saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 19/06/2014

Kerjasama dinamik SPRM perangi rasuah

LAPORAN Penilaian Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berkenaan Dadah dan Jenayah (UNODC) ke atas Malaysia berhubung pematuhan Konvensyen PBB Bagi Pencegahan Rasuah (UNCAC), antara lain mengiktiraf kerjasama dan sumbangan yang diberikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Biro Mencegah Rasuah (BMR) Brunei Darussalam.

Ia salah satu daripada 23 kejayaan dan amalan baik Malaysia dalam usaha mencegah rasuah diiktiraf oleh UNODC.

Laporan itu, yang dikeluarkan oleh UNODC pada Mei 2013, menyebut bahawa "penggunaan (pendekatan) siasatan bersama dan kumpulan kerja operasi bersama Brunei Darussalam merupakan contoh kerjasama penguatkuasaan undang-undang di kalangan negara (di kedua-dua) peringkat dasar dan operasi." Kandungan laporan itu dibentangkan kepada umum di Kuala Lumpur awal tahun ini.

Selain itu, laporan UNODC juga memuji kejayaan dan amalan baik Malaysia dalam melaksanakan Bab IV UNCAC di mana negara anggota bertanggungjawab untuk membantu negara lain dalam setiap usaha mencegah rasuah termasuk pencegahan, penyiasatan dan pendakwaan.

Selain Brunei, SPRM telah membentuk kerjasama dua hala dengan ICAC Hong Kong, Indonesia, Mesir, Kyrgyzstan, Thailand, Vietnam, Ghana dan Austria, selain peringkat agensi iaitu Interpol dan Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IACA).

Di sebalik pengiktirafan agensi antarabangsa ini, Malaysia dan Brunei bertemu di ibu negara selama dua hari mulai hari ini bagi menghalusi usaha bagi memperkukuh hubungan dan kerjasama dua hala memerangi rasuah. Pertemuan kali ini merupakan Mesyuarat Bilateral Kali Ke-10 membabitkan SPRM dan BMR dan yang pertama sejak laporan UNODC diumumkan kepada umum di Kuala Lumpur.

Kedua-dua SPRM dan BMR mengadakan Mesyuarat Tahunan Kerjasama Dua Hala yang pertama pada Julai 2002. Ketika itu, SPRM dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR). Pada mesyuarat tersebut, kedua-dua agensi ini telah bersetuju untuk mengadakan kerjasama dalam bidang siasatan, perisikan, perundangan, pencegahan, pemeriksaan dan perundingan, serta latihan.

SPRM dan BMR mengorak langkah itu, lebih sedekad yang lalu, atas dasar bahawa sebarang perancangan dan pelaksanaan agenda integriti nasional dan usaha serta gerakan pencegahan dan pembanterasan jenayah rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa merupakan gagasan penting ke arah memartabatkan negara bangsa yang mulia dan berdaya saing.

Kedua-dua agensi ini juga berpegang bahawa penguatkuasaan dan pelaksanaan operasi dalam gerakan pencegahan dan pembanterasan rasuah memerlukan penggemblengan daya dan usaha semua pihak. Ia melangkaui sempadan dan batas antarabangsa. Ini merupakan prasyarat dan landasan yang kukuh untuk negara memperkukuh kekuatan dalaman dengan sokongan dan dukungan rakan-rakan agensi penguat kuasa pencegah rasuah di peringkat antarabangsa.

Malah, atas kefahaman, kesedaran dan keinsafan ini, gerakan memperkukuh jaringan kerja bersama agensi penguat kuasa pencegahan rasuah di peringkat antarabangsa dibentuk dan diperkukuhkan.

SPRM dan BMR juga berpendirian bahawa sebarang rintangan dan apa jua halangan yang mungkin dihadapi atau dilalui antara dua negara dalam aspek penguatkuasaan dan operasi pencegahan rasuah diselesaikan melalui rundingan dan kerjasama dua hala.

Kerjasama erat yang dijalin antara SPRM dan BMR telah memberi satu bentuk keberhasilan gabungan merentasi sempadan negara.

Batasan persempadanan dirungkaikan dalam menentukan penguatkuasaan dan menentukan rancangan dan rangsangan pelaksanaannya.

