saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 30/04/2014

Pok Me, Stingray dan tuala good morning dalam kenangan...

SAYA mengenali wartawan hebat Kamaruzaman Mohamad atau dikenali sebagai Pok Me atau Kam ini lebih 26 tahun lalu.

Semasa itu saya pelajar ITM dan menjalani latihan amali di Utusan Malaysia pada 1987 dan kemudian menyertai akhbar itu sepenuh masa pada 1989.

Seorang yang cukup ceria, happy-go-lucky dan peramah.

Jarang orang Kelantan yang kita kenali, tidak menunjukkan ciri-ciri kekelantanannya, namun Kamaruzaman yang berasal dari Bukit Abal, Pasir Putih, Kelantan, cukup universal.

Kita mengenalinya sebagai wartawan jenayah Utusan Malaysia yang hebat, sekitar 80-an dan pertengahan 90-an.

Dia bergandingan dengan rakan-rakan seangkatannya di Utusan menghidu, menjejak dan memburu berita-berita jenayah.

Meja jenayah Utusan Malaysia masa itu cukup terkenal. Pemberita-pemberita yang mengendalikan meja itu juga cukup dedikasi. Malah, mempunyai gelaran masing-masing.

Yang senior sedikit daripada Pok Me di meja jenayah Utusan pada ketika itu dikenali sebagai Chico (Hassim Sharudin), She­riff Lobo (Ahmad Tarmizi) dan Dirty Harry atau Mike (Mohd. Nor Samad).

Pok Me sendiri mempunyai gelaran sebagai Stingray.

Masing-masing mempunyai perwatakan tersendiri.

“Karakter dia paling aku tak dapat lupakan. Sambil tersenyum, dia akan usap lembut misai kontot ala Hitler itu," kata Mike dalam mesejnya kepada saya.

Mungkin mereka terlalu obses dengan watak-watak siri detektif di televisyen pada zaman retro itu, seperti watak Tony Baretta, Starsky and Hutch dan lain-lain.

Chico, yang mencipta sendiri gelaran itu untuk dirinya, akan datang ke pejabat memakai bush jacket, atau tie besar, seluar bell bottom serta kasut tapak tebal.

Sheriff Lobo pula berperwatakan ultra-tenang walaupun kes jenayah sedang berlaku, dia masih di pejabat menghembus rokoknya. Namun, beritanya tetap mantap.

Pada zaman mereka itu, ada banyak kepala gangster besar bertaraf nasional seperti Botak Chin, Batang Kali dan juga watak-watak polis yang brutal seperti (Tan Sri) Zaman Khan dan Tuan Bahadon dari D9 - yang masing-masing seperti tikus dan kucing antara satu sama lain.

Setiap malam semasa meja jenayah bekerja ada sahaja operasi polis membabitkan kes tembak mati penjenayah dan kongsi gelap.

Maka aktiviti meja jenayah di media juga turut hebat dan memberi kesan kepada pembaca akhbar. Siapa alpa akan kena scoop dengan akhbar lain.

Chico dan Sheriff Lobo sudah lama bersara. Difahamkan Sheriff Lobo kini juga tidak sihat kerana diabetes dan kakinya terpaksa diamputasi.

Kontemporari wartawan jenayah mereka yang hebat semasa itu adalah Tony Emmanuel (NST), Lourdes Charles (The Star) dan Eddie Chua (The Malay Mail).

Pada masa itu, bukan macam sekarang. Mereka perlu mendengar radio gelombang pendek polis bagi mengetahui aktiviti setiap hari polis atau bomba.

Mereka memerlukan sumber atau orang hubungan yang rapat untuk mendapatkan maklumat. Maklumat yang tepat membolehkan wartawan berada di crime scene, pada detik-detik sebelum sesuatu insiden tembak-menembak berlaku.

Walaupun Pok Me pernah berkhidmat sebagai Ketua Biro Utusan di Negeri Sembilan dan Selangor, beliau cukup dikenali sebagai wartawan jenayah yang hebat.

Beliau juga amat dikenali di kalangan pegawai tinggi polis dan juga menteri-menteri besar di mana-mana sahaja dia berkhidmat. Pok Me mempunyai PR yang hebat.

Pencapaian terbesar Pok Me ialah apabila dihantar oleh Ketua Pengarang Utusan ketika itu, (Datuk) Khalid Mohd. membuat liputan peristiwa penculikan oleh puak Abu Sayyaf di Pulau Sipadan pada Mei 2000. Penculik melarikan diri bersama tebusan ke selatan Filipina. Ketika itu Pok Me memegang jawatan Penolong Pengarang Berita.

Pok Me dan jurugambar Zulazhar Shebley @ Apai, kini jurugambar The Star, pergi ke kepulauan Jolo (sebutan Holo) di selatan Filipina.

Saya semasa itu sebagai Pengarang Berita, sementara Pengarang Tugasan pula ialah Mike.

Kami berhubungan dengan beliau dari semasa ke semasa melalui telefon.

Detik-detik kecemerlangan Pok Me ialah apabila dia - satu-satunya wartawan dunia - berjaya menembusi Kem Abu Sayaf dan menemui dengan Komander Robot, ketua penculik.

