saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 07/07/2014

Hati-hati bercakap soal 'kebajikan' gelandangan, peniaga pada bulan Ramadan

ESOK genaplah 10 hari umat Islam berpuasa. Secara keseluruhannya, tidak ada masalah untuk kita di Malaysia menjalani ibadah pada bulan yang mulia ini. Semua selesa dan selamat untuk berpuasa, menunaikan solat sunat tarawih, witir, tadarus al-Quran, menjalankan aktiviti kebajikan dan mencari rezeki di bazar Ramadan. Sama ada menjual juadah berbuka atau persiapan hari raya, semuanya dapat berniaga dengan baik. Malangnya pada masa yang sama, ada beberapa isu menyentuh soal kebajikan dan mencari rezeki ini timbul pada minggu pertama Ramadan. Pertama mengenai isu 'mengawal' dan 'menghukum' pihak yang mahu memberi bantuan makanan kepada gelandangan dalam radius dua kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur. Keduanya soal berniaga di bazar Ramadan yang melibatkan peniaga atau penjaja kecil.

Banyak pihak sudah bercakap berkaitan isu gelandangan. Seperti diduga kenyataan oleh seorang menteri berhubung membersihkan Kuala Lumpur daripada gelandangan mendapat reaksi segera. Banyak yang membantah dan mempertikaikan kenyataan itu. Sebabnya mudah. Kenapa 'imej bersih' hanya dikaitkan dengan gelandangan? Apa jadi dengan kegiatan lain? Banyak lagi kegiatan yang menjejaskan 'imej bersih' Kuala Lumpur. Kenyataan menteri itu membuka ruang untuk banyak pihak mencari kepincangan di pihak kerajaan. Berapa banyak aktiviti di ibu negara yang merosak serta meruntuhkan moral dan akhlak manusia sehingga memberi imej buruk.

Contohnya kegiatan pelacuran yang di sesetengah tempat berani menawarkan diri secara terbuka untuk dilanggani. Hakikatnya, kehadiran gelandangan dan peminta sedekah juga mendedahkan kepincangan pihak berkuasa.

Apakah yang dimaksudkan dengan gelandangan? Ia melibatkan golongan yang tidak mempunyai pekerjaan dan kediaman tetap. Mereka hidup berkeliaran, bermalam di bawah jambatan, kaki lima kedai dan sebagainya. Golongan ini ada di mana-mana negara. Persoalan yang harus ditanya ialah kenapa ia berlaku? Apakah peranan jabatan atau agensi kerajaan selama ini gagal? Contohnya Jabatan Kebajikan Masyarakat. Begitu juga dengan Pusat Zakat. Mengenai peminta sedekah dari luar, bagaimana pula mereka menyeludup ke sini? Di mana silapnya pendatang asing tanpa izin boleh masuk negara ini tanpa dokumen dan menjalankan aktiviti meminta sedekah, tukang urut dan pelacur? Niat menteri memang baik tetapi mungkin cara penyampaian kenyataan lebih-lebih lagi pada bulan untuk menambah kerja kebajikan.

Amat malang apabila kenyataan itu menimbulkan reaksi sinis termasuk kononnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan saman kepada orang ramai yang mengambil bubur lambuk di Masjid Jamek Kampung Baru. Inilah padahnya. Selepas ini, pihak kerajaan perlu lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan.

Berkaitan bazar Ramadan. Seperti kita tahu, bulan inilah bazar Ramadan tumbuh bagaikan cendawan. Biarlah. Bukannya selalu. Berilah peluang orang Melayu yang sekadar mahu menjual kuih-muih, lauk-pauk untuk kemudahan orang ramai yang tidak sempat memasak sama ada bagi tujuan berbuka atau bersahur. Kalau kena pada tempatnya, penuhi syarat kebersihan, tidak 'terlalu' mengganggu lalu-lintas dan sebagainya, eloklah pihak berkuasa tempatan (PBT) meluluskannya.

Kerajaan Pusat pun turut menyediakan pinjaman di bawah Skim Pembiayaan Mikro-i Bazar Ramadan bagi membantu peniaga memulakan perniagaan sepanjang Ramadan ini. Skim itu dilancarkan pada 5 Jun lalu menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan diurus Bank Rakyat yang melibatkan peruntukan RM45 juta. Malangnya ada juga peniaga yang tidak dapat berniaga disebabkan gagal mendapat kelulusan PBT. Pada hal mereka bukannya mahu kekal berniaga di situ.

