saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 08/06/2014

Wujud konflik istana-kerajaan

SEBAGAI sebuah Negara Berperlembagaan kita perlu kembali kepada peruntukan dan semangat yang ada di dalam undang-undang dasar itu. Semua orang, daripada raja kepada rakyat biasa mempunyai hak dan tanggungjawab

Rang Undang-undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor 2014 tidak disangka-sangka menimbulkan kontroversi dan seluruh negara kini membincangkannya. Mungkin ini kali pertama sebuah rang undang-undang peringkat negeri menimbulkan perbahasan yang sedemikian hangat.

Apa yang menarik ialah rang undang-undang itu menyeret Institusi Beraja. Dan ini menjadi semacam isu yang menyatukan; termasuk yang baru-baru ini berselindung di sebalik takhta untuk mempertahankan kuasa.

Walau apa pun kontroversi berkenaan, sekali lagi memaparkan pertembungan antara demokrasi dan istana. Ia mengimbau semula Krisis Perlembagaan pada 1983 dan 1993 yang berpunca daripada tindakan Kerajaan Persekutuan mengemukakan pindaan ke atas beberapa peruntukan yang menyentuh kuasa dan kedudukan Raja-raja.

Sebagai sebuah Negara Berperlembagaan kita perlu kembali kepada peruntukan dan semangat yang ada di dalam undang-undang dasar itu. Semua orang, daripada Raja kepada rakyat biasa mempunyai hak dan tanggungjawab.

Ia perlu dilihat secara demokratik dan saksama. Demokrasi banyak makna dan implikasinya. Demokrasi di negara ini berpandukan kepada peruntukan dan semangat yang dikandung oleh Perlembagaan kita, baik Perlembagaan Persekutuan mahupun Perlembagaan-Perlembagaan Negeri di dalam Persekutuan.

Raja Berperlembagaan - Erti dan Implikasinya

Melihat apa yang berlaku di Johor itu sudah ada pihak yang bertanya: Apakah Malaysia ini negara Raja Berperlembagaan atau negara beraja mutlak?

Sesungguhnya kita tidak perlu bertanya sedemikian. Ini kerana, sebagaimana yang dikatakan oleh sesetengah pakar yang berkenaan, apa yang dikatakan Raja berkuasa mutlak itu pada hakikatnya tidak pernah wujud dalam erti kata sebenar. Setiap Raja, kata mereka lagi, dikekang oleh sekatan tertentu baik yang bersifat nilai atau agama.

Sama dengan hakikat negara demokrasi itu sendiri. Kita masih belum tahu negara mana di dunia ini yang benar-benar demokratik dalam erti kata yang sebenar. Setiap negara yang dikatakan demokratik itu mempunyai kelemahan dan kecacatan tertentu. Sebab itulah masing-masing cuba menutup kelemahan itu dengan hujah bahawa negara mereka demokratik "dalam acuan kami."

Begitulah halnya dengan konsep Raja Berperlembagaan. Tidak ada satu definisi yang dapat menjelaskan konsep itu dengan jelas dan tepat. Suruhanjaya Reid sendiri hanya menyebut bahawa konsep Raja Berperlembagaan itu sebagai sesuatu yang biasa difahami dalam konteks sistem berparlimen atau negara Westminster yang prototaipnya ialah United Kingdom.

Dalam konteks negara seperti Malaysia yang mempunyai perlembagaan bertulis ada yang mendakwa Raja Berperlembagaan itu membawa maksud raja yang mengikut nasihat kerajaan yang memerintah. Ini tidak semestinya betul kerana ada hal-hal tertentu yang Perlembagaan sendiri membenarkan Raja - Yang di-Pertuan Agong atau Raja-raja - bertindak sendiri atau menolak nasihat kerajaan.