Di kem itu, dia juga berjaya menemui mangsa-mangsa penculikan itu.

Satu hari saya menerima panggilan daripada Pok Me menyatakan kejayaannya itu. Kami di Utusan cukup gembira dan teruja. Melalui telefon ganggang, tiada lagi telefon secanggih sekarang, kami berhubungan.

Dia memberi butir-butir pertemuan bersejarah itu. Sambil telefon didakapkan ke bahu, kedua-dua tangan saya menaip. Maklumat yang dihantar bukan dalam bentuk berita.

“Pok Me kau bagi fakta saja, nanti aku goreng..., kata saya kepadanya. ‘Goreng’ bermaksud ditulis semula dalam bentuk yang menarik.

Pok Me berjaya menempuh perjalanan ke kem itu dengan menyamar sebagai orang awam, menaiki sebuah kenderaan setelah membuat sedikit pembayaran dalam dolar Amerika (yang dirahsiakan jumlahnya sehingga sekarang) dan berjaya menemui Komander Robot.

Komander Robot, yang kemudian terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Filipina bersama anggotanya, dikenali sebagai pemberontak yang cukup ganas.

Jurugambar Apai menghantar gambar mereka bergambar dengan Komander Robot.

“Apa ni Pok Me sangkut tuala good morning di leher dia. Macam lepas basuh pinggan kendurilah..." jerkah Khalid Mohd. dalam loghat Penangnya, sebaik sahaja melihat gambar itu. Kami semua ketawa terbahak-bahak.

“Cari gambar lain...!" katanya. Namun tiada gambar lain, yang tiada tuala! Gambar itu disiarkan di muka depan Utusan Malaysia pada 26 Mei 2000.

Tuala good morning itu kemudian menjadi gurauan yang tidak akan dilupakan.

Dengan kejayaan itu, Kamaruzaman dijulang menjadi wartawan terbaik negara pada Anugerah Hadiah Kajai anjuran Institut Akhbar Malaysia pada tahun 2000.

Sesungguhnya Pok Me cukup hebat. Daripada keperibadiannya yang tidak tahu marah orang, sentiasa tersenyum, cukup mesra - kami menjadi rakan baik.

Beliau pernah menerajui Meja Jenayah Utusan di samping anak-anak buahnya yang dilatihnya menjadi hebat; Mohd. Romzi Samsudin (meninggal dunia akibat kanser dua minggu lalu), Fauziah Arof, Teon Eg, Borhan Abu Samah (berjaya memasuki ke kem al-Maunah semasa insiden Sauk), Radzuan Hassan, Radhuan Hussin dan Wan Sandari.

Dalam kesibukan tugas, Pok Me terus mencatat kecemerlangan peribadinya apabila mengambil kursus luar kampus sehingga mendapat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tahun lalu apabila saya melihat kakinya mulai bengkak dan menghitam, saya menasihatinya supaya dapatkan rawatan segera kemungkinan disebabkan buah pinggang akibat diabetes.

Abangnya sebelum itu juga meninggal dunia kerana diabetes. Keadaan kesihatan Pok Me semakin merudum. Doktornya, yang juga doktor saya di Sime Darby Medical Center (SDMC) selalu memberitahu saya, “dia tak mahu pantang..."

Namun semasa keadaannya cukup uzur dan di bawah rawatan dialisis tiga kali seminggu, beliau tetap mahu meneruskan tugasnya sebagai Pengarang Prosesan Utusan Malaysia.

Ada masa beliau akan pulang ke rumahnya dengan saya kerana kami tinggal berhampiran di Shah Alam.

Ada ketika semasa dalam perjalanan pulang di tengah-tengah malam, Pok Me minta diberhentikan kereta ke tepi lebuh raya NKVE kerana mahu muntah.

Di saat-saat terakhirnya di pejabat, kira-kira seminggu lalu, dia sudah tidak banyak bercakap.

Awal pagi Ahad lalu, dia dikejarkan ke hospital oleh isteri dan anak-anaknya kerana tidak sedarkan diri. Saya menerima mesej Whatsapp daripada anaknya Shafiq jam 2.44 pagi mengatakan ayah tidak sedarkan diri.

Subuh hari Isnin, isterinya menelefon saya pada jam 5.35 pagi memberitahu, “dia sudah tiada."

Kamaruzaman menghembuskan nafas terakhirnya di sisi isterinya, seorang guru, Rosmazlin Sulong dan anak-anak di dalam bilik CCU, SDMC.

Kamaruzaman berusia 53 tahun.

Allahyarham meninggalkan lima orang anak; Amir Safwan, 23, sedang mengikuti kursus Bachelor of Corporate Communication; Muhammad Syafiq, 22, sedang mengikuti Diploma of Engineering Technology in Automotive Maintenance; Ummi Athirah, 20, sedang mengikuti Ijazah Doktor Perubatan di Bandung; Ahmad Syahmi, lepasan SPM, Arif Imran di Tingkatan 3 serta, ibunya Mek Eshah Yusof, 82.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kampung halamannya selepas dikafan dan disembahyangkan di masjid kariahnya di Masjid Bukit Jelutong Shah Alam, kelmarin.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Al-Fatihah...

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.