Bagi yang mahu berjinak-jinak dengan perniagaan, Ramadan memberi peluang kepada mereka untuk menambah pendapatan. Mereka menjual juadah berbuka/bersahur atau menjual pakaian serta persiapan menyambut hari raya. Maka berilah sedikit ruang kepada orang Melayu Islam ini untuk menambah pendapatan. Tidak payahlah kecoh-kecoh atau terlalu tegas dengan rezeki setahun sekali itu. Mungkin boleh diselak kembali apa yang pernah berlaku di Pulau Pinang tidak lama dulu. Ketika itu kecoh melibatkan peniaga di bazar Ramadan. Baru-baru ini timbul kekecohan melibatkan peniaga/penjaja di Selangor, negeri yang ditadbir oleh kerajaan pakatan PKR-DAP-Pas. Kekecohan itu berlaku di dalam kawasan yang sama iaitu di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj). Kajang, kawasan yang mengalami pilihan raya kecil (PRK) yang hampir menyaksikan Anwar Ibrahim sebagai calon PKR tetapi ditukar kepada isterinya, Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Mungkin pada peringkat awal, para peniaga menjangkakan tidak akan berlaku masalah untuk berniaga.

Dalam isu ini, kira-kira 250 peniaga kecewa apabila hasrat untuk berniaga di bazar larut malam di Taman Putra Kajang terbantut ekoran tindakan MPKj tidak meluluskan permohonan bagi menjalankan perniagaan di situ. Pihak penganjur sudah membelanjakan kira-kira RM1 juta bagi memasang khemah dan menyediakan kemudahan lain. Penganjur juga merancang untuk menjadikan tapak itu sebagai bazar Ramadan. Khabarnya, pihak penganjur sudah menyediakan segala kemudahan yang ditetapkan. Begitu juga dengan hasrat lebih 100 peniaga di tapak bazar Ramadan persendirian di Taman Kajang Raya. Disebabkan tidak mendapat kebenaran, akhirnya MPKj merobohkan gerai, surau dan tandas yang disediakan. Menurut laporan Astro Awani, alasan yang diberikan oleh MPKj ialah tapak itu terlalu hampir dengan 'uptown' Jalan Reko, Kajang. Lebih malang, peniaga yang terlibat ada yang sudah membuat pinjaman Skim Mikro i-Bazar Ramadan. Jumaat lalu, MPKj juga menurunkan khemah di tapak karnival sempena Ramadan di Seksyen 5, Bandar Baru Bangi. Tindakan itu menimbulkan rasa tidak puas hati termasuk ahli jawatankuasa Masjid Al-Hidayah yang terlibat dalam penganjuran karnival itu. Karnival itu juga bertujuan mengumpul dana pembinaan Masjid Al-Hidayah yang memerlukan RM7.5 juta.

Begitulah beberapa cerita mengenai halangan yang dihadapi dalam usaha untuk menjalankan perniagaan sempena Ramadan ini. Kenapa untuk tempoh 30 hari berniaga, peniaga seolah-olah `ditekan'. Kenapa begitu sukar untuk berniaga sempena Ramadan? Bagi mereka yang pernah berkunjung ke Kajang, bandar sate terkemuka ini, berapakah jumlah kedai yang dimiliki atau disewa oleh orang Melayu berbanding Cina dan India?

Orang Melayu sebenarnya tidak mampu menyewa atau memiliki kedai. Kepada PBT, jika mahu dikuatkuasakan undang-undang sekali pun, bertimbang rasalah dalam keadaan dan suasana tertentu. Adakah MPKj benar-benar memastikan peniaga yang ada di Kajang tidak melanggar undang-undang? Di manakah wakil rakyat yang boleh bersuara untuk membantu peniaga-peniaga ini? Kenapa wakil rakyat yang menjadi penasihat masjid didakwa gagal membantu untuk mencari dana masjid? Adakah dana masjid hanya bergantung kepada bantuan kerajaan negeri Selangor? Itu pun jika kerajaan negeri sedia membantu. Bagaimana jika kerajaan negeri diam seribu bahasa terhadap permohonan untuk mendapatkan dana pembinaan masjid?

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:43
Zohor 1:19
Asar 4:45
Maghrib 7:28
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.