saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 28/09/2014

ANALISIS MINGGUAN: BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

Sandiwara?

Selepas Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, Anwar Ibrahim dan isterinya, Wan Azizah Wan Ismail menghadiahkan kek sebagai tanda ucapan tahniah. Majlis ringkas itu turut dihadiri beberapa lagi pemimpin. Bagaimanapun isteri Azmin, Shamsidar Taharin tidak kelihatan, entah di mana. Sedangkan itulah kek pertama yang Azmin terima sebaik-baik sahaja bergelar Menteri Besar. Awang sekadar senyum melihat mereka bergambar depan kek. Ternyata pasangan suami isteri itu telah melakukan pusingan U.

Pelantikan Azmin bermakna terkuburnya Langkah Kajang yang digerakkan oleh Anwar untuk mengangkat dirinya sebagai Menteri Besar pada asalnya, sebelum ditukar kepada Wan Azizah. Wang rakyat terpaksa digunakan untuk mengadakan pilihan raya kecil DUN Kajang walaupun wakil rakyatnya tidak mati. Anwar juga bermati-matian mahukan isterinya menjadi Menteri Besar sehingga mengheret kepada krisis yang panjang dan menyaksikan penderhakaan ke atas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Hanya nama isterinya dicalonkan manakala Azmin dipinggirkan melainkan daripada pencalonan Pas. Tiada langsung kepercayaan kepada Azmin sampai pada saat-saat pelantikan oleh Sultan Selangor.

Sehebat mana pun manusia merancang tetapi Allah SWT yang menentukan. Akhirnya, ia rezeki Azmin walaupun Langkah Kajang menafikan peluang beliau. Penat badan Wan Azizah bertanding, Azmin yang dapat jawatan. Ramai musuh Azmin dalam PKR terutama yang pro-Wan Azizah sudah macam cacing kepanasan. Awang tertanya-tanya apakah upacara memotong kek itu sekadar sandiwara politik terutama Wan Azizah terhadap Azmin? Realitinya kini Azmin menjadi pemimpin PKR paling berkuasa dan berpengaruh. Anwar dan isterinya tiada pilihan selain menjaga hati Azmin bagai menatang minyak penuh.

Sekali lagi Awang menjunjung kasih atas keberanian Sultan Sharafuddin Idris Shah mengeluarkan kenyataan keras membidas PKR yang disifatkan sebagai pencetus krisis di negeri itu. Titah tersebut sangat jelas mesejnya.

Baginda tidak teragak-agak menzahirkan teguran keras itu ketika bertitah pada majlis istiadat mengangkat sumpah barisan exco, kelmarin. Ini bukan kali pertama kenyataan seumpama itu dikeluarkan dalam isu tersebut. Sebelum ini, baginda secara terbuka menyifatkan PKR dan DAP derhaka kerana ingkar titah berhubung pencalonan menteri besar.

Untuk seorang Raja berulang kali membangkitkan hal itu terhadap pihak yang sama, sudah tentu besar mudarat yang telah dilakukan. Memang itulah hakikatnya. Awang pun hairan mengapa jalan penderhakaan dan budaya songsang yang dipilih?

Lebih menarik Sultan Selangor terang-terangan mengaitkannya dengan Langkah Kajang yang bertujuan mahu menyingkirkan Khalid Ibrahim sebagai menteri besar yang masih diterima rakyat. Awang tersentuh dengan ketegasan baginda untuk terus komited menolak politik ekstrem. Ternyata baginda menjadi perisai mempertahankan Selangor daripada amalan politik buruk dan jijik. Syukur.

Tahniah Izuree

Awang berharap Bendahari Pas Pulau Pinang, Izuree Ibrahim yang disingkirkan daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) atas arahan kerajaan DAP, tidak gundah.

Biarlah apa sekalipun tindakan angkuh kepimpinan DAP, beliau telah menjalankan tanggungjawabnya dengan berani iaitu menyuarakan apa yang benar. Ucapan Izuree pada Muktamar Agung Pas minggu lalu yang mendedahkan masalah dan tekanan yang dihadapi umat Islam di Pulau Pinang, adalah sangat berharga.

Jika kerana itu Izuree disingkirkan atas akhlak pimpinan DAP yang tidak boleh menerima teguran dan mahu menutup kepincangan, bermakna ucapan beliau telah memberi kesan. Awang ucapkan tahniah kepada Izuree dan Pas kerana tidak tunduk kepada DAP.

Hakikatnya, umat Islam di negeri itu kini makin terhimpit dengan asakan daripada pelbagai penjuru secara langsung mahupun tidak langsung. Dengan satu demi satu kejadian termasuk ke atas Izuree, Awang harap umat Islam makin membuka mata. Kepada Pas, tindakan berulang kali parti itu dibuli DAP umpama membenarkan janggut dan serban direntap. Sampai bila mahu dibalas dengan senyuman?

Memalukan

Awang tergamam apabila melihat gambar sebahagian daripada 15 pegawai dan kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memakai seluar dalam menutup muka ketika muncul di perkarangan Mahkamah Petaling Jaya, Rabu lalu.

Rasanya, ia pertama kali berlaku di negara ini seluar dalam dijadikan topeng di khalayak umum, mungkin juga pertama di dunia. Kejadian itu menjadi bahan bualan dan jenaka ramai termasuk promosi 'istimewa' bagi beberapa jenama seluar dalam antaranya Renoma dan Byford.

