saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 05/10/2014

Hilangnya sebutir permata negara

Album kenang-kenangan Tun Hussein dan isteri, Tun Suhailah bersama anak dan cucu.

SELEPAS lebih 24 tahun Perdana Menteri ketiga Allahyarham Tun Hussein Onn meninggalkan kita, lewat malam Jumaat lalu isterinya yang dikasihi mengikut jejak suaminya meninggalkan dunia yang fana ini untuk menghadap ketentuan Allah, satu langkah yang akan diikuti oleh kita semua sebagai manusia.

Pemergian Tun Suhailah Tan Sri Mohammad Noah pada kira-kira pukul 12.30 tengah malam Jumaat lalu di Hospital Pakar KPJ Damansara mengejutkan kita semua dan sudah tentu anak-anak dan saudara mara beliau pasti sangat terasa dengan kehilangan insan yang terkenal sebagai seorang yang peramah dan ibu yang sangat kasihkan anak-anaknya.

Allahyarham kemudiannya dibawa dan diuruskan di kediaman nombor 19 Jalan Changkat Tunku, Bukit Tunku Kuala Lumpur. Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Negara pada pukul 12 tengah hari semalam untuk solat jenazah sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan, selepas Zohor. Solat jenazah, tahlil serta bacaan talkin disempurnakan Timbalan Imam Masjid Negara, Mohamad Mohd Zin. Beliau dikebumikan bersebelahan kubur suaminya, Tun Hussein Onn dan bapanya Mohammad Noah. Jenazah Allahyarham Tun Suhailah selamat dikebumikan pada kira-kira 2.25 petang semalam.

Dilahirkan pada 24 Oktober 1931, Allahyarham meninggalkan empat anak perempuan dan dua anak lelaki. Seperti yang kita semua maklum, Allahyarham Tun Suhailah ialah isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia ketiga, Tun Hussein Onn serta ibu kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Tun Suhailah turut berkhidmat kepada negara sepanjang menjadi isteri kepada Perdana Menteri dari tahun 1976 hingga 1981.

Sepanjang kepimpinan suaminya, jelas diperlihatkan akan kemampuan Hussein sebagai seorang pemimpin yang amat ikhlas dalam perjuangan untuk mencapai perpaduan kaum. Maka adalah tidak menghairankan beliau diberi gelaran Bapa Perpaduan sebagai mengenang usaha dan baktinya sebagai pemimpin yang dekat dengan rakyat yang berbilang bangsa.

Tun Suhailah juga ialah anak perempuan kepada Tan Sri Mohamad Noah Omar, bekas Yang Dipertua Speaker Dewan Rakyat. Hasil didikan sempurna di rumah melalui ibu dan bapanya telah memungkinkan beliau menjadi seorang wanita yang berdisiplin dan tegas dalam membimbing anak-anaknya. Walaupun bertugas sebagai seorang suri rumah namun semua orang tahu bahawa beliau adalah penyokong kuat dan paling setia terhadap suaminya yang pernah menghilangkan diri dalam politik walaupun beliau adalah antara orang terawal yang menubuhkan UMNO.

Hishamuddin bersama ibundanya Tun Suhaila ketika majlis pelancaran buku tentang keluarga mereka.

Peranan

Hasil pujukan Tun Abdul Razak telah memungkinkan beliau menyertai semula politik pada 1968 dan sudah tentu tanpa peranan dan sokongan Tun Suhailah, nama Tun Hussein tidak akan terukir dalam sejarah sebagai Perdana Menteri ketiga Malaysia.

Mungkin ramai juga yang telah mengetahui bahawa kakaknya iaitu Tun Rahah Tan Sri Mohammad Noah telah berkahwin dengan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein. Oleh itu hubungan rapat antara Hishammuddin dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh dielakkan memandangkan kedua-dua mereka adalah sepupu.

Satu perkara menarik tentang Allahyarham ialah Tun Suhailah merupakan orang yang bertanggungjawab menubuhkan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (BAKTI). Badan ini telah dibentuk oleh Tun Suhailah bersama timbalannya ketika itu, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali, isteri Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum didaftarkan secara rasmi pada 16 Mei 1977. Tujuan utamanya ialah memberi peluang kepada isteri-isteri ketua negara dan menteri-menteri untuk membantu dan memberi idea dalam semua perkara yang diperlukan terutama dalam perkara-perkara kebajikan rakyat dan masyarakat secara keseluruhan.

Selain itu Allahyarham juga pernah menerima anugerah Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran ‘Tun’ dari Kerajaan Persekutuan pada tahun 1990 serta Anugerah Srikandi daripada Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM).

Kunjungan daripada orang ramai, saudara mara dan sahabat handai yang memenuhi ruang di Masjid Negara selain keadaan cuaca yang lembab dan hujan rintik-rintik semalam menjadikan suasana ketika itu kelam seolah-olah turut sama menangisi pemergian beliau.

Selain Hishammuddin dan keluarga, turut berada di Makam Pahlawan bagi menyaksikan upacara pengebumian ialah Perdana Menteri dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor serta bondanya, Tun Rahah.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah antara kerabat diraja yang hadir menziarahi jenazah Allahyarham di kediamannya.

Pemergian Tun Suhailah diibaratkan kehilangan sebutir bintang yang bersinar di angkasa berikutan peranan dan sumbangan yang telah dillakukan terutama dalam memartabatkan peranan dan tanggungjawab wanita serta kesungguhan yang ditunjukkan dalam membantu usaha-usaha kebajikan terhadap masyarakat dan orang ramai yang memerlukan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zuhur 1:17
Asar 4:27
Maghrib 7:22
Isyak 8:32



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.