saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 04/08/2014

Bertindaklah, bukan sekadar bercakap boikot Israel

SEJAK kebelakangan ini, ramai yang bercakap mengenai boikot produk atau barangan keluaran syarikat yang mempunyai kepentingan dengan Israel. Tindakan itu susulan keganasan berterusan tentera rejim Zionis di bumi Gaza, Palestin. Saban hari, ada senarai barangan yang dipaparkan melalui pelbagai media termasuk WhatsApp. Bermula dari A hingga ke Z, ada saja syarikat atau barangan yang disenarai supaya rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam memulau barangan berkenaan. Produk tersebut meliputi barangan keperluan harian termasuk makanan, minuman dan pakaian. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga mengeluarkan `senarai mereka yang perlu diboikot'. Menjelang Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, ketika saya berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang, terdapat satu sudut pameran oleh sebuah NGO yang memaparkan penderitaan rakyat Palestin akibat serangan Zionis.

Di situ ada sejarah ringkas bagaimana tindakan Yahudi merampas tanah rakyat Palestin. Poster senarai produk dan syarikat yang didakwa menyokong Zionis juga dipamerkan. Mereka ini didakwa menyalurkan bantuan kepada Israel untuk membunuh kanak-kanak, orang dewasa serta meruntuhkan bangunan rumah, sekolah dan masjid. Salah satu yang disenaraikan ialah restoran makanan segera McDonald's. Kebetulan, tidak jauh dari situ ada restoran berkenaan. Jumlah kehadiran pengunjung tidak berkurangan, perniagaan berjalan seperti biasa. Adakah pelanggan atau pengguna tidak peduli dengan gesaan boikot? Mungkinkah mereka tidak tahu gesaan itu atau tidak ada pilihan lain untuk menjamu selera?

Bagi yang mencintai kemanusiaan, adakah mereka tidak prihatin dengan seruan memboikot produk berkenaan? Sudah tidak ada perasaan cubit paha kanan paha kiri terasa sakit? Pada masa yang sama adakah mereka juga bersedia menghulurkan bantuan kepada Tabung Gaza yang diwujudkan? Pernah satu ketika, sebuah restoran makanan segera menganjurkan beli burger sambil menderma. Setiap RM1 daripada pembelian burger disumbangkan kepada rumah kebajikan. Kenapa tidak, kempen yang sama dilaksanakan dan setiap makanan yang dibeli, RM1 diserahkan kepada Tabung Gaza?

Apa kata pusat beli-belah yang 'menjual' beg plastik 20 sen setiap satu kepada pelanggan menggunakan wang berkenaan untuk disalurkan kepada rakyat Palestin? Bayangkan sebuah pasar raya yang mengutip 20 sen untuk beg plastik sama ada pada hari tanpa beg plastik, hari tertentu atau setiap hari dapat menyalurkan hasil kutipan itu kepada Tabung Gaza. Sekurang-kurangnya cukup untuk kutipan satu minggu, hasilnya disumbang kepada Palestin. Tidak mungkin penghuni rumah kebajikan atau anak-anak yatim di Malaysia kebuluran sekiranya kutipan sehari hasil jualan beg plastik atau sumber sumbangan derma lain dikumpulkan khusus bagi membantu rakyat Palestin membeli ubat-ubatan dan makanan. Lebih-lebih lagi kita baharu sahaja melalui bulan Ramadan yang pastinya kebajikan anak-anak yatim di Malaysia amat terbela.

Berbalik kepada isu boikot. Apa tindakan kita? Jangan sekadar membuat gesaan dan bercakap. Lihatlah beberapa negara Arab yang hanya bercakap, mengecam, menggesa tetapi tidak bertindak. Bukanlah mustahil, jika orang ramai masih menyokong produk yang dikaitkan dengan Israel. Tidak mudah membuang tabiat dalam kehidupan seharian kita terutama golongan muda. Mungkin ada dalam kalangan kita yang selepas menghadiri perhimpunan berkaitan dengan Gaza akan singgah di restoran makanan segera lantas memesan makanan dan minuman yang disenaraikan mempunyai kepentingan dengan Zionis. Selepas meninggalkan restoran itu, mereka menghisap pula rokok yang ada kaitan dengan Israel.

