saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 09/07/2014

Antara Dr. Ghauth dan Dr. Hashim; Antara Alamanda dan Upin & Ipin

Wajarkah?

BEKAS Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof. Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon lain daripada Naib Canselor (VC) UM yang lain. Selepas menjadi VC selama dua penggal, dia kini menjadi orang biasa. Beliau sudah mula bebas bersuara.

Kenyataannya kepada sebuah portal berita propembangkang menggambarkan Dr. Ghauth ini hebat orangnya. Beliau mendedahkan "sering diganggu Putrajaya" semasa perkhidmatannya.

Beliau yang menerajui universiti awam itu dari 2008 hingga 2013, dipetik oleh portal itu sebagai berkata: "Ahli politik kanan pernah memarahinya kerana tidak mengawal Profesor Datuk Dr. Redzuan Othman, bekas pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel)."

Panjang lebar lagi wawancara itu. Baca di sini https://my.news.yahoo.com/saya-ditekan-ahli-politik-kerana-kajian-umcedel-kata-225116818.html

Persoalannya wajarkah pendedahan itu dibuat oleh seorang bekas VC sebuah universiti awam? Jika betul pun, mengapa tidak tahu menyimpan rahsia? Bukankah VC terikat kepada Akta Rahsia Rasmi? Apakah selepas bersara maka sumpah menyimpan rahsia sudah terpadam?

Oleh itu teringat saya kepada seorang lagi bekas VC UM iaitu Prof. Datuk Dr. Hashim Yaacob.

Kebetulan beliau sahabat saya. Seorang nasionalis yang sering berkata, "saya akan tetap berdiri di belakang kerajaan". Beliau tidak pernah memburuk-burukkan kerajaan secara terbuka.

Jika kebanyakan VC berakhir dengan gelaran Tan Sri, Dr. Hashim ini bintang sekecil AMN dari Persekutuan pun tidak pernah diterimanya. Apatah lagi Tan Sri!

Tetapi, itu tidak penting. Yang penting beliau tidak menggigit tangan yang memberi. Ikutilah coretan Prof. Dr. Hashim yang dihantar kepada saya bertajuk:

PENGALAMAN SAYA DENGAN UM

SAYA menulis warkah ini sebagai Mantan Naib Canselor Universiti Malaya yang berkhidmat dari tahun 2003 hingga 2006.

Dalam masa yang singkat itu, saya berkhidmat di bawah tiga orang Menteri Pengajian Tinggi Malaysia. Mereka ialah Tan Sri Musa Muhammad, diikuti dengan Datuk Seri Dr. Shafie Salleh dan kemudiannya oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed. Perdana Menteri pada waktu itu ialah Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sebelum menjadi Naib Canselor, saya juga pernah menjadi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan juga Dekan Fakulti Pergigian di Universiti Malaya. Di dalam jawatan-jawatan tertinggi itu, banyaklah tugas yang saya pikul demi untuk memajukan universiti.

Ada tugas yang sangat rumit untuk dilaksanakan dan yang sangat mencabar. Namun, saya menjalankan tugas itu dengan sedaya upaya yang boleh. Kerajaan tidak pernah campur tangan.

Seingat saya sewaktu menjalankan kewajipan sebagai Naib Canselor, saya diberikan kuasa sepenuhnya untuk mentadbir dan membuat keputusan, asalkan ia tidak bercanggah dengan undang-undang dan peraturan yang tersedia ada.

Pihak berkuasa kerajaan tidak pernah mengganggu walaupun sedikit dalam tugas saya mentadbir Universiti Malaya.

Saya tidak pernah ditegur oleh mana-mana pihak berkuasa kerajaan atau dihalang daripada menjalankan tugas.

Apakah saya bernasib baik di dalam hal ini, atau memang bukan kerja kerajaan untuk mengganggu kerja pegawai-pegawai yang diamanahkannya untuk menjalankan tugas negara?

Apabila kontrak saya sebagai Naib Canselor di Universiti Malaya tamat pada tahun 2006, maka saya pun meninggalkan universiti itu dengan rela hati. Saya bersara daripada perkhidmatan kerajaan dan tidak lagi memegang apa-apa jawatan yang ada kaitan dengan kerajaan.

