saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 18/10/2014

Mana ada kelas pakai nama Melayu...

Isu kegagalan pihak berkuasa tempatan (PBT) memainkan peranan dalam memartabat dan memperkasakan bahasa Melayu timbul semula. Isu ini bukan isu baharu. Sebelum ini pun pernah dibangkitkan. Maka riuh rendahlah pejuang-pejuang bahasa, pakar-pakar sejarah, ahli-ahli akademik, ahli-ahli politik, pertubuhan bukan kerajaan dan mereka yang cakna bahasa kebangsaan berbincang dan berpolemik.

Isu ini dibangkitkan semula oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2014 baru-baru ini. Beliau menyentuh dua perkara. Satu, mengenai usaha menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan masih belum berjaya sepenuhnya. Kedua, peranan PBT dalam memperkasakan bahasa kebangsaan khususnya berkaitan kelulusan memaparkan iklan di tempat awam. Muhyiddin menegaskan citra bahasa di tempat awam masih memerlukan kesungguhan PBT dalam menguatkuasakan undang-undang kecil berhubung penggunaan bahasa kebangsaan pada iklan, nama perniagaan, nama tempat, nama bangunan dan paparan lain.

Rentetan daripada isu yang timbul semula itu, pelbagai pandangan, cadangan, seruan dan desakan dikemukakan. Pihak yang menjadi sasaran utama ialah PBT. Bagaimana pun ributnya hanya seketika. Tidak sampai sebulan selepas ini, tengoklah semuanya kembali diam dan tenang-tenang sahaja. Tidak ada bising-bising lagi. Perlahan-lahan isu tersebut berlalu dan mati begitu sahaja.

Pada masa sama penggunaan nama yang bersifat tidak kebangsaan terus berleluasa dan bagai tidak boleh dihalang lagi. Lihatlah di sekeliling. Nama-nama taman perumahan, premis perniagaan, hotel, kedai makan, restoran kebanyakannya lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris.

Bagi menampakkan sedikit 'kebangsaan,' digabungkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Apabila sudah dirojakkan, walaupun janggal tetapi lama kelamaan sudah mula diterima ramai. Itulah trend yang berlaku sekarang ini.

Kenapa susah sangat menggunakan bahasa kebangsaan untuk tujuan tersebut? Barangkali dengan menggunakan nama dalam bahasa Inggeris bunyinya 'lebih global' dan 'ada kelas.' Menggunakan nama-nama dalam bahasa kebangsaan seperti 'ketinggalan zaman' dan sangat 'kampung' kedengarannya.

Satu lagi dari segi strategi perniagaan dam pemasaran, nama-nama berunsur Inggeris lebih memikat hati pelanggan. Itu alasan yang selalu digunakan. Cuba tinjau nama-nama taman perumahan sekarang ini. Mana ada lagi nama-nama dalam bahasa Melayu sepenuhnya. Semuanya mesti ada 'hill,' 'heights,' 'square,' 'garden,' 'mount,' 'resort' dan villa. Tidak banyak pemaju yang terpikat dengan perkataan 'taman' lagi. Dengar nama 'taman' sahaja sudah tidak menyelerakan!

Mungkin juga pemaju merasakan para pelanggan mereka sukar hendak menyebut perkataan dalam bahasa Melayu kerana itu nama-nama berunsurkan Inggeris menjadi pilihan mereka. Tengoklah apa yang berlaku kepada 'Taman Megah' dan Tanjung Bunga. Sampai sekarang ejaan 'Megah' disebut 'Mega'. Manakala 'Bunga' pula disebut Bungah!

Yang betul-betul menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya hanyalah gerai makan, restoran atau kedai runcit di kawasan kampung dan pinggir bandar sahaja. Amat jarang nama-nama kedai seperti 'Kedai Makan Kak Kiah, Gerai Mak Tam, Kedai Runcit Haji Salleh, Perniagaan Bunga Hiasan Siti Zulaika, Kedai Runcit Ai Ling dan Kedai Makan Sreedaran ditemukan sekarang ini. Nama sedemikian bukan nama pilihan lagi bagi para peniaga. Apatah lagi kalau kedai itu dibuka di bandar-bandar besar.

Ini semua berlaku kerana tanggapan salah terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan itu sendiri. Bahasa kebangsaan tidak dilihat berupaya menjadi bahasa kemajuan. Pandangan sedemikian menyebabkan penggunaan bahasa kebangsaan kerap dipinggirkan dalam rancangan pembangunan.

Pihak yang mempunyai kuasa pula tidak bersungguh-sungguh menguatkuasakannya. Mereka hanya bertindak apabila ditegur. Tindakan pula sekadar melepaskan batuk di tangga. Tidak terserlah kesungguhan dan sekadar memenuhi syarat.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan pernah menyentuh isu ini. Beliau melahirkan rasa kesal dengan sikap segelintir pihak yang ambil ringan berhubung penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengiklanan walaupun persetujuan telah dicapai pada 4 Mac lalu.

Menurutnya, berdasarkan audit yang dijalankan PBT dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hanya 28.5 peratus daripada 3,096 papan iklan di Lembah Klang menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Kebanyakan PBT masih belum melaksanakan Sistem Khidmat Pengesahan Bahasa DBP bagi iklan di tempat awam. Dari sini sudah boleh dilihat sejauh mana kesungguhan PBT berkaitan isu ini.

Oleh kerana penguatkuasaan dijalankan secara sambil lewa dan seperti pahat dengan penukul, sekali tegur sekali buat, para peniaga juga mengambil sikap endah tak endah sahaja. Mereka tidak berasa takut. Apa yang hendak ditakutkan, itu hanya melibatkan satu kesalahan bahasa. Bukan satu jenayah pun.

Kalau tidak masakan nama-nama syarikat, kedai, papan iklan, projek-projek pembangunan dalam bahasa Inggeris atau yang dicampuradukkan lebih menonjol dan berleluasa di seluruh negara.

Isu ini sudah berlarutan begitu lama. Pejuang-pejuang bahasa pun sudah letih memperjuangkannya. DBP sendiri kepenatan. Cuma mereka masih belum mahu mengalah sambil mengharapkan kerajaan juga tidak mengalah dan lebih tegas. Pada masa sama mereka menagih kesungguhan semua pihak yang terlibat secara langsung agar menguatkuasakan segala yang telah diperuntukkan dalam perlembagaan negara.

Setelah lebih 50 tahun merdeka, rakyat negara ini mengharapkan bahasa lingua franca lebih 600 tahun dahulu ini dimartabatkan dan bukan tertulis sekadar bahasa rasmi negara sahaja.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zuhur 1:08
Asar 4:15
Maghrib 7:10
Isyak 8:19



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014






MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.