saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 18/08/2014

Idea siapa lebih 'wow'...BN atau pakatan PKR-Pas-DAP

DUA hari, Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin memberi mesej yang sama di hadapan khalayak yang berbeza. Kelmarin, di Kota Tinggi, Johor, beliau mahu anggota UMNO melontar idea luar biasa bagi memastikan perjuangan parti itu terus relevan dan diterima rakyat. Semalam, di hadapan anggota Kimma, beliau juga mahu supaya mereka berfikiran jauh, mengemukakan idea dan inisiatif terbaik atau wow factor demi kesejahteraan rakyat. Lebih menarik, beliau menawarkan RM10,000 kepada bahagian UMNO yang berjaya memberikan idea yang mempunyai faktor 'wow'. Jawatankuasa khas berkaitan juga akan dibentuk di peringkat bahagian dan Majlis Tertinggi. Begitulah seriusnya. Peluang terbuka untuk anggota parti mendapat ganjaran. Wow! RM10,000 (macam dialog saudagar unta dalam filem Tiga Abdul) apabila dia ditawarkan harga tinggi oleh Abdul Wahub untuk membeli dua orang hamba.

Apakah idea luar biasa yang dimaksudkan Muhyiddin itu? Adakah seperti apa yang dilakukan oleh PKR yang melontarkan idea supaya seorang wanita dari Pulau Pinang sebagai Menteri Besar (MB) Selangor? Kemudian, sekutunya DAP menyokong. Pas termasuk di peringkat Majlis Syura Ulama Pas menolak wanita bernama Wan Azizah Wan Ismail. DAP pula memberi kata dua kepada Pas supaya menerima Azizah.

Pas tidak berganjak. Akhirnya semalam, Pas membuat pusingan U, setuju dengan Azizah dan menamakan seorang lagi calon tambahan, Azmin Ali. Beberapa jam kemudian, PKR pula membuat keputusan tetap mahukan Azizah. Mahu atau tidak, Pas terpaksa menerima Azizah sebagai MB Selangor yang baharu. Itulah 'idea' pakatan dalam isu MB Selangor. Pusing sana, pusing sini, nama Azizah juga jadi pilihan pakatan PKR-Pas-DAP.

Isu MB Selangor ini menceritakan banyak perkara yang tersurat dan tersirat mengenai PKR, Pas dan DAP. Memang kalut. Lihat sahaja kenyataan tiga perkara yang dikeluarkan oleh Pas. Nampak kelam kabut, tergesa-gesa. Seorang sahabat dalam WhatsApp kepada Selak memberitahu, cuba baca KENYATAAN MEDIA PARTI ISLAM SEMALAYSIA yang dikeluarkan. Di situ tertulis 17 Ogos 2014 M/20 Syawal 1434 H. Kenyataannya pula berbunyi Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah mengadakan Mesyuarat Khas Jawatankusa Kerja PAS Pusat pada hari ini bermula jam 10.10 pagi, Ahad 17 Ogos 2014 bersamaan 20 Syawal 1434 Hijrah. Sahabat itu berkata: Kalendar Islam pun tak ingat ka? sekarang dah 21 Syawal 1435 H. Saya hanya menjawab sebelum ini pun ada yang terlajak menyebut 50 Januari. Jadi kesilapan seumpama itu perkara biasa. Akhbar Selak pun pernah tersilap. Maafkanlah!

Berbalik kepada UMNO dan BN, adakah selama ini UMNO tidak mempunyai idea luar biasa? Apa sudah jadi dengan anggota parti itu? Sebenarnya, bukan tidak ada idea. Sebaliknya, seperti kata Muhyiddin, UMNO mahukan idea baharu kerana rakyat kini meletakkan jangkaan yang sangat tinggi terhadap parti dan kerajaan. Banyak yang telah dibuat oleh kerajaan namun ia dilihat seperti tidak mempunyai nilai yang besar oleh rakyat. Muhyiddin ketika merasmikan Perhimpunan Agung ke-38 Kimma di Kuala Lumpur semalam berkata: "Situasi sekarang tidak sama, kita perlu berfikir sesuatu yang lain, kita perlu bertindak dengan serius. Ada kalangan kita kena berfikir lebih, kemudian duduk sama-sama dan berikan inisiatif baharu untuk dikemukakan kepada kerajaan dan parti supaya rakyat jadi teruja dengan wow factor baharu dalam Barisan Nasional (BN). Ini cabaran besar, tolong tengok ke bawah daftar pemilih, setiap anggota mesti mengundi, dengar masalah rakyat. Kita bukan raja walaupun ada yang namanya Raja, kita adalah 'hamba masyarakat', jumpa mereka tanya apa lagi yang boleh dibuat untuk mereka."

