saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 01/06/2014

Natijah hubungan Malaysia-China

CHINA amat menghargai pendekatan berhemah dan sederhana Malaysia yang tidak menyebelahi mana-mana pihak kuasa besar. - REUTERS

Tidak dapat dinafikan bahawa Beijing menaruh harapan yang tinggi terhadap pengaruh Kuala Lumpur terutama sekali yang melibatkan isu geopolitik rantau Asia Pasifik supaya masyarakat antarabangsa dapat mentafsirkan keadaan sebenar kebangkitan China. Kuala Lumpur mempunyai peranan kritikal kerana perspektif lazim terhadap kehadiran China adalah satu fenomena yang harus di geruni oleh setiap negara.

Bermula dari era 1970-an dimana dunia di selubungi oleh ketaksuban Perang Dingin dan Asia Tenggara pula di ancam oleh pengaruh ideologi komunis, Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, telah merintis hubungan diplomatik dengan China pada tahun 1974.

Hubungan Malaysia-China adalah yang pertama bagi sebuah negara ASEAN dan ini telah membuka laluan kepada China untuk menjalin hubungan diplomatik dengan negara ASEAN yang lain. Pendirian Malaysia sentiasa dihargai oleh China kerana ia merupakan pemangkin kepada hubungan ASEAN-China pada ketika ini. Malaysia juga telah memainkan peranan utama dua dekad lepas ketika mempromosi kepentingan diadakan dialog ASEAN-China.

Semalam 31 Mei 2014 merupakan ulangtahun ke 40 hubungan diplomatik diantara Malaysia-China yang mula dimeterai oleh Tun Abdul Razak dan Perdana Menteri China Zhou Enlai di The Great Hall of the People, Dataran Tiananmen yang bersejarah.

Jika empat dekad yang lepas Malaysia telah merintis dan mewarnai hubungan ASEAN-China, tidak keterlaluan jika di andaikan untuk dekad akan datang peranan Kuala Lumpur telah berubah merentasi rantau Asia Tenggara. Sebab itu Beijing cuba mengekal dan juga sedaya upaya meningkatkan hubungan diplomatik dengan Malaysia kerana pengaruh Kuala Lumpur sudah merentasi geopolitik dunia yang melibatkan kuasa besar lain.

Tambahan pula Malaysia bakal menjadi pengerusi ASEAN dan besar kemungkinan akan menduduki kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2015, yang memberi implikasi kepentingan kepada China. Memang benar sebelum ini dua negara sekutu China iaitu Kemboja pada tahun 2012 dan kini Myanmar menduduki kerusi pengerusi, tetapi kerana kekangan pengaruh kedua-dua negara tersebut dalam ASEAN, manfaat geopolitik sepenuhnya tidak diperolehi oleh China.

Kepimpinan China yang diterajui oleh Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang dianggap pemimpin generasi kelima dalam era Parti Komunis China (CCP) dan mengamalkan pendekatan berbeza berbanding dengan pemimpin sebelum ini. Satu perkara yang ketara adalah sejak kedua-duanya dilantik pada tahun lepas, banyak bentuk kerjasama dengan negara asing telah diperhalusi dan kadang kala dipertingkatkan.

Perkongsian erat

Malaysia tidak terkecuali dalam pemerhatian pemimpin tertinggi China kerana pada bulan Oktober tahun lepas, Presiden Xi semasa melakukan lawatan rasmi ke Malaysia telah menaiktaraf hubungan dua hala kedua-dua negara kepada status Perkongsian Strategik Komprehensif. Memang benar dikalangan anggota ASEAN yang berpengaruh, Thailand dan Indonesia juga mempunyai hubungan dua hala yang serupa tetapi Malaysia dinilai mepunyai ciri yang lebih signifikan kerana ianya melampaui batasan ekonomi.

Lazimnya perkongsian strategik komprehensif China dan negara lain hanya berkisar kepada kerjasama ekonomi kedua-dua negara kerana itu adalah pemangkin kepada senario kebangkitan China. Contoh yang paling nyata adalah perkongsian China dengan Kesatuan Eropah (EU) yang telah dijalinkan sedekad lepas pada tahun 2003.

Walaupun pada ketika ini perkongsian China-EU dikatakan berjaya kerana EU merupakan rakan dagang terbesar bagi China tetapi perkongsian ini dianggap statik kerana hanya berkisar pada hal ehwal perdagangan. Perkongsian dalam bidang lain umpamanya sosial, budaya, pendidikan, kemanusiaan dan pertahanan berada dalam tahap yang paling minimum.

Interaksi rakyat dengan rakyat diantara China dan EU ditakrifkan tidak terbentuk kerana fokus perkongsian hanya tertumpu kepada sifat berdagang. Keadaan ini berlaku kerana tidak ujud naluri kepercayaan diantara satu sama lain yang menghindarkan berlakunya perkongsian dalam bidang lain.

Presiden Xi sendiri telah mengutarakan beberapa tatacara perkongsian strategik dengan Malaysia seperti meningkatkan hubungan komunikasi bukan sahaja diantara pemimpin tetapi juga rakyat. Beliau juga menyarankan supaya kerjasama dalam bidang teknologi termaju seperti angkasa lepas dimanfaatkan oleh Malaysia kerana China mempunyai kepakaran setara Amerika Syarikat (AS) dan Rusia.

