saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 11/08/2014

Kembalikan mandat kepada rakyat

Penyokong-penyokong Pakatan Rakyat yang menyokong Abdul Khalid Ibrahim mengangkat sepanduk bantahan terhadap tindakan Majlis Pimpinan Pusat PKR yang memecat MB Selangor itu sewaktu berlangsungnya Forum Krisis Selangor berkaitan MB Selangor Belot Pakatan? yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina, Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

EPISOD perebutan kerusi Menteri Besar (MB) Selangor sampai kemuncaknya apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat keputusan memecat penyandang jawatan itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada parti tersebut.

Keputusan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan sebaliknya sudah dijangka sejak awal lagi apabila isu ini tercetus. Ia memandangkan ramai pihak amat memahami seni politik dalam PKR apabila sesuatu tindakan itu melibatkan impian pemimpin kanan mereka, khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun mendapat sokongan padu daripada Pas yang tetap mahu Abdul Khalid kekal, namun PKR mengambil langkah songsang tersebut dengan pelbagai hujah memualkan.

Dakwaan ke atas Abdul Khalid yang bertujuan bagi 'menghalalkan' pemecatan beliau, bukan sahaja boleh dipertikaikan malah boleh dianggap sekadar alasan sahaja.

Sebagai contoh, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mengatakan, mereka turut mengambil kira keingkaran Abdul Khalid terhadap keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang turut dihadiri oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangguhkan proses perbincangan mengenai projek Langat 2, kenaikan elaun Speaker, Menteri Besar, Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Selangor. Abdul Khalid juga didakwa ingkar kerana meneruskan projek Lebuhraya Kidex walaupun parti mengarahkan beliau mengkaji semula projek tersebut.

Persoalannya, kalaulah semua tindakan Abdul Khalid itu dilihat tidak betul dan tidak wajar kenapakah kepimpinan Pas di semua peringkat tertingginya termasuk Majlis Syura Ulama menentang sekeras-kerasnya penyingkiran beliau?

Kenapakah PKR tidak berunding terlebih dahulu dengan Pas bagi membentangkan hujah-hujah tersebut terutamanya sebelum memulakan `Langkah Kajang' yang difahamkan Pas langsung tidak tahu menahu.

Pas hanya diseret untuk terlibat sama dalam kemelut perebutan kerusi MB apabila PKR memerlukan sokongan bagi membolehkan perancangan politik yang disusun oleh Anwar terutamanya bagi melantik isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menduduki jawatan itu tercapai.

Oleh itu, PKR tidak perlulah memberikan alasan yang dianggap sengaja direka bagi memenuhi nafsu politik pemimpin-pemimpinnya. Apatah lagi dalam kes melibatkan Abdul Khalid, beliau langsung tidak diberi keadilan yang selama ini kononnya menjadi pegangan parti tersebut.

Kalau benar mereka mahu memberi keadilan, mengapakah Abdul Khalid tidak pernah dipanggil memberi penjelasan di hadapan ahli-ahli Majlis Presiden Pakatan Rakyat kenapa beliau tidak mematuhi arahah yang diberikan?

Satu lagi, kenapakah Abdul Khalid didesak meletakkan jawatan serta-merta sedangkan beliau mempunyai tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan? Apakah ini bermakna kepimpinan PKR hanya bersandiwara dengan memberikan tempoh itu?

Tetapi tiada apa yang harus dihairankan apabila PKR dikaitkan dengan sandiwara kerana selama kewujudannya sudah banyak sandiwara dipertontonkan oleh pemimpin-pemimpin parti itu.

Namun begitu apa yang menjadi persoalannya besar sekarang, apakah dengan menggantikan Abdul Khalid dengan Wan Azizah, ia boleh memberikan jaminan rakyat Selangor tidak akan menyaksikan lagi perebutan kuasa memerintah negeri itu yang dicetuskan oleh PKR.