Khabarnya, tindakan tersebut sebagai protes kepada pegawai atasan mereka yang antara lain mendakwa dianaktirikan dalam siasatan kes berkenaan selain menolak pengkoporatan Kastam.

Tidak kisah apa alasannya, pada Awang, tindakan itu memalukan, biadap dan tidak wajar dilakukan. Seluar dalam bukan di muka tempatnya, yang anak kecil pun tahu. Hairan mengapa polis yang bertugas membenarkan perlakuan yang tidak masuk akal itu dan bercanggah dengan nilai murni? Harap-harap ia tidak berulang selepas ini. Jika tidak, buka sahaja gerai menjual seluar dalam di perkarangan mahkamah.

Alahai takraw...

Sudah bosan untuk memperkatakan tentang pencapaian pasukan sepak takraw negara. Terbaharu, Malaysia gagal ke separuh akhir dalam acara berpasukan Sukan Asia Ke-17 selepas tewas kepada Thailand. Bukan itu sahaja dalam perlawanan pembukaan, tewas kepada Indonesia 1-2.

Di sebalik banyak janji Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mahu membawa kebangkitan kepada sukan itu sejak lebih dua dekad lalu, prestasi skuad negara terus merudum.

Awang tidak mahu ulas panjang. Sekadar menuntut kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan campur tangan untuk menyelamatkan maruah negara dalam sukan itu yang kita pernah kuasai. Selain itu kepimpinan PSM perlu mengambil tanggungjawab atas kegagalan yang berpanjangan. Malulah sikit. Mesejnya, inilah masa untuk bertindak dan bukan lagi asyik mendengar alasan demi alasan. Ibarat lagu lama yang tidak sedap, didendang berulang kali. Sakit telinga.

Silat milik siapa?

Kenyataan Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Roy Suryo yang berhasrat untuk mendaftarkan pencak silat di Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk diiktiraf sebagai sebahagian daripada warisan kebudayaan republik itu, menarik perhatian Awang.

Menurut laporan Jakarta Post, langkah tersebut diambil kerana terdapat usaha dari negara jiran yang mahu menjadikan pencak silat sebagai kebudayaannya sedangkan ia adalah milik Indonesia.

Walaupun Roy Suryo tidak menyebut jiran yang mana, ia sebenarnya ditujukan kepada Malaysia. Pertubuhan silat Malaysia telah pun mendaftar pencak silat di UNESCO dua tahun lalu. Sebenarnya inilah antara cabaran menjadi negara serumpun yang berkongsi banyak perkara terutama sejarah dan budaya. Berdasarkan sejarah, silat telah tersebar di gugusan kepulauan Melayu dan Nusantara sejak abad ketujuh lagi. Di Semenanjung Tanah Melayu, kemuncak perkembangan silat adalah pada era Kesultanan Melaka pada abad ke-15 sebagaimana dibuktikan menerusi kajian dan penulisan. Negara dan wilayah Nusantara antaranya Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura, selatan Filipina dan Thailand juga ada kepentingan dalam soal sejarah dan warisan persilatan. Setiap negara ada latar belakang dan hujah tersendiri. Maka pada pandangan Awang, Indonesia juga berhak untuk mendaftarkan pencak silat di UNESCO sebagaimana Malaysia. Ini semua hal kecil, yang tidak perlu diribut-ributkan. Hubungan akrab Malaysia -Indonesia jauh lebih bernilai daripada sekadar isu hak milik ke atas silat, yang perdebatannya tidak akan berkesudahan.

Shila, N.D Lala

Isu penyanyi Shila Amzah makin panas. Awang dapat tahu ramai wartawan media Melayu tersinggung dengan sikap penyanyi itu dan bapanya, N.D Lala berhubung sidang akhbar khas anjuran sebuah syarikat Cina yang dikatakan menghina media Melayu.

Menurut cerita, sidang akhbar itu sepatutnya mahu menjernihkan isu kecil yang pada awalnya dicipta oleh Shila sendiri. (Dia berkongsi satu posting tidak matang pengguna laman sosialnya yang mengkritik media Melayu sebagai pencari gosip semata-mata)

Sebaliknya ia bertukar menjadi medan untuk memperlekehkan media Melayu di hadapan hampir 90 peratus wartawan media Cina. Malah N.D Lala memaparkan satu persatu nama wartawan hiburan dan syarikat penerbitan mereka, yang rasanya tidak pernah terjadi dalam industri hiburan tanah air.

"Sejauh itu perginya tindakan mereka kepada media yang selama ini mengangkat Shila sehingga berada di tempat sekarang. Mengapa bila sudah berjaya sehingga popular di China, media Cina sahaja yang disanjung?'' demikian luahan seorang editor hiburan.

Dalam ruangan ini sahaja, sudah dua kali Awang mengulas kejayaan Shila, yang jarang artis muda lain mendapat tempat. Begitulah penghormatan kepada beliau. Awang tidak mahu melulu membuat rumusan tetapi jika benar apa yang didakwa, Shila dan N.D Lala perlu merenung diri. Juga mesej kepada mereka sekiranya mahu menafikan peranan media Melayu, tiada masalah. Ramai lagi artis yang hebat di tanah air ini. Seperti kata orang tua-tua, pinggan tak retak, nasi tak dingin.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.