saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 17/10/2014

Projek sturgeon dan Taman Negara

JETI Taman Negara Kuala Tahan sentiasa dikunjungi pelancong luar dan dalam negara. Apakah projek ikan sturgeon bakal memberi kesan negatif kepada alam sekitar Taman Negara?

PROJEK ikan sturgeon sejak kebelakangan ini menjadi perbincangan hangat terutama dalam kalangan penduduk yang menetap sekitar Taman Negara Kuala Tahan, Pahang.

Rancangan mengadakan projek ikan sturgeon itu secara dasarnya diakui membawa kebaikan kepada ekonomi negara, selain mampu menambah pendapatan sama ada kepada agensi mahupun individu terlibat. Jika dilaksanakan, Pahang bakal muncul negeri pertama menjalankan ternakan ikan sturgeon yang tertumpu mendapatkan hasil telur ikan berkenaan.

Berbicara mengenai ikan sturgeon ini, ia sejenis spesies dibawa dari negara luar yang iklimnya bercuaca sejuk. Beberapa negara sekitar Asia Tenggara telah memulakan projek ternakan ikan ini. Malah, ikan jenis ini juga telah dibawa masuk untuk kajian dari segi dagingnya di Perak.

Kini, rancangan seterusnya ialah menternak ikan sturgeon ini untuk mendapatkan telurnya bagi menambah pendapatan. Namun, timbul persoalan mengapa projek ternakan itu perlu diadakan di kawasan berhampiran Taman Negara Kuala Tahan? Keadaan ini secara langsung menimbulkan pertanyaan dan kerisauan penduduk termasuk pengusaha calet, pengusaha bot, Orang Asli, pengusaha restoran dan kalangan mereka yang selama ini memperoleh pendapatan dari kehadiran pelancong di Taman Negara.

Perlu diakui, sejak lebih 75 tahun lalu, Taman Negara menjadi ikon kepada Malaysia. Keunikan alam sekitarnya dengan pengiktirafan sebagai hutan antara tertua di dunia berusia lebih 130 juta tahun. Taman Negara diakui lebih tua dari hutan Amazon di Amerika Selatan.

Disebabkan keunikan itu, kehadiran pelancong luar negara setiap tahun terus meningkat. Malah, promosi Taman Negara di luar negara juga menggunakan nama `Taman Negara' dan bukan atas nama `National Park'. Jika ditanya pelancong luar negara, mereka mengenai ikon Malaysia itu dengan panggilan serta nama `Taman Negara'. Kehadiran pelancong itu sebenarnya telah memberi pendapatan kepada penduduk tempatan.

Tinjauan Utusan Malaysia mengenai pandangan penduduk di Kuala Tahan mendapati mereka hanya mahu projek ikan sturgeon itu dipindahkan ke kawasan lain. Mereka mempersoalkan mengapa projek itu perlu diadakan berhampiran Taman Negara Kuala Tahan, tambahan pula di zon penampan.

Dengan kata lain, mereka meminta kerajaan campur tangan supaya projek tersebut dipindahkan ke kawasan lain yang sedikit jauh dari Taman Negara. Permintaan penduduk itu sebenarnya mempunyai alasan tersendiri. Antara faktor dikemukakan oleh penduduk ialah dikhuatiri projek ikan sturgeon ini akan memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan ecopelancongan.

Apabila diajukan persoalan ini kepada Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris, beliau berkata, keluhan penduduk itu bukannya mereka menghalang sebaliknya penduduk hanya meminta projek itu dipindahkan ke tempat lain.

"Penduduk mempunyai alasan kukuh iaitu projek tersebut tidak sepatutnya diadakan di zon penampan. Ia dikhuatiri akan memberi kesan kepada alam sekitar Taman Negara dan apabila ini berlaku jumlah pelancong mungkin berkurangan dan seterusnya memberi impak negatif kepada punca pendapat penduduk,'' katanya.

Di samping itu, projek tersebut juga didapati belum memenuhi prosedur khususnya berkaitan Penilaian Kesan Alam Sekitar Terperinci (DEIA).