Apa yang lebih perlu diberi perhatian ialah apabila Muhyiddin turut mengingatkan supaya anggota parti menghindari perasaan terlalu yakin, sombong, lupa tugas dan tanggungjawab serta pemikiran UMNO dan BN tidak mungkin kalah. Memang benar kata Muhyiddin. Rakyat lebih tahu. Mereka serba tahu kerana maklumat kini hanya dihujung jari. Jangan ingat UMNO dan BN tidak mungkin kalah. Beberapa pilihan raya umum (PRU) lalu membuktikannya. BN ada pengalaman tersungkur di Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor serta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Adakah perkara yang sama (UMNO/BN kalah) tidak boleh berlaku di Perlis, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak? Dalam politik, tidak ada perkara yang mustahil. Musuh boleh menjadi kawan. Kawan pula boleh menjadi lawan. Hari ini cakap lain, esok lusa akan berkata-kata hal yang lain. Hari ini mereka meludah ke langit terkena batang hidung sendiri, esok lusa mereka 'jilat' ludah itu. Orang politik akan sentiasa berusaha untuk mengekalkan kuasa dan yang belum berkuasa akan berusaha mencarinya.

Bagi yang pernah berkuasa, kemudian kehilangan kuasa juga tidak ketinggalan mahu merebutnya kembali. Begitu jugalah yang baru berkuasa, walaupun sepenggal akan cuba mengekalkannya sepenggal lagi. Ketika ghairah untuk mengekalkan kuasa inilah, mereka 'pijak' kepala kawan, memburukkan rakan seperjuangan. Inilah penyakit orang berpolitik lebih-lebih lagi bagi yang sudah lama berkuasa. Bukanlah mustahil, ketua bahagian yang tidak sebulu dengan timbalan, naib atau ketua pemuda akan takut bayang-bayang sendiri. Mereka termasuk yang berstatus wakil rakyat takut jawatan diambil orang bawah terutama orang lebih muda. Itulah kadang-kadang menyebabkan, mereka ketandusan idea. Bagi golongan seperti ini, idea mereka hanya untuk menjatuhkan sesama sendiri, bagaimana mahu mengejar impian.

Pada masa yang sama ketika sibuk dengan idea tidak bernas ini, banyak masa juga terbuang dengan isu-isu yang berkaitan dengan serangan pihak tertentu termasuk media sosial yang menghina pemimpin, agama Islam dan bangsa Melayu. Jika diselak kembali, sejak selepas PRU lalu, entah berapa banyak laporan polis dibuat berhubung pelbagai isu yang berkaitan penghinaan. Sehingga hari ini pun, masih banyak laporan dibuat. Sesetengahnya seperti dibuang kes. Ramai yang dah lupa.

Ketika ini dalam mesyuarat perwakilan UMNO bahagian, isu ini masih berlegar. Banyak aduan, keluhan dilontarkan terhadap tahap siasatan dan pendakwaan. Sampai bila mahu merintih dan mengeluh? Kalau perbuatan menghina, mencaci dan memaki hamun ini sesuatu yang dibolehkan untuk sesuatu pihak sahaja, katakanlah. Biarlah orang bebas mencaci maki dan menghina sama ada secara terbuka, di media sosial, di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri. Biar satu Malaya bergema dengan maki hamun dan penghinaan tanpa segan silu atau menghormati adab dan budaya.

Dalam mesyuarat perwakilan sekarang juga, masih ada yang membangkitkan isu yang tidak akan membawa ke mana-mana. Isu lama tetapi diulang semula. Dulu, isu ini sudah diperjuangkan oleh pemimpin yang lebih hebat tetapi tidak membawa hasil. Banyak tentangan dilakukan walaupun ia sebenarnya bertujuan baik untuk rakyat terutama generasi muda.

Sekarang, muncul lagi isu yang sama dan pastinya bersambut bertali arus orang bercakap mengenainya tetapi hasilnya? Ia tidak akan ke mana dan dilupakan sehingga dikejutkan semula. Mungkin masa untuk itu dianggap tidak sesuai, lebih-lebih lagi ketika negara sedang berdepan dengan isu yang lebih besar dan mencabar.

Dalam isu sebegini, keazaman politik amat diperlukan. Carilah kaedah yang sesuai untuk menangani isu berkenaan. Pada masa yang sama carilah isu lain yang lebih meyakinkan. Isu mempertahankan sesuatu kaum pun sudah tidak dapat diterima kerana sering dianggap rasis termasuk oleh orang Melayu yang menjangkakan kedudukan mereka hebat dalam pelbagai bidang. Isu boikot produk syarikat yang mempunyai kaitan dengan Israel misalnya tidak membawa kita ke mana.

Sebabnya, produk itulah yang melibatkan ramai pekerja Melayu Islam, produk itu juga menjadi makanan harian Melayu Islam. Adalah sikit-sikit rugi pada hari berkenaan tetapi hasilnya selepas itu, siapa yang tahu? Jadi usahlah terhegeh-hegeh dalam memperjuangkan sesuatu isu yang tidak akan membawa kita ke mana-mana, hanya sedap didengar kemudian hilang begitu sahaja. Puncanya, tidak ada keazaman politik walaupun ada kuasa.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:00
Zohor 1:22
Asar 4:25
Maghrib 7:25
Isyak 8:34



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.