Benarkah Wan Azizah mendapat sokongan majoriti pemimpin dan ahli PKR bagi menduduki jawatan tersebut? Kalau betul kenapakah wujud desakan supaya Azmin Ali turut disenaraikan sebagai calon MB Selangor? Sepatutnya situasi itu adalah isyarat bahawa politik Selangor tetap tidak akan aman selagi PKR terus diberi ihsan oleh Pas untuk menduduki kerusi MB.

Oleh itu mahu tidak mahu, suka atau tidak, kalau benarlah PKR begitu yakin bahawa penyingkiran Abdul Khalid adalah demi kesejahteraan rakyat Selangor, maka mereka juga perlu bersikap terbuka menyerahkan kembali mandat kepada rakyat membuat keputusan dengan meletakkan Wan Azizah sebagai 'panglima perang' bagi menggantikan Abdul Khalid.

Biarlah rakyat Selangor menentukan adakah benar mereka mahu Wan Azizah menjadi MB mereka dan terus bersedia menyokong pakatan pembangkang. Pada masa ini, apa yang dilakukan oleh kepimpinan PKR adalah tidak adil apabila mereka memaksa rakyat mengikut setiap rentak dan perancangan politik parti itu biarpun ia cukup memalukan.

Tindakan secara sengaja bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang diadakan sudah membuktikan bagaimana rakyat Selangor dipaksa untuk melayani nafsu politik pemimpin-pemimpin PKR.

Oleh itu sudah sampai masanya, politik songsang ini diletakkan noktahnya. Ia hanya boleh dilakukan jika Abdul Khalid memberikan pandangan kepada Sultan Selangor untuk membubarkan DUN bagi membolehkan sebuah pilihan raya negeri diadakan.

Sememangnya kita tidak menafikan pilihan raya kecil itu akan memakan belanja mencecah RM50 juta dan satu pembaziran kepada wang rakyat tetapi itu sahaja caranya bagi menghentikan kegilaan pemimpin-pemimpin PKR berpolitik.

Hanya rakyat Selangor berhak menentukan nasib negeri mereka dan bukannya orang lain apatah lagi seorang MB yang bukan anak jati negeri itu. Mereka tidak harus selama-lamanya dipaksa menyaksikan satu demi satu sandiwara politik yang direka oleh pemimpin-pemimpin PKR.

Apabila pilihan raya diadakan, kita menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh rakyat tetapi buat masa ini, adalah tidak wajar jika penyingkiran Abdul Khalid diterima sebagai satu amalan demokrasi dan hak mutlak sesebuah parti.

Ini kerana Abdul Khalid tidak melakukan apa-apa yang menyusahkan rakyat atau menyebabkan Selangor muflis, sebaliknya tindakan yang beliau lakukan sepanjang mentadbir negeri itu adalah demi masa depan rakyat.

Tetapi malangnya, bukan itu yang dimahukan oleh pemimpin-pemimpin PKR. Yang mereka mahukan Abdul Khalid terus mengikut rentak mereka berpolitik termasuklah dengan Kerajaan Pusat. Bayangkanlah kalau Abdul Khalid yang tidak mempunyai apa-apa kaitan kekeluargaan dengan mana-mana pemimpin-pemimpin utama PKR boleh dipaksa berbuat demikian sehingga dipecat, bagaimana kalau pemimpin yang menjadi MB mempunyai hubungan tersebut?

Seperkara lagi, kalau Abdul Khalid boleh dipaksa untuk tunduk dengan perancangan politik PKR biarpun apa yang beliau laksanakan demi kepentingan rakyat, bagaimana kalau pemimpin lain khususnya daripada Pas menduduki jawatan itu, apakah jaminan bahawa tiada amalan politik gertak menggertak dilakukan termasuklah ancaman mengadakan undi tidak percaya di DUN?

Sebab itulah, dalam menyelesaikan konflik politik di Selangor yang tercetus akibat kerakusan dan kegilaan pemimpin-pemimpin PKR meraih kuasa, cara terbaik adalah kembali mandat kepada rakyat, jika benar pakatan pembangkang memperjuangkan rakyat dan begitu mempertahankan prinsip 'suara rakyat adalah suara keramat'.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:08
Asar 4:15
Maghrib 7:10
Isyak 8:19



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.