Saya bersyukur kerana pernah diberi peluang untuk mengetuai Universiti Malaya, dan tidak pernah menggigit tangan orang yang berbudi kepada saya.

SPB Yang di-Pertuan Agong pun diikati kontrak

Kita patutlah sedar bahawa apabila sesuatu kontrak diberikan kepada kita oleh majikan dengan jangka masa yang telah ditentukan, kita hendaklah menerima hakikat bahawa apabila tiba masanya, kita mestilah berundur. Sekiranya kontrak kita disambung sebab khidmat kita masih diperlukan lagi, maka kita mestilah bersyukur. Tetapi, kita tidak boleh sekali-kali marah kepada majikan kerana kontrak kita itu tidak disambung.

Bukankah kontrak itu adalah perjanjian yang telah kita buat dan menerimanya dengan majikan?

Ini nasihat kepada sesiapa yang menyesali ketidaksambungan kontraknya apabila tamat: Sukalah saya memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong apabila ditabalkan, juga mempunyai kontrak untuk memegang jawatannya itu selama lima tahun.

Apabila sampai waktunya, maka Seri Paduka Baginda akan meninggalkan jawatan itu untuk digantikan oleh penggantinya. Kalau Seri Paduka Baginda terikat sebegitu dengan kontrak dan janji, maka kita rakyat biasa ini mestilah mengambil iktibar daripadanya.

Upin & Ipin kini kebanggaan kita

MINGGU lepas saya menulis mengenai azabnya peniaga Melayu mahu bertatih. Apatah lagi berniaga pula di pusat beli-belah gred A seperti di Alamanda. Sudah bertatih sudah tentu mahu berlari. Tetapi akhirnya peniaga itu jatuh dan mati.

Walaupun kejatuhan dan kematian itu banyak sebab - yang ada antaranya kerana kurang ketahanan diri - namun itulah hakikatnya.

Banyak reaksi yang diterima. Salah satunya daripada seorang peniaga Melayu, yang setakat ini sangat berjaya. Syabas!

Beliau ialah Saudara Burhanuddin Md. Radzi, Pengarah Urusan Les' Copaque Production Sdn. Bhd. yang berjaya menghasilkan animasi Upin & Ipin.

Beliau mahu berkongsi pengalamannya. Beliau juga bermula dengan susah.

"Terlalu perit. Banyak sistem yang tidak membantu kita...," katanya semasa kami berbual melalui telefon.

Ikuti e-mel Burhanuddin kepada saya. Ambillah apa yang ditulisnya sebagai iktibar. (Banyak fakta sensitif perlu ditiadakan bagi mengelakkan salah faham).

SERONOK saya membaca rencana bertajuk: "Hidup Mati Peniaga Melayu, Legoland dan SilTerra" tentang kisah orang Melayu yang mati berniaga di bumi Melayu yang rata-ratanya ditadbir oleh orang Melayu yang begitu megah dengan kuasa yang ada di tangannya.

Saya juga ada pengalaman berurusan dengan Alamanda yang begitu megah ditadbir oleh orang Melayu di Petronas.

Selepas kejayaan filem keluaran saya bertajuk Geng Pengembaraan Bermula pada tahun 2009, saya telah memulakan perniagaan barangan Upin & Ipin. Apabila barangan telah dibuat, kami mula mencari tapak di mana harus menjual barangan tersebut.

Oleh kerana Putrajaya kawasan orang Melayu yang berada dan saya diberitahu Alamanda ada menyediakan peluang membuka kiosk, saya mencuba di situ.

Kakitangan saya cuba mendapatkan tempat dan berjaya dengan sewa RM3,000 sebulan. Kami pun memulakan perniagaan di situ.

Dulu saya bekerja di Petronas dan bersama-sama kawan-kawan berjuang mengambil alih operasi lapangan minyak di Miri dari Sarawak Shell Berhad.

