saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 25/07/2014

Perintah berkurung, kampung air dan bot pam

TEPAT pukul 6 petang, 19 Julai lalu, bermulalah 'episod' perintah berkurung yang dilaksanakan di enam daerah di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) meliputi kawasan seluas 121,270 batu nautika persegi. Bermula dari Tanjung Pundaras, Sandakan hingga ke Jeti Tawau, tempoh berkurung itu berkuat kuasa sehingga 2 Ogos ini.

Diyakini sebagai jalan terbaik mengekang kegiatan pencerobohan mahupun penyeludupan, insiden terbaharu serangan sekumpulan lelaki bersenjata di Pulau Mabul, Semporna yang mengorbankan seorang anggota pasukan polis marin haruslah menjadi pengajaran bersama.

Masakan tidak, insiden berkenaan muncul tatkala penstrukturan semula Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) baharu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Untuk itu, perintah berkurung yang 'diisytiharkan' Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman itu perlu menunjukkan satu tindakan yang serius, tegas dan 'berkuasa' agar segala 'kekuatan' serta langkah yang disusun, benar-benar menampakkan impaknya.

Berkaitan hal yang sama, sehingga tarikh 2 Ogos ini, penegasan yang diuar-uarkan itu perlulah konsisten, malah bertambah 'molek' jika dapat diteruskan dari semasa ke semasa demi mempertahankan perairan negara. Usah nanti dikata orang bak 'hangat-hangat tahi ayam', bermula nampak tegas tetapi 'layu' di hari mendatang, terutama apabila kes-kes pencerobohan dan penyeludupan ini mereda buat seketika waktu.

Satu pesanan, tak kira dalam apa jua situasi, langkah berjaga-jaga itu perlu, langkah berwaspada dan penegasan itu seharusnya berterusan. Kerana, musuh datang tanpa diduga, malang tidak berbau. Itulah yang perlu diingatkan sentiasa. Kepada orang ramai, terutama yang berada di zon perintah berkurung, ini masanya berganding bahu bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memastikan keselamatan bersama.

Menjadi harapan juga agar Esscom diberikan 'kuasa' melaksanakan arahan menembak mana-mana pihak yang didapati menceroboh perairan negara khususnya di Sabah, kerana tiadanya kuasa itu membuatkan pasukan keselamatan seperti tidak bertaring atau mudah dipermain-mainkan pengganas.

Seperkara lain, pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menegaskan Sabah akan terus menerima ancaman pencerobohan oleh pengganas dan penyeludup selagi wujudnya kampung air di negeri ini, tak sepatutnya dipandang 'sebelah mata' oleh pelbagai pihak dan kerajaan negeri.

Penegasan beliau ini serius dengan mengambil kira insiden beberapa lagi serangan selepas peristiwa keganasan yang berlaku di Lahad Datu.

Sehubungan itu, Dr. Mahathir memikirkan sudah tiba masanya kerajaan dapat memindahkan penduduk kampung air dan ditempatkan di kawasan yang lebih selamat di daratan.

Walau bagaimanapun, sebagai anak jati Sabah, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mahu cadangan untuk 'menghapuskan' atau memindahkan penduduk di kampung air dilakukan perincian sewajarnya dan bersifat selektif.

Dalam pada itu, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tidak ketinggalan membahaskan insiden serangan di Pulau Mabul dengan pelbagai cadangan diketengahkan bagi memperbaiki keberkesanan operasi Esscom.

Antara cadangan yang menarik perhatian ialah pengharaman penggunaan bot pam, jenis bot yang dikatakan sering digunakan di perairan Esszone. Cadangan oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu berdasarkan beberapa aktiviti jenayah rentas sempadan yang kebanyakannya menggunakan bot jenis tersebut.

Kata wakil rakyat tersebut, bot pam itu digelar 'raja lautan', bersaiz kecil, laju selain mudah menyelinap di kawasan berbakau serta air cetek. Penggunaannya didakwa banyak menyumbang kepada aktiviti penyeludupan, bom ikan, pemerdagangan manusia dan pelbagai jenayah marin lain.

Begitulah 'berkuasanya' bot pam sehingga diberikan gelaran tersebut. Soal diharamkan atau sebaliknya, terletak kepada penguasa negeri memikirkan sudut pandang positif dan negatifnya.

Tidak kurang, cadangan supaya kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan membina landasan untuk helikopter (helipad) di Pulau Bum-Bum, Semporna bagi tujuan respons pantas ke atas sebarang ancaman.

Nah! Cadangan sudah diberi, perintah berkurung sudah dilaksanakan. Sama-samalah berganding bahu memastikan perairan Sabah terus berada dalam keadaan selamat.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.