak sawit mentah, minyak sawit diproses, minyak isirung sawit mentah dan minyak isirung sawit diproses.

Malahan, Najib turut menjemput rakyat Turki memeriahkan Tahun Melawat Malaysia 2014. Tahun lalu Malaysia mengalu-alukan kunjungan 12,775 pelawat Turki. Tahun ini, harapannya lebih tinggi lagi. Dengan pautan baharu dan lebih baik antara Malaysia dan Turki termasuk enam kali penerbangan terus setiap minggu melalui Turkish Airlines dan Malaysia Airlines, tidak ada alasan lagi untuk perkara ini.

Turki adalah plaftorm terbaik pelaburan dan perdagangan dua hala Malaysia.

Rakyatnya cukup kagum dengan budi pekerti umat Islam Malaysia. "Kata mereka, rakyat kita di Mekah macam ‘malaikat’, sentiasa tersenyum dan ramah. Kalau anda boleh ambil hati mereka dengan belajar bahasanya, mereka akan lebih menerima kehadiran kita. Kehadiran Malaysia di bumi anbia ini," kata Nor Suhana ketika kumpulan wartawan Malaysia menanti di luar pejabat Erdogan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.