saya nak baca ..

RENCANA


ARKIB : 18/10/2014

Terserempak kumpulan pembawa obor

Nor Azleen Zakaria

KELIBAT kumpulan pembawa obor meredah hutan pada waktu malam di kawasan pergunungan bukan sesuatu yang baharu bagi 'kaki-kaki' gunung di negara ini.

Bahkan pengalaman yang sudah lama menjadi topik perbualan itu dikatakan berlaku di beberapa kawasan hutan di negara ini.

Pergerakan bebola api yang seakan-akan dijulang oleh sekumpulan manusia itu dipercayai adalah jelmaan makhluk bunian.

S2 menemui Noor Azleen Zakaria, 35, pendaki yang pernah berdepan detik menyeramkan itu semasa mengikuti ekspedisi mendaki Gunung Ledang di Segamat, Johor, kira-kira 10 tahun lalu.

Ahli Alumni Kelab Kembara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Arc-UIAM) itu berkata, kejadian berlaku berhampiran 'tangga besi' dan 'batu botak' ketika beliau dalam perjalanan turun dari puncak berketinggian 1,276 meter itu.

Katanya, beliau berhenti di kawasan tersebut untuk berehat sementara menunggu beberapa orang rakannya menuruni tangga di lereng batu di situ.

“Saya berseorangan kerana kawan yang turun bersama saya berpatah semula ke belakang untuk bantu rakan lain turun melalui tangga curam di situ.

“Waktu ketika itu sudah senja. Saya berhenti dekat dengan sebatang pokok besar. Di sebelahnya pula gaung yang sangat curam,'' ujar guru di Mutiara International Grammar School, Kuala Lumpur itu.

Katanya, sebelum berhenti di situ beliau ternampak sekawan kelip-kelip terbang di belakangnya sebelum hilang di semak berhampiran tempat beliau berehat.

Tidak lama selepas itu, Noor Azleen dikejutkan dengan pergerakan cahaya seperti sekumpulan bebola api yang sedang berarak di 'dasar' gaung.

“Dari bawah gaung, obor itu naik ke paras yang lebih tinggi seakan-akan menuju ke arah saya.

“Pergerakan mereka laju tidak seperti manusia sedangkan kawasan itu tidak ada denai atau laluan mendaki,'' tambah beliau lagi.

Benar seperti yang disangka, obor berkenaan meluru ke arahnya dan berhenti di belakang pokok yang terletak berhampiran dengannya.

“Kehadiran obor itu menjadikan kawasan tempat saya duduk itu terang-benderang. Peliknya tiada rasa bahang walaupun jarak kami sangat dekat,'' kata Noor Azleen.

Katanya, tumpuan terhadap apa yang berlaku ketika itu menyebabkan beliau yang masih dalam kepenatan seperti terpukau dan 'terpisah' dengan alam nyata.

Dalam keadaan bingung, beliau memberanikan diri untuk memerhati dengan lebih dekat apa yang sedang berlaku.

Namun apa yang muncul di depan mata beliau membuatkan jantungnya hampir tercabut.

Sepasang mata berwarna merah muncul di celah-celah pokok berkenaan dan memandang tepat ke arahnya.

“Sebelum mengalihkan pandangan kerana takut saya nampak pula tangan berjari runcing dengan kuku licin berkilat,'' katanya.

Noor Azleen berkata, jelmaan makhluk seperti nenek kebayan yang menjelma dari celah pokok itu membuatkan lidahnya kelu untuk meminta bantuan daripada sesiapa,

“Saya jadi kelu. Nak bangun tak boleh, nak baca al-Fatihah dan ayat Qursi pun tak mampu,'' katanya.

Menurut Noor Azleen, selepas menyebut Allahuakbar beberapa kali, beliau akhirnya mendengar suara sekumpulan manusia yang sedang berbual menuju ke arahnya.

Serentak dengan itu, beliau merasakan bahunya ditepuk oleh seseorang dan amat terkejut apabila melihat rakannya (kini suami) berada di sisinya.

“Rakan saya cakap dia menemui saya dalam keadaan bingung. Tapi saya pasti saya tidak tertidur ketika itu.

“Saya hanya berkongsi cerita itu dengan beberapa orang rakan selepas sampai ke kaki gunung,'' ujarnya yang sehingga kini sudah mendaki kira-kira 30 gunung di negara ini.

Tambah Noor Azleen lagi, di kaki Gunung Ledang, beliau turut bertemu dengan pendaki dari Singapura yang mendakwa melihat kumpulan obor di kawasan yang sama.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014





ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.