saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 02/07/2014

Hidup mati peniaga Melayu, Legoland dan SilTerra...

Lagi nasib si peniaga Melayu

CABARAN dan tekanan yang dihadapi oleh peniaga Melayu di Kuala Lumpur bukan calang-calang. Ia adalah realiti.

Saya tidak mengharapkan usahawan Melayu akan terus bertongkat sepanjang masa. Namun, kita harus sedar kita bukan seperti peniaga Cina, yang dibantu oleh masyarakat dan mentor-menti mereka sendiri.

Cara mentor-menti peniaga Cina itu lebih berkesan daripada yang dilakukan oleh sistem kerajaan. Oleh kakitangan kerajaan yang memakan gaji.

Ikuti keluhan seorang peniaga Melayu, bekas wartawan dan kemudian berjinak-jinak dengan bisnes, yang bukan besar pun. Dia cuba bertahan berniaga di pusat beli-belah Alamanda, Putrajaya - tapi akhirnya gagal lalu mati.

"Sedekad lalu saya pernah menghadiri satu majlis di restoran Kelantan Delights di Suria KLCC dan menemui secara peribadi pemiliknya, Juhaidi Yean Abdullah. Itu ialah hari terakhir beliau berniaga di pusat beli-belah gred A itu sebelum diarah keluar dan diambil alih sebuah restoran makanan Korea.

Acara makan itu agak emosional dan Juhaidi kelihatan sebak apabila ramai rakannya termasuk dari kelompok yang dilabel 'ultranasionalis' UMNO datang memberi kata-kata semangat. Namun hakikatnya nasib beliau tiada siapa yang peduli.

Maklumlah BN baru saja menang besar PRU-11 pada 2004 ekoran rakyat teruja melihat peralihan kuasa daripada Tun Mahathir Mohamad kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Apabila saya ceritakan kepada Juhaidi bahawa isteri saya baru membuka sebuah kedai telekomunikasi Celcom di Alamanda Putrajaya, yang turut diuruskan Suria KLCC; beliau bangga kerana ada juga anak Melayu memasuki kompleks gred A. Tetapi Juhaidi memberi nasihat agar 'bersiap sedia' untuk menjadi seperti beliau.

Hakikatnya Kelantan Delights bukan gagal kerana ia sudah beroperasi dengan rekod cemerlang di Suria KLCC selama 10 tahun namun akhirnya tewas kerana isu kadar sewa keterlaluan. Sebelum itu kecoh juga apabila kedai Levi's Dockers milik peniaga Melayu pun terpaksa keluar dari situ atas perkara yang sama.

Suria KLCC kini hanya ada 10 buah kedai milik Melayu daripada keseluruhan 380 buah atau 2.6% walaupun diuruskan Petronas, sebuah GLC yang sepatutnya menjaga orang Melayu.

Hari ini selepas 10 tahun, kata-kata Juhaidi itu ada asasnya dan kini giliran saya pula terpaksa 'angkat kaki' keluar dari Alamanda Putrajaya.

Memang sedih lihat keadaan ini tetapi hidup perlu diteruskan atau jika saya 'berdegil' masih lagi di situ atas prinsip maruah Melayu, mungkin saya sekeluarga bakal mati kebuluran. Maka lebih baik keluar cari tempat lain meskipun selepas ini jumlah peniaga Melayu di situ hanya tinggal tujuh daripada 282 buah kedai atau 2.5%.

Bermula daripada sewa serendah RM2,500 ketika Alamanda Putrajaya dirasmikan 10 tahun lalu oleh Tun Abdullah, kini kadarnya cecah RM30,000 sebulan. Sebelum saya, ada beberapa lagi peniaga Melayu keluar dari situ termasuk yang paling kontroversi, butik Zaida; antara kedai perintis ketika kompleks itu dibuka pada 2004.

Meskipun hayat kedai saya cuma 10 tahun, saya bangga dapat beri khidmat bukan saja kepada warga Putrajaya, bahkan Perdana Menteri, Najib Tun Razak dan beberapa menteri Kabinet yang sering ke kedai saya untuk bayar bil mereka antaranya Zahid Hamidi, Husni Hanadzlah, Shafie Apdal dan Hishammuddin Hussein. Juga personaliti terkenal TV AlHijrah, Ustaz Don serta Datuk Bandar KL, Ahmad Phesal; yang saya kenali secara peribadi ketika beliau jadi YDP Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan saya wartawan Kosmo! di biro Pulau Pinang pada 2005. Beliau malah berbangga kerana ada juga anak Melayu jadi tauke kedai Celcom.

