saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 16/06/2014

Nasib Orang Seletar: Siapa yang endah?

Jamilah Ariffin menunjukkan buku yang dihasilkan beliau pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

DARI aspek pembangunan, ramai mengagumi kepesatan ekonomi yang sedang berlaku di Iskandar Malaysia. Masakan tidak, wilayah pembangunan khas di selatan Johor yang berkeluasan 2,217 kilometer persegi atau dua kali ganda Singapura itu kini merupakan kawasan pertumbuhan ekonomi kedua penting dalam negara selepas Kuala Lumpur.

Iskandar Malaysia yang terkenal memiliki beberapa ikon negara maju seperti Legoland, pusat membeli-belah Johor Premium Outlets, Pinewood Studio dan projek-projek perumahan canggih, berjaya mencatat pelaburan komited kumulatif keseluruhan sebanyak RM130 bilion sejak penubuhannya pada akhir 2006 hingga Disember 2013.

Bagi tempoh Januari hingga Jun 2013 sahaja menyaksikan lima negara menyumbang pelaburan tertinggi iaitu menerusi Singapura, Sepanyol, Jepun, Amerika Syarikat dan Belanda iaitu meliputi 35 peratus daripada pelaburan komited kumulatif, manakala 65 peratus pelaburan disumbang oleh pelabur tempatan.

Kepesatan pembangunan di Iskandar Malaysia juga memperlihatkan lebih ramai rakyat Singapura memilih untuk menetap di Johor dan berulang alik ke negara mereka, justeru mendorong ahli perniagaan yang berwibawa sebagai projek ekonomi berlumba-lumba membangunkan wilayah itu kerana mempunyai kenaikan harga tanah paling pantas di Malaysia.

Berdasarkan kejayaan dicapai dalam tempoh singkat, tidak hairan Iskandar Malaysia mampu muncul sebagai sebuah metropolis bertaraf antarabangsa menjelang 2035. Begitupun, tidak ramai menyedari kehadiran kelompok Orang Asli dari suku kaum Seletar yang masih tinggal di kawasan terpencil di dalam wilayah pembangunan itu.

Suatu ketika dahulu, Orang Seletar adalah sebahagian dari kaum Orang Laut yang tinggal di dalam sampan panjang serta hidup secara nomad di permukaan laut, pulau, pesisiran pantai dan kuala sungai. Namun, mereka kini sudah tinggal di kawasan darat Semenanjung Malaysia serta memiliki kawasan perkampungan sendiri.

Sebagai kumpulan minoriti yang bilangan komunitinya tidak melebihi 1,700 orang dengan kesemuanya mendiami di sekitar Selat Johor, tidak mustahil kebajikan suku kaum itu pada suatu masa nanti akan dipinggirkan. Tidak kira daripada segi perancangan pembangunan mahupun peruntukan, mereka akan selalu menjadi mangsa diskriminasi.

Justeru, apa pilihan mereka? Perlukah mereka mengubah kepada gaya hidup orang 'moden' seperti warganegara Malaysia lain ataupun terus menjalani gaya hidup mereka yang juga bermakna akan diabaikan oleh kerajaan yang tidak akan mengambil berat terhadap mereka lantaran mengutamakan projek-projek mega di Iskandar Malaysia?

Ekoran daripada projek pembangunan Iskandar Malaysia yang tidak mengambil kira kesinambungan alam sekitar mahupun keprihatinan orang asal di sekitar kawasan pembangunan itu, Orang Seletar terpaksa menanggung kesan pembangunan tersebut.

Tidak dinafikan kehidupan Orang Seletar kini dikatakan banyak terjejas disebabkan projek pembangunan yang berdekatan dengan tempat tinggal mereka dibelenggu dengan masalah pencemaran yang telah menjejaskan hasil tangkapan laut mereka.

Hakikatnya, pembangunan Iskandar Malaysia memperlihatkan dua situasi berbeza dan saling bertindih antara masyarakat umum yang ingin mencapai taraf dunia maju, walhal kaum Orang Aslinya masih tinggal dalam keadaan dunia primitif, miskin dan daif.

