saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 07/09/2014

Mahu bikin filem sensasi

SETELAH mendapati industri perfileman amat lumayan, saya menghubungi Steven Spielberg untuk projek pembikinan filem. Malangnya, Spielberg tidak dapat dihubungi. Tak tahu nombor, sebenarnya.

Cubaan menghubungi David Cameron untuk mengarah filem juga tidak berjaya. Setelah membikin filem Titanic semahal AS$200 juta atau RM600 juta, bajet saya yang hanya menyamai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Nepal, tentu sulit untuk mendapatkan khidmatnya.

Barisan pelakon yang saya mahukan hendaklah Kategori A Hollywood. Watak utama diberi kepada Johnny Depp dengan Jamie Foxx, Will Smith disertai pelakon Asia seperti Chow Yuen-Fatt. Pelakon wanita pula Jennifer Lawrence, Kate Upton, Sofia Vergara dan Kim Kardashian.

Sebagai pelabur atau produser eksekutif filem, saya hanya mahu watak kecil yang tidak memerlukan saya menyebut apa-apa dialog. Babak hendaklah bersama seorang daripada pelakon wanita yang disebut di atas.

Muzik latar juga penting. Saya mahu adunan muzik orkestra seperti filem Chariots of Fire dan Godfather. Adegan aksi dibingit dengan muzik Metallica dan Iron Maiden. Bukan dangdut. Kena ada lagu istimewa dinyanyikan oleh EXO dalam bahasa Korea dan Inggeris sebagai Original Sound Track.

Semua perancangan di atas sudah saya fikirkan selepas menonton filem klasik The King and I lakonan Yul Brynner dan disemarakkan lagi dengan filem Dead Poet Society lakonan Robin Williams. Semalam menonton filem Fast & Furious 6 juga memberi inspirasi penggunaan kereta kebal dalam kelajuan tinggi untuk aksi kejar mengejar di Lebuhraya Kesas. Oh ya, semua penggambaran akan dibuat di Malaysia.

Hanya skrip filem belum muktamad. Mungkin di sini saya memerlukan undian anda. Berikut ialah cadangan lima skrip filem blockbuster Hollywood bagi musim el-Nino akan datang:

Skrip 1: Aku, askar peribadi

Plot: Filem sains fiksyen ini menonjolkan watak John sebagai veteran perang mulut di planet Desasdesus pada tahun 2080. Kembalinya ke Bumi, dia ditawar kerja melatih pasukan tentera peribadi Presiden Van Arogan. Konflik tercetus bila John bersemuka dengan bekas musuhnya di Desasdesus bernama Balalagi yang menjadi Jeneral tentera Van Arogan. Kedua-duanya perlu memikirkan sama ada terus berperang atau berbaik-baik apabila tentera peribadi Van Arogan dilabel sebagai pengganas oleh Amerika Syarikat.

Skrip 2: Nama ku Nama mu jua

Plot: Filem drama tragedi memerlukan pelakon serba boleh Rowan Atkinson untuk membawa watak lelaki hilang ingatan bernama Albuquerque. Dia berdepan masalah mengingati namanya setiap kali ditanya nama oleh isterinya, Pasmatee (lakonan Jennifer Lopez). Hari Isnin dia ingat namanya Albuquerque, Selasa jadi Abu, Rabu jadi Buku atau Akutaktau, Khamis jadi Kaku, Jumaat ada lebih dua nama, Sabtu rahsia, Ahad tiga nama semula. Konflik tertumpu kepada isu sama ada Albuquerque ingat satu nama atau lebih dua nama untuk menjalani hidup aman bersama Pasmatee.

Skrip 3: Bibikku, Yang Berhormat

Plot: Filem satira politik ini mengisahkan Endang (lakonan Sofia Vergara) yang merupakan bibik kepada Ahli Parlimen Chan Sow Lin, yang digantung tugas oleh Parti Sampai Subuh kerana mengeluarkan kenyataan dalam Twitter tanpa kebenaran parti. Endang diminta menjalankan tugas sebagai Yang Berhormat. Kekecohan berlaku apabila kehadiran Endang tidak diterima oleh parti lain, yang menganggapnya sebagai bibik suruhan semata-mata.

Skrip 4: Mansuhkan Akta Membakar Kemenyan

Plot: Filem animasi ini akan menampilkan suara Yoo Jae-suk dan Cameron Diaz, masing-masingnya untuk watak Jin Botol dan wartawan bebas. Jin Botol merupakan tumpuan setelah memulakan kempen #MansuhkanAktaMembakarKemenyan dalam Instagram. Alasannya ada 13 faktor, tetapi paling serius ialah dakwaan mengatakan akta itu menafikan hak asasi jin-jin kerana larangan membakar kemenyan itu merosakkan bau-bauan kesukaan bangsa jin. Watak wartawan bebas masih dinilai sama ada perlu atau dikenakan juga tahanan dibawah Akta Membakar Kemenyan tersebut.

Skrip 5: Jangan Pandang Aku Rendah

Plot: Filem remaja ini mengetengahkan watak Tall lakonan Denzel Washington dan Shorty lakonan Mohammad Amirullah bin Azmi atau lebih dikenali sebagai Amir Raja Lawak, yang merupakan dua sahabat baik. Tetapi disebabkan saiz, watak Shorty selalu jadi mangsa buli Tall. Konflik tercetus apabila Tall didenda gurunya, sekali gus membolehkan Shorty berpeluang jadi ketua kelas. Tall yang popular tidak mahu Shorty mengambil alih. Guru kelas akan membuat keputusan tidak lama lagi.

Akhir kata, projek filem ini sangat penting untuk diri saya sebagai pengkarya seni. Saya tidak mahu nanti dilabel sebagai pembikin filem hampas atau picisan yang hanya tertumpu kepada soal cinta lelaki perempuan, orang miskin kahwin orang kaya, gengster parang tumpul atau perebutan harta pusaka yang filemnya berlambak di pasaran. Saya mahu kelainan. Saya tahu filem saya akan menang Anugerah Oscar tahun depan!

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.