Paling menarik Presiden Xi juga mengalu-ngalukan perkongsian yang lebih erat dalam bidang pertahanan dan keselamatan diantara kedua-dua negara. Perkongsian sebegini paling ketara ujud dalam keadaan paling minimum jika Thailand dan Indonesia diambil sebagai contoh terdekat dalam ASEAN yang mempunyai status perkongsian strategik komprehensif.

Tiga minggu selepas lawatan Presiden Xi, Malaysia dan China telah memeterai persefahaman pertahanan untuk mengadakan latihan ketenteraan ketiga-tiga cabang tentera iaitu darat, udara dan laut. Persefahaman ini terlaksana sempena lawatan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ke Beijing pada bulan Oktober lepas.

Wujudnya kesangsian terhadap kebangkitan China terutama sekali di rantau Asia adalah kerana tidak ada sifat kepercayaan di antara pihak yang terlibat. Walaupun China mempunyai hubungan ekonomi yang erat dengan negara terlibat tetapi ketandusan perkongsian dalam bidang lain telah membuahkan suasana yang tidak sihat.

Tuntutan

Kesan yang paling ketara adalah keadaan geopolitik Laut China Selatan. Malaysia, Vietnam, Filipina, Brunei dan China terlibat secara langsung dalam tuntutan bertindih yang melibatkan gugusan Kepulauan Spratly dan Paracel. Tetapi pendekatan yang diambil oleh Malaysia berbanding dengan Vietnam dan Filipina apabila berhadapan dengan China jauh berbeza.

Paling terkini apabila China melabuhkan pelantar cari gali minyak di kawasan maritim Paracel yang juga dituntut oleh Vietnam, konfrantasi fizikal wujud diantara kedua-dua negara. Begitu juga Filipina telah mengambil pendekatan konfrantasi dengan China dalam isu yang melibatkan Beting Scarborough dan Thomas Kedua.

Malaysia juga mempunyai masalah serupa terutama sekali melibatkan Beting Serupai yang terletak hanya 80 kilometer dari Bintulu. Sudah beberapa kali Pengawal Pantai China (CCG) menceroboh perairan negara di beting tersebut, tetapi Kuala Lumpur tidak mengamalkan pendekatan konfrantasi seperti Hanoi atau pun Manila.

Tidak eloknya amalan konfrantasi di Laut China Selatan adalah lambat laun ianya akan melibatkan kuasa besar yang berminat seperti AS. Jika ini berlaku ia mampu menggangu kestabilan rantau Asia Pasifik.

China amat menghargai pendekatan berhemah dan sederhana dasar luar Malaysia yang tidak menyebelahi mana-mana pihak kuasa besar. Beijing merasa sangsi dan kurang senang ketika lawatan Presiden Barack Obama ke Tokyo, Seoul dan Manila baru-baru ini. Memang benar ketiga-tiga negara tersebut adalah sekutu kuat AS, tetapi kesan dari lawatan tersebut telah menyinggung perasaan China. Berbeza pula dengan lawatan Presiden Obama ke Kuala Lumpur, ia tidak membawa reaksi negatif daripada Beijing.

Penghargaan China terhadap Malaysia dikatakan berada pada kemuncaknya ekoran dari peristiwa kehilangan pesawat penerbangan MH370. Walaupun kerajaan China menerima tekanan yang hebat dari rakyatnya supaya meletakkan kesalahan kepada kerajaan Malaysia, Beijing tidak pernah menunding jari kepada Kuala Lumpur. Malah ketika perbincangan diantara Najib dan Perdana Menteri China dua hari lepas, Li telah menegaskan isu MH370 tidak mampu mengeruhkan hubungan baik yang sedia ada malah akan memperkukuhkan hubungan ke tahap yang lebih tinggi.

Sudah begitu jelas isu MH370 tidak menjejaskan hubungan kerajaan dengan kerajaan diantara kedua-dua negara. Menjadi harapan hubungan rakyat dengan rakyat bukan sahaja akan pulih seperti sedia kala tetapi menuju ke tahap yang lebih baik. Hubungan baik ini sudah terbukti kerana 1.7 juta rakyat China melawat Malaysia pada tahun 2013. Malah ketika pertemuan dengan Najib semalam, Presiden Xi mengkiaskan kepercayaan rakyat China bahawa jika persahabatan telah terjalin selama 40 tahun, kesangsian sudah tidak lagi wujud.

Rakyat negara China merasa begitu selesa ketika berada di Malaysia kerana mereka di layan dengan baik dan berhemah oleh rakyat tempatan. Masih belum terlambat untuk mencapai sasaran pelawat seramai 2 juta kerana tahun 2014 bukan sahaja ulang tahun ke 40 hubungan diplomatik tetapi juga tahun Pertukaran Persahabatan Malaysia-China. Ini adalah manifestasi realpolitik hubungan Malaysia-China yang sepatutnya menjadi contoh negara lain.

- Penulis ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:44
Zohor 1:19
Asar 4:45
Maghrib 7:28
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.