Hal-hal seperti agama dan melantik kerajaan bahkan membubarkan dewan disebut secara jelas oleh perlembagaan sebagai kuasa budi bicara. Kita tidak mengatakan bahawa dalam hal-hal itu Raja-raja boleh bertindak sesuka hati. Apa yang hendak dikatakan ialah definisi "bertindak mengikut nasihat" itu ada kelemahan walaupun secara umum ia tidak salah.

Selain itu memaksa Raja mengikut apa sahaja yang dikehendaki oleh kerajaan juga menimbulkan masalah. Yang pertama konsep sedemikian sebenarnya mempersoal apa perlunya kita mengekalkan sistem beraja. Dalam bahasa yang mudah: Apa gunanya ada Raja kalau ia hanya menjadi pak turut?

Apalagi jika kita turut menginginkan sebuah sistem pemerintahan di mana elemen atau mekanisme semak dan imbang itu berjalan untuk mengelakkan monopoli kuasa atau negara satu parti. Raja-raja yang baik boleh memainkan peranan yang berkesan sebagai ejen semak dan imbang.

Sebab itu saya fikir Raja Berperlembagaan ialah raja yang berfungsi mengikut peruntukan dan semangat perlembagaan. Oleh kerana peruntukan undang-undang sering kabur dan membawa makna yang berbagai-bagai, saya rasa apa yang lebih penting ialah raja itu akur dan komited dengan semangat yang dikandung oleh perlembagaan. Dalam konteks syariah, ini mungkin apa yang dikatakan sebagai maqasid al-shariah.

Kontroversi di Johor

Saya rasa apa yang menyebabkan persoalan timbul tentang rang undang-undang berkenaan ialah ia memberi peranan dan kuasa yang tidak pernah wujud sebelum ini. Dan saya tidak pasti apakah sebab-sebab di sebalik keganjilan itu.

Saya cuba bersangka baik: mungkin istana berasa kuasa sedemikian perlu memastikan bahawa tidak berlaku penyelewengan dan seumpamanya. Maklum sahajalah nilai hartanah bukan kecil dan sudah ramai 'raja' baru yang muncul kerananya.

Meskipun niat sedemikian baik, kita berada di zaman moden di mana niat sahaja tidak mencukupi. Ada cara dan pendekatan tertentu yang perlu kita akur dan patuhi. Dalam konteks kuasa Raja-raja meskipun tidak semua kuasa yang diperuntukkan oleh perlembagaan kita boleh diterima di negara lain, skima yang kita pakai ini adalah sesuatu yang mempunyai sejarah dan latar belakangnya sendiri. Ini termasuk kuasa agama dan beberapa kuasa politik yang lain termasuk kuasa melantik kerajaan dan membubar dewan.

Pendeknya ini sudah cukup berat dan menimbulkan persoalan. Senarai ini tidak perlu ditambah dengan kuasa-kuasa lain yang bersifat rutin dan pentadbiran yang tertakluk kepada prinsip akauntabiliti dan pertanggungjawaban. Ini yang dimaksudkan dengan pertembungan dengan kerajaan yang memerintah. Dalam bahasa yang mudah jika berlaku kesilapan dan kelemahan, siapa yang hendak disoal? Sudah tentu kerajaan.

Bagaimanapun rang undang-undang ini memberi kuasa tertentu kepada Raja. Ini yang menimbulkan konflik. Inilah sebenarnya kebimbangan yang disuarakan: bahawa rang undang-undang ini berpotensi mengeliru dan menyukarkan konsep pertanggungjawaban kerajaan kepada dewan.

Konsep ini adalah konsep asas dalam sistem Kabinet dalam negara Westminster seperti Malaysia. Ini jugalah sebabnya mengapa salah untuk seorang Menteri Besar bergantung kepada istana: di sisi perlembagaan kekuatan Perdana Menteri atau Menteri Besar ialah sokongan majoriti dalam dewan bukan perkenan istana.

Mungkin relevan untuk disebut bahawa sejarah sendiri mencatat bahawa Raja-raja Melayu sebelum kedatangan British pun umumnya tidak aktif dalam urusan rutin pentadbiran harian. Kalau rasuah dan penyelewengan yang ditakutkan, saya fikir penyelesaiannya ialah memperkasa dan memberi laluan kepada agensi-agensi yang berkenaan.