Sekadar rekod, dianggarkan ada kira-kira 2,000 kedai Celcom di seluruh Lembah Klang tetapi bilangan dimiliki orang Melayu tidak mampu pun untuk bentuk satu pasukan bola sepak. Bayangkanlah apabila Celcom anjurkan majlis berbuka puasa untuk peniaga Melayunya, jumlah kerusi lebih banyak daripada orang yang hadir!

Ironi, jika Celcom buat majlis sambutan rumah terbuka Tahun Baru Cina, dewan ballroom hotel terkemuka pun boleh penuh sesak hampir hendak runtuh dibuatnya. Ia sekali gus menunjukkan majoriti besar peniaga kedai Celcom bukannya Melayu walhal 99% pelanggan perkhidmatan Celcom pula adalah orang Melayu!

Di mana silapnya? Maka saya teringat antara pantun popular lama yang sering disebut Ahmad Phesal sewaktu di Pulau Pinang dahulu sehingga beliau terkenal prihatin dalam isu kebajikan peniaga Melayu negeri itu: Pulau Pinang negeri baharu, Francis Light jadi raja, Kalau dikenang kisah lalu, Boleh mengalir air mata.

Sekurang-kurangnya saya bangga dengan Petronas kerana 99% pengusaha stesen minyak itu di seluruh Malaysia adalah Melayu. Fikirkan secara isu strategik apa bakal terjadi jika ada pihak sabotaj bekalan minyak terutama musim perayaan, Petronas jadi penyelamat apabila stesen syarikat itu terus setia berjasa kepada rakyat.

Tetapi bagaimana pula dengan kedai Celcom jika talian selular itu disabotaj? Keadaan teruk apabila orang Melayu sendiri sabotaj kedai saya sampai berkempen memburukkan Celcom.

Malangnya peniaga Melayu pula jatuh muflis apatah lagi dikelilingi peniaga bukan Melayu dalam kawasan majoriti bukan Melayu. Masyarakat Cina sanggup bantu peniaga bangsa mereka maju dan pejam sebelah mata jika perkhidmatan kurang memuaskan atau harga dijual di kedai itu lebih mahal berbanding kedai Melayu.

Jika kes ini berlaku di Suria KLCC, mungkin kesannya tidak ketara dengan mengambil kira kadar sewa, kos sara hidup dan demografi masyarakat lebih kelas antarabangsa. Malangnya apabila peniaga Melayu terpaksa 'bungkus' di Alamanda, maka ia beri gambaran pelik kerana berada di kawasan 99% Melayu.

Dengan hasil jualan yang tidak mampu bayar sewa kedai, peniaga Melayu mungkin perlu ada modal besar untuk tampung defisit hasil. Cara tradisional ialah buat pinjaman tetapi bank-bank di Malaysia sekarang lebih ketat atau liat syaratnya seolah-olah mereka sudah habis wang untuk beri pinjaman kepada peniaga Melayu.

Jika berterusan, dibimbangi tiada lagi orang Melayu minat berniaga kerana cukup sukar buat pinjaman untuk modal pusingan. Alasan standard bank kononnya akaun tidak cantik, banyak komitmen dan 1001 dalih lagi walhal memang logik orang susah mesti buat pinjaman tetapi bank pula lihat peniaga Melayu itu sebagai bermasalah.

Pilihan lain ialah ambil contoh stesen minyak Petronas yang sebahagian besar diurus oleh pihak koperasi tidak kira daripada kesatuan sekerja, badan berkanun, institusi pengajian tinggi atau GLC. Sewajarnyalah koperasi berfungsi menyelamatkan kedai Celcom milik Melayu terutama dari segi suntikan kecairan modal pusingan.

Sedihnya, tiada koperasi tunjuk minat melabur secara langsung dalam kedai Celcom milik peniaga Melayu atau paling kurang pun bentuk rakan niaga dengan cara jalin usaha sama (JV) atau konsortium. Mungkin agaknya bisnes kedai Celcom tidak glamor atau margin untung kecil berbanding stesen minyak Petronas.

Langkah terakhir ialah memohon bantuan zakat di bawah asnaf gharimin atau orang berhutang. Tetapi kaedah ini paling sukar kerana badan zakat lazimnya akan beri alasan seolah-olah memang tidak mahu bantu pun contohnya kriteria tidak layak jika ada parabola Astro, kereta besar 2,000 cc atau tinggal di rumah kos tinggi.

Pada mereka definsi orang susah mestilah rumah pemohon itu kecil, tiada cakera Astro di bumbung dan pandu kereta Kancil. Barang kali mereka terlupa waktu peniaga Celcom Melayu itu senang, merekalah yang rajin bayar zakat pendapatan, perniagaan malah bantu pihak surau, sekolah tahfiz dan seumpamanya.