Laporan Khas 10 Tahun yang dikeluarkan pada 2012 menekankan bahawa jalinan kerjasama yang amat baik di peringkat dasar dan pelaksanaan operasi SPRM-BMR telah berjaya memecah tembok persempadanan dan lebih penting, mempermudah haluan kerja, menyelesaikan keterbatasan akibat kuasa-kuasa perundangan, di samping mempertingkatkan kapasiti dan keupayaan.

Malah laporan itu menyebut bahawa "natijah keberkesanan hubungan kerjasama dua hala ini terpancar dengan keberhasilan output dan impak, khususnya dalam aspek operasi iaitu siasatan dan perisikan."

Pembentukan Mesyuarat Bilateral Antara SPRM-BMR Brunei, yang dipengerusikan bersama oleh kedua-dua Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Pengarah BMR, memperlihatkan komitmen dan azam serta iltizam kedua-dua agensi. Ini disusuli dengan penubuhan Mesyuarat Pasukan Kerja yang dipengerusikan bersama oleh Pengarah Bahagian Siasatan SPRM dan Ketua Bahagian Penyiasatan BMR Brunei.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan sempena mesyuarat dua hala tahun lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, rangkaian kerjasama telah diguna sepenuhnya bagi membincangkan perkongsian kaedah penyiasatan dan transformasi positif ke arah memantapkan keupayaan agensi-agensi pencegahan rasuah terutama sekali yang melibatkan jenayah merentas sempadan.

"Pelaksanaan penyiasatan secara usahasama dan satu kumpulan kerja operasi antara BMR dan SPRM merupakan satu contoh baik bagaimana kerjasama penguatkuasaan undang-undang yang melibatkan peringkat polisi antara dua negara ini dilaksanakan," kata beliau.

Dalam kenyataan itu, Pengarah BMR, Datuk Muhammad Juanda A Rashid telah melahirkan penghargaan kepada SPRM kerana membantu dalam aspek operasi dan latihan secara berterusan kepada pegawai-pegawainya.

Tahun lalu, SPRM juga berkongsi pengalaman tentang program transformasi yang sedang giat dijalankan ke arah menjayakan inisiatif pencegahan rasuah yang kolektif dan dinamik. Selain itu, soal peluang-peluang latihan, penempatan pegawai-pegawai SPRM dan BMR untuk mendalami usaha penguatkuasaan undang-undang, pencegahan dan pendidikan antirasuah akan dapat diteruskan di masa-masa akan datang dalam bidang-bidang khusus bagi meningkatkan kapasiti pegawai-pegawai kedua-dua agensi pencegahan rasuah juga dibincangkan.

Apa yang penting dan signifikan ialah pewujudan dua mekanisme dan terma rujukan khusus dalam hubungan kerjasama di peringkat dasar dan operasi, yang membolehkan perancangan teliti dan penentuan pelaksanaan dijayakan dan dipantau.

Rancangan kerja yang dibentuk dan dilaksanakan khususnya dalam bidang penyiasatan, perisikan berserta dengan aspek latihan, membolehkan kedua-dua SPRM dan BMR memanfaatkan perkongsian maklumat, pengalaman, kerjasama dalam aspek siasatan dan perisikan serta kajian kes.

Kerjasama SPRM dan BMR ini harus dilihat dari sudut yang lebih besar. SPRM juga telah mewujudkan kerjasama erat secara langsung dan tidak langsung dengan negara-negara anggota ASEAN.

ASEAN Political-Security Community Blueprint yang dikeluarkan menjelang kelahiran Komuniti ASEAN 2015 juga menggalakkan negara-negara yang memeterai UNCAC agar meratifikasikan konvensyen tersebut dan mempromosikan amalan-amalan baik, mengadakan perkongsian idea dan menganalisis isu-isu yang berhubung kait dengan nilai, etika dan integriti menerusi ruang-ruang yang sesuai dan relevan.

Sejak 2003, jalinan kerjasama kedua-dua SPRM dan BMR telah membawa kepada sekitar 100 bantuan yang memanfaatkan kedua-dua Malaysia dan Brunei. Manfaat ini sudah pasti akan membawa impak menyeluruh merentasi sempadan rantau lain memandangkan lebih banyak negara menunjukkan minat ke arah pembentukan kerjasama dua hala. Yang terbaru ialah Austria, yang menandatangani memorandum persefahaman dengan SPRM di Kuala Lumpur bulan lalu.

* DR. G. MANIMARAN kini berkhidmat sebagai tenaga pakar komunikasi strategik SPRM

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.