saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 08/09/2014

'Fahami tersurat, tersirat supaya tidak menang sorak'

PENING. Keliru. Rakyat terutamanya di Selangor terus tertanya-tanya apakah kesudahannya isu jawatan Menteri Besar Selangor. Menurut orang No. 2 Pas, Mohamad Sabu @ Mat Sabu, Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat yang dipengerusikannya semalam akan menolak jawatan Menteri Besar (MB) sekiranya ditawarkan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah. Sungguh murni hati Pas (rasanya tidak semua anggota parti) yang sanggup menolak jawatan itu demi menjaga hubungan baik dengan DAP dan PKR. Adakah Pas akur sahaja hasrat Anwar Ibrahim untuk menjadikan isterinya, Wan Azizah Wan Ismail sebagai MB? Setiausaha Agung Pas, Mustafa Ali pula berkata semalam, Pas tidak meminta jawatan MB. Kenyataan itu lebih selamat, kerana jika Sultan Selangor memilih Pas, maka Pas perlu menerimanya walaupun tidak meminta jawatan itu. Pastinya anak Selangor pening, kecewa, resah dengan aksi pemimpin parti-parti politik yang berkuasa ke atas negeri itu.

Krisis jawatan MB pernah berlaku di beberapa negeri sebelum ini tetapi tidaklah serumit hari ini. Lihat sahaja di Perak yang dapat diselesaikan dengan cepat selepas tiga wakil rakyat pakatan meninggalkan DAP dan PKR. Di Terengganu, peralihan jawatan melibatkan Ahmad Said juga lancar walaupun timbul beberapa tindakan yang agak mencemaskan. Kekeliruan di Selangor berlaku apabila Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dengan tegas menyatakan parti itu turut mencalonkan wakilnya untuk jawatan berkenaan. Beliau secara terbuka juga menolak Wan Azizah sebagai calon MB kerana tidak berkebolehan memikul tanggungjawab sebagai pemimpin negeri terutama Selangor. Jika sebelum ini ada ustaz yang bersandarkan kepada hadis menyatakan wanita tidak mampu memimpin tetapi Abdul Hadi menjelaskan bukan kerana jantina.

Kata Abdul Hadi, Wan Azizah tidak berkebolehan, macam mana hendak menjadi pemimpin? Kalau berkebolehan, sudah tentu awal-awal lagi, Pas akan mengisytiharkan Wan Azizah layak menggantikan Khalid Ibrahim sejurus selepas isteri Anwar itu menang dalam PRK Kajang. Kenyataan Abdul Hadi mendapat sokongan golongan ulama Pas lain termasuk Dr. Haron Din dan Nik Abdul Aziz. Adakah pemimpin Pas lain terutama yang dilabel sebagai golongan Anwarinas bersetuju? Sebenarnya ada beberapa peringkat keputusan yang dibuat oleh Pas berhubung pemilihan calon MB ini. Pada 17 Ogos lalu, Pas bersetuju mencadangkan Presiden PKR,Wan Azizah dan Timbalannya, Azmin Ali sebagai MB.

Ini diikuti pada 25 Ogos, Mustafa Ali menegaskan, parti itu menyerahkan kepada perkenan dan kebijaksanaan Sultan Selangor untuk menentukan pelantikan MB yang baharu dan 13 ADUN Pas di Selangor juga tidak akan menandatangani akuan bersumpah bagi menyatakan sokongan terhadap Wan Azizah sebagai MB. Pada 4 September pula, Mustafa mengesahkan parti itu menghantar tiga nama termasuk seorang ADUN Pas yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulama. Abdul Hadi kemudian mengesahkannya. Begitulah episod dalam Pas. Pemilihan MB lebih mudah jika semua pihak akur dengan titah Sultan. Sukar sangatkah untuk menerima sebarang keputusan yang dibuat oleh Sultan? Jika DAP dan PKR masih memasang cita-cita hanya mahukan Wan Azizah, maka isu MB ini nampaknya akan terus berhadapan dengan masalah. Jalan penyelesaiannya mungkin Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan. Apakah pilihan raya negeri mampu menyelesaikan masalah ini? Sukar untuk diramalkan kerana apabila berlaku perselisihan dalam kalangan pakatan PKR-Pas-DAP ini, sudah tentu ia sedikit sebanyak mempengaruhi pembahagian kerusi dan sebagainya. Ketika ini, Pas memang layak menduduki kerusi MB itu kerana menguasai 15 kerusi, sama dengan DAP berbanding PKR 13, BN 12, Bebas 1. Jika dua ADUN Pas 'buat hal', mungkin akan jadi cerita lain. Sama-sama kita nantikan episod seterusnya selepas Sultan Selangor membuat keputusan sama ada memilih Wan Azizah atau calon lain.

Diharapkan isu MB ini tidak merugikan mana-mana pihak terutama Pas. Jangan sampai menang sorak, kampung tergadai.