Ada kawan saya yang setia dengan Petronas dan menjadi orang besar. Sedangkan saya memilih untuk berhenti dan mencebur diri dalam bidang perniagaan. Alhamdulillah saya berjaya.

Dipendekkan cerita, kawan saya itu mempelawa saya membuat sesuatu kepada suatu ruang yang begitu strategik berhampiran dengan panggung wayang di dalam pusat beli-belah Alamanda. Ruang ini kosong telah hampir tiga tahun dan mereka tidak tahu apa yang harus mereka lakukan.

Oleh kerana saya bercita-cita ingin membangunkan taman tema Upin & Ipin, saya pun bersetuju untuk merancang membangunkan taman tema yang kecil berserta dengan restoran dan tempat menjual barangan Upin & Ipin.

Setelah perancangan siap, saya telah diarahkan oleh kawan saya itu untuk memberi taklimat kepada pengurus KLCC dan Alamanda. Semuanya bukan Melayu.

Perbincangan demi perbincangan dan akhirnya cadangan kami amat menarik kepada mereka kerana ia dapat menarik pengunjung ke Alamanda yang tidak mempunyai tarikan pengunjung waktu itu.

Malang sungguh. Kemudian mereka mengubah dari lokasi itu ke tingkat atas kerana mereka ingin memberi tempat yang saya telah rancang itu kepada restoran bukan Islam.

Sudah tentulah saya tidak bersetuju kerana dengan cadangan saya itu, baharu restoran itu mahu membuka kedainya. Jika tidak, sebelum itu, isu restoran itu tidak timbul.

Saya telah berjumpa dengan kawan saya semula dan menyampaikan rasa tidak puas hati saya kerana menggunakan cadangan saya untuk menarik minat restoran itu yang belum tentu kesahihan halalnya.

Kawan saya memberitahu saya bahawa biasanya dia tidak campur urusan itu dan membiarkan pengurusan membuat keputusan.

Saya berkata kepada kawan saya itu: "Memanglah kau dapat gaji besar dan pangkat, kalau setakat nak capai KPI dengan menaikkan sewa dan hanya mementingkan keuntungan semua orang boleh buat. Tapi apakah sumbangan kamu pada orang Melayu sehingga kita nak makan makanan Melayu pun tak ada di situ".

Dia diam sahaja dan hingga hari ini panggilan saya tidak dijawab. Saya pun menarik diri dan sewa kiosk saya pun dinaikkan ke RM6,000 sebulan menyebabkan saya menutup perniagaan di situ.

Bukan semua teman-teman saya di Petronas yang lupa daratan, seperti kawan yang seorang ni. Teman saya yang lain telah membantu saya memasukkan barangan Upin & Ipin ke dalam stesen minyak Petronas.

Ini bukan perkara yang mudah jika tidak ada pertolongan daripada mereka.

Alhamdulillah, sekarang kami telah memasuki lebih 300 stesen minyak Petronas di seluruh negara dan saya sudah dapat membangunkan seorang usahawan yang menguruskan penghantaran dan penjualan barangan saya di stesen minyak ini.

Upin & Ipin adalah suatu kebanggaan kita kerana saya sudah dapat membangunkan begitu banyak perniagaan yang berkisar dengan harta intelek ini.

Barangan kami sudah dapat dijual di stesen minyak Petronas, Petron, Pasaraya Sakan, Watson, Pejabat Pos, rangkaian kedai coklat Fidani dan juga di Hamley. Insya-Allah ia akan berkembang pesat dan diusahakan oleh anak-anak muda Melayu.

Saya juga baru membuka sebuah kedai di klia2 bahagian domestik dan merupakan antara kedai yang tercantik di klia2. Saya juga telah berjaya membuka rangkaian restoran Kedai Makan Upin & Ipin di seluruh negara.

Kesemuanya ada 15 kedai dan ia merupakan restoran bertema sambil menjual barangan Upin & Ipin.

Insya-Alah, kalau tiada masalah, saya akan membuka empat restoran Upin & Ipin yang menjual makanan halal Jepun di Tokyo dalam bulan September ini.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.