Ketidakseimbangan proses pembangunan itu telah menarik perhatian tokoh akademik dan aktivis kebajikan masyarakat, Profesor Puan Sri Dr. Jamilah Ariffin untuk menghasilkan sebuah buku yang membandingkan latar belakang kemajuan Iskandar Malaysia dengan nasib Orang Seletar yang tersisih.

Sebahagian keluhan dan dilema Orang Seletar berhubung pembangunan Iskandar Malaysia itu telah digarap beliau dalam sebuah buku berjudul 'My Personal Journey in Observing the Dynamic Iskandar Malaysia and its Forgotten Sea Gypsies' dengan tajuk kecil 'Economic Development Contradictions and Cultural Change'.

Buku itu telah mengambil masa selama sembilan bulan untuk disiapkan sepenuhnya sebelum ia diterbitkan oleh Yayasan I-Resolve iaitu sebuah yayasan kebajikan masyarakat diterajui beliau sendiri selaku pengerusi yayasan tersebut.

Dalam sidang akhbar pra-pelancaran buku itu baru-baru ini, Profesor Jamilah yang juga isteri bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman berkata, penyelidikan ke atas buku itu memakan masa selama 13 tahun, bermula 2000 hingga 2013.

"Kajian meliputi perkembangan Iskandar Malaysia sejak mula penubuhannya hingga sekarang dan pada masa sama, kajian terperinci juga dilakukan ke atas Orang Seletar di kawasan ini dari segi gaya hidup, sikap, harapan, impian dan aspirasi mereka untuk terus hidup berkekalan," katanya.

Mengulas lanjut, Jamilah berkata, nukilan buku itu didorong oleh persoalan pokok yang bermain di benaknya iaitu:

"Apakah nasib masyarakat Orang Seletar ini dan masa depan mereka yang kekurangan pendidikan, kurang kemahiran serta pengetahuan moden. Adakah mereka boleh bertahan dan kekal atau lupus dalam cengkaman perkembangan pesat Iskandar Malaysia yang sedang berlaku di sekeliling mereka?"

Menggunakan bahasa Inggeris mudah, Jamilah mengupas kajian secara mendalam mencakupi adat resam, budaya dan tradisi Orang Seletar menggunakan pendekatan putaran kehidupan iaitu dari saat lahir hingga mati yang diselang-seli dengan peristiwa semasa zaman kanak-kanak, dewasa, perkahwinan serta sistem ekonomi mereka.

"Buku ini menerangkan hasil penyelidikan dalam bahasa yang senang difahami berdasarkan cerita-cerita kisah hidup yang diberitahu oleh Orang Seletar kepada saya," ujarnya yang juga merupakan ahli sosiologi terlatih.

Katanya, kajian hasil temubual dengan kumpulan sampel mewakili tiga generasi lelaki dan wanita iaitu golongan muda, usia pertengahan dan golongan tua dari sampel yang dipilih dari tiga perkampungan Orang Asli Seletar.

"Buku ini bukan sahaja sangat berfaedah sebagai bahan rujukan untuk pelajar-pelajar bidang Ekonomi Pembangunan serta Sains Sosial, bahkan ia adalah bahan bacaan yang menarik bagi orang ramai kerana ia penuh dengan pengetahuan menarik selain disertai gambar-gambar ilustrasi yang indah," katanya.

Biarpun menggunakan cara penulisan yang mudah dibaca oleh semua golongan pembaca, namun Jamilah berjaya mengekalkan mutu akademik yang tinggi serta mengutarakan mesej dan hasrat beliau iaitu untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang situasi kepinggiran golongan Orang Seletar.

"Buku ini memberi gambaran tentang bagaimana kita boleh menolong mereka dalam usaha untuk terus kekal dan terpelihara dalam keadaan yang tercabar, misalnya ekonomi tradisi mereka yang dilanda pelbagai kemerosotan akibat dari suasana persekitaran komersial di Iskandar Malaysia ang bergerak pantas," jelasnya.

Buku berkenaan telah dilancarkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim di Kuala Lumpur Golf and Country Club kelmarin.

Dengan cetakan terhad sebanyak 200 naskhah, buku tersebut boleh didapati di semua kedai buku MPH di seluruh Malaysia atau dari Yayasan I-Resolve dengan harga RM50 senaskhah untuk buku cetakan kulit lembut, manakala RM100 bagi cetakan kulit keras.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.