Berkaitan dengan hubungan PKR-Pas ini, adakah kekeliruan yang sama akan berlaku dalam penentuan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor? Siapakah yang akan bertanding? PKR atau Pas? Jika ikut semangat, tentulah Pas akan memberi laluan kepada PKR. Setakat ini, Pas juga berminat bertanding di kawasan itu dan mendapat restu Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz. Malahan mantan Menteri Besar Kelantan itu mula melahirkan rasa kecewa dengan PKR yang dianggap menimbulkan masalah jika tidak ditegur. Kesungguhan Pas untuk bertanding di Pengkalan Kubor terbukti apabila mendahului parti lain melancarkan Markas Besar Pas sempena PRK itu pada Jumaat lalu. Adakah PKR akan tunduk kepada Pas dalam menghadapi PRK ini? PKR boleh memberi alasan tidak berminat bertanding disebabkan kemelut di Selangor yang belum selesai. PKR juga mungkin tidak akan tunduk kepada Pas lebih-lebih lagi selepas 'perang' berkaitan isu MB ini. Mungkinkah juga berlaku pertembungan BN-Pas-PKR? Jika ini berlaku, adakah PKR mampu mengatasi jentera Pas dan BN? Pertembungan tiga penjuru ini pernah berlaku sebelum ini. Tidak dinafikan, sebelum kehadiran PKR, kawasan itu milik Pas. Begitu juga kawasan-kawasan DUN dan Parlimen di seluruh negara.

Sebelum kehadiran PKR, kerusi-kerusi itu kebanyakannya ditandingi oleh calon Pas. Maka, di setiap kawasan DUN ini, berdasarkan jumlah keanggotaan PKR, lebih ramai anggota Pas yang membantu kemenangan calon-calon PKR atau DAP pada PRU atau mana-mana PRK. Adakah semangat menghargai undi parti lain tidak ada pada pakatan PKR-Pas-DAP kerana mereka tidak berdaftar sebagai gabungan seperti yang melibatkan parti komponen Barisan Nasional (BN)? Diharapkan kemelut MB Selangor yang melibatkan sama institusi raja ini dapat diselesaikan dengan baik.

Semoga PKR memahami Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor dan menerima hakikat serta tidak lagi mempertikaikan kuasa Sultan Selangor. Meminjam kata-kata Perdana Menteri, Najib Tun Razak di Pekan, Pahang semalam, PKR sanggup bersekongkol dengan DAP semata-mata untuk memastikan cita-cita untuk melantik Wan Azizah sebagai MB Selangor tercapai. Katanya: "Tengok gelagat PKR di Selangor macam mana, mereka tidak faham perlembagaan tentang kedudukan raja-raja. Yang tersurat itu satu, yang tersirat pun mereka tak faham, tetapi saya faham. Sebab itu mereka bersekongkol dengan DAP, macam beri kata dua kepada raja,".

Fahamilah apa yang tersurat dan tersirat!

PROJEK PANGKALAN TUDM

SEMALAM, Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang meminta Kerajaan Persekutuan memperincikan cadangan penswastaan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Butterworth, bagi tujuan pembangunan. Isu ini sudah lama dibincangkan kerana ada pro dan kontranya. UMNO tidak membantah pembangunan tetapi bagi mereka, cadangan itu hanya menguntungkan pihak swasta dan menolak kepentingan rakyat, mungkin orang Melayu. Jika tidak silap, kawasan ini juga merupakan laluan keluar masuk terowong bawah laut yang dicadangkan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang. Betul atau tidak, Selak tidak pasti. Jika tidak betul, tolong perbetulkan. Jangan saman.

Menurut Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Zainal Abidin Osman, bantahan itu juga mengambil kira faktor geopolitik, alam sekitar, kawasan setempat dan aspek keselamatan serta pertahanan. Khabarnya, usul itu dibawakan oleh semua UMNO bahagian di negeri itu. Kata Zainal Abidin, Kerajaan Persekutuan perlu ''melihat apa yang tersirat daripada usul yang kita suratkan''. Isu ini telah dibawa ke pengetahuan Perdana Menteri dan diharapkan Najib dapat memahami apa yang tersurat dan tersirat.

Pangkalan TUDM terletak di kawasan yang menjadi kubu kuat UMNO melibatkan Kepala Batas dan Tasek Gelugor. Bagi orang Melayu apa lagi yang ada di Seberang Perai? Itulah dua kawasan yang boleh dikategorikan kawasan Melayu di seberang di samping Permatang Pauh dan mungkin juga Nibong Tebal. Dengan pembangunan yang semakin menghimpit di mana tanah sawah semakin galak dibangunkan dengan projek perumahan dan perbandaran, apakah Melayu di seberang mampu bertahan lebih lama di situ? Apakah mereka akan terpinggir dan terpaksa berhijrah ke negeri lain?

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:53
Zuhur 1:20
Asar 4:34
Maghrib 7:25
Isyak 8:36



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.