saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 03/09/2014

Kisah Iswara di klia2; Tahniah KPN; Kongsi gelap mahu dihalalkan?

klia2 dan teksi merah putih

MALAM Ahad lalu, saya terbang dari satu destinasi dan mendarat di lapangan terbang baharu negara, klia2 kira-kira jam 9.30 malam.

Cukup hebat lapangan terbang itu. Tidak terasa pun landasannya berombak-ombak seperti dakwaan sesetengah pihak.

Sampai di terminal, pesawat disambungkan terus ke jambatan. Maka itu penumpang tidak perlu lagi menapak dalam hujan atau panas menuruni tangga dan berjalan ke bangunan terminal. Sungguh selesa.

Walaupun syarikat penerbangan mengenakan caj tambahan kepada penumpang kerana kemudahan itu, ia tidak menjadi masalah kepada kami.

Masuk ke bangunan saya cukup kagum dengan klia2. Sebagai salah seorang frequent traveler, saya dapat merasakan ia adalah lapangan terbang yang hebat di dunia.

Saya seperti memasuki ke kompleks membeli-belah. Ia adalah lapangan terbang emporium. Tidak terasa kita sedang berada di dalam sebuah lapangan terbang.

Pendek kata orang ramai boleh berkunjung ke situ untuk bershopping dan bukan untuk mengambil pesawat penerbangan.

Alangkah hebatnya lagi sekiranya lapangan terbang itu sendiri menjadi factory outlets - yang menjual barangan berjenama dengan harga yang murah.

Walaupun sebelum ini saya ada menulis mengenai kuota peniaga Melayu di situ masih rendah, namun saya berdoa keadaan itu akan berubah.

Oleh kerana terlalu letih setelah menempuh perjalanan, saya dan seorang rakan yang tinggal di Dubai bergegas untuk mencari teksi.

Saya tiba di kaunter tiket. Dari aras atas menuju ke kaunter itu kita kena menaiki lif dalam satu ruang yang sempit dan dipenuhi dengan troli kosong yang tidak diuruskan dengan sempurna. Berlaku kesesakan sedikit apabila troli yang ditolak masuk ke lobi lif dihalang oleh troli-troli kosong yang ditinggalkan.

Di kaunter teksi saya dapat melihat tertera tertulis: Teksi berkupon dan Teksi bermeter.

Saya pun terus menuju ke teksi berkupon dengan harapan dapat menaiki teksi limo yang selesa dalam keadaan keletihan untuk pulang ke rumah. Saya membayar kupon RM85 ke sebuah seksyen di Shah Alam.

Saya kira agak mahal dan lebih mahal daripada teksi limo di KLIA, iaitu sekitar RM75. Saya tidak merungut. Kami diarahkan ke Pintu 5 untuk mendapatkan teksi.

Di situ saya terus menuju ke deretan teksi merah putih. Saya beranggapan dapat menaiki teksi syarikat Limo dan bukan teksi merah putih yang saya sangka seperti teksi bermeter.

Namun kami diminta menaiki sebuah teksi merah putih jenis Proton Iswara lama yang cukup daif rupanya.

Menjengah masuk terbau pula wangian yang menusuk hidung. Macam bau setanggi dibakar? Biar betul. Siap dengan bulu burung merak di atas dashboard.

Oleh kerana pemandu itu berbadan besar, kerusi pemandu ditolak ke belakang. Kerusi belakang tidak boleh dinaiki oleh dua penumpang.

Saya diarahkan duduk di kerusi penumpang hadapan dan seorang lagi di belakang saya. Kerusi saya pula terlalu ke hadapan dan sandarnya menegak. Saya seperti tidak percaya.

Oleh kerana terlalu memikirkan suasana teksi itu -- dan nasib malang kami -- tiba-tiba saya ketawa seorang, lalu menggeleng-gelengkan kepala -- tak percaya!

Fikiran saya merewang-rewang. Marah. Mulalah teringatkan muka Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), muka pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar, jenis teksi-teksi hebat di Dubai, di Bangkok mahupun teksi-teksi Sonata baru di Jakarta.

Badan yang letih bertambah letih. Rakan saya yang tinggal di Dubai senyap menyepi. Saya menoleh ke arahnya dia kelihatan tiada mood.

Lebih meletihkan, teksi itu yang bunyi enjinnya seperti merayu-rayu, terpaksa beratur panjang pula untuk ke pintu plaza tol dekat lapangan terbang itu.

Apalah salahnya pemandu teksi ini menggunakan touch n go atau pun smart tag, kata hati saya.

Oleh kerana terlalu letih tiba-tiba rakan saya di belakang bersuara "laju sikit tak boleh ka..." Saya pula senyap.

Kasihan pun ada juga dengan pemandu itu. Mungkin dia orang susah. Rakan saya itu kelihatan cukup tertekan. Dia pula terpaksa terbang pulang ke Dubai jam 6 pagi keesokan harinya. Kami tiba ke destinasi hampir tengah malam.

Keluar dari teksi itu, rakan saya itu tiba-tiba bersuara melepas perasaan: "teksi itu sepatutnya sudah dilupuskan..."

Saya tidak berkata apa-apa.

Klia2 cukup hebat, tapi masalah teksi cabuk seperti itu tak selesai-selesai dari dahulu sampai sekarang. Adakah soal teksi ini juga memerlukan satu iltizam politik untuk diselesaikan? Lekeh sangatlah kita ini?