Namun setelah peniaga Islam Celcom itu jatuh miskin, tiada siapa peduli. Di manakah keadilan sistem zakat? Hendak harap peniaga Celcom bukan Islam bantu masyarakat Islam menunaikan tanggungjawab sosial, janganlah mimpi! Akhirnya hilanglah lagi pembayar zakat apabila ramai peniaga Celcom beragama Islam makin pupus.

Hakikatnya dalam bisnes ada kala untung dan ada tika rugi. Peniaga Melayu Celcom memerlukan ihsan kerajaan untuk bertindak sebagai fasilitator (pemudah cara) dan bukannya moderator (orang perantara). Inilah rahsia kejayaan ramai orang Melayu sebagai pengusaha stesen minyak Petronas tetapi tiada pula di Celcom.

Kepada semua pelanggan Celcom di Putrajaya yang sering datang berurusan ke kedai saya di Alamanda, terima kasih atas jasa kalian membantu peniaga Melayu. Saya mohon maaf andai kata sepanjang 10 tahun lalu ada perkhidmatan kurang memuaskan dan berharap kenangan selama sedekad itu menjadi memori yang kekal abadi."

Mahu biarkan Legoland terkubur?

BENARKAH cukai taman-taman tema di negara ini akan dinaikkan sebanyak 25 peratus?

Kadar itu cukup tinggi. Jika ia dinaikkan, siapa yang akan melawat ke taman-taman tema seperti Legoland, KidZania, Hello Kitty Town atau di Genting Highlands, Sunway Lagoon, Berjaya Times Square Theme Park dan sebagainya?

Lagipun taman-taman tema itu banyak dikunjungi oleh kanak-kanak. Orang dewasa pun berkunjung untuk merehatkan minda atau bersama-sama keluarga.

Cukai taman-taman tema itu dimansuhkan pada 2005 bagi menggalakkan industri itu di negara ini berkembang. Namun, industri memberitahu, ia ditarik balik pada Januari tahun ini.

Dengan kenaikan duti 25 peratus itu, dalam kes-kes tertentu ia akan lebih mahal daripada Universal Studios di Singapura.

Jadi jika itu berlaku, maka taman-taman tema kita akan menjadi taman hantu yang tidak akan dikunjungi dan mati seperti taman tema terawal di negara ini iaitu Mimaland di Batu 12 Gombak.

Perlu diingatkan banyak daripada taman-taman tema yang baharu diwujudkan di negara ini, terutamanya di Johor membabitkan kos yang amat tinggi. Risiko untuk mereka mengalami kerugian dan tutup kedai amat besar, jika langkah ini diteruskan.

Difahamkan, kuasa mengutip cukai itu terletak dalam bidang kuasa kerajaan negeri.

Alasan kerajaan negeri ialah mereka tidak dapat hasil daripada pembinaan taman-taman tema ini.

Tetapi sedarkah mereka bagaimana sesuatu taman-taman tema itu telah mencetuskan kesan rangkaian dan rantaian ekonomi di kawasan setempat dari segi pekerjaan dan lain-lain?

Singapura, Thailand dan Brunei adalah antara negara-negara yang mengecualikan cukai ke atas taman-taman tema mereka. Langkah itu sekali gus merancakkan lagi industri itu.

Adakah Malaysia mahu melangkah ke belakang?

Khazanah jual SilTerra?

SAYA diberitahu sebuah syarikat semikonduktor milik Khazanah yang cukup terkenal, SilTerra Malaysia Sdn. Bhd., akan dijual. Semua kakitangannya termasuk jurutera-juruteranya sedang resah.

Ada yang berkata syarikat itu mempunyai potensi yang besar dan perlu diselamatkan. Pakar-pakar dalam industri melahirkan rasa sedih dengan cadangan penjualan itu.

Difahamkan syarikat yang terletak di Kulim Hi-Tech itu merupakan syarikat pembuatan cip yang dimiliki 98 peratus oleh Khazanah. Ia akan dijual kepada pemain semikonduktor dari China.

Saya tidak tahu sejauhmana Khazanah akan cuba menyelamatkannya. Difahamkan syarikat itu mengalami kerugian terkumpul berjumlah RM1.7 bilion sejak 2011.

Kita berharap dengan kepakaran dan otak-otak yang ada di Khazanah, syarikat itu akan dapat diselamatkan. Sekali gus kepakaran tempatan juga dapat diselamatkan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.