Selain itu, sehingga kini belum ada sebarang kelulusan daripada Jabatan Perikanan yang membenarkan projek tersebut di Taman Negara walaupun tinjauan Utusan Malaysia mendapati terdapat jalan penghubung telah dibina bagi membolehkan projek ikan sturgeon itu beroperasi. Pengarah Jabatan Perikanan negeri Pahang, Adnan Hussain mengakui tiada sebarang kebenaran atau permit dikeluarkan oleh jabatan itu.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Pahang, Idros Yahya pula mengakui jika projek itu memberi kesan negatif kepada ecopelancongan dan alam sekitar di Taman Negara, usaha mendapatkan pengiktirafan Taman Negara sebagai Tapak Warisan Dunia akan menjadi sia-sia.

"Pulau Pinang dan Melaka telah memperoleh pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia, namun Taman Negara perlu merebut peluang ini kerana ia antara hutan tertua dunia.

Taman Negara bukan sahaja ikon kepada Pahang dan Malaysia, malah di peringkat dunia,'' katanya.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Alam Sekitar negeri Pahang, Rohimah Ayub turut mengakui cadangan tapak projek ikan sturgeon itu terletak di kawasan 'sensitif'. Keadaan ini memperlihatkan kawasan yang dipilih adalah tidak sesuai dan kelak dikhuatiri memberi kesan negatif kepada Taman Negara.

Rohimah berkata, pada masa ini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan dan permohonan daripada pihak terbabit untuk melaksanakan penilaian alam sekitar berkenaan projek ikan sturgeon itu.

Dalam pada itu, seorang aktivis alam sekitar, Prof. Dr. Maketab Mohamed berkata, pihaknya bukan menentang projek tersebut tetapi sebaliknya meminta ia dipindahkan ke kawasan lain agar tidak mendatangkan mudarat kepada alam sekitar Taman Negara.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia menambah, adalah satu kerugian amat besar jika alam sekitar di Taman Negara menerima impak negatif ekoran pelaksanaan projek ikan sturgeon itu.

Kerisauan mengenai projek ikan sturgeon itu turut dirasai oleh kalangan pengusaha restoran terapung dan pelancongan di Taman Negara yang menyatakan agar lokasi projek itu dipindahkan kerana ia boleh menjejaskan pendapatan mereka.

"Pengusaha pelancongan serta pengusaha restoran tidak setuju projek itu diadakan di zon penampan Taman Negara. Jika diteruskan Taman Negara bakal berhadapan satu lagi masalah baharu. Selama ini pun pelbagai masalah lain dihadapi seperti keadaan air sungai yang tercemar dan hingga kini belum ada penyelesaian,'' kata Pengerusi Persatuan Pengusaha Pelancongan Taman Negara, Abdul Jalil Rahman.

Berdasarkan penerangan dan pendapat pelbagai pihak, projek ikan sturgeon berhampiran Taman Negara Kuala Tahan dan di kawasan zon penampan itu, diakui memerlukan penilaian semula.

Projek itu dilihat perlu dipindahkan ke kawasan lain agar Taman Negara Kuala Tahan dapat terus bertahan walaupun selepas 100 tahun lagi. Cita-cita menjadikan Taman Negara sebagai Tapak Warisan Dunia haruslah diteruskan.

Langkah ini kelak akan menjamin alam sekitar Taman Negara terus dipulihara selain punca pendapatan penduduk juga terus terjamin dengan kemasukan lebih ramai pelancong ke situ.

Di samping itu, adakah dengan memindahkan tapak projek ikan sturgeon itu ke tempat lain iaitu di luar kawasan penampan Taman Negara, ia akan merugikan pihak-pihak tertentu? Juga perlu difikirkan, adakah kita sanggup kehilangan Taman Negara yang selama ini menjadi ikon Malaysia dan sinonim dengan panggilan sebagai antara hutan tertua dunia?

Semua persoalan isu ikan sturgeon ini terutama melibatkan pandangan pelbagai pihak hendaklah diberi perhatian serius selain dicari penyelesaian muktamad. Yang penting masa depan penduduk Taman Negara hendaklah diutamakan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:59
Zohor 1:21
Asar 4:23
Maghrib 7:24
Isyak 8:33



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.