Pada bulan Ramadan yang lepas, mungkin tanpa disedari, ada yang berbuka dengan kurma dari bumi yang dirampas oleh Israel dari penduduk Palestin. Tidak pasti pula berapa banyak senarai produk atau barangan yang ada di badan kita sepanjang hari raya ini berkait rapat dengan negara Israel. Makanan, minuman, pakaian serta kemudahan lain sudah mempunyai hubungan yang rapat dengan kehidupan seharian kita terutama generasi muda. Kita boleh memboikot dan mampu melakukannya jika mempunyai keazaman yang kuat. Sokongan kuat orang ramai tanpa mengira latar belakang agama dan kaum amat penting supaya ia dapat memberi isyarat protes yang jelas terhadap Israel agar menghentikan kekejaman mereka. Jangan cakap tidak serupa bikin, iaitu bercakap atau menyebar senarai produk tetapi masih menjadi pelanggan atau pengguna tetap barangan berkenaan. Memang sukar untuk memboikot lebih-lebih lagi ada yang mengaitkannya dengan peluang kerja yang dinikmati terutama orang Melayu. Timbul pula cerita bagaimana boikot itu akan menjejaskan keuntungan pemilik saham yang terdiri daripada orang tempatan, bekalan bahan mentah yang juga diperoleh di dalam negara dan beberapa isu lain yang juga menimbulkan perasaan serba salah dalam kalangan pengguna.

Apa yang lebih penting, di sebalik keghairahan untuk memboikot ini, adakah pengguna terutama orang Melayu atau masyarakat Islam sudah bersedia dengan produk alternatif atau produk tempatan? Hakikatnya kita berhadapan dengan masalah mendapatkan alternatif disebabkan kuasa ekonomi bukan berada di tangan orang Islam. Inilah kelemahan yang ada pada kita setiap kali mahu mengambil langkah memboikot. Banyak cabaran dan halangan untuk membantu produk keluaran syarikat bumiputera yang halal, bermutu, bersih dan suci. Lihatlah di pusat beli-belah. Ruang untuk produk bumiputera amat terbatas, sama ada tidak ada langsung atau dalam kuantiti yang sedikit atau mungkin `disembunyikan' supaya mudah diberi alasan bahawa barangan itu tidak mendapat sambutan pengguna.

Isu promosi dan pemasaran juga menimbulkan masalah kepada usahawan bumiputera. Baru-baru ini, seorang sahabat menghantar gambar minuman cincau keluaran syarikat bukan bumiputera yang tertera pada bungkusannya Selamat Hari Raya. Secara tidak langsung, pelabelan seumpama itu mampu menarik perhatian orang Melayu. Mungkin pengusaha Melayu ada mengeluarkan bahan yang sama tetapi cara pelabelan tidak kreatif, gagal menarik perhatian. Inilah masalahnya. Isu boikot mungkin berakhir apabila Israel tidak lagi mengganas tetapi adakah masyarakat Islam akan terus lupa peranan mereka untuk menguasai ekonomi? Terokailah bidang yang kita masih ketinggalan supaya pada masa depan, kita lebih bersedia memboikot syarikat-syarikat yang menyokong Israel.

Mungkin kita boleh ambil contoh minuman ringan Mecca Cola yang berpangkalan di Dubai. Minuman ini adalah sebagai alternatif kepada minuman sedia ada di samping membantu rakyat Palestin. Masalahnya sejauh mana pasaran dan sambutan yang diberikan kepada Mecca Cola? Israel mungkin akan `berundur' seketika tetapi rakyat Palestin akan kekal di sana. Mereka sudah berikrar: Jika kami keluar dari tanah ini (Palestin), maka siapa lagi yang akan menjaga masjid sudi al-Aqsa? Siapa lagi yang akan menjaga tanah wakaf umat Islam? Biarlah kami tetap di sini, mewakili kalian (seluruh umat Islam di dunia), saudarakau''

Jika Palestin diserang lagi, sekali lagi isu boikot akan timbul. Sesuatu harus dilakukan supaya kuasa ekonomi umat Islam benar-benar kuat dan tindakan boikot yang bakal dilakukan selepas ini benar-benar memberi kesan yang amat mendalam terhadap Israel. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada rakan-rakan kita di Palestin. Teruskan berdoa untuk Palestin.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:01
Asar 4:23
Maghrib 6:59
Isyak 8:11



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.