Di sisi perlembagaan, istana tidak dikekalkan untuk melakukan kerja-kerja itu. Meskipun kita menyanjung pendekatan oleh Sultan Alauddin Riayat Shah yang keluar menyamar di waktu malam di bandar Melaka, pada abad ke-21 ini ada kelainan yang tidak membenarkan pendekatan sedemikian diambil oleh pihak istana.

Dalam pada itu ada perkara-perkara lain yang perlu dilakukan oleh Raja; agama sebagai contoh. Sudahkah ia selesai dilakukan dengan sempurna? Sudah tentulah sukar untuk diterima sekiranya dalam keadaan agama masih lagi memerlukan jagaan dan pimpinan pihak-pihak yang diberi tanggungjawab mengetuainya oleh perlembagaan, terlibat di padang bola dan sekarang dalam urusan perumahan dan hartanah pula.

Perlu disedari bahawa sistem beraja ini diberikan ruang dalam demokrasi kerana ia mempunyai kelebihan tersendiri. Sebagaimana yang kita lihat di Thailand, Sepanyol dan Jepun, Raja-raja mereka memainkan peranan kritikal yang terbukti memberikan kestabilan kepada negara-negara berkenaan.

Bagaimanapun itu semua tidak muncul dengan percuma atau secara kebetulan. Raja-raja itu, bahkan waris-waris takhta, dilatih melalui proses yang tertentu yang menyebabkan mereka muncul sebagai tokoh hebat yang sudah sedia dicatat oleh sejarah masa kini. Saya lihat keterlibatan yang keterlaluan dalam hal-hal yang rutin dan duniawi hanya akan mengotorkan jiwa dan peribadi Raja-raja.

Raja Boleh Proaktif, Tapi Caranya Kena Betul

Apakah ini bermakna bahawa saya mahukan Raja-raja tidak memainkan peranan dalam pentadbiran? Saya tidak mengatakan begitu. Saya fikir dalam kerangka perlembagaan yang ada, Raja-raja masih boleh berperanan dengan efektif. Perlembagaan Persekutuan dan negeri memberi Raja-raja ruang untuk memainkan peranan.

Contohnya mendapat maklumat - dan ini tidak dikekang oleh Akta Rahsia Rasmi - daripada kerajaan yang memerintah tentang apa sahaja. Mungkin ada yang membangkitkan pindaan perlembagaan yang dikemukakan oleh pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, khususnya yang dibuat pada 1994.

Apa pun saya berpendapat raja tidak memerlukan undang-undang untuk berbuat sesuatu; khususnya yang baik. Kita lihat bagaimana Raja Bhumipol Aduljadej dan Raja Juan Carlos begitu disanjung meskipun inisiatif mereka tidak disokong oleh sebarang peruntukan perlembagaan atau undang-undang. Karisma dan ketinggian moral jelas menjadi kekuatan bagi kedua-dua raja itu. Dalam konteks Sepanyol, Juan Carlos akan selamanya diingati kerana menyelamatkan demokrasi daripada dimamah oleh kekuatan senjata pihak tentera.

Apa pun kebenaran di sebalik rang undang-undang di Johor itu apa yang kelihatan di mata rakyat ialah hal ini amat berbahaya kepada kelangsungan dan keberkesanan institusi beraja di negara kita. Walaupun ia berlaku di Johor, negeri-negeri beraja yang lain tidak terkecuali daripada menerima tempiasnya.

Bersambung esok

* Dr. Abdul Aziz Bari ialah mantan profesor undang-undang UIAM yang kini mengajar di Fakulti Sains Sosial, Unisel. Beliau banyak menyelidik tentang Perlembagaan, termasuk institusi beraja

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zuhur 1:12
Asar 4:34
Maghrib 7:08
Isyak 8:23



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.