Gambaran cantik saya mengenai lapangan terbang klia2 hilang sama-sekali.

Ia semua gara-gara teksi Iswara itu.

PPS: Jangan bagi muka!

SAYA patut angkat tabik spring kepada Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar di atas ketegasannya menangani kemelut pasukan sukarelawan "bawah tanah" -- pasukan peronda sukarela (PPS) di Pulau Pinang.

Rakyat sungguh lega melihatkan ketegasan itu. Jangan difikirkan sangat mengenai soal politik Tan Sri. Teruskan tanggungjawab untuk negara.

Sesiapa sahaja yang bersalah harus dihukum. Soal keselamatan negara adalah kedaulatan negara ini. Maka itu tiada maaf dalam isu ini.

Sesiapa yang mengutuk dan mencerca Tan Sri secara terbuka juga wajib dikenakan tindakan.

Negara kita bukan negara cowboy yang lawless atau tiada undang-undang. Negara kita Malaysia ini berdiri di atas Keluhuran Perlembagaan serta Kesopanan dan Kesusilaan.

Hukum mereka yang cuba mengadu-domba suasana aman di negara ini.

Jangan bimbang Tan Sri KPN, kami semua berada di belakang Tan Sri dan anggota PDRM semua.

Bagi Lim Guan Eng pula kelakuan saudara agak keterlaluan. Ingatlah saudara ialah seorang ketua menteri sebuah negeri. Profesionallah sedikit. Jangan ingat kita besar sangat. Saudara bukannya ketua pembangkang.

Guan Eng ialah seorang ketua pegawai eksekutif negeri Pulau Pinang. Janganlah bongkak sangat apabila membandingkan PPS dengan JKKK. Ada juga puak dia yang mengaitkan dengan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF). Mengapa tidak dibubarkan JMF. Mereka mahu samakan PPS dengan JMF?

Ingatlah JMF ditubuhkan jauh lama daripada penubuhan Rejimen Askar Melayu Diraja. Ia adalah sebahagian daripada hak dan keistimewaan Sultan dan rakyat negeri Johor.

Puak-puak itu jangan pandai-pandai kaitkan dengan hak raja pula. Orang Melayu akan mempertahankan institusi diraja ke titisan darah terakhir.

Raja adalah benteng terakhir orang Melayu dan rakyat Malaysia yang menyayangi institusi itu.

Di pendekkan cerita kalau ditanya dengan sesiapa pun yang waras, kerajaan Pulau Pinang tidak perlu mempunyai pasukan ala keselamatan lain, selain Polis Diraja Malaysia.

Apakah mereka tidak percayakan lagi institusi kepolisan? Apakah mereka tak yakin dengan keupayaan pasukan peronda motosikal dan kereta polis?

Atau mereka mempunyai cita-cita besar lain?

Jangan tanya saya, tanyalah mereka...

Kongsi gelap dan pengubahan wang haram

AKTIVITI kongsi gelap di Malaysia ini bermula dari sejarah Tanah Melayu lagi. Di masa penghijrahan orang Cina dari Tanah Besar China, aktiviti itu dibawa sekali ke sini.

Pergerakan itu kini sudah canggih. Ia membabitkan transaksi wang yang cukup besar. Nilainya boleh dianggarkan berbilion-bilion ringgit.

Kegiatan haram yang menjadi satu budaya dalam masyarakat itu kian bercambah. Lagi banyak aktiviti perniagaan, bandar-bandar baharu lagi banyak percambahan kumpulan-kumpulan ini.

Ia diwujudkan kononnya untuk menjaga wilayah, kawasan dan daerah. Ia dijaga oleh kongsi-kongsi ini atas pelbagai nama. Ada juga yang menggunakan nama pengenalan melalui nombor-nombor.

Jika kongsi gelap atau pergerakan bawah tanah under world ini dimulakan oleh orang Cina, kini sudah ada juga dijalankan oleh geng-geng India dan Melayu.

Strata orang Cina sudah naik. Mereka berada dalam satu tahap yang lebih besar. Menggerakkan perniagaan. Strata jalanan ini pula dilakukan oleh geng-geng India, walaupun geng-geng Cina masih ada.

Dipendekkan cerita kegiatan ini juga mempunyai kaitan dengan aktiviti pinjaman wang haram atau ah long yang melata di negara ini. Wang haram yang diperoleh diubah menjadi wang pinjaman untuk orang ramai.

Itu pasal pihak berkuasa tempatan sukar membanteras aktiviti pelekat-pelekat yang menguasai semua dinding dan papan tanda milik awam.

Itu pasal aktiviti mesin-mesin judi sukar dihapuskan kerana di belakangnya ialah pergerakan bawah tanah ini. Itu pasal tumbuhnya pusat-pusat snuker, pasar-pasar raya, hotel-hotel bajet yang tumbuh bagai cendawan.

Kita tidak mahu melihat apa yang berlaku di beberapa negara Eropah Timur, yang menjadi pusat mafia Rusia mengubah wang mereka dengan kasino-kasino serta hotel-hotel murahan di sana, juga berlaku di negara ini.

Saya diberitahu, aktiviti mereka amat aktif.

Saya mahu tanya adakah pihak berkuasa sedar mengenai?

Apakah ada pihak di negara ini mahu memberi pengiktirafan kepada mereka? Atau mengubah taraf haram kongsi mereka kepada berstatus halal?

Jangan tanya lagi saya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:41
Zuhur 1:02
Asar 4:24
Maghrib 6:59
Isyak 8:12



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.